Halaman

Jumaat, 30 September 2011

BERSABARLAH DUHAI HATI


Kehidupan ini adalah permainan dalam pelbagai adegan yang mencabar dan penuh dugaan serta ujian Allah. Sesungguhnya segala dugaan bertujuan menguji kesabaran dan tahap keimanan seseorang hamba.
Apabila terujinya seseorang hamba, maka segala mehnah dari-Nya itu adalah sebagai penghapus dosa yang menggantikan hukuman di akhirat kelak.
Kadangkala apabila diuji, kita merasa cukup kuat dan kental jiwa untuk menempuh segala dugaan yang mendatang, namun ada masanya pula kita cukup lemah dan merasa hampir rebah dalam perjuangan meniti kehidupan.
Ada kalanya kita berupaya melepasi ujian itu, namun ada kalanya juga kita merasakan tidak berupaya menghadapinya lantas merungut dengan apa yang berlaku.
Sesungguhnya tidak kita nafikan, ada ketika kita tidak mampu mengelak daripada menghadapi tekanan dalam menjalani kehidupan. Pelbagai tekanan dihadapi menyebabkan kita hilang semangat dalam menempuh cabaran dan dugaan yang datang silih berganti atau secara bertimpa-timpa.
Lihatlah betapa lemah dan kerdilnya kita, begitu cepat hilang pergantungan sedangkan Allah SWT sedang menduga.
Ujian yang dihadapi oleh manusia di dunia ini adalah dalam dua bentuk iaitu sama ada kesusahan atau kesenangan. Kedua-dua ujian itu benar-benar menguji kita sebagai hambanya.
Ingatlah bahawa kehidupan di dunia yang meliputi kemewahan dengan segala pangkat kebesaran dan kesenangan itu adalah sekadar ujian. Sesungguhnya hanya bagi mereka yang terpedaya yang akan hanyut dengan ujian ini.
Sedangkan dugaan kesusahan dan kesengsaraan di dunia pula, kadangkala membuatkan kita rasa lemah dan putus asa. Kadangkala kita seringkali mengeluh dengan apa yang ditetapkan untuk kita, dan seringkali jua kita persoalkan itu dan ini tentang takdir yang telah tertulis oleh-Nya. Apakah dengan penerimaan sebegini kita fikir kita cukup redha dengan ketentuan-Nya? Kadangkala pula kita seringkali merumuskan itu dan ini tentang ketetapan-Nya.
'Jikalau dugaan ini tiada, sudah tentu aku begini...'
'Jikalau ini tidak terjadi sudah tentu aku begitu.... '
Apakah kita fikir kita lebih tahu dari Dia yang menciptakan kita? Dan apakah kita fikir kita sebenarnya lebih tahu apa yang terbaik untuk kita?
Subhanallah. Maha suci Allah!
Sudah tentu kita hamba yang kerdil ini tidak tahu apa-apa berbanding Dia yang Maha Sempurna. Namun tanpa kita sedari segala persoalan yang timbul dibenak kita sebenarnya telahpun terjawab dalam Kalam Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan sesuatu, maka Dia juga Maha Mengetahui persoalan yang bakal timbul di fikiran hambaNya. Maka Dia lebih dahulu menjawab persoalan itu dalam ayat-ayat-Nya.
Inilah jawapan Allah tehadap persoalan yang kadangkala timbul dalam hidup kita.
Kenapa semua ini terjadi padaku?
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah : 216)
Kenapa terlalu berat ujian ini?
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan Kesanggupannya." (Al-Baqarah : 286)
Terasa kehidupan ini sudah tiada maknanya lagi bagiku. Mengapa?
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." (Ali Imraan : 139)
"... ..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Yusuf : 87)
Bagaimana harus ku hadapi semua ini?
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk." (Al-Baqarah : 45)
Apa yang akan kudapat daripada semua ini?
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.." (At-Taubah : 111)
Kepada siapa harus aku berharap?
"Cukuplah ! Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." (At-Taubah : 129)
Berimankah aku?
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta?" (Al-Ankabut : 2-3)
Renungi dan redhalah terhadap ketentuan Allah SWT. Pasti tersingkap hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap ujian-Nya. Bersabarlah duhai hati. Moga kita menjadi hamba yang redha dan diredhai-Nya.

