Syukur Alhamdulillah, aku dapat pulang beraya bersama insan-insan tersayang. Doa dan permintaan aku dimakbulkan. Aku pulang penuh semangat dan hati yang girang. Sembilan jam perjalanan dari Kajang ke Kota Bharu. Aku memandu kereta tanpa ada sedikit pun rasa penat dan mengantuk. Alhamdulillah syukur Ya Allah...
Di sana, aku ditempatkan di sebuah rumah yang cukup selesa. Biarpun tanpa perabut dan perhiasan yang lengkap. Ya lah, cuma untuk sepuluh hari. Sekali lagi aku bersyukur dan berterima kasih. Rumah itu ibarat SYURGA buat ku. Terima kasih...
Yang paling bahagia dan penuh rasa syukur kerana 'syurga' ku itu dekat sangat dengan masjid. Bukan sahaja boleh dengar suara azan berkumandang, bacaan dalam solat pun jelas kedengaran. Pernah beberapa kali aku ikut solat berjamaah di masjid. Bila azan berkumandang aku bersiap. Sampai sana sempat takbir bersama imam. Dekat kan!... Terasa diri ini juga DEKAT dengan Yang Maha Esa, Yang Maha Mencipta.
Bukan tu saja, tazkirah lepas solat pun dengar sebiji-sebiji kata orang. Pernah satu pagi, aku terdengar jelas suara ustaz beri tazkirah. Katanya..."Allah Maha Kaya dan tak kedekut. Oleh sebab itu mintalah apa hajat kita padaNya. Lambat atau cepat permohonan kita akan ditunaikan kerana Dia Maha Kaya. Kerna Dia Maha Pemurah. Macam kita manusia juga, kalau kita minta dengan orang kaya potensi untuk dapat apa yang kita minta amat cerah. Cuma cepat atau lambat saja. Tapi kalau kita minta sesuatu dengan orang miskin susah peluang untuk dapat sebab dia sendiri tak cukup atau pun tak ada. Macam mana nak bagi pada kita. Mohonlah, rayulah pada Allah bersungguh-sungguh. Sebagaimana bersungguh-sungguhnya kita minta sesuatu daripada ibu dan ayah, sampai kita dapat. Macam tu lah kita bersungguh-sungguh dengan Allah. Dia mesti bagi. Insyaallah..."
Aku khusyuk mendengar suara ustaz. Keadaan aku masa tu memang lemah. Aku terduduk. Hati kecilku berbisik. "Ya Allah...aku hanya bergantung harap pada Mu. Pada Mu aku memohon dan meminta. Kau makbulkanlah permintaanku. Kau Tuhan Yang Maha Lembut, Kau lembutkanlah hati-hati yang keras. Kau tautkanlah hati-hati kami dengan Rahman dan Rahim Mu. Kau berikanlah kekuatan dan kesabaran pada kami untuk menempuh ujian Mu tanpa merosakkan iman kami. Kau berilah kesabaran pada kami untuk menghadapi dugaan dan rintangan demi mencari bahagia yang tersembunyi. Sesungguhnya segala ujian Mu itu adalah tanda kasih sayang Mu pada kami. Agar kami sentiasa menangis merayu pada Mu. Aku merayu pada Mu Ya Allah...kasihilah daku, sayangilah daku selalu, sebagaimana aku merayu kekasihku agar sentiasa mengasihi dan menyayangiku...AMIN YA ALLAH...
"SESUNGGUHNYA LEBIH SAYANG KEPADA HAMBA-HAMBANYA MELEBIHI KASIH SAYANG WANITA KEPADA ANAKNYA" - HADIS RIWAYAT BUKHARI DAN MUSLIM
"SESUNGGUHNYA LEBIH SAYANG KEPADA HAMBA-HAMBANYA MELEBIHI KASIH SAYANG WANITA KEPADA ANAKNYA" - HADIS RIWAYAT BUKHARI DAN MUSLIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan