Halaman

Khamis, 26 Ogos 2010

RAMADHAN AL-MUBARAK

PENGERTIAN RAMADHAN

Ramadhan bermaksud cuaca panas iaitu teriknya panas matahari.Orang Arab dahulu menamakan nama-nama bulan mengikut keadaan dan masa yang berlaku pasa masa tersebut. Oleh kerana cuaca pada ketika itu terlalu panas, maka mereka menamakannya RAMADHAN.

KEISTIMEWAAN BULAN RAMADHAN

شهر رمضان الذى انزل فيه القرءان هدى للناس وبينت من الهدى والفرقان

"Bulan Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran, untuk petunjuk bagi manusia, dan beberapa keterangan terhadap petunjuk dan sebagai pemisah (antara yang benar dengan yang batil)"
(Al-Baqarah:185)

Bulan Ramadhan adalah satu-satunya bulan yang Allah sebut namanya di dalam al-Quran. Antara dua belas bulan Islam Allah telah memilih bulan Ramadhan sebagai satu tanda keistimwaannya. Bulan Ramadhan adalah bulan yang memiliki kesucian yang dimiliki oleh bulan-bulan yang lain.

Allah SWT memilih bulan Ramadhan sebagai masa untuk melimpahkan rahmat-Nya kepada para hamnya-Nya yang beriman. Di natara nikmat yang paling agung ialah Al-Quran. Kitab yang tidak ada tolak bandingnya, yang kekal dan terpelihara sepanjang zaman.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang dipilih oleh Allah SWT untuk menurunkan kitab AlQuran Al-Karim, iaitu turunya permulaan ayat yang menandakan kerasaulan Nabi Muhammad SAW. Al-Quran adalah mukjizat teragung Rasulullah SAW yang menjadi petunjuk kepada seluruh umat manusia.

Bulan Ramadhan juga telah dipilih oleh Allah SWT sebagai bulan untuk melaksanakan ibadat puasa bagi kaum muslimin sebagai tanda kesyukuran atas nikmat dan kurniaan-Nya yang sangat besar. Iaitu nikmat turunnya al-Quran yang membawa hidayah dan petunjuk kepada seluruh umat manusia.

يا ايها الذىن ءامنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون


"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuaa sebagaimaan yang diwajibkan ke atas orang-orang kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa".
(Al-Baqarah:183)

Bulan Ramadhan adalah satu-satunya bulan yang dipilih oleh Allah SWT, di dalamnya terdapat satu malam, yang mana nilai ibadah pada malam tersebut sama dengan beribadah 1000 bulan. Malam tersebut dikenali sebagai malam Al-Qadar. Firman Allah SWT:
ليلة القدر خير من الف شهر

"Malam AL-Qadar (kemuliaan) itu lebih baik dari seribu bulan".

Bulan Ramadhan adalah satu-satunya bulan, yang mana sepanjang bulan Allah SWT menutup pintu neraka dan membuka pintu syurga. Allah juga mengikat dan membelenggu segala jin dan syaitan supaya kaum muslimin dapat beribadat sebaik mungkin.Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah memfardhukan atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan..". (Riwayat Abu Hurairah)

Bulan Ramadhan juga telah dipilih untuk kita melakukan ibadat. Di antaranya ialah Tadarrus al-Quran, membanyakkan sedekah kepada fakir miskin, solat Tarawih, berzikir dan sebagainya.

Rabu, 25 Ogos 2010

17 Ramadhan

Tarikh keramat itu datang lagi. Tanggal 17 Ramadhan 1414 (Jumaat), ayah ku telah kembali ke Rahmatullah. Beliau meninggal di Masjid Pak Pura Beris Kubur Besar. Pemergian ayah amat terkesan buat diriku kerana hanya tinggal beberapa bulan untuk aku menduduki STPM. Namun aku memang keras hati, pada hari pemergian ayah aku tidak menintiskan walau setitis air mata. Begitu juga pada peristiwa-peristiwa berikutnya. Aku tidak menangis di hadapan orang ramai, kecuali bila aku tinggal sendirian. Tuhan saja yang tahu perasaan aku waktu itu.