IMPIAN DAN ANGAN-ANGAN

Impian ku untuk menetap di tanah tumpah darah ku. Negeri Cik Siti Wan Kembang. Berkobar-kobar sejak kebelakangan ini. Setiap kali balik kampung bercuti atau beraya, terasa sangat kekurangan. Tak lengkap rasanya kepulangan kami ke kampung. Apa tidaknya, aku tak ada rumah. Tak ada tempat untuk menginap sepanjang kami di sana. Cuma menumpang... Tak pun menginap di hotel atau rumah tumpangan. Tak ada keseronokan. Duit pun habis banyak setiap kali balik kampung. Mana tidaknya, paling-paling murah pun RM100 untuk satu malam. Kalau 2-3 malam? Tak kira lagi belanja makan dan minum. Sebab tu, kami jarang sekali balik. Kalau ada rumah sendiri mungkin kerap kami ke sana. Boleh bawa anak-anak menziarahi pusara ahli keluarga yang tela tiada.

Sejak kebelakangan ni, seringkali aku khayal sendiri, alangkah bahagianya kalau aku di sana. Punya rumah sendiri. Menetap di sana. Sungguh bahagia. Impianku sangat berbeza dengan orang lain. Aku ... memang pelik orangnya. Pelik sangat. Orang lain impikan sebuah rumah banglo mewah bagai istana. Tapi aku berbeza, aku impikan sebuah rumah kayu. Rumah kecil tiang seribu! Antiknya jiwa ku...

Setiap kali selepas solat, ku panjatkan doa kepada Yang Maha Esa agar cita-cita, impaian, hasrat dan anganku menjadi kenyataan. Aku ingin hidup dalam suasana kampung yang aman. Dah lama aku tak merasai suasana sebgitu. Maklumlah, selepas tamat pengajian ku di sekolah menengah, aku terus berpindah tinggal di Selayang bersama kakak ku. Masa aku dalam tingkatan 6 Atas, ayah kembali ke rahmatullah. Kakak dan abang sepakat untuk membawa emak dan aku tinggal bersama mereka di KL. Jadilah aku orang Kuala Lumpur sejak dari hari itu.

"Ya Allah...izinkan aku untuk merasai suasana nyaman dan aman itu kembali, seperti zaman kanak-kanak dan remaja ku dulu. Jadikanlah ia tempat yang terbaik dan selamat bagi kami sekeluarga, kerana Engkau Yang Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu"... Aminnn...



Rabu, 28 September 2011

POT LUCK RAYA


Dalam bulan Syawal memang ramai yang buat rumah terbuka. Tak ketinggalan sekolah kami. Pada penghujung bulan Syawal kebiasaannya ada jamuan raya. Kalau tahun-tahun sebelum ni kami panggil sekolah terbuka sebab cikgu-cikgu yang tak berkesempatan buat rumah terbuka di rumah mereka, pakat-pakat hulurkan duit buat jamuan di sekolah. Tahun lepas kami buat jamuan besar-besaran. Sambutan raya peringkat sekolah. Guru dan murid sama-sama beraya dengan baju raya yang cantik-cantik dan anggun. Tapi tahun ni, sambutannya biasa saja. Tak melibatkan murid. Semua guru terlibat menyediakan juadah. Kami panggil 'Pot Luck Raya'. Meriah juga majlisnya sebab semua guru terlibat, sesi pagi dan petang berkumpul pada satu waktu yang sama.

Banyak menu yang dihidangkan. Ada laksa pinang, laksam kelantan, lemang dan rendang, nasi impit, rojak buah dan pelbagai jenis puding. Saya tak ketinggalan menyediakan satu menu. Nasi kuning teganu dan kari ayam. Sebagai pencuci mulut saya sediakan puding sagu. Alhamdulillah...sebenarnya semua tu saya buat sebagai membalas jasa guru-guru yang telah mendidik dan mengajar anak-anak saya di sekolah. Juga sebagai kenduri arwah. Oleh itu, saya minta ustas Faizal bacakan doa tahlil. Itu saja yang mampu ku lakukan.

