Halaman

Isnin, 31 Oktober 2011

LAGUKU UNTUKMU


















Lagu : Ombak Rindu

Tuhan... tolong lembutkan hati dia
Untuk terima ku seadanya
Kerna ku tak sanggup
Kerna ku tak mampu
Hidup tanpa dia di sisi ku...

Tuhan... aku tahu banyak dosa ku
Hanya ingat kamu waktu duka ku
Namun hanya kamu yang mampu membuka
Pintu hatinya untuk cinta ku...

Malam... kau bawalah rindu ku
Untuk dirinya yang jauh dari ku
Agar dia tidak kesepian
Selalu rasa ada cinta agung...

Hujan... bawalah air mata ku
Yang mengalir membasuh luka ku
Agar dia tahu ku terseksa
Tanpa cinta dia di hati ku...

Hanya mampu berserah
Agar cahaya tiba nanti...

Tuhan... tolong lembutkan hati dia
Untuk terima ku seadanya
Kerna ku tak sanggup
Kerna ku tak mampu
Hidup tanpa dia di sisi ku...

Sabtu, 29 Oktober 2011

LADAP VII - MENCANTING BATIK

Guru-guru dimestikan menghadiri Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) cukup 7 hari. Bagi guru-guru yang banyak keluar berkursus tidak menjadi masalah bagi mereka. Tapi tak semua guru terlibat. Untuk mencukupkan bilangan 7 hari bagi mereka yang tidak dipanggil berkursus, pihak urusetia LADAP akan menganjurkan kursus-kursus dalaman. LADAP VII ni adalah ajuran bersama urusetia LADAP dan Panitia Pendidikan Seni Visual.  

En Lazim Ismail dr Kraf Malaysia
En Lazim memberi tunjuk ajar pada cikgu-cikgu cara mewarna batik.
Aik...KP Seni pun buat jugak ke?
Habis la peluang kita org nak dapat hadiah...
Nah...kreatif rupanya cikgu-cikgi SKBTK...
GPK 1 suruh tukar opsyen  tahun depan,  semua boleh mengajar PSV
Ni panel penilai ke hakim yang arif lagi bijaksana?...habis la...

Jumaat, 28 Oktober 2011

HARI KANAK-KANAK 2011

Setiap tahun seluruh dunia menyambut Hari Kanak-kanak. Begitu juga disetiap buah sekolah di Malaysia. Tidak ketinggalnlah sekolah kami. Cuma tarikhnya mengikut takwin sekolah. SKBTK menyambut hari kanak-kanak hari ni 28 Oktober 2011. Aktiviti dimulakan dengan acara sukaneka. Semua murid terlibat dengan acara tersebut. Bermakna semua murid dengan bangganya membawa pulang hadiah. Acara sukaneka berakhir sebelum waktu rehat. Pihak sekolah menyediakan makanan istimewa hari ni untuk setiap murid, iaitu pizza, muffin dan milo ais. 


Selepas rehat bermulalah acara dewan. Dimulai dengan ucapan perasmian oleh Tuan Guru Besar En Mustaffa Kamal bin Jamlus. Kemudian diikuti dengan persembahan murid. Setiap aliran  mempersembahkan persembahan masing masing, dari murid pra sekolah hinggalah murid tahun 6. Semua persembahan menarik dan berunsurkan nasihat. Daripada lagu, sketsa, lakonan, sajak dan nasyid bertemakan nasihat. Sesuailah dengan hari kanak-kanak.


Acara kemuncak ialah pengumuman Tokoh Hari kanak-kanak 2011 yang telah disandang oleh adik Mohd Syafiq dan adik Siti Mashitah. kedua-duanya dari kelas 6 Cekal. Kedua-dua mereka memang layak dianugerahkan tokoh kanak-kanak kerana telah banyak menyumbangkan jasanya kepada sekolah samada dalam bidang kurikulum atau ko-kurikulum. 


Hadiah berupa trofi, sijil selempang tokoh hari kanak-kanak dan sepasang pakaian untuk setiap tokoh telah disampaikan oleh  Tuan Guru Besar En Mustaffa Kamal bin Jamlus diiringi oleh GPK Kurikulum En Mohd Razak bin Kanapiah.

Khamis, 27 Oktober 2011

MENCARI PERMATA RAUDHAH

Tahun ini sekali lagi Panitia Pendidikan Islam berjaya melaksanakan Program Permata Raudhah. Cuma pencarian tahun ini berbeza dengan 2010. Kalau tahun 2010 panitia mencari permata ala-ala Gadis Melayu. Tetapi tahun 2011 ni ada kelainannya, ala-ala Mentor gitu. Penglibatan murid pun terhad kepada murid tahun 6 saja. Tugas ku bukan sebagai mentor, juga bukan hakim yang arif lagi bijaksana, macam biasa tugas ku sebagai jurufoto tak bertauliah. Jadi, bolehlah aku muatkan gambar-gambar dalam blog ni.

Murid-murid Tahun 6 dah tak belajar pun di sekolah. Tapi dengan kreativiti guru-guru, mereka menganjurkan pelbagai program khusus untuk murid. Salah satunya Permata Raudhah yang diselengara oleh Panitia Pendidikan Islam. Guru-guru kelas dan guru-guru relief yang mengajar tahun 6 sebagai Mentor. Setiap kelas mewakilkan dua kumpulan nasyid iaitu 1 kumpulan lelaki dan 1 kumpulan perempuan. 


Ini dia para Hakim Yang Arif lagi Bijaksana. Terdiri daripada Ketua Panitia PI Puan Najihah Lateh selaku ketua juri, dibantu oleh Puan Amal Hayati dan Us Mohd Faizal Ibrahim. Keputusan hakim adalah muktamad...


Nah...inilah dia permata yang dicai-cari. Juara Permata Raudhah 2011 kategori perempuan. Suaranya lunak, berwajah ayu, pakaiannya cantik dan persembahannya menarik. Memang layak jadi juara.


