Qudwah Hasanah

Qudwah Hasanah bererti contoh teladan yang terbaik.

Rasulullah saw merupakan contoh teladan yang terbaik bagi sekalian umat manusia. Ia dapat dilihat pada sifat, sikap, fikiran dan tindakan, kehidupan, semangat, perjuangan dan kepimpinan baginda.

Kesemua sifat dan sikap Rasulullah saw adalah kesan daripada didikan al-Quran. Setiap perkara yang dilakukan dan ditinggalkan oleh baginda adalah pelaksanaan daripada setiap perintah al-Quran. Setiap nilai al-Quran terdapat dalam diri Rasulullah saw sehingga baginda dianggap sebagai al-Quran hidup.


Sabtu, 13 Februari 2010

TOKOH TARANNUM KELANTAN

Nama penuh tokoh Tarannum yang terkenal ini ialah Haji Nik Jaafar bin Haji Nik Ismail bin Haji Nik Haron bin Haji Nik Wan Ahmad bin Tengku Mahmood. Beliau dilahirkan pada tahun 1936 di Kampung Kerasak, Bunut Susu, Daerah Pasir Mas, Kelantan Darul Naim. Beliau merupakan seorang guru agama di negeri Kelantan.

Mendirikan rumah tangga dengan Hajjah Rafiah binti Sheikh Haron dan dikurniakan sepuluh orang cahaya mata, empat lelaki dan enam perempuan. Putera yang ketiga meninggal dunia semasa masih bayi lagi. Puteri sulung ialah Nik Sabariah binti Nik Jaafar, Nik Amnah binti Nik Jaafar, Nik Hamdi bin Nik Jaafar, Nik Hasni binti Nik Jaafar, Nik Adnan bin Nik Jaafar, Nik Rohana binti Nik Jaafar, Nik Ainun binti Nik Jaafar, Nik Azizan bin Nik Jaafar, Nik Sufian bin Nik Jaafar dan puteri bongsu ialah Nik Raihan binti Nik Jaafar. Semua anak beliau memiliki kemahiran bertarannum mewarisi ilmu dan bakat daripada datuk dan bapa mereka.


Beliau adalah tokoh ilmuan tersohor dalam bidang Tarannum dan bergiat cergas dalam menghasilkan buku-buku mengenai ilmu al-Quran. Tetapi beliau tidak pernah menyertai pertandingan Musabaqah Tilawah Al-Quran. Ini kerana sejak dari awal penglibatannya dalam bidang ini, beliau terus dilantik menjadi hakim di pelbagai peringkat sama ada peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

PENDIDIKAN RENDAH DAN MENENGAH

Tokoh ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Rakyat Kampung Kerasak, tahun 1945 hingga 1947. Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Agama (Madrasah Ad-Diniyyah) Kampung Kedondong, Pasir Mas bermula dari tahun 1948 hingga 1950. Beliau meneruskan persekolahan di Sekolah Pondok (Madrasah Muhammadiah) di Kubang Bemban, Pasir Mas pada tahun 1951 hingga 1961.

Tuan Haji Nik Jaafar melanjutkan pendidikannya ke peringkat yang lebih tinggi iaitu Maktab Perguruan Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1962 hingga 1964. Setelah menamatkan pengajian di maktab perguruan, beliau berkhidmat sebagai seorang guru Agama Kerajaan Kelantan selama sepuluh tahun bermula tahun 1962 sehingga 1971.


MENDALAMI ILMU TARANNUM

Tuan Haji Nik Jaafar bin Nik Ismail dilahirkan di tengah-tengah masyarakat yang berpegang teguh dengan ajaran agama. Bapa beliau sendiri iaitu Tuan Guru Nik Ismail bin Nik Haji Nik Haron merupakan seorang guru al-Quran. Di samping mengajar kanak-kanak penduduk sekitar membaca al-Quran, beliau juga mengajar dan mengasuh anaknya Nik Jaafar dengan ilmu-ilmu al-Quran termasuk Ilmu Tarannum.