Selasa, 20 September 2011

PENGUMPULAN DAN PENULISAN AL-QURAN ZAMAN RASULULLAH SAW

Pengumpulan al-Quran membawa dua maksud iaitu pengumpulan secara hafazan (al-hifz fi as-sudur) dan yang kedua ialah pengumpulan secara penulisan (al-hifz fi as-sutur). Perkataan al-jam’u ( الجمع  ) bermakna mengumpul, menghafaz dan mengingatkan. Jam’u al-Quran bermakna orang yang menghafaznya di dalam hati. Sebagaimana nabi Muhammad s.a.w. sentiasa menggerakkan kedua bibir dan lidah baginda untuk membaca al-Quran sebelum Jibril a.s. selesai membacakan ayatnya, ini kerana hasrat baginda untuk menghafaz wahyu tersebut.
Ÿ
Maksudnya: Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk (membaca) Al Quran Karena hendak cepat-cepat (menguasai)nya. Sesungguhnya atas tanggungan kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya.   Apabila kami Telah selesai membacakannya Maka ikutilah bacaannya itu.  Kemudian, Sesungguhnya atas tanggungan kamilah penjelasannya.      
                                                                                       (Surah Al-Qiyamah : 16 – 19)

            Orang yang pertama sekali mendapat penghormatan mengumpul al-Quran dengan cara menghafal dan mengingati di dalam hati ialah Rasulullah s.a.w. sendiri, sebelum ianya dihafal oleh para sahabat yang lain.

 Pengumpulan secara penulisan bererti menulis al-Quran dalam bentuk bercerai-cerai ayat dan surahnya, atau ayatnya sahaja yang tersusun tetapi surahnya ditulis dalam naskhah-naskhah yang berasingan.

Pengumpulan Al-Quran Secara Hafazan
           
Rasulullah s.a.w amat menyukai wahyu, malah baginda sentiasa menunggu kedatangan wahyu dengan rasa rindu. Apabila turunnya wahyu baginda akan bersegera untuk menghafal dan memahaminya. Nabi Muhammad s.a.w. seorang yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis). Oleh itu baginda s.a.w berpegang teguh kepada kekuatan ingatannya untuk menghafal setiap wahyu yang diturunkan kepadanya. Baginda berusaha untuk mengumpulkan al-Quran di dalam dada baginda dan kemudian diperdengarkan kepada para sahabat.. Firman Allah S.W.T. :

 Maksunya: Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan hikmah (As Sunnah). Dan Sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata,
(Surah Al-Jumu’ah : 2)
           
Begitu juga para sahabat, mereka  akan sentiasa berlumba-lumba menghafal ayat al-Quran. Mereka curahkan seluruh kemampuan mereka untuk membaca dan menghafal ayat-ayat al-Quran. Ini akan membolehkan mereka mengajarkannya kepada para isteri dan anak-anak mereka.

            Para sahabat ramai yang menghafal al-Quran. Rasulullah sendiri telah membakar semangat mereka untuk menghafal al-Quran. Ramai dari kalangan sahabat yang menghafal seluruh al-Quran. Antara lain ialah Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Thalhah, Huzaifah, Abu Hurairah, Abdullah bin Mas’ud, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Amru bin Ash dan ramai lagi dari kalangan para sahabat.

Pengumpulan Al-Quran Secara Penulisan
           
Pada zaman Rasulullah s.a.w. lagi usaha-usaha untuk memelihara dan mengumpulkan al-Quran telah wujud. Bukan sahaja pengumpulan secara hafazan bahkan juga pengumpulan secara penulisan. Ini terbukti apabila baginda Rasulullah s.a.w. telah melantik penulis wahyu di kalangan Khulafa’ al-Rasyidin yang empat iaitu Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, Sayyidina Umar al-Khattab, Sayyidina Uthman bin Affan dan Sayyidina Ali bin Abi Talib. Selain itu dari kalangan para sahabat baginda iaitu  Muawiyah, Ubai bin Ka’ab, Zaid bin Thabit, Al-Arqam bin Abi Al-Arqam, Khalid bin Al-Walid, Az-Zubir bin Al-Awwam, Abdullah bin Mas’ud dan ramai lagi. Dari kalangan mereka itu, yang paling banyak dan sering kali menulis wahyu ialah Zaid bin Thabit, Mu’awiyah, Abdullah bin Mas’ud dan Ali bin Abi Talib. Setiap kali wahyu diturunkan oleh Allah S.W.T., baginda akan membacanya di hadapan para sahabat memerintahkan mereka menulisnya selaras dengan apa yang telah dihafaz di dalam dadanya. Penulisan pada lembaran itu membantu penghafalan di dada mereka.