Yang ni pula juara kategori lelaki. Suara memang kelas gitu. Tapi sayang keseragaman pakaiannya kantoi. Biasa la...nama pun kumpulan lelaki. Rata-rata kumpulan lelaki macam tu. Cuma harap pada suara dan komitmen. Apa pun tahniah diucapkan kepada kedua-dua juara Permata Raudhah tahun ni. Alhamdulillah...hampir keseluruhan program panitia telah dijalankan dengan jayanya. Cuma tinggal satu lagi bakal menyusul...

Rabu, 26 Oktober 2011

CUTI CIKGU BUKAN CUTI IBU

Emmm...kalau tak cuti nak cuti. Tapi bila cuti boring la pulak. Macam tu lah selalunya. Nak balik kampung tak larat nak mandu, lagi pun takder tempat nak tinggal. Nasib... nasib... Cuti Deepavali lima hari termasuk Sabtu dan Ahad, lama tu. Apa pun ALHAMDULILLAH syukur di atas segala nikmat yang Allah kurniakan. Walau pun tak bercuti ke mana-mana, anak-anak nampaknya gembira di rumah. Mana taknya...perut kenyang. Hati pun senang.

Sepanjang masa anak-anak akan sebut lapar. Kalau cuti-cuti macam ni satu perkataan tu la yang sering kali ku dengar, pagi... tengah hari... petang... hingga malam. Rasanya baru je lepas sarapan pagi, tapi dengar lagi 'umi lapar'. Selesai je makan tengah hari dengar lagi 'ayat' tu. Itulah anak-anak ku. Tu baru empat orang belum lagi cukup lima orang. Tunggu la cuti sekolah nanti. Lagi sedap depa order makanan. Masa kecik-kecik dulu jenuh panggil makan, semua tak nak. Suap pun tak habis sepinggan. Dah besar, tak berenti makan. Alhamdulillah.

Keletah anak-anak menyebabkan uminya jadi kreatif. Ada saja menu yang perlu disediakan. Kadang-kadang menu yang sama disediakan tapi cara mengidangnya berbeza. Kalau asyik buat menu yang sama mereka bosan. Makan pun tak seberapa.  Kesian la pulak. Hari ni masak lempeng. Bukan lempeng biasa. Tapi letaklah jem dan mentega. Gulung kemas-kemas dan potong kecil-kecil. Kalau masa kecik-kecik dulu mak buat lempeng digulung panjang. Kosong je. Tapi untuk cucu-cucu mak ni lain perasanya. Ada rasa mentega kacang dan ada juga perasa jem. Itulah yang dimaksudkan kreatif. 

Satu lagi cara menghidang lempeng, nak bagi nampak moden. Masak lempeng tebal-tebal dengan perasa yang berbeza. Satu adunan ditambah pisang dan satu lagi kosong. Bila dah masak, sapu mentega dan lapiskan kedua-dua lempeng berseang-seli. Potong empat segi. Nampak macam kek lapis gitu. Anak berselera makan, hati ibu pun senang...

Sabtu, 15 Oktober 2011

HIKMAH MEMAKAN MAKANAN HALAL

Antara hikmah-hikmah memakan makanan halal ialah:

1. Menjamin Kesihatan Badan 

            Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya." (riwayat At-Tarmizi). Justeru, di samping kita memilih makanan yang berzat dan berkhasiat adalah lebih penting lagi pada masa yang sama, kita juga hendaklah perlu memastikan makanan tersebut dijamin bersih dan suci mengikut hukum  syarak. Ini bertujuan memastikan makanan itu tidak memudaratkan manusia itu sendiri.

            Rahsia di sebalik pengharaman atau larangan Allah dalam al-Quran terhadap makanan-makanan yang jelas haram dimakan juga telah berjaya dibongkar melalui kajian sains para saintis masa kini. Misalnya, Allah telah mengharamkan daging babi kerana kajian sains membuktikan bahawa terdapat Cacing Pita dan Virus JE (Japanese Encephalitis) di dalam daging babi. Kedua-duanya dikatakan sukar untuk dibunuh.

            Dalam kajian yang lain juga saintis membuktikan bahawa daging babi mengandungi kuman dan virus yang amat berbahaya kepada manusia. Kajian ini juga mendapati pada kerongkong haiwan tersebut terdapat sel-sel tertentu yang mampu mengubah pelbagai kuman dan virus ini kepada  bentuk yang lebih berbahaya kepada manusia.

 2. Memelihara Kewarasan Akal

            Makanan yang haram sama ada daripada bahan yang dicampur najis atau benda bersumberkan punca yang tidak halal akan mendatangkan tiga bahaya besar kepada pemakanannya.

            Pertama, makanan itu akan mempengaruhi jiwa pemakanannya sehingga dia lebih gemar membuat kejahatan dan maksiat serta benci kepada kerja-kerja kebajikan dan ketaatan. Kedua, doanya tidak akan dimakbulkan oleh Allah Taala dan yang terakhir , dia akan mendapat keseksaan di neraka Allah pada hari kiamat nanti.

Firman Allah SWT   dalam surah al-Baqarah :173
Maksudnya :
Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang Yang disembelih tidak kerana Allah.

3. Menjamin Maruah Diri.

            Pasti akan lahir dalam diri manusia keimanan dan Nur yang dapat memandu jiwa manusia  kea rah ketakwaan dan peningkatan ibadahnya kepada Allah. Pemilihan makanan yang bersih dan halal menjadi keutamaan dalam ajaran Islam.

            Di antara sebab umat Islam perlu memilih makanan halal ialah kerana ia akan menjamin maruah agama supaya diakui yang terbaik dari ugama lain. Umat Islam juga akan dihormati kerana mengikuti peraturan syarak setiap masa dan umat Islam tidak mudah dirosakkan atau dipengaruhi.

