Qudwah Hasanah

Qudwah Hasanah bererti contoh teladan yang terbaik.

Rasulullah saw merupakan contoh teladan yang terbaik bagi sekalian umat manusia. Ia dapat dilihat pada sifat, sikap, fikiran dan tindakan, kehidupan, semangat, perjuangan dan kepimpinan baginda.

Kesemua sifat dan sikap Rasulullah saw adalah kesan daripada didikan al-Quran. Setiap perkara yang dilakukan dan ditinggalkan oleh baginda adalah pelaksanaan daripada setiap perintah al-Quran. Setiap nilai al-Quran terdapat dalam diri Rasulullah saw sehingga baginda dianggap sebagai al-Quran hidup.


Sabtu, 8 Oktober 2011

IMAM AL-JAZARI

Nama dan keturunan

Tersohor dengan Ibn Al-Jazari. Nama beliau ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Yusof Al-Umri Al-Dimasyqi Al-Shirazi Al-Syafie dan lebih dikenali dengan Al-Jazari.

Beliau bermazhab Al-Syafie dan berasal dari Damsyik dan terkenal dengan gelaran imam Al-A’zam. Imam Al-Jazari dilahirkan pada pada 25 Ramadhan tahun 751 Hijrah bersamaan November 1350M, pada malam Sabtu selepas solat Tarawih.

Kelahiran beliau adalah selepas 40 tahun perkahwinan kedua ibu bapanya tanpa mendapat cahaya mata. Bapanya Al-Jazari merupakan seorang peniaga yang soleh dan bercita-cita untuk mendapatkan seorang anak yang soleh lagi berilmu. Justeru itu beliau memberi didikan yang baik menekankan hafazan al-Quran kepada Ibn Al-Jazari secara bertajwid.


Riwayat Hidup Imam Ibn Al-Jazari

Imam Ibn Al-Jazari dibesarkan di Damsyiq, pada umurnya mencecah 13 tahun (764H) beliau sudah menghafaz al-Quran dan boleh membacanya ketika solat[1].

Bapa beliau telah berangkat ke Masjid Al-Haram untuk menunaikan ibadat Umrah. Di sana beliau mengambil air zam-zam sebagai ubat dan syafaat, moga-moga dengan keberkatan air suci tersebut tercapailah hasrat yang diidamkan selama ini. Pengambilan air tersebut juga mengambil barakah daripada Rasulullah s.a.w. :

"عن ابن عباس t، قال رسول الله r ماء زمزم لما شرب له أن شربته تشتفى به شفاك الله، وان شربته لشعبك أشبعك الله به، وان شربته لقطع ظمنك قطعه، وهي هزمة جبريل رسقيا الله اسماعيل".
-رواه الدارقطنى-

Maksudnya : Daripada Ibnu Abbas r.a., sabda Rasulullah s.a.w. “ Air zamzam itu mengikut hasrat peminumnya, sesiapa yang minum kerana ingin sembuh maka Allah akan menyembuhkannya, sesiapa yang minum untuk merasa kenyang maka Allah akan kenyangkannya, sesiapa yang minum untuk menghilangkan dahaga maka Allah akan hilangkannya, ia adalah pemberian (kemenangan) Jibril dan Allah memberi minum kepada Nabi Ismail”.
-Riwayat Darul Al-Qatny.-

Ekoran daripada peristiwa tersebut, impiannya telah menjadi kenyataan. Imam Ibn Al-Jazari dibesarkan dengan didikan agama yang sempurna disertai dengan didikan ilmu yang kukuh. Beliau telah menghafaz al-Quran ketika usia 13 tahun dan telah mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran di dalam solat tarawih pada tahun yang berikutnya. Beliau juga mempelajari ilmu Qiraat dengan seorang syaikh yan gpaling alim ddi dalam ilmu qiraat iaitu Syaikh Ibnu Lubban ketika beliau berumur 17 tahun.