Hari ini kenangan itu begitu menghantui aku. Entah kenapa. Apa yang aku tahu, aku teringat satu peristiwa yang berlaku pada malam hari tersebut. Ada seseorang datang dan masuk ke bilik yang mana jenazah ayah ditempatkan. Waktu itu aku sedang membaca Surah Yasin untuk ayah. Kenangan itu jelas terbayang satu persatu di benak fikiranku. Petang tadi, ketika aku sedang memasak untuk berbuka puasa, aku dihantui kenangan itu. Mataku bergenang dengan mutiara jernih. Kenapa? Aku sendiri tak tahu apa sebabnya....

Selasa, 24 Ogos 2010

Semangatku sudah pulih

Selepas menghadiri LADAP "Kursus Pembinaan Blog Dalam P&P", saya sekali lagi memberanikan diri untuk "merosakkan" blog saya yang telah sedia ada. Suatu ketika dulu saya rajin edit blog tapi selepas satu percubaan, blog saya jadi entah macam mana, apa yang saya buat habis hilang. Hari ni saya kembali bersemangat. Percubaan saya kali ini telah membuahkan hasil. Blog saya semakin elok dan nampak sedikit menarik.
Dalam kursus tu cuma ajar buat blog je, tapi kami yang sudah sedia ada blog ni buat la benda lain. Menggodek blog la, apa lagi....

Isnin, 23 Ogos 2010

MAJLIS RAUDHAH AT-TILAWAH

PENGENALAN MAJLIS RAUDHAH AL-TILAWAH

Majlis Raudhah Al-Tilawah merupakan sebuah pusat pengajian al-Quran yang tersohor di Kelantan. Pusat pengajian ini beralamat Tepi Pondok Tuan Guru Haji Abdul Ghani, W1612-A, Jalan Meranti, Pasir Mas, Kelantan. Pasir Mas adalah sebuah daerah yang terletak di tengah-tengah negeri Kelantan. Berdasakan kedudukan geografi itu, tepatlah dengan nama yang diberikan, sesuai dengan kedudukannya di tengah-tengah negeri Cik Siti Wan Kembang.

Pengasas pusat pengajian ini adalah seorang guru al-Quran yang terkenal dalam bidang Tarannum iaitu Tuan Haji Nik Jaafar bin Nik Ismail. Menurut pengasasnya, pusat pengajian itu dinamakan dengan nama Raudhah kerana perkataan itu memberi maksud taman, dan al-Tilawah pula bermaksud bacaan al- Quran. Daripada gabungan dua perkataan itu wujudlah “Taman-taman bacaan al-Quran”. Belajar dalam suasana taman amat menyeronokkan lebih-lebih lagi dihiasi dan diiringi dengan alunan ayat-ayat al-Quran.

Tuan Haji Nik Jaafar merupakan seorang tokoh Tarannum yang disegani di Malaysia. Beliau terkenal dan disegani kerana ilmunya yang hebat dan mendalam dalam bidang Tarannum. Beliau mempelajari ilmu Tarannum dalam tempoh masa yang begitu lama. Sepuluh tahun masa yang diambil untuk mendalami ilmu Asas Tarannum bersama datuknya Tuan Haji Muhammad Yusof Kedondong. Lima tahun berikutnya pula beliau bertungkus-lumus mempelajari bidang Tahsin As-Saut dengan Tuan Haji Che Musa bin Mahmood yang merupakan qari Istana Kelantan. Manakala tempoh masa yang paling lama iaitu dua puluh satu tahun beliau berguru dengan Qari Antarabangsa Tuan Guru Haji Ahmad bin Maasum Pergau. Di sini beliau mendalami bidang Teknik (Metodologi) Tarannum. Ternyata ilmu yang diperolehi datangnya daripada guru yang terkenal dan muktabar dalam bidang Tarannum.

Beliau bukan sekadar Mudir di Raudhah Al-Tilawah, bahkan beliau pernah berkhidmat di Kementerian Pelajaran sebagai penulis kurikulum Tarannum. Selain dari itu beliau adalah hakim Musabaqah Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa.