4. Supaya Ibadah Mudah Diterima Allah

Pemilihan makanan yang halal akan menjamin kesejahteraan hidup seseorang didunia dan diakhirat. Doa yang dipohon daripada Allah SWT juga akan dimakbulkan.
Oleh itu Islam mensyariatkan hukum  halal dan haramnya dalam setiap aspek kehidupan umatnya. Setiap orang Islam wajib memelihara dan peka terhadap perkara yang halal  dalam memilih pemakanannya supaya tidak termasuk bahan yang haram yang akhirnya menjadi darah daging.

            Bagi daging yang tumbuh daripada sumber yang haram, maka api nerka bahan pembakarnya. Ini jelas daripada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:" Setiap daging yang tumbuh daripada benda yang haram (yang hilang berkatnya), maka nerakalah yang lebih utama bagi orang itu." (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi)

 5. Dapat Membina dan Membentuk Peribadi Mulia

             Dengan memakan makanan dan minuman yang halal dan tayyibah dapat membentuk serta memberi kesan yang besar terhadap keperibadian dan perwatakan  seseorang. Jika didalam tubuh badan manusia itu mengalir benda-benda yang baik dan suci maka tidak mustahil akan lahirlah akhlak dan peribadi yang mulia dari manusia tersebut.

Khamis, 13 Oktober 2011

CIKGU KE NENEK...?

Belanjawan 7 Oktober lepas, PM mengumumkan umur persaraan baru (SBPA) bagi kaki tangan awam ialah 60 tahun. Ya Allah...kalimah itu yang terpacul keluar dari mulut ku. Bukan apa, terkejut sebenarnya. Tak dapat ku bayangkan aku pada usia itu masih lagi ke sekolah untuk mengajar.

Keesokan harinya, kecoh di sekolah rakan-rakan membincangkan tajuk hangat itu. Ada yang kata nenek pergi sekolah. Tak kurang juga yang kata cikgu tak larat nak naik tangga sampai tingkat 3. Cikgu nyanyuk dan macam-macam lagi. Gegak gempita bilik guru dengan hilai tawa cikgu-cikgu. Aku cuma dengar dari jauh. Aku sedar semua yang diperkatakan tu hampir tepat, dan mungkin juga tepat.

Kebetulan aku sedang on-line sebab ada kerja yang nak disiapkan. Aku terus buka facebook, dan tulis di dinding FB bertanyakan pendapat rakan-rakan mengenai tajuk itu. Kawan baik aku yang nakal tak ketinggalan memberi komen. Katanya "bayangkan sekarang mak yang pegi sekolah mengajar murid-murid tahun 1". Dia pun panggil mak pada ibu ku. Tergelak aku baca 'komentar' tu. Sambungnya lagi "tak taulah anak mak tu seanggun mak sekarang masa umur 60an". Tersenyum lebar aku. Memang betul kata kawan aku tu. Ya lah, anak mak mestilah macam mak bila tua nanti. Allahu Akbar...

Dulu, beberapa tahun dulu, masa pemilihan skim SSM, umur persaraan dinaikkan pada 58 tahun, aku akur dan menandatangani aku janji itu. Ramai kawan-kawan yang gelak aku sanggup kerja lagi diusia tu. Tapi bagi aku, itulah satu cara aku mencari rezeki untuk menyekolahkan anak-anak. Aku tak punya harta lain, aku hanya bergantung harap pada gaji semata-mata untuk kehidupan dan masa depan kami anak-beranak. Mungkin ini adalah rezeki kami. 

Tapi...masalahnya laratkah aku, atau kami para guru untuk memberi khidmat yang terbaik pada usia itu? Mampukah kami berhadapan dengan anak murid yang bermacam ragam? 20 tahun lagi...entah sehebat mana perangai murid-murid. Lagi mencabar rasanya tugas kami waktu itu. Sebanyak mana pun persoalan yang berlegar di benak ku, tapi tempoh 2 tahun tambahan itu merupakan satu bonus bagi ku...Tak perlu lagi buat kerja lain untuk menampung sumber kewangan selepas pencen. Maklumlah waktu tu tentunya anak bongsu ku baru tamat belajar. Itu pun kalau UMUR masih ada...

Isnin, 10 Oktober 2011

KELEBIHAN DAN KEISTIMEWAAN RASM UTHMANI


       Terdapat beberapa keistimewaan yang dapat dicungkilkan dan diberi perhatian. Antara keistimewaan Rasm Uthmani ialah:


Bersifat Tauqifi daripada Rasulullah s.a.w.

Rasm Uthmani merupakan satu kaedah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada para sahabat secara langsung. Ini bermakna rasm ini sebenarnya datang daripada Allah S.W.T. Ini kerana Rasulullah s.a.w. tidak mengajar sesuatu kepada para shabat melainkan perintah wahyu daripada Allah. Kenyataan ini dibuktikan dengan firman Allah S.W.T. yang berbunyi:

Maksudnya:
 Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemauan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).
(Surah Al-Najm : 3 – 4)
               
Rasm Uthmani Adalah Sebahagian Rukun Bacaan Al-Quran
           
Membaca al-Quran adalah suatu yang digalakkan dan mendapat ganjaran pahala bagi yang membacanya. Setiap pembacaan yang mendapat ganjaran ialah pembacaan yang menepati rukun. Para ulama telah bersepakat mengatakan bahawa rukun bacaan al-Quran yang betul ada tiga perkara iaitu hendaklah bertepatan dengan salah satu daripada mushaf-mushaf Uthmani, sama ada yang dihantar ke Madinah, Mekah, Kufah, Basrah, Syam atau pun mushaf yang disimpan oleh Sayyidina Uthman iaitu mushaf al-Imam. Selain daripada itu, bacaan al-Quran hendaklah mutawatir iaitu sampai sanadnya kepada Rasulullah s.a.w. serta bertepatan dengan salah satu daripada wajah-wajah bahasa Arab. Seharusnya kita ingat bahawa pembacaan yang tidak menepati rukun dikira syaz atau bacaan itu ditolak.