            Sebagaimana Rasulullah s.a.w. menyuruh para sahabat menulis ayat-ayat dari wahyu yang diturunkan itu, baginda juga menunjukkan kedudukan susunan ayat-ayat dan meletakkan surah-surah di tempatnya yang tertentu. Perkara ini telah disebutkan sendiri dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Uthman bin Affan r.a. katanya :

.... فكان اذا نزل عليه الشيء دعا بعض من كان يكتب فيقول ضعوا هؤلاء الأيات في السورة التي يذكر فيها كذا وكذا واذا نزلت عليه الأية فيقول ضعوا الأية في السورة التي يذكر فيها كذا وكذا.  

Maksudnya: ”Apabila diturunkan sesuatu ayat, Rasulullah s.a.w. akan menyuruh penulis-penulis wahyu-Nya menulis ayat tersebut. Maka baginda akan mengatakan : letakkan ayat-ayat ini dalam surah yang ada menyebut tentang perkara yang begitu begini. Dan apabila diturunkan suatu ayat, maka baginda akan mengatakan: letakkan ayat tersebut dalam surah yang ada menyebut perkara itu dan ini”. (Surur Shihabuddin An-Nadawi, Ilmu Tajwid Menurut Riwayat Hafs An Asim: 2004)

Pada zaman ini para penulis wahyu telah menulis ayat-ayat al-Quran pada pelepah-pelapah tamar, ketulan-ketulan batu, tulang-tulang unta dan biri-biri yang telah kering, kulit-kulit binatang, kulit-kulit atau daun kayu dan sebagainya. Zaid bin Thabit berkata: ”Kami menulis al-Quran di hadapan Rasulullah s.a.w. pada kulit binatang”. (HR. Al-Hakim dalam Al-Mustadrak). Ini menunjukkan betapa sukarnya para sahabat menulis wahyu pada alat-alat tersebut. Tetapi besar hikmahnya, di mana penulisan al-Quran itu semakin menambah kekuatan hafazan mereka. Sebagaimana Rasulullah menghafal al-Quran dan membacakannya di hadapan Malaikat Jibril a.s., maka para sahabat pula membacakan ayat-ayat al-Quran yang mereka hafal dan tulis itu di hadapan Rasulullah s.a.w. 

Tulisan yang ditulis oleh para penulis wahyu disimpan di rumah Rasulullah s.a.w. Di samping itu mereka juga menuliskan untuk mereka sendiri. Walau bagaimanapun pengumpulan pada zaman Rasulullah s.a.w., al-Quran belum dikumpulkan dalam satu mushaf  (buku berjilid).

Mengapa Al-Quran Tidak Dikumpulkan Dalam Satu Mushaf

            Pada masa hayat baginda Rasulullah s.a.w. tidak mengumpul ayat-ayat al-Quran dalam satu mushaf , tetapi didapati ayat-ayat al-Quran didapati dalam keadaan bercampur aduk dan bercerai-berai. Keadaan sedemikian terjadi kerana pada masa itu kerana al-Quran tidak diturunkan sekali gus, bahkan al-Quran diturunkan secara beransur-ansur. Keadaan sedemikian menyebabkan sukarnya menulis al-Quran menjadi satu mushaf, melainkan setelah kesemua ayat al-Quran sempurna diturunkan kepada baginda Rasulullah s.a.w.

Selain daripada itu, susunan ayat-ayat dan surah-surah juga tidak mengikut susunan penurunannya. Apabila diteliti penyusunan yang dibuat terhadap al-Quran, jelaslah sesetengah ayat yang diturunkan kemudian , tetapi di dalam al-Quran diletakkan di awal surah. Justeru itu, sekiranya al-Quran ditulis dan dikumpulkan ke dalam satu mushaf pada seawal penurunannya, maka pastinya ia perlu sentiasa diubah setiap kali wahyu diturunkan kepada Rasulullah s.a.w.

Semasa hayat Rasulullah s.a.w., terdapat juga beberapa ayat al-Quran yang dimansukhkan dengan turunnya baru yang memansukhkannya. Oleh itu, sekiranya sejak dari awal lagi al-Quran dikumpulkan dalam satu mushaf, sudah tentunya pindaan demi pindaan perlu dilakukan  terhadap mushaf tersebut setiap kali berlaku pemansuhan ayat. Ianya pasti akan menyulitkan keadaan dan Rasulullah s.a.w. tidak pernah menyuruh para sahabat mengumpulkan ayat al-Quran ke dalam satu mushaf.