Pada masa yang sama, beliau juga mempelajari Ilmu Hadith. Langkah pertama dalam menuntut ilmu, beliau telah menuju ke Baitullah untuk mengerjakan ibadah haji pada tahun 768H ketika berusia 17 tahun. Beliau mengambil kesempatan mempelajari dua kitab qiraat iaitu Al-Kafi dan Al-Taysir dengan Syaikh Abi Abdullah Muhammad bin Salih di Masjid Al-Nabawi Al-Munawwarah.

Beliau menuntut ilmu di beberapa tempat seperti di Basrah, Kufah, Mesir, Yaman, Hijaz dan Syam. Beliau sentiasa berulang alik ke semua tempat-tempat tersebut hanyalah untuk menuntut ilmu sambil berniaga. Imam Al-Jazari telah berjaya menguasai bacaan Qiraat bagi 14 Imam. Beliau bukan sahaja menuntut ilmu yang lain seperti ilmu Hadith, ilmu Balaghah, ilmu Usul, ilmu Fiqh dan lain-lain lagi. Sehinggakan beliau diberi pengiktirafan mengeluarkan fatwa oleh tiga orang mufti Mesir yang terkemuka seperti Al-Qadhi Abdul Fida’ (774H), Al-Qadhi Diauddin (778H) dan Syeikh Al-Islam Al-Baqilani pada tahun 785H. Ketika itu beliau berusia 34 tahun.

Pada tahun 793H, beliau dilantik menjadi Qadi (Hakim Tertinggi) di negerinya iaitu Damsyiq. Di sini beliau telah mengasaskan pusat pengajiannya yang diberi nama “Dar Al-Quran”. Imam Al-Jazari juga dilantik menjadi qadi di Syiraz. Di sini juga beliau telah membuka pusat pengajian yang diberi nama “Dar Al-Quran” sebagai meneruskan apa yang telah belaiu tubuhkan sebelum ini dan beliau mengajar di situ.

Imam Al-Jazari telah menghafaz kitab Qiraat yang dikarang oleh Imam Al-Syatibiy dari beberapa orang tokoh Qurra di Mesir. Beliau juga menjadi tokoh dalam penguasaan semua ilmu-ilmu agama, tetapi penonjolan beliau dalam ilmu Qiraat melebihi ulama-ulama lain.

Imam Ibn Al-Jazari meninggal dunia pada 9 Rabi Al-Awwal tahun 833 Hijrah (2 Disember 1429) di rumahnya di Syiraz. Ajalnya menjemput tatkala hampir masuk waktu Zuhur hari Jumaat. Pada Ketika itu beliau berumur 82 tahun dan dikebumikan di madrasah yang telah beliau asaskan itu. Beliau telah meninggalkan banyak khazanah yang paling berharga kepada umat Islam khasnya dan umat manusia amnya.

Kitab beliau banyak menjadi sumber utama bagi orang-orang yang ingin mendalami ilmu Qiraat, kita beliau juga yang menghidupkan qiraat yang telah ditinggalkan manusia. Antara pesanan Imam Ibn AL-Jazari di dalam kitabnya :

وليلزم الوقار والتأدب     *     عند الشيوخ ان يرد أن ينجب

Maksudnya :
Lazimlah (wajiblah) tenang dan beradab, ketika bersama dengan syaikh (guru) bagi sesiapa yang ingin berjaya


Guru

Ibn Al-Jazari telah menghafaz al-Quran, mempelajari qiraat, mendengar hadith daripada ramai syeikh di Damsyiq dan tanah Hijaz. Antara mereka ialah :

