Halaman

Rabu, 19 Januari 2011

PENDIDIKAN DALAM IBADAT ZAKAT

Ibadat Zakat

            Zakat adalah salah satu ibadat yang berasaskan harta. Di mana golongan yang kaya menghulurkan bantuan kepada golongan yang miskin. Lebihan harta si kaya dihulurkan dengan tujuan untuk meringankan bebanan si miskin.

Pengertian Zakat

            Zakat dari segi bahasa berasal daripada perkataan ”zakka” yang bermaksud suci, subur dan bertambah. Al-Qurtubiy menjelaskan makna suci, subur dan bertambah pada zakat iaitu apabila seseorang mengeluarkan zakat daripada harta bendanya seolah-olah dia telah mensucikan hartanya daripada hak-hak wajib yang dituntut oleh orang lain.

            Menurut Imam Nawawi pula, dari segi bahasa zakat memberi erti kesucian, dan  keberkatan. Dengan mengeluarkan zakat dapat menambahkan lagi harta, di samping itu juga dapat menambahkan pahla bagi si pengeluar zakat.

            Manakala menurut syarak, ulamak Syafi’e mentakrifkannya sebagai ”nama kepada sesuatu yang dikeluarkan daripada harta atau badan mengikut cara yang tertentu” (Wahbah al-Zuhaili, Fiq’h & Perundangan Islam : 1994). Menurut Dr. Haron Din pula dalam bukunya Manusia dan Islam memberi pengertian zakat sebagai ”kadar harta yang tertentu diberikan kepada yang berhak menerimanya dengan beberapa syarat”.

            Jelaslah kepada kita tentang pengertian zakat bahawa sebahagian harta tertentu yang dikeluarkan oleh golongan yang kaya kepada sekumpulan golongan yang kurang berkemampuan apabila cukup haul dan nisabnya. Zakat merupakan sesuatu yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim (lelaki da perempuan) yang mencukupi syaratnya. Dalilnya firman Allah S.W.T. yang bermaksud: 
          Dan Dirikanlah shalat, tunaikanlah zakat dan ruku'lah beserta orang-orang yang ruku'.
            (Surah al-Baqarah : 43)

Zakat Dan Pendidikan Sosial

Di sebalik kewajipan mengeluarkan zakat, banyak hikmah dan pendidikan yang dapat kita simpulkan. Antaranya adalah seperti zakat dapat menyucikan jiwa pengeluarnya daripada sifat-sifat bakhil, sombong dan kikir. Sifat-sifat sedemikian menyebabkan kehidupan dalam masyarakat menjadi hina dan tercela. Dengan kewajipan berzakat, ia melatih setiap muslim bersifat demawan dan pemurah.

Zakat juga dapat menyucikan harta serta membangunkannya. Mengeluarkan zakat adalah mengeluarkan yang hak yang wajib daripada hatra tersebut. Maksudnya satu bahagian yang tertentu daripada harta adalah hak orang fakir dan miskin. Oleh yang demikian, jika tidak mengeluarkan zakat bagi mereka yang cukup syaratnya seolah-olah mereka terus menerus memegang dan mengambil keuntungan daripada harta orang lain iaitu harta orang-orang miskin.

Dengan berzakat juga dapat merapatkan hubungan antara dua golongan yang tinggi jurangnya iaitu antara golongan kaya dan miskin. Yang kaya bersikap prihati, manakal yang miskin jujur menerima harta si kaya tanpa mencuri dan menipu. Keadaan ini akan mewujudkan suasana yang harmoni dalam masyarakat.

Zakat  Dan Pendidikan Ekonomi
           
Zakat merupakan agihan secara bantuan segera kepada pihak-pihak yang layak menerimanya. Bantuan segera bermaksud bantuan untuk melepaskan keperluan seseorang untuk jangka pendek. Dengan kata lain, agihan zakat kepada golongan miskin bukanlah bertujuan menyara mereka sepanjang masa. Tetapi memberi ruang dan peluang kepada mereka mendapatkan modal, di samping berusaha untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.

            Zakat juga merupakan satu cara jaminan sosial dalam Islam yang merupakan fardhu kifayah. Dengan kata lain, jika terdapat anggota masyarakat yang tidak mencukupi keperluan asas seperti makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal, maka menjadi tanggungjawab seluruh anggota masyarakat membantunya. Aajika tidak dilaksanakan kesemua mereka akan menerima musibahnya. Rasulullah s.a.w. bersabda:

ما امن بي من بات شبعان وجاره جائع الي جنبه , وهو يعلم به.
Terjemahannya:
 Tidak beriman kepada-Ku sesiapa yang tidur kekenyangan, sedangkan dia mengetahui jiran di sebelahnya kelaparan.
          
           Zakat adalah satu-satunya bentuk kebajikan yang bersikap tulen yang hanya terdapat dalam Islam. Sistem sosialis dan Kapitalis cuba menonjolkan kebajikan dalam system mereka tetapi kebajikan tersebut terselindung di sebalik maksud untuk mengaut keuntungan material. Sebaliknya zakat dalam Islam adalah seratus peratus ikhlas daripada pengeluarnya yang hanya mengharapkan balasan Allah S.W.T.  Keikhlasan yang begini dapat melahirkan aktiviti yang sihat dalam ekonomi seperti tiada penipuan, penindasan, riba, monopoli dan sebagainya.
          
           Daripada kupasan di sebalik hikmah pensyariatan zakat, jelas kepada kita zakat banyak menberi kebaikan dan kebajikan kepada manusia dalam pelbagai aspek. Tidak kira dari aspek sosial seperti membersihkan jiwa daripada sifat bakhil dan dari aspek ekonomi seperti membantu si miskin meningkatkan taraf ekonomi mereka. Hanya Islam sahaja yang memberi penekanan kehidupan yang sedemikian, tidak seperti agama-agama lain.
            
           Wajarlah kerajaan Islam memungut zakat dengan teratur, dan membahagikannya dengan baik kepada golongan yang berhak serta mendapat sokongan sebaiknya daripada golongan yang mampu. Ini kerana melalui pemberian zakat banyak membentuk pendidikan pada peribadi umat Islam.