Terlalu ramai para penghafaz al-Quran dan penulisnya menyebabkan tulisan al-Quran berada di merata tempat. Mereka tidak merasakan bahawa pengumpulan dalam satu mushaf itu perlu kerana merka telah menghafaznya keseluruhan ayat al-Quran di dalam dada masing-masing, mengikut sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada mereka. Rasulullah s.a.w. juga telah menerangkan kepada mereka tempat letak segala ayat dan surah seperti yang diarahkan oleh Allah S.W.T.

Pada zaman pemerintahan Rasulullah s.a.w., umat Islam berada dalam suasana yang baik, aman dan damai, tidak ada fitnah memfitnah antara satu sama lain, di samping para penghafaznya terlalu ramai. Oleh itu, tidak adalah sebab-sebab yang mendorong kepada pengumpulan al-Quran ke dalam satu mushaf. Tambahan pula, alat-alat untuk kegunaan menulis sukar didapati kerana pada masa itu mereka hanya mengukir tulisan di atas kepingan kayu, ketulan batu, kulit-kulit kering dan juga tulang-temulang sahaja.

Mengikut pandangan Al-Zarkasyi bahawa al-Quran tidak ditulis dalam sebuah mushaf pada zaman Rasulullah s.a.w. kerana takut terjadi perubahan terhadapnya. Oleh itu penulisannya dilakukan agak terlewat . Kebanyakan para ulama berpendapat bahawa pengumpulan dan penulisan al-Quran pada zaman Rasulullah s.a.w. dilakukan meliputi tujuh huruf.

Khamis, 15 September 2011

SEJARAH PENGUMPULAN AL-QURAN


A
l-Quran ialah Kitabullah yang terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w..    Al-Quran diturunkan untuk mengajar manusia tentang pengesaan mereka kepada Allah s.w.t. Sebelum al-Quran diturunkan ada banyak kitab-kitab suci yang diturunkan oleh Allah S.W.T  kepada nabi dan rasul-Nya. Antara yang termasyhur ialah kitab Zabur yang diturunkan kepada Nabi Daud a.s., Kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa a.s. dan Kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa a.s.. Tetapi ternyata bahawa al-Quran adalah kitab yang paling utama dan mulia di sisi Allah S.W.T.

 Takrif Al-Quran

Al-Quran menurut pengertian bahasa bererti bacaan atau pun himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana Al-Quran itu adalah untuk dibaca oleh manusia. Manakala ia dikatakan sebagai himpunan kerana di dalam Al-Quran itu sendiri terhimpunnaya ayat-ayat yang menjelaskan tentang pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jenayah, muamalat dan sebagainya.
Menurut pendapat yang paling masyhur, seperti yang dikemukakan  oleh Dr Subhi Al Salih, kalimah ’Quran” bererti ”bacaan”, asalnya dari perkataan ”qara’a”. Perkataan Al-Quran berbentuk masdar. Di dalam Al-Quran, penggunaan kalimah ”Quran” seperti ayat 17 dan 18 Surah Al-Qiyaamah. Firman Allah:
¨
Maksudnya:  Sesungguhnya atas tanggungan kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya. Apabila kami telah selesai membacakannya maka ikutilah bacaannya itu.

Manakala pengertian dari sudut istilah, Al-Quran adalah kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w yang ditulis dalam mushaf, yang dipindahkan dari satu generasi ke satu generasi secara tawatur, dan mendapat pahala dengan membacanya.
Imam Jalaluddin Asy Syayuti memberikan pengertian:

القرءان كلام الله المنزل على سيدنا محمد صلى عليه وسلم للأعجانباقصر سورة المتعبد بتلاوته.

Maksudnya: Al-Quran  adalah kalamullah, diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk melemahkan orang-orang yang menentangnya, sekalipun dengan surah yang pendek membacanya adalah ibadah.

Takrif Nuzul

Perkataan “nuzul” dari sudut bahasa bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah daripada tempat yang terletak di sebelah atas ke tempat di sebelah bawah. Ada yang mengkiaskannya sebagai berpindah daripada tempat yang mulia kepada tempat yang kurang mulia.Al-Quran dan Hadith telah menjelaskan tentang penurunan Al-Quran dengan meggunakan perkataan ”nazala” yang bererti turun atau pun ”anzala”  iaitu menurunkan. Antara firman Allah S.W.T dalam Surah Asy-Syuara’:
t
Bermaksud:  Dia dibawa turun oleh Amin (Jibril). Ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan,

Dan firmanNya lagi dalam Surah Al-Baqarah ayat 185:  4..
Yang bermaksud: (beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia ..