LATAR BELAKANG PENUBUHAN

Majlis Raudhah Al-Tilawah telah lama ditubuhkan iaitu sejak awal tahun 1990-an. Pusat ini ditubuhkan berasaskan idea Tuan Haji Nik Jaafar, di mana beliau bercita-cita untuk mengembangkan ilmu al-Quran kepada masyarakat. Tuan Haji Nik Jaafar sebagai pengetua atau mudir di pusat pengajian ini.

Pusat pengajian ini telah dirasmikan penubuhannya oleh Ketua Pegawai Daerah Pasir Mas. Ia adalah hak milik persendirian Tuan Haji Nik Jaafar. Oleh sebab itu pusat ini sekadar mendapat sokongan daripada pihak Pegawai Daerah Pasir Mas. Ia juga tidak mendapat publisiti yang meluas. Walau bagaimanapun, berkat niat ikhlas pengasasnya yang meletakkan niat untuk memperkembangkan kepentingan ilmu al-Quran, pusat pengajian ini telah dikenali dan dihadiri oleh pelajar dari seluruh Malaysia. Buktinya telah ramai qari dan qariah dari luar negeri Kelantan telah muncul sebagai johan atau naib johan sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Tujuan utama Tuan Haji Nik Jaafar menubuhkan pusat pengajian ini adalah untuk mengembangkan ilmu al-Quran kepada masyarakat, lebih-lebih lagi kepada mereka yang berminat untuk mendalami dan memperlengkapkan diri dengan ilmu al-Quran. Mengikut pendapat pengasas pusat pengajian ini, kebanyakan kelas-kelas al-Quran yang ada di Kelantan hanya menumpukan pengajian kepada tajwid sahaja. Oleh itu beliau membuka pusat pengajian ini untuk memberikan ilmu al-Quran yang lebih banyak lagi kepada masyarakat seperti ilmu Tarannum, ilmu Qiraat, ilmu Suara dan sebagainya begi memperlengkapkan dan memperelokkan bacaan al-Quran.

Sehingga kini, dua buah pusat pengajian al-Quran telah dibuka. Pada tahun 2004 sebuah lagi pusat pengajian al-Quran ditubuhkan iaitu Majlis Raudhah Al-Tilawah (2) yang beralamat diLot 22, Batu ¾, Kampung Kangkung,17000 Pasir Mas Kelantan.

Tuan Haji Nik Jaafar selaku mudir di pusat pengajian ini tidak menetapkan kadar bayaran yuran kepada para pelajar, tetapi terpulang kepada mereka untuk memberi sumbangan kepada Majlis Raudhah Al-Tilawah.


PELAJAR DAN TENAGA PENGAJAR

Majlis Raudhah Al-Tilawah mempunyai pelajar daripada setiap lapisan umur. Bermula dari umur belasan tahun sehingga dewasa. Pelajar ini dibahagikan mengikut kumpulan masing-masing iaitu kumpulan belia, kumpulan wanita dan kumpulan dewasa (lelaki). Bilangan pelajar juga tidak dihadkan. Ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk mendalami ilmu al-Quran. Para pelajarnya juga terdiri dari pelbagai golongan masyarakat. Ada di antaranya guru agama sendiri sama ada di peringkat rendah atau menengah

Dari segi tenaga pengajar pula, Tuan Haji Nik Jaafar sendiri selaku Mudir di pusat ini juga salah seorang tenaga pengajar. Selain itu tenaga pengajar tetap terdiri daripada johan qari dan qariah yang telah belajar di pusat ini. Antaranya Haji Muhammad bin Haji Yusof, Hajjah Safinah binti Mamat, Haji Abdul Rahim Ahmad, Haji Hussin bin Yunus, Haji Yahya bin Daud dan ramai lagi. Turut diundang ialah Hajjah Faridah Haji Mat Saman apabila khidmat beliau diperlukan.


MODUL PENGAJARAN

Modul yang digunakan di Majlis Raudhah al-Tilawah adalah modul persendirian yang dihasilkan oleh Tuan Haji Nik Jaafar sendiri. Walau bagaimanapun modul itu mendapat sokongan dan pengiktirafan dari badan-badan kerajaan. Penulisan modul ini diambil kira daripada beberapa sumber dan fakta yang muktabar, di samping ilmu-ilmu pengajian al-Quran yang telah sedia ada dalam diri beliau. Beliau mendalami ilmu al-Quran lebih dari 30 tahun.

