Nama dan keturunan
Tersohor dengan
Ibn Al-Jazari. Nama beliau ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin
Yusof Al-Umri Al-Dimasyqi Al-Shirazi Al-Syafie dan lebih dikenali dengan Al-Jazari.
Beliau bermazhab
Al-Syafie dan berasal dari Damsyik dan terkenal dengan gelaran imam Al-A’zam.
Imam Al-Jazari dilahirkan pada pada 25 Ramadhan tahun 751 Hijrah bersamaan November
1350M, pada malam Sabtu selepas solat Tarawih.
Kelahiran beliau
adalah selepas 40 tahun perkahwinan kedua ibu bapanya tanpa mendapat cahaya
mata. Bapanya Al-Jazari merupakan seorang peniaga yang soleh dan bercita-cita
untuk mendapatkan seorang anak yang soleh lagi berilmu. Justeru itu beliau
memberi didikan yang baik menekankan hafazan al-Quran kepada Ibn Al-Jazari secara
bertajwid.
Riwayat Hidup Imam Ibn
Al-Jazari
Imam Ibn Al-Jazari
dibesarkan di Damsyiq, pada umurnya mencecah 13 tahun (764H) beliau sudah
menghafaz al-Quran dan boleh membacanya ketika solat[1].
Bapa beliau telah
berangkat ke Masjid Al-Haram untuk menunaikan ibadat Umrah. Di sana beliau
mengambil air zam-zam sebagai ubat dan syafaat, moga-moga dengan keberkatan air
suci tersebut tercapailah hasrat yang diidamkan selama ini. Pengambilan air
tersebut juga mengambil barakah daripada Rasulullah s.a.w. :
"عن ابن عباس t، قال رسول الله r ماء زمزم لما شرب له أن شربته
تشتفى به شفاك الله، وان شربته لشعبك أشبعك الله به، وان شربته لقطع ظمنك قطعه،
وهي هزمة جبريل رسقيا الله اسماعيل".
-رواه الدارقطنى-
Maksudnya : Daripada Ibnu Abbas r.a., sabda
Rasulullah s.a.w. “ Air zamzam itu mengikut hasrat peminumnya, sesiapa yang
minum kerana ingin sembuh maka Allah akan menyembuhkannya, sesiapa yang minum
untuk merasa kenyang maka Allah akan kenyangkannya, sesiapa yang minum untuk
menghilangkan dahaga maka Allah akan hilangkannya, ia adalah pemberian
(kemenangan) Jibril dan Allah memberi minum kepada Nabi Ismail”.
-Riwayat Darul Al-Qatny.-
Ekoran daripada peristiwa tersebut, impiannya
telah menjadi kenyataan. Imam Ibn Al-Jazari dibesarkan dengan didikan agama
yang sempurna disertai dengan didikan ilmu yang kukuh. Beliau telah menghafaz
al-Quran ketika usia 13 tahun dan telah mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran di
dalam solat tarawih pada tahun yang berikutnya. Beliau juga mempelajari ilmu
Qiraat dengan seorang syaikh yan gpaling alim ddi dalam ilmu qiraat iaitu
Syaikh Ibnu Lubban ketika beliau berumur 17 tahun.
Pada masa yang sama, beliau juga mempelajari Ilmu
Hadith. Langkah pertama dalam menuntut ilmu, beliau telah menuju ke Baitullah
untuk mengerjakan ibadah haji pada tahun 768H ketika berusia 17 tahun. Beliau
mengambil kesempatan mempelajari dua kitab qiraat iaitu Al-Kafi dan Al-Taysir
dengan Syaikh Abi Abdullah Muhammad bin Salih di Masjid Al-Nabawi
Al-Munawwarah.
Beliau menuntut ilmu di beberapa tempat seperti di
Basrah, Kufah, Mesir, Yaman, Hijaz dan Syam. Beliau sentiasa berulang alik ke
semua tempat-tempat tersebut hanyalah untuk menuntut ilmu sambil berniaga. Imam
Al-Jazari telah berjaya menguasai bacaan Qiraat bagi 14 Imam. Beliau bukan
sahaja menuntut ilmu yang lain seperti ilmu Hadith, ilmu Balaghah, ilmu Usul,
ilmu Fiqh dan lain-lain lagi. Sehinggakan beliau diberi pengiktirafan
mengeluarkan fatwa oleh tiga orang mufti Mesir yang terkemuka seperti Al-Qadhi
Abdul Fida’ (774H), Al-Qadhi Diauddin (778H) dan Syeikh Al-Islam Al-Baqilani
pada tahun 785H. Ketika itu beliau berusia 34 tahun.