Ø  Abu Muhammad Abd Al-Wahhab bin Yusof bin Al-Sallar (698H-782H), beliau merupakan guru pertama kepada Ibn Al-Jazari dengan memperolehi banyak manfaat dan sentiasa mendampinginya semenjak kecil lagi.
Ø  Ahmad bin Ibrahim bin Al-Tahhan Al-Manbaji (702H-782H). Beliau pernah mengijazahkan Ibn Al-Jazari dengan Ijazah Qiraat Sepuluh walaupun beliau baru sahaja selesai surah Al-Fatihah dan awal-awal Surah Al-Baqarah.
Ø  Ahmad bin Rajab bin Al-hasan Al-Sulami Al-Baghdadi (775H)
Ø  Ibrahim bin Abdullah Al-Humawi Al-Muaddib (773H). Beliau seorang yang sangat alim dengan ilmu Tajwid dan Ibn Al-Jazari mempelajari daripadanya.
Ø  Abu Al-Maali bin Al-Lubban (Muhammad bin Ahmad Al-Dmasyqi) (715H-776H)
Ø  Abu Abdullah Muhammad bin Soleh Al-Madani (785H) seorang khatib dan imam Masjid Al-Nabawi.
Ø  Abu Bakr Abdullah bin Aidaghdi bin Abdullah Al-Shamsi, yang terkenal dengan al-Jundi (699H-799H)
Ø  Abu Abdullah Muhammad bin Abd Al-Rahman Al-Soigh Al-Hanafi (704H-776H)
Ø  Abu Muhammad bin Abd Al-Rahman bin Ahmad bin Ali Al-Baghdadi Al-Wasiti Al-Masri (702H-781H)[2].

Dr. Ahmad Muhammad Muflih al-Qudoh menyenaraikan di dalam tesis P.H.D. beliau, sebanyak 41 guru Imam Ibn Al-Jazari (yang terkemuka sahaja).[3]

Murid

Imam Ibn Al-Jazari telah memberi sumbangan yang sangat besar. Segala baktinya tidak terhitung nilainya melalui pengajaran, pemfatwaan, dakwah dan lain-lain lagi semenjak beliau masih muda lagi. Beliau banyak mengadakan pengembaraan ilmu, maka dengan sebab itulah ramai yang mengambil mutiara ilmu daripadanya. Antara murid-muridnya yang terkemuka ialah :

Ø  Abu Bakr Ahmad bin Muhammad bin Al-Jazari.
Ø  Abu Al-Fath Muhammad bin Muhammad bin Al-Jazari (777H-814H).
Ø  Abu Al-Khair Muhammad bin Muhammad bin Al-Jazari.
(Ketiga-tiga mereka adalah anak Imam Ibn Al-Jazari sendiri.
Ø  Mahmud bin Al-Husain bin Sulaiman Al-Shirazi
Ø  Al-Khatib Mukmin bin Ali Al-Rumi
Ø  Abd Al-Qadir bin Tallah Al-Rumi
Ø  Jamal Al-Din Muhammad bin Muhammad, yang terkenal dengan nama Ibn Iftikhar Al-Harawi.[4]

Nukilan Tinta

Imam Ibn Al-Jazari sangat produktif dalam penulisan. Sebagai bukti kita dapat melihat beliau menulis di dalam banyak bidang pengajian Islam, lebih-lebih lagi dalam bidang qiraat yang menjadi keutamaan beliau. Beliau telah meninggalkan jasa bakti yang amat bernilai di dalam pengajian Qiraat, Ulum Al-Quran, hadith, fiqh dan usul, tarikh, bahasa arab dan lain-lain.

Karangan beliau dalam bidang-bidang tersebut sebanyak 78 buah. Antara karangan beliau yang masyhur ialah :

