Qudwah Hasanah

Qudwah Hasanah bererti contoh teladan yang terbaik.

Rasulullah saw merupakan contoh teladan yang terbaik bagi sekalian umat manusia. Ia dapat dilihat pada sifat, sikap, fikiran dan tindakan, kehidupan, semangat, perjuangan dan kepimpinan baginda.

Kesemua sifat dan sikap Rasulullah saw adalah kesan daripada didikan al-Quran. Setiap perkara yang dilakukan dan ditinggalkan oleh baginda adalah pelaksanaan daripada setiap perintah al-Quran. Setiap nilai al-Quran terdapat dalam diri Rasulullah saw sehingga baginda dianggap sebagai al-Quran hidup.


Sabtu, 1 Oktober 2011

PENGUMPULAN DAN PENULISAN AL-QURAN ZAMAN KHALIFAH UTHMAN BIN AFFAN

Peringkat ketiga penghimpunan al-Quran berlaku pada zaman pemerintahan Sayyidina Uthman bin Affan r.a. dan beliau sendirilah yang mengarahkan melakukannya. Usaha pengumpulan dan penulisan semula al-Quran ini menjadi suatu yang serius sekali pada zaman pemerintahan beliau. Isu-isu yang timbul pada zaman tersebut telah menyebabkan mushaf al-Quran yang sempurna itu ditulis kesemuanya semula dalam bentuk naskhah al-Quran yang lengkap. Faktor-faktor yang mendorong kepada pengumpulan semula al-Quran pada tahap ketiga ini ialah seperti berikut:
1. Wujudnya Mushaf Peribadi Para Sahabat
2. Perbezaan Qiraat Yang Membawa Pertikaian Umat Islam.

Kedua-dua sebab di atas telah mencetuskan idea kepada berlakunya pengumpulan dan penulisan al-Quran pada peringkat ketiga ini.


Wujudnya Mushaf Peribadi Para Sahabat R.A.

            Mushaf  Khalifah Abu Bakar tersimpan di bawah jagaan Sayyidatina Hafsah binti Umar al-Khattab. Selain daripada mushaf tersebut, terdapat juga dikalangan para sahabat lain yang menulis al-Quran untuk rujukan dan simpanan mereka sendiri. Antara mushaf-mushaf  yang masyhur ialah mushaf Abdullah bin Mas’ud, mushaf Ubai bin Kaab, mushaf Abu Musa Al-Asyari dan lain-lain lagi.

            Sesetengah mushaf yang ditulis adalah untuk tujuan peribadi. Al-Quran yang mereka tulis itu ada yang ditambah dengan catatan mereka sendiri tentang maksud atau peringatan mengenai sesuatu ayat. Ada juga di antara mushaf itu yang terputus dan tidak lengkap susunan ayat-ayat atau surah-surahnya.

            Perkara sedemikian berlaku kerana tempoh penurunan al-Quran kepada Rasulullah s.a.w. yang mengambil masa selama 23 tahun. Oleh yang demikian, tidak semua sahabat dapat mengikuti perkembangan penurunan ayat-ayat al-Quran kepda Rasulullah s.a.w. Ada juga yang tidak sempat memperolehinya secara terus daripada Rasulullah s.a.w. atau para sahabat yang lain. Maka setelah selesai penulisan al-Quran semula al-Quran, Sayyidina Uthman r.a. mengarahkan semua mushaf lain dimusnahkan bagi menyatukan umat Islam di bawah satu mushaf sahaja.

            Ini dibuktikan melalui Anas bin Malik, beliau menceritakan bahawa:

 فلما فرغ من المصحف,  كتب عثمان الى أهل الأمصار   : اني قد صنعت كذا وكذا  , ومحوت ما عندي  , فامحوا ما عندكم .
Maksudnya: ”Setelah selesai (Sayyidina Uthman) menulis al-Quran, beliau telah menulis surat kepada para sahabat yang menjadi wakil beliau di setiap pelusuk; ”Aku telah melakukan begitu dan begini (mengumpul dan menulis keseluruhan al-Quran), setelah itu aku musnahkan mushaf yang aku ada, maka kamu juga hendaklah musnahkan mushaf yang ada pada kamu”. (Surur Shihabuddin An-Nadawi. Ilmu Tajwid Menurut Riwayat Hafs An-Asim. m.s.25)

Perbezaan Qiraat Membawa Pertikaian Umat Islam
           
Pengumpulan al-Quran pada zaman Khalifah Uthman bin Affan r.a. adalah berbeza daripada pengumpulan pada zaman Khalifah Abu Bakar r.a. Ini disebabkan permasalah yang timbul juga berbeza antara dua zaman tersebut.