Meliputi Tujuh Huruf
           
Satu lagi faktor yang sangat penting sehingga menjadikan Rasm Uthmani itu perlu itu perlu diberi keutamaan ialah kerana kaedah penulisannya berkaitan dengan tujuh huruf al-Quran dan ini menjadikan ianya bertepatan dengan wajah-wajah qiraat yang pernah diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada para sahabat.

            Terdapat banyak hadith yang berkaitan dengan tujuh huruf, dan pelbagai pendapat ulama mengenai maksudnya. Antara hadith yang menunjukkan al-Quran diturunkan dalam tujuh huruf ialah sabda baginda s.a.w. :

أقرأني جبريل علي حرف فراجعته فلم أزل أستزيده ويزدني حتي انتهى الي سبعة أحرف
Maksudnya:
“Jibril a.s. telah mengajar kepadaku satu huruf, maka aku sentiasa mengulanginya dan aku sentiasa memintanya supaya ditambahkan, dan akhirnya ia menambahkan kepadaku sehingga selesai tujuh huruf”.      

            Salah satu pendapat yang disepakati oleh para ulama ialah tujuh huruf bacaan itu merangkumi perselisihan nama sama ada ia mufrad, muthanna atau jama’dan sama ada muzakkar atau muannath, perselisihan pada cara i’rab, perselisihan pada tasrif, perselisihan sama adamendahulukan atau mengakhirkan sesuatu huruf atau kalimah, perselisihan dari segi ibdal, perselisihan dari segi menambah atau mengurangkan sesuatu huruf atau kalimah dan perselisihan pada lahjah sama ada tebal, nipis, tashilisymam dan sebagainya.

 Bertepatan Dengan Pembentangan Terakhir

            Terdapat satu lagi faktor yang penting yang membuktikan bahawa Rasm Uthmani sangat diutamakan dalam penulisan al-Quran, iaitu ianya bertepatan dengan pembentangan terakhir al-Quran oleh Rasulullah s.a.w. bersama malaikat Jibril a.s.

            Semasa Rasulullah s.a.w. melakukan semakan terakhir al-Quran di hadapan malaikat Jibril a.s., salah seorang daripada sahabat nabi iaitu Zaid bin Thabit turut hadir bersama-sama. Oleh itu apabila beliau diberi tanggungjawab untuk menulis dan mengumpulkan al-Quran pada masa khalifah Abu Bakar r.a. dan khalifah Uthman r.a., maka beliau menulis dengan berpandukan kepada apa yang telah beliau dengar semasa pembentangan terakhir. Sebab itulah Zaid tidak menulis ayat yang tidak dibentangkan semasa pembentangan terakhir dalam suhuf atau mushaf, kerana beliau menganggap ayat itu telah dinasakhkan.

Perbezaan Pengumpulan Al-Quran Antara Zaman Abu Bakar dan Uthman

            Terdapat perbezaan di antara pengumpulan al-Quran yang dilakukan pada zaman Khalifah Abu Bakar dengan pengumpulan al-Quran yang dilakukan oleh Khalifah Uthman bin Affan. Daripada perbincangan sebelum ini, dapat disimpulkan bahawa pengumpulan yang dilakukan oleh Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. adalah memindahkan ayat-ayat al-Quran daripada pelepah tamar, kepingan-kepingan batu, kulit-kulit dan tulang-tulang binatang ke dalam satu mushaf. Ayat-ayat al-Quran disusun dalam surah-surah yang tertentu setelah diperiksa dengan begitu teliti dan sempurna, di samping membuang ayat-ayat yangtelah dimansukhkan. Manakala faktor yang mendorong kepada pengumpulannya pula ialah kekhuatiran terhadap kehilangan para penghafaz al-Quran, kerana ramai di kalangan mereka yang gugur syahid di dalam peperangan al-Yamamah.

            Pengumpulan yang dibuat pada zaman Sayyidina Uthman bin Affan pula adalah untuk memperbanyakkan salinan mushaf yang telah dikumpulkan oleh Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq untuk dikirimkamkan ke merata tempat wilayah Islam. Ada pun faktor yang membawa kepada usaha pengumpulannya ialah untuk menghapuskan perselisihan faham kaum muslimin tentang perbezaan qira’ah dalam membaca al-Quran. Ekoran daripada pengumpulan menjadikan al-Quran dalam satu mushaf yang lengkap yang dilakukan pada zaman Uthman inilah adanya al-Quran yang seperti mana yang ada pada kita sekarang ini.

            Inilah perbezaan pengumpulan yang dilakukan oleh Abu Bakar as-Siddiq dan Uthman bin Affan.Manfaatnya dapat kita kecapi sehingga ke hari ini. Namun apa yang perlu diketahui ialah salinan mushaf Uthman tidak berbaris dan tidak bertitik.

Sabtu, 8 Oktober 2011

IMAM AL-JAZARI

Nama dan keturunan

Tersohor dengan Ibn Al-Jazari. Nama beliau ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Yusof Al-Umri Al-Dimasyqi Al-Shirazi Al-Syafie dan lebih dikenali dengan Al-Jazari.

Beliau bermazhab Al-Syafie dan berasal dari Damsyik dan terkenal dengan gelaran imam Al-A’zam. Imam Al-Jazari dilahirkan pada pada 25 Ramadhan tahun 751 Hijrah bersamaan November 1350M, pada malam Sabtu selepas solat Tarawih.

Kelahiran beliau adalah selepas 40 tahun perkahwinan kedua ibu bapanya tanpa mendapat cahaya mata. Bapanya Al-Jazari merupakan seorang peniaga yang soleh dan bercita-cita untuk mendapatkan seorang anak yang soleh lagi berilmu. Justeru itu beliau memberi didikan yang baik menekankan hafazan al-Quran kepada Ibn Al-Jazari secara bertajwid.


Riwayat Hidup Imam Ibn Al-Jazari

Imam Ibn Al-Jazari dibesarkan di Damsyiq, pada umurnya mencecah 13 tahun (764H) beliau sudah menghafaz al-Quran dan boleh membacanya ketika solat[1].

Bapa beliau telah berangkat ke Masjid Al-Haram untuk menunaikan ibadat Umrah. Di sana beliau mengambil air zam-zam sebagai ubat dan syafaat, moga-moga dengan keberkatan air suci tersebut tercapailah hasrat yang diidamkan selama ini. Pengambilan air tersebut juga mengambil barakah daripada Rasulullah s.a.w. :

"عن ابن عباس t، قال رسول الله r ماء زمزم لما شرب له أن شربته تشتفى به شفاك الله، وان شربته لشعبك أشبعك الله به، وان شربته لقطع ظمنك قطعه، وهي هزمة جبريل رسقيا الله اسماعيل".
-رواه الدارقطنى-

Maksudnya : Daripada Ibnu Abbas r.a., sabda Rasulullah s.a.w. “ Air zamzam itu mengikut hasrat peminumnya, sesiapa yang minum kerana ingin sembuh maka Allah akan menyembuhkannya, sesiapa yang minum untuk merasa kenyang maka Allah akan kenyangkannya, sesiapa yang minum untuk menghilangkan dahaga maka Allah akan hilangkannya, ia adalah pemberian (kemenangan) Jibril dan Allah memberi minum kepada Nabi Ismail”.
-Riwayat Darul Al-Qatny.-

Ekoran daripada peristiwa tersebut, impiannya telah menjadi kenyataan. Imam Ibn Al-Jazari dibesarkan dengan didikan agama yang sempurna disertai dengan didikan ilmu yang kukuh. Beliau telah menghafaz al-Quran ketika usia 13 tahun dan telah mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran di dalam solat tarawih pada tahun yang berikutnya. Beliau juga mempelajari ilmu Qiraat dengan seorang syaikh yan gpaling alim ddi dalam ilmu qiraat iaitu Syaikh Ibnu Lubban ketika beliau berumur 17 tahun.

Pada masa yang sama, beliau juga mempelajari Ilmu Hadith. Langkah pertama dalam menuntut ilmu, beliau telah menuju ke Baitullah untuk mengerjakan ibadah haji pada tahun 768H ketika berusia 17 tahun. Beliau mengambil kesempatan mempelajari dua kitab qiraat iaitu Al-Kafi dan Al-Taysir dengan Syaikh Abi Abdullah Muhammad bin Salih di Masjid Al-Nabawi Al-Munawwarah.

Beliau menuntut ilmu di beberapa tempat seperti di Basrah, Kufah, Mesir, Yaman, Hijaz dan Syam. Beliau sentiasa berulang alik ke semua tempat-tempat tersebut hanyalah untuk menuntut ilmu sambil berniaga. Imam Al-Jazari telah berjaya menguasai bacaan Qiraat bagi 14 Imam. Beliau bukan sahaja menuntut ilmu yang lain seperti ilmu Hadith, ilmu Balaghah, ilmu Usul, ilmu Fiqh dan lain-lain lagi. Sehinggakan beliau diberi pengiktirafan mengeluarkan fatwa oleh tiga orang mufti Mesir yang terkemuka seperti Al-Qadhi Abdul Fida’ (774H), Al-Qadhi Diauddin (778H) dan Syeikh Al-Islam Al-Baqilani pada tahun 785H. Ketika itu beliau berusia 34 tahun.

Pada tahun 793H, beliau dilantik menjadi Qadi (Hakim Tertinggi) di negerinya iaitu Damsyiq. Di sini beliau telah mengasaskan pusat pengajiannya yang diberi nama “Dar Al-Quran”. Imam Al-Jazari juga dilantik menjadi qadi di Syiraz. Di sini juga beliau telah membuka pusat pengajian yang diberi nama “Dar Al-Quran” sebagai meneruskan apa yang telah belaiu tubuhkan sebelum ini dan beliau mengajar di situ.

Imam Al-Jazari telah menghafaz kitab Qiraat yang dikarang oleh Imam Al-Syatibiy dari beberapa orang tokoh Qurra di Mesir. Beliau juga menjadi tokoh dalam penguasaan semua ilmu-ilmu agama, tetapi penonjolan beliau dalam ilmu Qiraat melebihi ulama-ulama lain.

Imam Ibn Al-Jazari meninggal dunia pada 9 Rabi Al-Awwal tahun 833 Hijrah (2 Disember 1429) di rumahnya di Syiraz. Ajalnya menjemput tatkala hampir masuk waktu Zuhur hari Jumaat. Pada Ketika itu beliau berumur 82 tahun dan dikebumikan di madrasah yang telah beliau asaskan itu. Beliau telah meninggalkan banyak khazanah yang paling berharga kepada umat Islam khasnya dan umat manusia amnya.