Ø  Muqaddimah Al-Jazariah yang memperkatakan asas ilmu Tajwid yang mesti diketahui oleh setiap pembaca al-Quran.
Ø  Al-Nasyr Fi Al-Qiraatul Al-Asyar yang memperkatakan ilmu Qiraat bagi sepuluh imam yang diakui sah dari Rasulullah s.a.w.
Ø  Toiyibatun Nasyr[5] yang memperkatakan ilmu Qiraat sepuluh. Buku ini merupakan penyusunan semula Kitab Al-Nasyr di atas dalam bentuk syair.
Ø  Al-Durrat Al-Mudiyyah yang disusun dalam bentuk puisi. Buku ini menyatakan ilmu qiraat bagi tiga imam qiraat sebagai pelengkap kepada apa yang telah dinyatakan oleh imam Al-Syatibi dalam Hirz Al-Amani Wa Wajh Al-Tahani yang memperkatakan qiraat tujuh. Ia juga lebih dikenali dengan Matan Durrah.
Ø  Al-Tamhid Fi Ilmi Al-Tajwid yang memperkatakan ilmu tajwid secara lengkap dan menyeluruh
Ø  Al-Masad Al-Ahmad Fi Khatmi Sanad Ahmad yang membincangkan tentang ilmu Hadith dan sanad Imam Ahmad bin Hanbal.
Ø  Al-Hisn Al-Husin yang memperkatakan doa-doa dan zikir-zikir yang jelas datangnya dari Rasulullah s.a.w.

Apa Kata Ulama?

Beliau telah mencapai kedudukan yang tinggi dan mulia pada zamannya, selepas meninggal dunia juga sehingga ke zaman ini. Semuanya dicapai hasil usaha gigih beliau dalam memperkembangkan ilmu-ilmu Islam terutamanya di dalam mempelopori pengajian Ilmu Qiraat.

Beliau mendapat banyak pujian dan dikagumi oleh ramai ulama, antaranya :
Ø  Al-Sakhawi : “Beliau (Ibn Al-Jazari) mempunyai periwayatan hadith yang tinggi dan menghafalnya, mahir ilmu Al-Jarh Wa Al-Ta’dil serta mengetahui rawi-rawi terdahulu dan terkemudian”.[6]
Ø  Al-Sayuti : “Seorang hafiz , muqri’, syeikh qiraat pada zamannya”. Kata beliau lagi : “Ibn Al-Jazari juga seorang imam dalam qiraat yang tiada tandingan di dunia ini pada zamannya”.[7]
Ø  Syeikh Zakaria Al-Ansari : Seorang Al-Syeikh Al-Imam, sangat luas ilmu, Syeikh Al-Islam dan Hafiz pada zamannya”.[8]
Ø  Syeikh Al-Dobba’ : “Sesungguhnya kitab al-Nasr adalah suatu petunjuk yang jelas kepada kehebatan penulisnya, sehingga digelar dengan Imam Al-Muhaqqin, Imam Al-Hujjah ...” (lihat mukadimah Al-Nashr, hlm.5).
Ø  Muhammad Sodiq Qamhawi : “ibn Al-Jazari bukan hanya alim dalam bidang Qiraat, bahkan juga alim dalam pelbagai ilmu seperti, tafsir, hadith, fiqh, usul, tauhid, sarf, balaghah dan bahasa”.


[1] Ibn Al-Jazari : Ghayah Al-Nihayah : juz 2, hlm. 247
[2] Dr. Abd Al-Qayyum bin Abd Al-Ghafur Al-Sindi : Safahat fi Ulum Al-Qiraat : hlm.227)
[3] Ibn Al-Jazari : Tahbir Taisir : Tahqiq : Dr. Ahmad Muhammad Muflih Al-Qudoh : hlm. 33-42, 2000M
[4] Dr. Abd Al-Qayyum bin Abd Al-Ghafur Al-Sindi : Safahat fi Ulum Al-Qiraat : hlm. 272-278
[5] Sila lihat lampiran pada muka surat 25
[6] Al-Sakhawi : Al-Dau Al-Lami’ : juz 9 : hlm. 258, 1355H
[7] Al-Sayuti : Tabaqat al-Huffaz : hlm. 549
[8] Syeikh Zakaria Al-Ansari : Syarh al-Muqaddimah Al-Jazariyyah Fi Ilm Al-Tajwid : hlm.3, 1992M

Tiada ulasan:

CATATAN POPULAR