            Pada masa pemerintahan Khalifah Uthman, Islam telah tersebar luas meliputi Semenanjung Tanah Arab dan lain-lain wilayah termasuk Armenia, Arzabeijan dan Khurasan. Umat Islam telah hidup dipelbagai tempat di pelusuk dunia, samada di kota mahu pun di desa. Disetiap wilayah dan daerah terdapat seorang ’qari’ dari kalangan sahabat yang masyhur mengajarkan al-Quran kepada penduduk  setempat. Bacaan mereka menurut kaedah bacaan Rasulullah s.a.w. Di antara para sahabat yang masyhur itu ialah:
  1. Ubai bin Ka’ab, Zaid bin Thabit dan Sayyidina Umar bin Al-Khattab mengajar penduduk Mekah dan Madinah.
  2. Sayyidina Uthman bin Affan dan Abu Darda’ mengajar bacaan al-Quran kepada penduduk Syam (Syria).
  3. Sayyidina Umar bin Al-Khattab, Ubai bin Ka’ab, Sayyidina Uthman bin Affan, Sayyidina Ali bin Abi Talib dan Abu Musa Al-Asy’ari juga mengajar kaedah bacaan al-Quran kepada penduduk Basrah.
  4. Manakala penduduk Kufah juga mengambil kaedah bacaan daripada Abdullah bin Mas’ud, Sayyidina Ali bin Abi Talib, Sayyidina Uthman bin Affan, Ubai bin Ka’ab dan Zaid bin Thabit.

Kesemua kaedah bacaan dan cara penyampaian para sahabat ini berbeza antara satusama lain. Mereka hanya mengajar qiraat yang mereka tahu sahaja, di samping itu mereka tidak mengajar qiraat yang tujuh kepada penduduk tempatan. Tambahan pula mereka tidak mempunyai satu mushaf umum untuk dijadikan rujukan sekiranya mereka menghadapi masalah. Ekoran daripada keadaan itu, timbul perbezaan bacaan atau sebutan di kalangan penduduk pelbagai wilayah tersebut. Mengikut satu riwayat, perbezaan kaedah bacaan itu membawa ke kancah pertentangan dan perpecahan.

Diriwayatkan dari Abu Qilabah, ia berkata: ”Pada masa Khalifah Uthman bin Affan r.a., seorang guru mengajar qiraah kepada seorang murid. Sementara seorang guru lain mengajar murid yang lain pula. Kemudian apabila setiap murid tadi bertemu, mereka akan bertengkar dan pertengkaran itu memuncak sehingga melibatkan guru masing-masing, sehingga di antara mereka saling kafir mengkafir”. Maka peristiwa itu sampai kepada Khalifah Uthman. Peristiwa ini berlaku pada tahun 24 Hijrah. Insiden itu telah Khalifah Uthman r.a. terfikir dan tergerak untuk mengatasi permasalahan  itu sebelum ia merebak dengan lebih luas.

Manakala pada tahun 25 Hijrah telah berlaku pula perbalahan yang hebat di kalangan muslimin mengenai perbezaan kaedah bacaan. Seterusnya mendatangkan masalah dan berlakunya perselisihan dari segi pembacaan al-Quran.

Mengikut satu riwayat; Pada masa pemerintahan Al-Walid bin Uqba, Yazid bin Muawiyah bersama Huzaifah berada di dalam sebuah masjid. Tiba-tiba seorang pegawai berkata: ”Sesiapa yang mengikut bacaan Abu Musa pergilah berhampiran pintu kinda. Dan sesiapa yang mengikut bacaan Abdullah pergilah ke sudut berhampiran rumah Abdullah”. Mereka tidak sepakat membaca surah al-Baqarah ayat 196. Kuzaifah menjadi sangat marah, matanya sangat merah lalu bangun dan membuka qamisnya sehingga ke pinggang, walaupun pada waktu itu beliau berada di masjid, beliau berkata: ”Adakah sesiapa yang akan menemui Amirul Mukminin atau saya sendiri akan pergi?”

