Satu lagi menu kampung yang menjadi hidangan aku pagi ni. Aku memang suka makanan kampung. Makanan yang aku makan zaman kanak-kanak dulu. Lebih-lebih lagi kalau musim-musim banjir dan hujan macam sekarang ni. Menu ni sekarang dah dihidangkan di hotel-hotel terkenal. Jangan kata kampung lagi.
Tapi sekarang ni, aku jarang sekali makan pulut ikan kering ni. Bukan apa, sebab aku tak boleh makan ikan kering. Terus kena selsema. Itu yang tak tahan tu. Kalau ikutkan suka memang nak 'belasah' je. Tapi mengenangkan sakit selepas tu aku rasa tak sanggup. Cuma sekali sekala makan juga la, nak lepaskan gian. Lepas tu cepat-cepat telan ubat resdung.
Pagi ni, aku buat pulut ikan kering bukan apa, sebab pulut malam tadi tak habis lagi. Malam tadi aku masak pulut nak makan pulut durian sekali lagi. Oleh kerana aku dan anak yang nombor 2 je makan pulut durian, tak habis la pulutnya. Malam tadi pun aku nak habiskan durian yang aku beli RM10 baru ni. Takut pulak lama-lama durian tu akan masam. Sayang pulak. Puncanya aku aje yang makan. Kalau yang depa tu suka makan, sekali ngap aje. Kadang-kadang aku hidang atas meja, aku ke dapur. Aku belik semula ke meja makan semua dah habis. Itu kalau yang mereka suka. Kalau yang tak suka macam ni la jadinya.
Kadang-kadang terkilan juga, kenapa la anak-anak aku tak suka makanan yang aku suka. Makanan kampung. Kalau buka puasa pun macam tu juga. Aku suka yang tradisional. Onde-onde, butir nangka, puteri mandi. Anak-anak suka donat, karipap. Tapi aku tak pelik semua tu. Anak bapak. Ingat lagi dulu-dulu, bila aku masak pulut ikan kering, aku kena goreng ayam sekali. Aku makan ikan kering, suami aku makan dengan ayam. Aku rasa pelik mula-mulanya. Macam takde nikmat pulut bila makan dengan ayam. Tapi dah terbiasa.
Tahun demi tahun, aku tak masak dah apa yang aku suka. Aku cuma masak yang suami dan anak-anak makan aje. Sekali sekala bila mak bertandang rumah aku baru aku masak semua makanan kampung yang aku suka. Kalau hari-hari biasa aku masak, aku sorang aje yang makan. Rasa tak berbaloi. Baik aku masak yang mereka makan. Setakat ni, nampak gayanya Farhan sorang je yang mengikut selera aku. Suka makan ikan singgang, pulut durian. Cuma yang peliknya kenapa dia tak suka makan spagetti? Aku makan aje.
Bulan disember ni selalu hujan. Keadaan tu menyebabkan aku teringat suasana kampung macam dulu-dulu. Aku teringat semua makanan kampung yang aku makan dulu. Antaranya pulut ikan kering, ubi kayu rebus, ubi kayu sira, pulut gadung. Alahai sedapnya... Mana nak cari pulut gadung sekarang ni?...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan