Qudwah Hasanah

Qudwah Hasanah bererti contoh teladan yang terbaik.

Rasulullah saw merupakan contoh teladan yang terbaik bagi sekalian umat manusia. Ia dapat dilihat pada sifat, sikap, fikiran dan tindakan, kehidupan, semangat, perjuangan dan kepimpinan baginda.

Kesemua sifat dan sikap Rasulullah saw adalah kesan daripada didikan al-Quran. Setiap perkara yang dilakukan dan ditinggalkan oleh baginda adalah pelaksanaan daripada setiap perintah al-Quran. Setiap nilai al-Quran terdapat dalam diri Rasulullah saw sehingga baginda dianggap sebagai al-Quran hidup.


Sabtu, 27 Mac 2010

SURAH AL-MA'UN




بسم الله الرحمن الرحيم
                                 
     أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ (١)فَذَلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ (٢)        
     وَلا يَحُضُّ عَلَى طَعَامِ الْمِسْكِينِ (٣)فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ (٤)
     الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلاتِهِمْ سَاهُونَ (٥)الَّذِينَ هُمْ يُرَاءُونَ (٦)
                                         وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ (٧)    

            1. Tahukah Engkau akan orang Yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)?
š           2. orang itu ialah Yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim                   
            3. dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan Yang berhak diterima oleh orang miskin.
4. (kalau orang Yang demikian dikira dari bilangan orang-orang Yang mendustakan       agama), maka  Kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang -
            5. (laitu) mereka Yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;
            6. (juga bagi) orang-orang Yang berkeadaan riak (bangga diri Dalam Ibadat dan bawaannya),
            7. dan orang-orang Yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang Yang berhak                mendapatnya).




D
alam sesetengah riwayat surah al-Ma’un diturunkan di Mekah. Dan dalam      setengah riwayat yang lain surah ini diturunkan di Mekah dan di Madinah. Iaitu tiga ayat yang pertama diturunkan di Mekah dan empat ayat terakhir diturunkan di Madinah. Riwayat yang terakhir adalah riwayat yang terkuat.

                Surah ini berbeza dengan surah-surah yang lain kerana ia dimulakan dengan satu pertanyaan (أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ َ ) “Tahukah Engkau orang yang mendustakan agama?”. Dengan demikian, surah ini terasa lebih menarik kerana menimbulkan perasaan ingin tahu dalam hati orang yang pembaca. Pertanyaan yang dikemukakan di dalam ayat ini membuatkan pembaca tertarik untuk membaca lebih lanjut lagi siapakah mereka yang mendustakan agama.
               
                Isi kandungan surah ini menjelaskan mengenai orang-orang yang mendapat kecelakaan kerana mendustakan agama dan hari pembalasan. Sifat-sifat mereka dijelaskan dengan terperinci.  Antara lain tentang membentak anak yatim, tidak mahu mendorong manusia untuk memberikan makanan kepada orang miskin, orang yang bersembahyang dengan hati dan jiwa yang lalai, tidak merasakan kebesaran Allah, tidak menunaikan sembahyang dengan khusyuk dan memahami maksudnya, serta tentang orang yang tidak mahu memberikan pertolongan kepada sesama mereka.

                Wahbah Az-Zuhaily (2007), surah ini dinamakan al-Ma’un kerana di penghujungnya  (ayat Madaniyyah) Allah mencela orang-orang yang enggan memberi pertolongan. Firman Allah S.W.T.: (  وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ )“Dan (mereka) enggan memberi pertolongan”. (al-Ma’un, 107 : 7). Mereka sama seperti orang-orang lalai terhadap sembahyang dan orang-orang munafik. Perkataan al-Ma’un bermaksud benda-benda yang boleh dipinjam oleh seseorang jiran daripada jirannya seperti alat-alat untuk memasak; contohnya periuk, garam atau air. Alat-alat bercucuk tanam seperti baldi dan kapak. Alat-alat menjahit seperti jarum, benang dan benda-benda lain yang boleh dipinjam dan digunakan dengan segera. Surah ini juga dinamakan al-Din kerana pada permulaannya (berupa ayat Makkiyyah), Allah menyelar golongan yang mendustakan “al-Din” atau pembalasan di akhirat.


Sebab-sebab Turun Ayat
                                                       
            Firman Allah {  أرءيت الذي  يكذب  بالدين} yang bermaksud : “Tahukah engkau orang yang mendustakan agama?” (al-Ma’un, 107 : 1). Terdapat pelbagai pendapat yang menyatakan tentang sebab turunnya ayat tersebut. Menurut Ibnu ‘Abbas , ayat ini diturunkan kepada al-‘As bin Wa’il  al-Sahmi. Al-Sauddi berkata, diturunkan kepada al-Walid bin al-Mughirah. Ada yang berpendapat ia diturunkan kepada Abu Jahal. Ini kerana beliau adalah seorang penyelia anak yatim. Pada suatu hari dalam keadaan tidak berbaju anak yatim itu datang meminta sedikit daripada hartanya kepada Abu Jahal. Mendengar permintaan tersebut, Abu Jahal menolak anak yatim tersebut.