Pada tahun 793H, beliau dilantik menjadi Qadi
(Hakim Tertinggi) di negerinya iaitu Damsyiq. Di sini beliau telah mengasaskan
pusat pengajiannya yang diberi nama “Dar Al-Quran”. Imam Al-Jazari juga
dilantik menjadi qadi di Syiraz. Di sini juga beliau telah membuka pusat
pengajian yang diberi nama “Dar Al-Quran” sebagai meneruskan apa yang telah
belaiu tubuhkan sebelum ini dan beliau mengajar di situ.
Imam Al-Jazari telah menghafaz kitab Qiraat yang
dikarang oleh Imam Al-Syatibiy dari beberapa orang tokoh Qurra di Mesir. Beliau
juga menjadi tokoh dalam penguasaan semua ilmu-ilmu agama, tetapi penonjolan
beliau dalam ilmu Qiraat melebihi ulama-ulama lain.
Imam Ibn Al-Jazari meninggal dunia pada 9 Rabi
Al-Awwal tahun 833 Hijrah (2 Disember 1429) di rumahnya di Syiraz. Ajalnya
menjemput tatkala hampir masuk waktu Zuhur hari Jumaat. Pada Ketika itu beliau
berumur 82 tahun dan dikebumikan di madrasah yang telah beliau asaskan itu.
Beliau telah meninggalkan banyak khazanah yang paling berharga kepada umat
Islam khasnya dan umat manusia amnya.
Kitab beliau banyak menjadi sumber utama bagi
orang-orang yang ingin mendalami ilmu Qiraat, kita beliau juga yang
menghidupkan qiraat yang telah ditinggalkan manusia. Antara pesanan Imam Ibn
AL-Jazari di dalam kitabnya :
وليلزم الوقار
والتأدب * عند الشيوخ ان يرد أن ينجب
Maksudnya :
Lazimlah (wajiblah) tenang dan beradab, ketika
bersama dengan syaikh (guru) bagi sesiapa yang ingin berjaya
Guru
Ibn Al-Jazari
telah menghafaz al-Quran, mempelajari qiraat, mendengar hadith daripada ramai
syeikh di Damsyiq dan tanah Hijaz. Antara mereka ialah :
Ø Abu
Muhammad Abd Al-Wahhab bin Yusof bin Al-Sallar (698H-782H), beliau merupakan
guru pertama kepada Ibn Al-Jazari dengan memperolehi banyak manfaat dan
sentiasa mendampinginya semenjak kecil lagi.
Ø Ahmad bin
Ibrahim bin Al-Tahhan Al-Manbaji (702H-782H). Beliau pernah mengijazahkan Ibn
Al-Jazari dengan Ijazah Qiraat Sepuluh walaupun beliau baru sahaja selesai surah
Al-Fatihah dan awal-awal Surah Al-Baqarah.
Ø Ahmad bin
Rajab bin Al-hasan Al-Sulami Al-Baghdadi (775H)
Ø Ibrahim
bin Abdullah Al-Humawi Al-Muaddib (773H). Beliau seorang yang sangat alim
dengan ilmu Tajwid dan Ibn Al-Jazari mempelajari daripadanya.
Ø Abu Al-Maali
bin Al-Lubban (Muhammad bin Ahmad Al-Dmasyqi) (715H-776H)
Ø Abu
Abdullah Muhammad bin Soleh Al-Madani (785H) seorang khatib dan imam Masjid
Al-Nabawi.
Ø Abu Bakr
Abdullah bin Aidaghdi bin Abdullah Al-Shamsi, yang terkenal dengan al-Jundi
(699H-799H)
Ø Abu Abdullah
Muhammad bin Abd Al-Rahman Al-Soigh Al-Hanafi (704H-776H)
Ø Abu
Muhammad bin Abd Al-Rahman bin Ahmad bin Ali Al-Baghdadi Al-Wasiti Al-Masri
(702H-781H)[2].
Dr. Ahmad Muhammad
Muflih al-Qudoh menyenaraikan di dalam tesis P.H.D. beliau, sebanyak 41 guru Imam
Ibn Al-Jazari (yang terkemuka sahaja).[3]
Murid
Imam Ibn Al-Jazari
telah memberi sumbangan yang sangat besar. Segala baktinya tidak terhitung
nilainya melalui pengajaran, pemfatwaan, dakwah dan lain-lain lagi semenjak
beliau masih muda lagi. Beliau banyak mengadakan pengembaraan ilmu, maka dengan
sebab itulah ramai yang mengambil mutiara ilmu daripadanya. Antara
murid-muridnya yang terkemuka ialah :
Ø Abu Bakr
Ahmad bin Muhammad bin Al-Jazari.