Kitab beliau banyak menjadi sumber utama bagi orang-orang yang ingin mendalami ilmu Qiraat, kita beliau juga yang menghidupkan qiraat yang telah ditinggalkan manusia. Antara pesanan Imam Ibn AL-Jazari di dalam kitabnya :

وليلزم الوقار والتأدب     *     عند الشيوخ ان يرد أن ينجب

Maksudnya :
Lazimlah (wajiblah) tenang dan beradab, ketika bersama dengan syaikh (guru) bagi sesiapa yang ingin berjaya


Guru

Ibn Al-Jazari telah menghafaz al-Quran, mempelajari qiraat, mendengar hadith daripada ramai syeikh di Damsyiq dan tanah Hijaz. Antara mereka ialah :

Ø  Abu Muhammad Abd Al-Wahhab bin Yusof bin Al-Sallar (698H-782H), beliau merupakan guru pertama kepada Ibn Al-Jazari dengan memperolehi banyak manfaat dan sentiasa mendampinginya semenjak kecil lagi.
Ø  Ahmad bin Ibrahim bin Al-Tahhan Al-Manbaji (702H-782H). Beliau pernah mengijazahkan Ibn Al-Jazari dengan Ijazah Qiraat Sepuluh walaupun beliau baru sahaja selesai surah Al-Fatihah dan awal-awal Surah Al-Baqarah.
Ø  Ahmad bin Rajab bin Al-hasan Al-Sulami Al-Baghdadi (775H)
Ø  Ibrahim bin Abdullah Al-Humawi Al-Muaddib (773H). Beliau seorang yang sangat alim dengan ilmu Tajwid dan Ibn Al-Jazari mempelajari daripadanya.
Ø  Abu Al-Maali bin Al-Lubban (Muhammad bin Ahmad Al-Dmasyqi) (715H-776H)
Ø  Abu Abdullah Muhammad bin Soleh Al-Madani (785H) seorang khatib dan imam Masjid Al-Nabawi.
Ø  Abu Bakr Abdullah bin Aidaghdi bin Abdullah Al-Shamsi, yang terkenal dengan al-Jundi (699H-799H)
Ø  Abu Abdullah Muhammad bin Abd Al-Rahman Al-Soigh Al-Hanafi (704H-776H)
Ø  Abu Muhammad bin Abd Al-Rahman bin Ahmad bin Ali Al-Baghdadi Al-Wasiti Al-Masri (702H-781H)[2].

Dr. Ahmad Muhammad Muflih al-Qudoh menyenaraikan di dalam tesis P.H.D. beliau, sebanyak 41 guru Imam Ibn Al-Jazari (yang terkemuka sahaja).[3]

Murid

Imam Ibn Al-Jazari telah memberi sumbangan yang sangat besar. Segala baktinya tidak terhitung nilainya melalui pengajaran, pemfatwaan, dakwah dan lain-lain lagi semenjak beliau masih muda lagi. Beliau banyak mengadakan pengembaraan ilmu, maka dengan sebab itulah ramai yang mengambil mutiara ilmu daripadanya. Antara murid-muridnya yang terkemuka ialah :

Ø  Abu Bakr Ahmad bin Muhammad bin Al-Jazari.
Ø  Abu Al-Fath Muhammad bin Muhammad bin Al-Jazari (777H-814H).
Ø  Abu Al-Khair Muhammad bin Muhammad bin Al-Jazari.
(Ketiga-tiga mereka adalah anak Imam Ibn Al-Jazari sendiri.
Ø  Mahmud bin Al-Husain bin Sulaiman Al-Shirazi
Ø  Al-Khatib Mukmin bin Ali Al-Rumi
Ø  Abd Al-Qadir bin Tallah Al-Rumi
Ø  Jamal Al-Din Muhammad bin Muhammad, yang terkenal dengan nama Ibn Iftikhar Al-Harawi.[4]

Nukilan Tinta

Imam Ibn Al-Jazari sangat produktif dalam penulisan. Sebagai bukti kita dapat melihat beliau menulis di dalam banyak bidang pengajian Islam, lebih-lebih lagi dalam bidang qiraat yang menjadi keutamaan beliau. Beliau telah meninggalkan jasa bakti yang amat bernilai di dalam pengajian Qiraat, Ulum Al-Quran, hadith, fiqh dan usul, tarikh, bahasa arab dan lain-lain.

Karangan beliau dalam bidang-bidang tersebut sebanyak 78 buah. Antara karangan beliau yang masyhur ialah :

Ø  Muqaddimah Al-Jazariah yang memperkatakan asas ilmu Tajwid yang mesti diketahui oleh setiap pembaca al-Quran.
Ø  Al-Nasyr Fi Al-Qiraatul Al-Asyar yang memperkatakan ilmu Qiraat bagi sepuluh imam yang diakui sah dari Rasulullah s.a.w.
Ø  Toiyibatun Nasyr[5] yang memperkatakan ilmu Qiraat sepuluh. Buku ini merupakan penyusunan semula Kitab Al-Nasyr di atas dalam bentuk syair.
Ø  Al-Durrat Al-Mudiyyah yang disusun dalam bentuk puisi. Buku ini menyatakan ilmu qiraat bagi tiga imam qiraat sebagai pelengkap kepada apa yang telah dinyatakan oleh imam Al-Syatibi dalam Hirz Al-Amani Wa Wajh Al-Tahani yang memperkatakan qiraat tujuh. Ia juga lebih dikenali dengan Matan Durrah.
Ø  Al-Tamhid Fi Ilmi Al-Tajwid yang memperkatakan ilmu tajwid secara lengkap dan menyeluruh
Ø  Al-Masad Al-Ahmad Fi Khatmi Sanad Ahmad yang membincangkan tentang ilmu Hadith dan sanad Imam Ahmad bin Hanbal.
Ø  Al-Hisn Al-Husin yang memperkatakan doa-doa dan zikir-zikir yang jelas datangnya dari Rasulullah s.a.w.

Apa Kata Ulama?

Beliau telah mencapai kedudukan yang tinggi dan mulia pada zamannya, selepas meninggal dunia juga sehingga ke zaman ini. Semuanya dicapai hasil usaha gigih beliau dalam memperkembangkan ilmu-ilmu Islam terutamanya di dalam mempelopori pengajian Ilmu Qiraat.