            Manakala Ibnu Juraij berkata, ayat ini diturunkan kepada Abu Sufian. Menurut riwayat, Abu Sufian menyembelih unta setiap minggu. Maka datanglah anak yatim meminta sebahagian daripadanya. Abu Sufian bertindak mengetuk anak yatim tersebut dengan tongkatnya, lalu Allah pun menurunkan ayat ini أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ  . Allah S.W.T. menurunkan ayat dalam bentuk tanda tanya (istifham), menunjukkan kehairanan dan keanehan terhadap sikap manusia. Manusia seolah tidak percaya kepada hari pembalasan. Golongan ini adalah golongan manusia yang rugi.

            Bagi firman Allah {  فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ} yang bermaksud : “Maka celakalah orang-orang yang sembahyang” (al-Ma’un, 107:4). Diriwayatkan oleh Ibnu al-Munzir daripada Ibnu Abbas mengenai ayat tersebut, beliau berkata: “Diturunkan kepada orang-orang munafik. Mereka mempamerkan ibadat sembahyang mereka kepada orang-orang Islam bila bersama mereka. Tetapi meninggalkan ibadat tersebut apabila orang-orang Islam tidak ada bersama mereka. Mereka juga tidak suka memberi pertolongan atau meminjamkan sesuatu kepada orang lain.

            Allah S.W.T.  menurunkan ayat ini untuk menyatakan tentang kerugian terhadap orang-orang munafik yang riak dalam sembahyang mereka. Jika mereka sembahyang , mereka tidak mengharapkan ganjaran pahala sebaliknya menunjuk semata-mata tentang keimanan mereka kepada orang-orang Islam. Sebaliknya, sekiranya mereka tidak bersama orang-orang Islam mereka lalai daripada melakukan sembahyang sehingga luput waktu. Sebab itulah Allah S.W.T. menyatakan celaka bagi orang-orang yang sembahyang iaitu bagi mereka yang sembahyang kerana riak.


 Lima Topik Perbahasan Dalam Surah
           
Dr. Wahbah al-Zuhailiy (2007) dalam bukunya Tafsir al-Munir (Juzuk Amma), menjelaskan secara terperinci tentang lima topik perbahasan utama dalam Surah al-Ma’un.   Antaranya dinyatakan secara ringkas seperti  dalam gambar rajah berikut:

1. Golongan Pendusta Hari Pembalasan

2. Sifat-sifat Pendusta Hari Pembalasan

3. Kepentingan Menjaga Solat

4. Keikhlasan Tunjang Ibadat

5. Bantu membantu Asas Perpaduan


1. Golongan Pendusta Hari Pembalasan




      Allah memulakan ayat pertama dalam surah al-Ma’un dengan gaya bahasa “istifham” atau  teknik soalan iaitu  { ارءيت  }. Allah S.W.T. mahu mengetengahkan persoalan dan menunjukkan kehairanan serta keanehan terhadap sikap manusia. Iaitu golongan yang mendustakan hari pembalasan atau hari kiamat. Manusia yang tidak percaya kepada hari pembalasan adalah contoh golongan manusia yang rugi. Mereka mengkufuri Allah, agama dan segala nikmat-nikmaNya. Antara faktor utama yang menyebabkan perkara ini berlaku adalah kerana:

v  Keasyikan dan kenikmatan hidup di dunia serta godaannya yang melalaikan manusia. Perkara ini berlaku kerana manusia terlalu mementingkan soal-soal duniawi serta kurang pula menunaikan kewajipan mereka kepada Allah S.W.T.

v  Syaitan sentiasa menghasut dan membisikkan ke dalam hati manusia supaya mengelakkan diri daripada melakukan perintah Allah S.W.T. dan syaitan sentiasa inginkan manusia lalai daripada beribadat kepadanya.

v  Sifat manusia itu sendiri yang angkuh dan bongkak untuk menerima kebenaran, tunduk serta mengabdikan diri kepada Allah S.W.T.

v  Tidak kurang juga wujudnya segolongan manusia yang menggesa orang lain ke arah kejahatan dan menjauhi kebajikan.