Modul yang digunakan di pusat pengajian ini sebenarnya telah tersebar ke seluruh negara dan Asean menerusi pembentangan kertas kerja dan seminar yang dibentangkan oleh Tuan Haji Nik Jaafar. Termasuk juga kurikulum Tarannum di Kementerian Pendidikan Malaysia yang dibuat oleh beliau sendiri.

Modul itu juga digunapakai dalam penghakiman Musabaqah Tilawah al-Quran di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Ia juga turut digunakan di peringkat Persijilan Tinggi dan Diploma, ini kerana pihak JAKIM menggunakan modul ini di Darul Quran dan ILIM. Cuma ia diubahsuai mengikut kehendak pihak tertentu.


KAEDAH PENGAJARAN

Cara pengajaran pula terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu pengajaran ilmu Tarannum, ilmu Tajwid, ilmu Qiraat dan Kefahaman al-Quran (Tadabbur). Kaedah pengajaran yang digunakan dalam setiap kelas pengajaran ialah kaedah Talaqqi dan Musyafahah sebagaimana yang digunakan oleh Rasulullah semasa menyampaikan ayat-ayat al-Quran kepada para sahabat.

Jadual pengajaran ditetapkan iaitu pada hari Jumaat, Sabtu, Isnin dan Rabu. Setiap sesi pengajaran dihadkan tidak lebih dari dua jam sahaja. Malam Jumaat adalah kelas khas untuk para qari dan qariah dari seluruh Malaysia.


KAEDAH PENILAIAN DAN SIJIL

Dalam setiap pengajaran dan pembelajaran pasti ada penilaian. Penilaian yang dibuat di pusat pengajian ini dinilai dari sudut pencapaian. Pemarkahan dibahagi kepada dua kategori iaitu 50 peratus dinilai dari segi kefahaman dan 50 peratus dinilai dari segi bacaan. Peratusan yang dicapai oleh para pelajar dicatat pada sijil.

Bagi para pelajar yang telah tamat pengajian, pihak Majlis Raudhah Al-Tilawah akan mengeluarkan sijil kepada mereka. Sijil ini adalah “Sijil Penilaian Ilmiah Persendirian” yang dikeluarkan oleh pusat pengajian itu sendiri. Walaupu ia tidak diperakui oleh mana-mana badan kerajaan, tetapi ia boleh digunapakai dan diterima di mana-mana sahaja.

Ahad, 22 Ogos 2010

KELEBIHAN BULAN RAMADHAN

Puasa bulan Ramadhan adalah salah satu rukun Iman. Setiap detik sepanjang bulan Ramadhan adalah sebaik-baik masa dan sebaik-baik hari di bumi Allah ini. Allah telah memberikan kelebihan yang banyak kepada bulan Ramadhan berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Antara kelebihan yang sering disebut-sebut ialah:

1. Bulan Pengampunan Dosa

Sabda Rasulullah saw:

من صام رمضان ايمنا واحتسابا غفرله ما تقدم من ذنبه
Maksudnya :
Barang siapa yang berpuasa dan mengharap akan keredaan Allah semata-mata, maka ia akan diampuni dosanya yang telah dilakukan.
(Riwayat Ibnu Majah)

2. Pahala Orang Yang Berpuasa Tiada Batas

Pahala bagi orang yang berpuasa akan dilimpahkan sebanyak-banyaknya tanpa ada had batasan. Sehingga tidak mungkin dapat dikira dan dihitung. Yang demikian itu cukup layak bagi orang yang berpuasa kerana ibadat puasa memperolrh kemuliaan tak terhingga dengan dinisbahkan kepada zat Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud :

‘Sesungguhnya orang-orang Yang Bersabarlah sahaja Yang akan disempurnakan pahala mereka Dengan tidak terkira".
(Az-Zumar : 10)

3. Pahala Umrah Menyamai Pahala Haji

Seseorang yang melakukan ibadat umrah pada bulan Ramadhan mereka akan mendapat pahala umrah menyamai pahala ibadat haji.


