Terdapat beberapa keistimewaan yang dapat dicungkilkan dan diberi perhatian. Antara keistimewaan Rasm Uthmani ialah:
Bersifat Tauqifi daripada Rasulullah s.a.w.
Rasm Uthmani merupakan satu kaedah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada para sahabat secara langsung. Ini bermakna rasm ini sebenarnya datang daripada Allah S.W.T. Ini kerana Rasulullah s.a.w. tidak mengajar sesuatu kepada para shabat melainkan perintah wahyu daripada Allah. Kenyataan ini dibuktikan dengan firman Allah S.W.T. yang berbunyi:
Maksudnya:
Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemauan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).
(Surah Al-Najm : 3 – 4)
Rasm Uthmani Adalah Sebahagian Rukun Bacaan Al-Quran
Membaca al-Quran adalah suatu yang digalakkan dan mendapat ganjaran pahala bagi yang membacanya. Setiap pembacaan yang mendapat ganjaran ialah pembacaan yang menepati rukun. Para ulama telah bersepakat mengatakan bahawa rukun bacaan al-Quran yang betul ada tiga perkara iaitu hendaklah bertepatan dengan salah satu daripada mushaf-mushaf Uthmani, sama ada yang dihantar ke Madinah, Mekah, Kufah, Basrah, Syam atau pun mushaf yang disimpan oleh Sayyidina Uthman iaitu mushaf al-Imam. Selain daripada itu, bacaan al-Quran hendaklah mutawatir iaitu sampai sanadnya kepada Rasulullah s.a.w. serta bertepatan dengan salah satu daripada wajah-wajah bahasa Arab. Seharusnya kita ingat bahawa pembacaan yang tidak menepati rukun dikira syaz atau bacaan itu ditolak.
Meliputi Tujuh Huruf
Satu lagi faktor yang sangat penting sehingga menjadikan Rasm Uthmani itu perlu itu perlu diberi keutamaan ialah kerana kaedah penulisannya berkaitan dengan tujuh huruf al-Quran dan ini menjadikan ianya bertepatan dengan wajah-wajah qiraat yang pernah diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada para sahabat.
Terdapat banyak hadith yang berkaitan dengan tujuh huruf, dan pelbagai pendapat ulama mengenai maksudnya. Antara hadith yang menunjukkan al-Quran diturunkan dalam tujuh huruf ialah sabda baginda s.a.w. :
أقرأني جبريل علي حرف فراجعته فلم أزل أستزيده ويزدني حتي انتهى الي سبعة أحرف
Maksudnya:
“Jibril a.s. telah mengajar kepadaku satu huruf, maka aku sentiasa mengulanginya dan aku sentiasa memintanya supaya ditambahkan, dan akhirnya ia menambahkan kepadaku sehingga selesai tujuh huruf”.
Salah satu pendapat yang disepakati oleh para ulama ialah tujuh huruf bacaan itu merangkumi perselisihan nama sama ada ia mufrad, muthanna atau jama’dan sama ada muzakkar atau muannath, perselisihan pada cara i’rab, perselisihan pada tasrif, perselisihan sama adamendahulukan atau mengakhirkan sesuatu huruf atau kalimah, perselisihan dari segi ibdal, perselisihan dari segi menambah atau mengurangkan sesuatu huruf atau kalimah dan perselisihan pada lahjah sama ada tebal, nipis, tashil, isymam dan sebagainya.
Bertepatan Dengan Pembentangan Terakhir
Terdapat satu lagi faktor yang penting yang membuktikan bahawa Rasm Uthmani sangat diutamakan dalam penulisan al-Quran, iaitu ianya bertepatan dengan pembentangan terakhir al-Quran oleh Rasulullah s.a.w. bersama malaikat Jibril a.s.
Semasa Rasulullah s.a.w. melakukan semakan terakhir al-Quran di hadapan malaikat Jibril a.s., salah seorang daripada sahabat nabi iaitu Zaid bin Thabit turut hadir bersama-sama. Oleh itu apabila beliau diberi tanggungjawab untuk menulis dan mengumpulkan al-Quran pada masa khalifah Abu Bakar r.a. dan khalifah Uthman r.a., maka beliau menulis dengan berpandukan kepada apa yang telah beliau dengar semasa pembentangan terakhir. Sebab itulah Zaid tidak menulis ayat yang tidak dibentangkan semasa pembentangan terakhir dalam suhuf atau mushaf, kerana beliau menganggap ayat itu telah dinasakhkan.
Perbezaan Pengumpulan Al-Quran Antara Zaman Abu Bakar dan Uthman
Terdapat perbezaan di antara pengumpulan al-Quran yang dilakukan pada zaman Khalifah Abu Bakar dengan pengumpulan al-Quran yang dilakukan oleh Khalifah Uthman bin Affan. Daripada perbincangan sebelum ini, dapat disimpulkan bahawa pengumpulan yang dilakukan oleh Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. adalah memindahkan ayat-ayat al-Quran daripada pelepah tamar, kepingan-kepingan batu, kulit-kulit dan tulang-tulang binatang ke dalam satu mushaf. Ayat-ayat al-Quran disusun dalam surah-surah yang tertentu setelah diperiksa dengan begitu teliti dan sempurna, di samping membuang ayat-ayat yangtelah dimansukhkan. Manakala faktor yang mendorong kepada pengumpulannya pula ialah kekhuatiran terhadap kehilangan para penghafaz al-Quran, kerana ramai di kalangan mereka yang gugur syahid di dalam peperangan al-Yamamah.
Pengumpulan yang dibuat pada zaman Sayyidina Uthman bin Affan pula adalah untuk memperbanyakkan salinan mushaf yang telah dikumpulkan oleh Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq untuk dikirimkamkan ke merata tempat wilayah Islam. Ada pun faktor yang membawa kepada usaha pengumpulannya ialah untuk menghapuskan perselisihan faham kaum muslimin tentang perbezaan qira’ah dalam membaca al-Quran. Ekoran daripada pengumpulan menjadikan al-Quran dalam satu mushaf yang lengkap yang dilakukan pada zaman Uthman inilah adanya al-Quran yang seperti mana yang ada pada kita sekarang ini.
Inilah perbezaan pengumpulan yang dilakukan oleh Abu Bakar as-Siddiq dan Uthman bin Affan.Manfaatnya dapat kita kecapi sehingga ke hari ini. Namun apa yang perlu diketahui ialah salinan mushaf Uthman tidak berbaris dan tidak bertitik.
Info yg sgt berguna :)
BalasPadamterima kasih...
BalasPadamkalau boleh saya tahu,apa penulisan blog tajuk ini daripada sumber rujukan apa ye? kalau buku,boleh saya tahu buku apa?
BalasPadam