2. Sifat-sifat Pendusta Hari Pembalasan




      Siapakah golongan yang mendustakan hari pembalasan? Persoalan itulah yang cuba diajukan oleh Allah S.W.T. dalam ayat pertama lagi. Jawapan bagi persoalan tersebut terjawab dalam ayat kedua dan ketiga. Antara sifat manusia yang mengingkari dan mendustakan hari pembalasan ialah:
v  Manusia yang suka mengherdik anak-anak yatim { فَذَلِكَ الَّذِي يَدُعُّ  الْيَتِيمَ}  Mereka menghalau, menafikan hak, menindas dan menganiaya anak-anak yatim tanpa rasa belas kasihan. Anak-anak yatim sepatutnya dibantu dan dikasihani kerana mereka adalah golongan yang kematian bapa mereka sebelum usia baligh. Dalam keadaan sedemikian anak-anak yatim ini tida tempat bergantung dan mengharapkan bantuan.
v  Manusia yang tidak menggalakkan manusia lain memberi makan kepada fakir miskin { وَلا يَحُضُّ عَلَى طَعَامِ الْمِسْكِينِ }. Golongan kedua ini tidak suka menggalakkan orang lain bersedekah makanan dan minuman kepada golongan miskin dan mereka yang memerlukan bantuan dan keperluan harian. Ini kerana sifat bakhil dan keengganan mereka mengakui hari pembalasan. Golongan yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah golongan kaya dan berada tetapi bersifat bakhil untuk bersedekah dan juga tidak menggalakkan orang lain untuk bersedekah. Sekiranya ada orang Islam yang tidak menggalakkan, menyekat atau pun memandang rendah perbuatan memberi sedekah kepada orang miskin, maka dia tergolong dalam golongan orang yang mendustakan agama.


3. Kepentingan Menjaga Solat


      Golongan yang lalai dalam solat dinyatakan oleh Allah S.W.T dalam ayat keempat dan kelima dalam surah al-Ma’un. Antara lain Allah menyebut dalam ayat keempat { فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ } dan  ayat kelima { الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلاتِهِمْ سَاهُونَ } . Allah S.W.T. mengancam dengan balasan neraka al-Wail atau kecelakaan besar dan kebinasaan terhadap mereka yang lalai dalam menunaikan kewajipan bersolat. Antara kelalaian yang dalam solat yang disebutkan itu ialah:

v  Kelalaian dalam melaksanakan ibadat dengan sempurna berlandaskan syariat Islam seperti tidak menyempurnakan rukun-rukun solat atau syarat-syarat sah solat dan sebagainya.

v  Kelalaian untuk melaksanakan solat pada waktunya. Sebaliknya melewat-lewatkan solat hingga hampir tamat waktunya, atau menunaikan solat sambil lewa sahaja iaitu mereka menunaikan solat dalam keadaan malas. Sebagaimana firman Allah S.W.T.  dalam surah al-Nisa’ : 142:
Maksudnya:
 “Apabila mereka berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas”.

v  Kelalaian untuk khusyuk dalam solat kerana tidak memahami isi kandungan solat tersebut seperti makna ayat-ayat al-Quran, tasbih dan zikir yang diucapkan dalam ibadat tersebut. Ertinya kita tidak khusyuk semasa menunaikan solat. Ia dianggap lalai dan leka dalam solatnya.

Maksudnya:

kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan Yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat);



             4. Keikhlasan Tunjang Ibadat



      Keikhlasan adalah tunjang dalam semua jenis ibadat. Kita mestilah sentiasa ikhlas dalam beribadat, jangan sekali-kali riak dan bertujuan menunjuk-nunjuk. Dalam ayat keenam surah al-Ma’un ini, Allah S.W.T. menjelaskan tentang keburukan sifat-sifat golongan Munafiqin yang melakukan ibadat dengan riak     { الَّذِينَ هُمْ يُرَاءُونَ }. Mereka ini dikatakan golongan yang menunaikan solat semata-mata untuk menunjukkan keimanan mereka kepada khalayak ramai. Apabila orang Islam tidak ada mereka akan meninggalkan solat mereka dan kembali kufur.

      Sememangnya amat sukar untuk menghindari perasaan riak kecuali orang yang suka mendisiplinkan diri dan mengasuhnya agar bersifat ikhlas. Sabda Rasulullah s.a.w. 
       ( الرياء  أخفى  من  دبيب  النملة  السوداء  في  الليلة المظلمة  على  المسح الأسود )        Maksudnya:
Riak itu lebih sukar dikesan daripada semut hitam yang kecil, di malam yang gelap, di celah-celah cemara rambut yang hitam.


            5. Bantu membantu Asas Perpaduan





      Ayat terakhir surah al-Ma’un ditujukan kepada orang-orang yang enggan memberi pertolongan sesama manusia. Ianya salah satu lagi sifat keji golongan Munafiqin. Mereka tidak mahu membantu orang lain dan tidak menggalakkan budaya bantu membantu sesama manusia.

      Sikap bantu membantu di kalangan masyarakat adalah asas perpaduan umat sejagat.  Sikap bantu membantu seharusnya diterapkan dalam kehidupan masyarakat. Bagi membentuk dan membina kehidupan umat manusia yang luhur, mereka perlu hidup dalam perasaan yang bersih dari sifat-sifat keji, saling bantu membantu, murah hati, kasih mesra, rasa persaudaraan, kesucian hati dan tingkah laku yang bersih.

 Sebenarnya sikap bantu-membantu terutamanya di kalangan masyarakat adalah asas perpaduan umat sejagat. Sebaliknya sifat bakhil dan kedekut adalah pemusnah keharmonian. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 2:

Ertinya : “Bertolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam perkara dosa dan pemusnahan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...