Keadaan yang tidak sihat itu telah disampaikan oleh Huzaifah bin Al-Yaman kepada Khalifah Uthman r.a. Huzaifah telah mencadangkan supaya Khalifah Uthman mencari jalan untuk menyatukan kaum muslimin dengan cara menyelaraskan mushaf agar tidak berlaku lagi perbalahan dan perselisihan tentang bacaan tersebut. Khalifah Uthman r.a. telah membentuk satu Jawatankuasa Penulisan Al-Quran yang diketuai oleh Zaid bin Thabit dan dibantu oleh beberapa sahabat yang lain yang terdiri daripada Abdullah bi Zubair, Said bin Al-As dan Abdul Rahman bin Harith. Jawatankuasa ini dipanggil ”Panitia Empat”. Tiga dari kalangan mereka adalah adalah dari kalangan Muhajirin (Quraisy), kecuali Zaid bin Thabit seorang sahaja dari kalangan Kaum Ansar.

            Tugas Panitia Empat ini ialah menyusun dan menyalin lembaran-lembaran suhuf yang diambil dari simpanan Sayyidatina Hafsah untuk dijadikan beberapa mushaf yang lain. Uthman berkata kepada tiga orang Quraisy itu:

اذا اختلفتم أنتم وزيد بن ثابت فى شيئ من القرءان فاكتبوه بلسان قريش , فانه انما نزل بلسانهم.   

Maksudnya : ”Bila kamu berbeza pendapat dengan Zaid bin Thabit mengenai sesuatu daripada al-Quran, maka tulislah dengan bahasaa Quraisy, kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa Quraisy”.

            Mereka melaksanakan perintah itu dengan baik. Penyalinan semula kepada beberapa mushaf laki ini mengambil masa selama lima tahun, bermula dari tahun 25 Hijrah sehingga ke tahun 30 Hijrah. Setelah kerja menyalin semula al-Quran kepada beberapa mushaf, Khalifah Uthman mengembalikan semula mushaf yang asal itu kepada Sayyidatina Hafsah. Seterusnya khalifah menghantar  nushaf-mushaf yang baru tersebut ke pelbagai wilayah, dan memerintahkan agar semua mushaf yang lain dibakar.
            
Jumlah Naskhah Mushaf Uthmani dan Ciri-cirinya

            Jawatan kuasa Penulisan Semula Al-Quran yang diketuai oleh Zaid bin Thabit telah menyusun dan menyalin semula sebanyak enam mushaf. Jumlah ini adalah mengikut pendapat yang muktamad.

            Abu Amr Ad-Dani menyatakan  jumlah naskh Mushaf Uthmani itu ada enam. Ianya dikirimkan ke Mekah, Syam, Basrah, Kufah, Iraq dan satu lagi di Madinah.

            Manakala Jalaluddin As-Suyuti pula menyatakan jumlah naskhah Mushaf Uthmani yang dikirim itu ada lima iaitu untuk Mekah, Syam, Basrah, Kufah, Iraq, Madinah. Dan beliau menambah, ada satu lagi mushaf sebagai simpanan Khalifah Uthman yang dinamakan ”Al-Mushaf Al-Imam.” Di namakan sebagai Mushaf Imam kerana mushaf tersebut adalah mushaf pertama yang ditulis. Daripada Mushaf Imam itulah dibuat salinan mushaf-mushaf yang lain.

            Mushaf tersebut bukan sahaja dikirim dan dijadikan rujukan tunggal bagi penduduk di wilayah-wilayah tersebut, bahkan dihantar seorang imam (qari) yang adil dan mutaqin di dalam bacaan al-Quran untuk mengajar penduduk berkenaan. Mereka terdiri daripada:

  1. Abdullah bin As-Saib r.a. dihantar ke Mekah
  2. Al-Mughirah bin Abi Syahab r.a. dihantar ke Syam
  3. Abdul Rahman Abdullah bin Habib A-Sulaimi r.a. dihantar ke Kufah
  4. ’Amar bin Qais r.a. dihantar ke Basrah
  5. Zaid bin Thabit  r.a. di Madinah. 
Apa yang perlu kita ketahui ekoran daripada Mushaf Uthmani yang berasal daripada beberapa naskhah itu telah berkembang percetakannya dengan pesat. Naskhah-naskhah Al-Quran yang dicetak kemudian ini degelar dengan ”Al-Quran Mushaf Uthmani” atau ”Al-Quran Rasm Uthmani” sebagai memperingati jasa beliau yang amat agong itu.
  
          Antara ciri utama Mushaf  Uthmani ialah ia ditulis bersesuaian dengan perbezaan bacaan ”Tujuh Qiraat”. Ia juga meliputi ciri-ciri al-Quran yang dibaca oleh Rasululah s.a.w  di hadapan Malaikat Jibril a.s.pada tahun terakhir hayat baginda.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam. Puan. Trima kasih atas perkongsian. Boleh puan sertakan rujukan puan untuk penulisan ni?

CATATAN POPULAR