Walaupun penggunaan perkataan berbeza-beza samada ”nazala”, atau kesemua pecahannya termasuk ”anzala”, ”nazzala”, ”tanazzala”, ”nuzul” atau ”manzil” yang disebut sebanyak 307 kali di dalam Al-Quran, kesemuanya membawa maksud dan makna yang sama iaitu tentang penurunan Al-Quran.

 Takrif Nuzul Al-Quran

Maksud Nuzul Al-Quran mengikut pengertian istilah ialah penurunan Al-Quran dari Luh Mahfudz ke Baitul ‘Izzah di langit dunia, dan dari langit dunia kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraan malaikat jibril yang mengambil masa lebih kurang 23 tahun.

SEJARAH PENURUNAN AL-QURAN DAN PENULISANNYA

            Seperti yang telah diketahui umum, peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan tahun ke 41 keputeraan baginda nabi Muhammad s.a.w. Apa yang dimaksudkan dengan penurunan al-Quran pada bulan Ramadhan adalah penurunan secara keseluruhan (jumlatan), iaitu daripada Luh Mahfudz ke Baitul ’Izzah. Kemudian barulah diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. secara beransur-ansur selama lebih kurang dua puluh tiga (23) tahun dengan perantaraan Malaikat Jibril a.s.

            Ayat al-Quran yang pertama sekali diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w. Surah Al-Alaq ayat 1 hingga 5 :
Maksudnya: Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan  (1) Dia Telah menciptakan manusia dari segumpal darah (2).  Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha pemurah (3). Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam (4).  Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya (5).

            Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis). Oleh itu baginda berpegang teguh kepada kekuatan ingatannya untuk menghafal setiap wahyu yang diturunkan kepadanya. Begitu juga dengan masyarakat Arab pada masa itu terkenal dengan bangsa yang mempunyai daya ingatan yang cukup kuat dan amat cepat menghafal. Mereka bersegera menghafal ayat-ayat al-Quran setiap kali Rasulullah s.a.w. mengajar kepada mereka, dan kemudian mereka mengajar kepada isteri-isteri dan anak-anak mereka juga secara hafalan. Jelaslah kepada kita bahawa al-Quran pada asal penurunannya telah diajar dan diwarisi secara hafalan, bukan secara pembacaan melalui tulisan. Malah al-Quran tidak pernah dibukukan.

            Semasa hayat baginda Rasulullah s.a.w. tidak sempat untuk menyusun al-Quran seperti yang ada dalam simpanan kita sekarang, yang ada hanyalah lembaran-lembaran atau suhuf-suhuf yang bercerai-cerai. Ini kerana al-Quran diturunkan secara berperingkat-peringkat, sedikit demi sedikit sepanjang 23 tahun kerasulan baginda. Al-Quran dipelihara dalam diri para sahabat sehinggalah ia mula dikumpulkan dan disusun pada zaman khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a., kemudian usaha-usaha ini disempurnakan lagi di zaman khalifah Uthman bin ’Affan r.a.

            Pada dasarnya, al-Quran telah dikumpulkan melalui tiga peringkat mengikut pendapat al-Khaththabi iaitu;
1. Pengumpulan dan Penulisan Zaman Rasulullah s.a.w.
2. Pengumpulan dan Penulisan Zaman Sayyidini Abu Bakar As-Siddiq r.a.
3. Pengumpulan dan Penulisan Zaman Sayyidina Uthman bin Affan r.a.

Ahad, 11 September 2011

MERDEKA RAYA

Raya tahun ni sangat istimewa. Sambutan raya dan merdeka disambut pada minggu yang sama. Kalau tahun-tahun sebelumnya ada 'Kongsi Raya' dan ada juga 'Depa Raya'. Tapi tahun ni 'Merdeka Raya'. Sungguh istimewa. Kita menyambut hari kemenangan setelah berjaya berpuasa sebulan Ramadhan dan juga melawan hawa nafsu. Di samping itu juga kita menyambut hari kemenangan kerana negara kita bebas dari penjajah. Sudah 53 tahun kita merdeka.


Persiapan raya? Macam biasa. Macam tahun-tahun lepas juga. Kami sekeluarga menyambut raya ala kadar sahaja. Ukur baju di badan sendiri kata orang. Yang wajibnya sepasang baju melayu dan sepasang baju T untuk setiap anak. Untuk uminya bergantung pada koleksi kain pasang yang tak dihantar pada tkang jahit. Musim ni la umi mengambil peluang untuk poskan kain pada tukang jahit. Maklumlah, tukang jahitnya nun jauh di kampung.

Raya tahun ni anak-anak dah besar. Abang dah pun tingkatan 1. Fayyadh dah 4 tahun. Sehari sebelum raya, macam biasa sibuk memasak untuk hidangan pagi raya. Subuh-subuh hari pergi pasar Kajang beli daging, ayam, santan semuanya fresh. Bermula dari subuh akan berakhirnya maghrib. Sambung lagi sebelah malam. Itu kebiasaannya. Tapi berlainan pula tahun ni, sebelum berbuka dah siap semuanya. Alhamdulillah, tak ada la yang hangit-hangit sebab tertidur. Semuanya menjadi mudah dan cepat kerana bantuan anak-anak yang semakin membesar dan kian matang. Banyak membantu ku di dapur tahun ni.

Farhan: anak kedua ku, menolong ku kupas bawang besar dan bawang putih. Masa yang sama aku potong daging dan limpa untuk masak rendang. 2 kg daging dan 3 kg limpa. Satu periuk besar la jugak. Kiranya banyak la jugak bawang yang Farhan kupas. Sama siap dengan aku potong daging. Berair-air mata dia. 

Fahman: anak ketiga, membantuku kikis halia dan lengkuas. Sambil memberi tunjuk ajar pada fahman cara-cara kikis halia, aku memotong serai. Rasa lapang dada ku melihat anak-anak semuanya tidak kekok menolong ku di dapur raya tahun ni. Agaknya kerana mereka dah pun besar. Aku pula kisar semua bahan-bahan yang telah siap dikupas. Sambil tu potong serai. Bila semua bahan kisar siap dikisar, mulalah sesi menumis. Aku hidupkan dapur yang satu lagi tu di luar rumah. 

Fawwaz: anak keempat ku, tidak henti-henti mengacau kacang dalam kuali. Kacang tu untuk masak kuah kacang. Makan nasi impit dengan rendang saja tak sedap. Kalau ada kuan kacang sekali baru best. Itulah kebiasaan yang aku buat. Pada mulanya fawwaz tak merungut langsung. Goreng kacang dengan tekun sekali. Tapi selepas siap kerja fahman, mulalah dia merungut penat. Kalau difikirkan memang logik pun dia penat. Lama jugak nak tunggu kacang tu benar-benar masak. Mana tidaknya, api dapur kecil sangat untuk pastikan kacang sekilo tu tak hangit. Aku pun minta bantuan si Fahman bergilir-gilir kacau kacang dalam kuali. Mereka pun bergilir-gilir buat kerja tu. Memang lenguh pun kalau kacau berterusan sampai kacang masak. Kalau tak kacau nanti hangit pulak. 

Fadhlin: anak sulungku mengambil alih kerja-kerja menumis tu. Aku cuma masukkan minyak. Bahan-bahan kisar ku letakkan di tepi dapur. Satu persatu aku masukkan dalam periuk dan aku biarkan Fadhlin yang kacau bahan tu tak nak bagi hangit. Sambil-sambil tu aku tumis pula bahan untuk masak kuah kacang. Aku jenguk juga la dapur si abang tu takut hangit. Lepas satu bahan masak bahan lain pula ku masukkan dalam periuk. Kiranya kerja si Fadhlin sampai rendang tu masak. Rendang Fadhlin la tahun ni, bukan rendang umi... 

Fayyadh: anak bongsu ku, si kenit tu..."Yad, semua orang tolong umi kat dapur, Ayyad pun kena la tolong" usikku. "Ala...dia orang semua dah besar, Fayad kecik lagi, masih kanak-kanak lagi mana boleh bat tu, nanti luka kena pisau", jawab Fayyad. Si kenit tu memang petah bercakap, mengalahkan abang-abang dia. Cara cakapnya pun macam orang dewasa. Begitulah komen abang-abangku bila mereka dengar si Fayyad bercakap. 