Beliau mendapat banyak pujian dan dikagumi oleh ramai ulama, antaranya :
Ø  Al-Sakhawi : “Beliau (Ibn Al-Jazari) mempunyai periwayatan hadith yang tinggi dan menghafalnya, mahir ilmu Al-Jarh Wa Al-Ta’dil serta mengetahui rawi-rawi terdahulu dan terkemudian”.[6]
Ø  Al-Sayuti : “Seorang hafiz , muqri’, syeikh qiraat pada zamannya”. Kata beliau lagi : “Ibn Al-Jazari juga seorang imam dalam qiraat yang tiada tandingan di dunia ini pada zamannya”.[7]
Ø  Syeikh Zakaria Al-Ansari : Seorang Al-Syeikh Al-Imam, sangat luas ilmu, Syeikh Al-Islam dan Hafiz pada zamannya”.[8]
Ø  Syeikh Al-Dobba’ : “Sesungguhnya kitab al-Nasr adalah suatu petunjuk yang jelas kepada kehebatan penulisnya, sehingga digelar dengan Imam Al-Muhaqqin, Imam Al-Hujjah ...” (lihat mukadimah Al-Nashr, hlm.5).
Ø  Muhammad Sodiq Qamhawi : “ibn Al-Jazari bukan hanya alim dalam bidang Qiraat, bahkan juga alim dalam pelbagai ilmu seperti, tafsir, hadith, fiqh, usul, tauhid, sarf, balaghah dan bahasa”.


[1] Ibn Al-Jazari : Ghayah Al-Nihayah : juz 2, hlm. 247
[2] Dr. Abd Al-Qayyum bin Abd Al-Ghafur Al-Sindi : Safahat fi Ulum Al-Qiraat : hlm.227)
[3] Ibn Al-Jazari : Tahbir Taisir : Tahqiq : Dr. Ahmad Muhammad Muflih Al-Qudoh : hlm. 33-42, 2000M
[4] Dr. Abd Al-Qayyum bin Abd Al-Ghafur Al-Sindi : Safahat fi Ulum Al-Qiraat : hlm. 272-278
[5] Sila lihat lampiran pada muka surat 25
[6] Al-Sakhawi : Al-Dau Al-Lami’ : juz 9 : hlm. 258, 1355H
[7] Al-Sayuti : Tabaqat al-Huffaz : hlm. 549
[8] Syeikh Zakaria Al-Ansari : Syarh al-Muqaddimah Al-Jazariyyah Fi Ilm Al-Tajwid : hlm.3, 1992M