Ø Abu
Al-Fath Muhammad bin Muhammad bin Al-Jazari (777H-814H).
Ø Abu
Al-Khair Muhammad bin Muhammad bin Al-Jazari.
(Ketiga-tiga
mereka adalah anak Imam Ibn Al-Jazari sendiri.
Ø Mahmud
bin Al-Husain bin Sulaiman Al-Shirazi
Ø Al-Khatib
Mukmin bin Ali Al-Rumi
Ø Abd
Al-Qadir bin Tallah Al-Rumi
Ø Jamal
Al-Din Muhammad bin Muhammad, yang terkenal dengan nama Ibn Iftikhar Al-Harawi.[4]
Nukilan Tinta
Imam Ibn Al-Jazari
sangat produktif dalam penulisan. Sebagai bukti kita dapat melihat beliau
menulis di dalam banyak bidang pengajian Islam, lebih-lebih lagi dalam bidang
qiraat yang menjadi keutamaan beliau. Beliau telah meninggalkan jasa bakti yang
amat bernilai di dalam pengajian Qiraat, Ulum Al-Quran, hadith, fiqh dan usul,
tarikh, bahasa arab dan lain-lain.
Karangan
beliau dalam bidang-bidang tersebut sebanyak 78 buah. Antara karangan beliau
yang masyhur ialah :
Ø Muqaddimah
Al-Jazariah yang memperkatakan asas ilmu Tajwid yang mesti diketahui oleh
setiap pembaca al-Quran.
Ø Al-Nasyr
Fi Al-Qiraatul Al-Asyar yang memperkatakan ilmu Qiraat bagi sepuluh imam yang
diakui sah dari Rasulullah s.a.w.
Ø Toiyibatun
Nasyr[5]
yang memperkatakan ilmu Qiraat sepuluh. Buku ini merupakan penyusunan semula
Kitab Al-Nasyr di atas dalam bentuk syair.
Ø Al-Durrat
Al-Mudiyyah yang disusun dalam bentuk puisi. Buku ini menyatakan ilmu qiraat
bagi tiga imam qiraat sebagai pelengkap kepada apa yang telah dinyatakan oleh
imam Al-Syatibi dalam Hirz Al-Amani Wa Wajh Al-Tahani yang memperkatakan qiraat
tujuh. Ia juga lebih dikenali dengan Matan Durrah.
Ø Al-Tamhid
Fi Ilmi Al-Tajwid yang memperkatakan ilmu tajwid secara lengkap dan menyeluruh
Ø Al-Masad
Al-Ahmad Fi Khatmi Sanad Ahmad yang membincangkan tentang ilmu Hadith dan sanad
Imam Ahmad bin Hanbal.
Ø Al-Hisn
Al-Husin yang memperkatakan doa-doa dan zikir-zikir yang jelas datangnya dari
Rasulullah s.a.w.
Apa Kata Ulama?
Beliau telah
mencapai kedudukan yang tinggi dan mulia pada zamannya, selepas meninggal dunia
juga sehingga ke zaman ini. Semuanya dicapai hasil usaha gigih beliau dalam
memperkembangkan ilmu-ilmu Islam terutamanya di dalam mempelopori pengajian
Ilmu Qiraat.
Beliau mendapat
banyak pujian dan dikagumi oleh ramai ulama, antaranya :
Ø Al-Sakhawi
: “Beliau (Ibn Al-Jazari) mempunyai periwayatan hadith yang tinggi dan
menghafalnya, mahir ilmu Al-Jarh Wa Al-Ta’dil serta mengetahui rawi-rawi
terdahulu dan terkemudian”.[6]
Ø Al-Sayuti
: “Seorang hafiz , muqri’, syeikh qiraat pada zamannya”. Kata beliau lagi :
“Ibn Al-Jazari juga seorang imam dalam qiraat yang tiada tandingan di dunia ini
pada zamannya”.[7]
Ø Syeikh
Zakaria Al-Ansari : Seorang Al-Syeikh Al-Imam, sangat luas ilmu, Syeikh
Al-Islam dan Hafiz pada zamannya”.[8]
Ø Syeikh
Al-Dobba’ : “Sesungguhnya kitab al-Nasr adalah suatu petunjuk yang jelas kepada
kehebatan penulisnya, sehingga digelar dengan Imam Al-Muhaqqin, Imam Al-Hujjah
...” (lihat mukadimah Al-Nashr, hlm.5).
Ø Muhammad
Sodiq Qamhawi : “ibn Al-Jazari bukan hanya alim dalam bidang Qiraat, bahkan
juga alim dalam pelbagai ilmu seperti, tafsir, hadith, fiqh, usul, tauhid,
sarf, balaghah dan bahasa”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan