Qudwah Hasanah

Qudwah Hasanah bererti contoh teladan yang terbaik.

Rasulullah saw merupakan contoh teladan yang terbaik bagi sekalian umat manusia. Ia dapat dilihat pada sifat, sikap, fikiran dan tindakan, kehidupan, semangat, perjuangan dan kepimpinan baginda.

Kesemua sifat dan sikap Rasulullah saw adalah kesan daripada didikan al-Quran. Setiap perkara yang dilakukan dan ditinggalkan oleh baginda adalah pelaksanaan daripada setiap perintah al-Quran. Setiap nilai al-Quran terdapat dalam diri Rasulullah saw sehingga baginda dianggap sebagai al-Quran hidup.


Selasa, 20 September 2011

PENGUMPULAN DAN PENULISAN AL-QURAN ZAMAN RASULULLAH SAW

Pengumpulan al-Quran membawa dua maksud iaitu pengumpulan secara hafazan (al-hifz fi as-sudur) dan yang kedua ialah pengumpulan secara penulisan (al-hifz fi as-sutur). Perkataan al-jam’u ( الجمع  ) bermakna mengumpul, menghafaz dan mengingatkan. Jam’u al-Quran bermakna orang yang menghafaznya di dalam hati. Sebagaimana nabi Muhammad s.a.w. sentiasa menggerakkan kedua bibir dan lidah baginda untuk membaca al-Quran sebelum Jibril a.s. selesai membacakan ayatnya, ini kerana hasrat baginda untuk menghafaz wahyu tersebut.
Ÿ
Maksudnya: Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk (membaca) Al Quran Karena hendak cepat-cepat (menguasai)nya. Sesungguhnya atas tanggungan kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya.   Apabila kami Telah selesai membacakannya Maka ikutilah bacaannya itu.  Kemudian, Sesungguhnya atas tanggungan kamilah penjelasannya.      
                                                                                       (Surah Al-Qiyamah : 16 – 19)

            Orang yang pertama sekali mendapat penghormatan mengumpul al-Quran dengan cara menghafal dan mengingati di dalam hati ialah Rasulullah s.a.w. sendiri, sebelum ianya dihafal oleh para sahabat yang lain.

 Pengumpulan secara penulisan bererti menulis al-Quran dalam bentuk bercerai-cerai ayat dan surahnya, atau ayatnya sahaja yang tersusun tetapi surahnya ditulis dalam naskhah-naskhah yang berasingan.

Pengumpulan Al-Quran Secara Hafazan
           
Rasulullah s.a.w amat menyukai wahyu, malah baginda sentiasa menunggu kedatangan wahyu dengan rasa rindu. Apabila turunnya wahyu baginda akan bersegera untuk menghafal dan memahaminya. Nabi Muhammad s.a.w. seorang yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis). Oleh itu baginda s.a.w berpegang teguh kepada kekuatan ingatannya untuk menghafal setiap wahyu yang diturunkan kepadanya. Baginda berusaha untuk mengumpulkan al-Quran di dalam dada baginda dan kemudian diperdengarkan kepada para sahabat.. Firman Allah S.W.T. :

 Maksunya: Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan hikmah (As Sunnah). Dan Sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata,
(Surah Al-Jumu’ah : 2)
           
Begitu juga para sahabat, mereka  akan sentiasa berlumba-lumba menghafal ayat al-Quran. Mereka curahkan seluruh kemampuan mereka untuk membaca dan menghafal ayat-ayat al-Quran. Ini akan membolehkan mereka mengajarkannya kepada para isteri dan anak-anak mereka.

            Para sahabat ramai yang menghafal al-Quran. Rasulullah sendiri telah membakar semangat mereka untuk menghafal al-Quran. Ramai dari kalangan sahabat yang menghafal seluruh al-Quran. Antara lain ialah Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Thalhah, Huzaifah, Abu Hurairah, Abdullah bin Mas’ud, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Amru bin Ash dan ramai lagi dari kalangan para sahabat.

Pengumpulan Al-Quran Secara Penulisan
           
Pada zaman Rasulullah s.a.w. lagi usaha-usaha untuk memelihara dan mengumpulkan al-Quran telah wujud. Bukan sahaja pengumpulan secara hafazan bahkan juga pengumpulan secara penulisan. Ini terbukti apabila baginda Rasulullah s.a.w. telah melantik penulis wahyu di kalangan Khulafa’ al-Rasyidin yang empat iaitu Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, Sayyidina Umar al-Khattab, Sayyidina Uthman bin Affan dan Sayyidina Ali bin Abi Talib. Selain itu dari kalangan para sahabat baginda iaitu  Muawiyah, Ubai bin Ka’ab, Zaid bin Thabit, Al-Arqam bin Abi Al-Arqam, Khalid bin Al-Walid, Az-Zubir bin Al-Awwam, Abdullah bin Mas’ud dan ramai lagi. Dari kalangan mereka itu, yang paling banyak dan sering kali menulis wahyu ialah Zaid bin Thabit, Mu’awiyah, Abdullah bin Mas’ud dan Ali bin Abi Talib. Setiap kali wahyu diturunkan oleh Allah S.W.T., baginda akan membacanya di hadapan para sahabat memerintahkan mereka menulisnya selaras dengan apa yang telah dihafaz di dalam dadanya. Penulisan pada lembaran itu membantu penghafalan di dada mereka.

            Sebagaimana Rasulullah s.a.w. menyuruh para sahabat menulis ayat-ayat dari wahyu yang diturunkan itu, baginda juga menunjukkan kedudukan susunan ayat-ayat dan meletakkan surah-surah di tempatnya yang tertentu. Perkara ini telah disebutkan sendiri dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Uthman bin Affan r.a. katanya :

.... فكان اذا نزل عليه الشيء دعا بعض من كان يكتب فيقول ضعوا هؤلاء الأيات في السورة التي يذكر فيها كذا وكذا واذا نزلت عليه الأية فيقول ضعوا الأية في السورة التي يذكر فيها كذا وكذا.  