4. Puasa Dapat Menahan Dorongan Syahwat

Dengan melakukan ibadat puasa, kita dapat menahan dan mengurangi dorongan syahwat. Sabda Rasulullah saw :

من استطاع منكم الباءة فاليتزوج ومن لم يستطع فعليه بالصوم فانه له وجاء

Maksudnya:
Barang siapa di antara kamu yang mampu serta berkeinginan untuk berkahwin, maka hendaklah dia segera berkahwin. Dan barang siapa yang tidak mampu untuk berkahwin, maka hendaklah ia berpuasa, kerana dengan berpuasa ia dapat menahan nafsu syahwatnya.
(Riwayat An Nasai)


5. Bau Mulut Orang Berpuasa Wangi Di sisi Allah

Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi,sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah saw dalam sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, Al-Baihaqi dan Jabir yang bermaksud:
“Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi”

6. Pintu Ar-Rayyan di Syurga Bagi Orang Yang Berpuasa

Allah menyediakan pintu khas (rayyan) di syurga bagi mereka yang melakukan ibadah puasa. Sebagaiman sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
“Bahawa sesungguhnya di syurga kelak ada sebuah pintu namanya ar-Rayyan, kelak pada hari kiamat orang yang berpuasa akan memasuki pintu itu di syurga, tidak seorang pun yang boleh mamasuki pintu itu melainkan hanya untuk orang-orang yang berpuasa semasa di dunia. Kelak diseru orang-orang yang berpuasa untuk memasuki pintu tersebut, apabila mereka telah memasuki pintu itu, maka pintu itu pun segera ditutup, tidak seorang pun dapat memasuki pinti itu, kecuali mereka yang berpuasa”.

7. Puasa Pemberi Syafaat di Akhirat

Hal ini ditegaskan oleh Rasulullah saw melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan sanad yang sahih dari Abd Allah ibn Amir, yang bernaksud:

“Puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada para hamba dihari akhirat (ketika berhadapan dengan Allah). Puasa berkata: “Wahai Tuhanku, aku telah menghalanginya memakan makanan dan memenuhi tuntutan syahwatnya pada waktu siang hari, maka perkenankanlah aku memberi syafaat untuknya (orang yang berpuasa)...”
Menurut riwayat tersebut selanjutnya, permohonan puasa untuk memberi syafaat kepada orang Islam yang melakukannya itu diperkenankan oleh Allah SWT.

8. Pintu Syruga Dibuka dan Pintu Neraka Ditutup

Apabila datangnya bulan Ramadhan yang mulia, kesemua pintu-pintu rahmat Allah bukakan, sebaliknya pintu neraka Allah tutup serapat-rapatnya. Dan pada bulan Ramadhan ini juga Allah merantai tangan-tangan syaitan. Sesuai dengan sabda Rasulullah saw:

اذا دخل شهر رمضان فتحت أبواب الرحمة وغلقت أبواب جهنم وسلسلت الشياطين

Maksudnya:
Apabila bulan Ramadhan telah tiba, maka terbukalah kesemua pintu rahmat dan ditutupnya pintu-pintu neraka, serta tangan-tangan syaitan dirantai.
(Riwayat Ahmad)

9. Perjumpaan Dengan Allah SWT

Orang-orang yang berpuasa akan memperolehi dua kegembiraan sebagaimana yang dijanjikan kepadanya. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
“Seseorang yang berpuasa akan merasakan dua kegembiraan. Sekali pada saat berbuka dan sekali lagi ketika berjumpa dengan Tuhannya kelak.

10. Melatih Diri Dengan Sifat Mahmudah

Dengan berpuasa dapat melati diri supaya bersabar dalam berhadapan dengan keinginan diri dan godaan luar sepanjang Ramadhan. Selain dari itu puasa juga dapat melahirkan rasa prihatin dan belas kasihan kepada fakir miskin lantaran menahan rasa lapar dan dahaga sepanjang hari. Ekoran dari itu zakat fitrah disyariatkan pada bulan ini untuk menguatkan perasaan tersebut.