Khamis, 6 Oktober 2011

BERSABARLAH MENGHADAPI UJIAN


Hidup di dunia tidak lepas dari ujian dan dugaan dari Allah. Itu sudah menjadi rencah kehidupan manusia. Ada dua jenis bentuk ujian buat manusia, ujian dalam bentuk kesenangan dan ujian dalam bentuk kesusahan.
Cuma, acapkali apabila disebut ujian Allah maka rata-rata manusia beranggapan ujian itu adalah dalam bentuk bala dan musibah. Ramai yang lupa akan ujian kesenangan yang datang dalam pelbagai bentuk kekayaan, kekuasaan, kesihatan dan bermacam-macam lagi.
Bahkan ujian kesenangan sebenarnya lebih sukar kerana kebiasaannya manusia itu lupa kepada Tuhan tatkala dirinya mengecapi pelbagai kesenangan hidup. Apabila ditimpa kesusahan, kebanyakan manusia akan kembali menyeru Tuhannya.
Mengenai ujian kesusahan, firman Allah di dalam Surah al-Baqarah:
[155] Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:
[156] (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
[157] Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.
Maka antara ujian yang datang daripada Allah itu ialah timbulnya perasaan takut di hati, kelaparan, hilangnya harta benda, tanaman dan orang yang disayangi. Kebiasaannya apabila manusia ditimpa musibah, pastinya mereka akan berada dalam keadaan sedih, dukacita dan gusar. Tetapi manusia yang bersabar menghadapi ujian akan menerima khabar gembira.
Ciri Manusia Yang Sabar
Manusia yang sabar ialah mereka yang apabila ditimpa kesusahan akan segera ingat kepada Allah, dengan berkata, "Inna lillah wa inna ilayhi raji'un," bahawa hidup kita ini secara keseluruhannya adalah hak milik mutlak Allah - apa sahaja yang kita miliki, baik harta, kuasa, bahkan nyawa kita dan orang-orang yang kita sayangi kesemuanya adalah hak milik Allah. Maka pastinya Allah berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya ke atas segala yang dimiliki-Nya, dan akan tiba masa dan ketika di mana kesemuanya akan dikembalikan kepada-Nya.
Para 'ulama mengingatkan bahawa sabar itu mestilah berlaku pada pukulan pertama, iaitu ketika mula-mula musibah melanda. Bukannya seperti kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Manusia apabila mula-mula ditimpa musibah, ramai yang akan cepat melatah dan tidak redha dengan ketentuan tersebut. Setelah keadaan reda sedikit dan dia mula sedar bahawa dia tidak memiliki jalan keluar, barulah dia akan mula insaf, redha kepada ketentuan Tuhan dan berkata, "Sabar sahajalah, nak buat macam mana lagi..."
Itu bukanlah konsep sabar yang sebenar. Sabar yang sebenar ialah pada detik pertama musibah melanda, lantas manusia yang bersabar terus redha dengan ketentuan Allah tanpa sedikit pun timbul rasa kecewa atau penyesalan. Mereka inilah yang akan mendapat khabar gembira tersebut walaupun dilanda kesusahan.
Apa pula bentuk khabar gembira itu? Pertama khabar gembira itu datang dalam bentuk selawat daripada Allah, iaitu mendapat keberkatan daripada Allah dan keampunan dari dosa-dosa.
Kemudian datang pula rahmat Allah melimpahi mereka. Sa'id ibn Jubayr rahimahullah, seorang tokoh Tabi'in mengatakan bahawa rahmat itu ialah pelindung daripada siksa azab neraka. Dan akhirnya mereka adalah orang yang benar-benar mendapat petunjuk daripada Allah. Orang yang mendapat petunjuk pula akan mendapat ganjaran yang banyak kerana mereka mengikut petunjuk Allah.
Abu Salamah Dan Ummu Salamah
Ada satu kisah menarik yang perlu kita soroti. Siapa yang tidak kenal akan Abu Salamah dan isterinya, Ummu Salamah, radiyallahu 'anhuma. Kedua-duanya adalah antara sahabat Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam yang terawal memeluk Islam. Mereka berdua adalah antara pasangan yang sangat bahagia, namun ditentang oleh suku kaum mereka kerana mereka memeluk Islam. Suku Makhzum adalah antara puak yang terkenal sangat kuat menentang Islam di Makkah.
Pada awalnya, kedua-dua Abu Salamah dan Ummu Salamah berhijrah ke Habsyah. Kemudian tatkala timbul seruan hijrah ke Madinah, bersiap-siaplah Abu Salamah, Ummu Salamah dan anak mereka Salamah untuk berhijrah ke Madinah. Abu Salamah hanya memiliki seekor unta, maka dia terpaksa berjalan dan membiarkan isteri dan anaknya menunggang unta.
Malang sekali di pertengahan jalan, kaum keluarga mereka telah mengejar dan menahan mereka. Unta Abu Salamah dirampas, manakala Ummu Salamah dibawa pulang oleh keluarganya ke Makkah manakala keluarga Abu Salamah pula mengambil anak mereka Salamah kembali ke Makkah jua. Akhirnya Abu Salamah terpaksa berhijrah ke Madinah seorang diri, dan terpisahlah ketiga-tiga mereka.
Setiap hari, Ummu Salamah akan kembali ke tempat mereka dipisahkan dan mengenangkan suaminya di Madinah dan anaknya yang dijaga oleh keluarga suaminya di Makkah. Lebih kurang setahun ketiga-tiga mereka hidup terpisah sehinggalah akhirnya Ummu Salamah dan anaknya dibebaskan.
Dengan semangat yang kuat, Ummu Salamah membawa anaknya, Salamah yang masih kecil untuk ke Madinah. Bayangkan seorang wanita dan anak kecilnya ingin berjalan jauh menuju ke pangkuan suami berseorangan semata-mata kerana ingin menjaga agamanya!
Ummu Salamah tidak mahu berlengah kerana takut suku kaumnya akan merubah fikiran dan kembali menahannya dan memisahkannya dari anaknya. Lantas dia memulakan perjalanan, dan sesampainya di Tan'im, penjaga Kaabah - Uthman ibn Talhah yang masih belum memeluk Islam berpendapat bahawa tidaklah patut Ummu Salamah dan anak kecilnya dibiarkan berkelana ke Madinah tanpa ditemani lelaki. Maka dia berjanji kepada Ummu Salamah bahawa dia akan membawa mereka ke Madinah.
Akhirnya bersatulah kembali Ummu Salamah dan suaminya, Abu Salamah. Percintaan suami isteri ini sangatlah kuat, sehingga dikatakan pada suatu hari, Ummu Salamah berkata kepada suaminya bahawa dia (Ummu Salamah) mendengar daripada Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam bahawa sekiranya kedua-dua suami isteri dapat masuk syurga, maka si suami akan kembali bersama isterinya jika isterinya tidak berkahwin lain selepas kematian suaminya; begitu juga isteri akan bersama suaminya jika suaminya tidak berkahwin lain selepas isterinya mati.
Lantas Ummu Salamah meminta suaminya agar mereka sama-sama berjanji untuk tidak berkahwin lain jika salah seorang mereka mati dahulu agar dapat bersama-sama kembali di syurga. Tetapi suaminya, Abu Salamah berkata, sekiranya dia (Abu Salamah) mati dahulu, dia mahu isterinya berkahwin lagi. Lantas Abu Salamah berdoa kepada Allah, andai dia (Abu Salamah) mati dahulu, kurniakanlah kepada isterinya seorang suami yang lebih baik darinya. Begitu hebat cinta dan kasih sayang kedua-dua suami isteri ini.
Pada peperangan Uhud, Abu Salamah mengalami kecederaan teruk. Ketika masih dirawat isterinya, Abu Salamah berkata bahawa dia mendengar Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam memberitahu, sesiapa yang ditimpa bala musibah, hendaklah dia menyebut istirja' (Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un), dan berdoa, "Ya Allah, berilah ganjaran atas kehilangan akibat musibah yang melanda diriku, dan berilah ganti yang lebih baik daripadanya, maka pasti Allah akan mengurniakan sesuatu yang lebih baik." Akhirnya Abu Salamah meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya, dan tinggallah Ummu Salamah bersama anak-anak mereka di Madinah.
Ummu Salamah, tatkala teringat kembali akan kata-kata suaminya, sering melafazkan istirja' dan doa tersebut. Cuma dia seringkali tidak dapat meneruskan lafaz 'berilah ganti yang lebih baik', dan jika disebut juga lafaz tersebut, dia akan terkenang kerana baginya siapakah lelaki yang dapat menjadi suamu yang lebih baik daripada Abu Salamah. Segala kesusahan yang pernah mereka alami tatkala mula-mula memeluk Islam, ditambah dengan kebahagiaan mereka di Madinah menguatkan lagi rasa cinta Ummu Salamah kepada suaminya. Namun akhirnya berkat doa Ummu Salamah tersebut Allah mengurniakan Ummu Salamah seorang suami yang akhirnya diakui lebih baik dari Abu Salamah. Siapakah lelaki itu? Tidak lain daripada Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam sendiri.
Lihat sahaja ujian yang melanda Ummu Salamah. Ujian apakah yang lebih berat daripada kehilangan insan-insan tersayang yang banyak pula menempuh suka duka kehidupan bersama di jalan Allah. Namun Allah tetap memberi ganjaran kepada hamba-hamba-Nya yang bersabar.