Maksudnya: ”Apabila diturunkan sesuatu ayat, Rasulullah s.a.w. akan menyuruh penulis-penulis wahyu-Nya menulis ayat tersebut. Maka baginda akan mengatakan : letakkan ayat-ayat ini dalam surah yang ada menyebut tentang perkara yang begitu begini. Dan apabila diturunkan suatu ayat, maka baginda akan mengatakan: letakkan ayat tersebut dalam surah yang ada menyebut perkara itu dan ini”. (Surur Shihabuddin An-Nadawi, Ilmu Tajwid Menurut Riwayat Hafs An Asim: 2004)

Pada zaman ini para penulis wahyu telah menulis ayat-ayat al-Quran pada pelepah-pelapah tamar, ketulan-ketulan batu, tulang-tulang unta dan biri-biri yang telah kering, kulit-kulit binatang, kulit-kulit atau daun kayu dan sebagainya. Zaid bin Thabit berkata: ”Kami menulis al-Quran di hadapan Rasulullah s.a.w. pada kulit binatang”. (HR. Al-Hakim dalam Al-Mustadrak). Ini menunjukkan betapa sukarnya para sahabat menulis wahyu pada alat-alat tersebut. Tetapi besar hikmahnya, di mana penulisan al-Quran itu semakin menambah kekuatan hafazan mereka. Sebagaimana Rasulullah menghafal al-Quran dan membacakannya di hadapan Malaikat Jibril a.s., maka para sahabat pula membacakan ayat-ayat al-Quran yang mereka hafal dan tulis itu di hadapan Rasulullah s.a.w. 

Tulisan yang ditulis oleh para penulis wahyu disimpan di rumah Rasulullah s.a.w. Di samping itu mereka juga menuliskan untuk mereka sendiri. Walau bagaimanapun pengumpulan pada zaman Rasulullah s.a.w., al-Quran belum dikumpulkan dalam satu mushaf  (buku berjilid).

Mengapa Al-Quran Tidak Dikumpulkan Dalam Satu Mushaf

            Pada masa hayat baginda Rasulullah s.a.w. tidak mengumpul ayat-ayat al-Quran dalam satu mushaf , tetapi didapati ayat-ayat al-Quran didapati dalam keadaan bercampur aduk dan bercerai-berai. Keadaan sedemikian terjadi kerana pada masa itu kerana al-Quran tidak diturunkan sekali gus, bahkan al-Quran diturunkan secara beransur-ansur. Keadaan sedemikian menyebabkan sukarnya menulis al-Quran menjadi satu mushaf, melainkan setelah kesemua ayat al-Quran sempurna diturunkan kepada baginda Rasulullah s.a.w.

Selain daripada itu, susunan ayat-ayat dan surah-surah juga tidak mengikut susunan penurunannya. Apabila diteliti penyusunan yang dibuat terhadap al-Quran, jelaslah sesetengah ayat yang diturunkan kemudian , tetapi di dalam al-Quran diletakkan di awal surah. Justeru itu, sekiranya al-Quran ditulis dan dikumpulkan ke dalam satu mushaf pada seawal penurunannya, maka pastinya ia perlu sentiasa diubah setiap kali wahyu diturunkan kepada Rasulullah s.a.w.

Semasa hayat Rasulullah s.a.w., terdapat juga beberapa ayat al-Quran yang dimansukhkan dengan turunnya baru yang memansukhkannya. Oleh itu, sekiranya sejak dari awal lagi al-Quran dikumpulkan dalam satu mushaf, sudah tentunya pindaan demi pindaan perlu dilakukan  terhadap mushaf tersebut setiap kali berlaku pemansuhan ayat. Ianya pasti akan menyulitkan keadaan dan Rasulullah s.a.w. tidak pernah menyuruh para sahabat mengumpulkan ayat al-Quran ke dalam satu mushaf.

Terlalu ramai para penghafaz al-Quran dan penulisnya menyebabkan tulisan al-Quran berada di merata tempat. Mereka tidak merasakan bahawa pengumpulan dalam satu mushaf itu perlu kerana merka telah menghafaznya keseluruhan ayat al-Quran di dalam dada masing-masing, mengikut sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada mereka. Rasulullah s.a.w. juga telah menerangkan kepada mereka tempat letak segala ayat dan surah seperti yang diarahkan oleh Allah S.W.T.

Pada zaman pemerintahan Rasulullah s.a.w., umat Islam berada dalam suasana yang baik, aman dan damai, tidak ada fitnah memfitnah antara satu sama lain, di samping para penghafaznya terlalu ramai. Oleh itu, tidak adalah sebab-sebab yang mendorong kepada pengumpulan al-Quran ke dalam satu mushaf. Tambahan pula, alat-alat untuk kegunaan menulis sukar didapati kerana pada masa itu mereka hanya mengukir tulisan di atas kepingan kayu, ketulan batu, kulit-kulit kering dan juga tulang-temulang sahaja.

Mengikut pandangan Al-Zarkasyi bahawa al-Quran tidak ditulis dalam sebuah mushaf pada zaman Rasulullah s.a.w. kerana takut terjadi perubahan terhadapnya. Oleh itu penulisannya dilakukan agak terlewat . Kebanyakan para ulama berpendapat bahawa pengumpulan dan penulisan al-Quran pada zaman Rasulullah s.a.w. dilakukan meliputi tujuh huruf.

Tiada ulasan:

CATATAN POPULAR