Bila kuah kacang masak, aku jerang pula perik nasi impit. 50 biji ketupat daun kelapa dan 30 biji ketupat mini adabi. Kira-kira 6.30 petang semua masakan ku dah siap dimasak. Rendang dah masak. Kuah kacang dah masak. Ketupat pun dah masak. Semua tu aku bahagi 2. Sebahagian untuk hidangan rumah aku dan sebahagian lagi di rumah kakakku. Selepas berbuka mereka datang ambil semua masakan tadi. Sebagai hadiah, kakak ku belikan aku alas meja yang sangat cantik. Dah lama aku idamkan alas meja macam rumah dia. Tapi aku pendankan saja sebab harga alas meja tu RM170. Memandangkan tahun 2011 ni dapat bonus raya, aku pesan pada kakak belikan alas meja tu. Tapi tak ku sangka ia menjadi hadia pula. Selamat duit aku... Pagi-pagi hari raya ku hiaskan meja, aku hidangkan semua makanan. Ada ketupat palas, ketupat nasi, rendang, kuah kacang. Satu lagi masakan tak dapat aku masak. Nasi hujan panas dan ayam masak merah. Satu kemalangan berlaku pada malam raya tu. Aku terpijak mainan si fayyadh. Kaki aku luka besar.Berbalut sebab darah keluar bila berjalan. Jalan terhinjut-hinjut. Sebab tu aku jadi malas nak masak.

Jumaat, 9 September 2011

SOLAT HAJAT UPSR

Rutin tahunan, program solat hajat diadakan bagi mengiringi murid-murid tahun 6 menduduki UPSR. 







Isnin, 5 September 2011

PULUT KUNING



Bahan-bahan:
1 kilo beras pulut
1 1/2 gelas santan + sedikit garam
debu kunyit             }
asam keping / cuka } bahan rendaman         
segenggam gula
daun pandan

Cara-cara membuatnya:
1. Cuci besih-bersih beras. Mengikut petua emak, cuci beras hingga air basuhan tu jernih. Barulah pulut payah basi.
2. Rendam beras pulut dengan serbuk kunyit sebagai ganti pewarna kuning. Bila kita guna serbuk kunyit bau pulut pun best. Jangan lupa masukkan asam keping atau sedikit cuka. Kata emak supaya pulut nanti berkilat. Rendam beras tu 1/2 jam hingga1 jam.
3. Panaskan air. Basuh beras yang direndam tadi sekali lagi. Masukkan dalam bekas pengukus. Kukus hingga wap rata. Kata mak lagi tanda pulut tu masak bila biji nasi pulut tu sedikit melengkung.
4. Bila pulut dah masak angkat dan masukan santan. Kacau rata.
5. Kukus pulut sekali lagi. Kali ni masukkan daun pandan supaya pulut berbau wangi. Bila wap dah naik tinggi maknanya pulut dah boleh diangkat.
6. Taburkan gula dalam bekas pulut dan kacau sehingga rata.


Pesanan
*Kalau nakkan pulut tahan lebih lama, masakkan santan terlebih dahulu.
*Selain warna kuning, boleh juga kita masak pulut warna pink atau merah.  Biasanya saya masak warna ni untuk hidangan harijadi. Nampak lebih menarik dan ceria.
* Pulut warna merah sesuai dihidang dengan telur dimasak nipis. 
*Pulut warna kuning sesuai dhidang dengan rendang...selamat mencuba

Khamis, 1 September 2011

KETUPAT PALAS


Bahan-bahan:-
2 kg beras pulut
1 kg gula
4 gelas santan
garam secukupnya
daun palas


Cara-cara membuatnya:-
1. Basuh beras pulut sampai bersih. Rendam lebih kurang 1/2 jam.
2. Masukkan beras dalam pengukus dan toskan sekejab. Kukus hingga naik wap.
3. Bila naik wap, angkat pulut dan masukkan santan yang telah dicampurkan dengan garam. Gaul rata hingga sebati pulut dan santan.
4. Kukus sekali lagi hingga naik wap juga.
5. Angkat dan masukkan gula ( masa pulut masih panas-panas tau). Gaulkan gula sampai pulut berkilat.
6. Bila pulut dah sejuk bolehlah dibungkus dengan daun palas.

P/S
*Ini resepi untuk ketupat manis. Kalau ketupat lemak, lebihkan garam dan jangan guna gula langsung. Biasanya ketupat lemak kami masukkan kacang putih. Rebus kacang terlebih dulu. Masukkan kacang selepas pulut dikukus kali kedua.

*Ketupat manis dihidang macam biasa saja. Selepas 2-3 hari lebih sedap kalau digoreng terlebih dulu. Bagi ketupat lemak pula sedap sangat kalau dicicah dengan gula melaka/ manisan cair. Itu hidangan orang Pantai Timur. Tapi biasanya kami hidang ketupat lemak bersama rendang. Sedap sangat... Selamat mencuba