Dalam mendalami ilmu Tarannum, beliau telah berguru dan memperolehi ilmu Tarannum daripada datuknya (sebelah ibu), Tuan Haji Muhammad Yusof Kedondong (Qari Raja Kelantan), selama sepuluh tahun bermula tahun 1950 hingga 1960. Melalui datuknya ini, beliau dapat mendalami dan mempelajari asas-asas Tarannum bil-Quran seperti bacaan bertajwid, bacaan bertarannum, tahsin as-saut, mengenal jenis-jenis tarannum, sejarah tarannum, Tarannum Hijazi dan Misri.

Kemudian beliau melanjutkan lagi pengajian Tarannum dengan Tuan Haji Che Musa bin Mahmod (Qari Istana Kelantan). Di sini beliau mendalami bidang Tahsin as-Saut iaitu tentang kecermatan mengendalikan suara bacaan, penyusunan burdah yang lebih berkesan, teknik persembahan bacaan yang menarik dan sebagainya. Beliau mendalami bidang ini selama lima tahun bermula 1960 hingga 1965.

Beliau juga telah berguru dengan Tuan Guru Haji Ahmad bin Maasum Pergau (Qari ulung Antarabangsa) dalam bidang kearaban dan teknik penyusunan harakat-harakat tarannum bermaksud kefasihan melafazkan al-Quran bermula tahun 1965 hingga 1986. Dalam mendalami teknik-teknik (Metodologi) Tarannum merupakan tempoh pengajian yang paling lama berbanding dengan ilmu tarannum yang lain iaitu selama dua puluh tahun.

Selain daripada berguru dengan tiga orang tokoh tarannum di atas, Tuan Haji Nik Jaafar juga tidak ketinggalan menerima Kursus Tilawah al-Quran Jangka Pendek dari Fadhilah Asy-Sheikh Mahmood Hafiz Muhammad Mustafa, Mesir dan Fadhilah Asy-Sheikh Dr. Ahmad Mesir.

Hasil daripada tinjauan yang dibuat oleh penulis, tidak hairanlah jika sekarang ini beliau menjadi seorang tokoh yang terkenal dalam bidang tarannum sama ada di dalam atau luar negara. Ini kerana beliau telah mengambil masa yang lama untuk mendalami satu-satu bidang dalam ilmu tarannum. Sepuluh tahun masa yang diambil untuk mendalami ilmu asas tarannum. Lima tahun berikutnya pula beliau bertungkus-lumus mempelajari bidang Tahsin As-Saut. Manakala tempoh masa yang paling lama iaitu dua puluh satu tahun beliau mendalami bidang Teknik (Metodologi) Tarannum. Selain tempoh masa yang lama, beliau juga telah berguru dengan tokoh guru yang terkenal dan muktabar dalam bidang Tarannum. Sudah semestinya ilmu yang diperolehi adalah ilmu yang terbaik dan bernilai tinggi.


Berbekalkan ilmu yang ditimba daripada para guru yang muktabar, berkat usaha gigih dan sifat sabar, maka muncullah seorang lagi tokoh yang terkenal di Malaysia dalam bidang Tarannum al-Quran. Sehingga kini beliau telah berjaya menubuhkan dua buah pusat Pengajian al-Quran di daerah Pasir Mas, iaitu Majlis Raudhah Al-Tilawah (1) yang beralamat di Tepi Pondok Tok Guru Haji Abd Ghani, W-1612-A, Jalan Meranti, Pasir Mas Kelantan. Manakala Majlis Raudhah Al-Tilawah (2) beralamat di Lot 22, Batu 4 ¾, Kampung Kangkung, 1700 Pasir Mas Kelantan.

Pusat pengajian yang kedua ini baru ditubuhkan empat tahun yang lalu apabila Tuan Haji Nik Jaafar tinggal menetap di kampung Kangkung setelah bertemu jodoh dengan Hajjah Che Hasmah binti Che Hamat. Menurut beliau, sudah menjadi hasrat dan cita-cita, bahawa beliau akan berusaha untuk mengembangkan ilmu al-Quran walau di mana sahaja beliau berada.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...