Qudwah Hasanah

Qudwah Hasanah bererti contoh teladan yang terbaik.

Rasulullah saw merupakan contoh teladan yang terbaik bagi sekalian umat manusia. Ia dapat dilihat pada sifat, sikap, fikiran dan tindakan, kehidupan, semangat, perjuangan dan kepimpinan baginda.

Kesemua sifat dan sikap Rasulullah saw adalah kesan daripada didikan al-Quran. Setiap perkara yang dilakukan dan ditinggalkan oleh baginda adalah pelaksanaan daripada setiap perintah al-Quran. Setiap nilai al-Quran terdapat dalam diri Rasulullah saw sehingga baginda dianggap sebagai al-Quran hidup.


Jumaat, 19 Februari 2010

SIFAT WAJIB BAGI RASUL

Rasul adalah manusia dan lelaki yang diwahyukan oleh Allah kepadanya dengan syarak dan disuruh menyampaikan kepada umatnya. Rasul mempunyai sifat yang paling sempurna di kalangan manusia. Mereka juga adalah lelaki yang merdeka, sempurna akal, ilmu, kejadian dan perangainya. Ini kerana mereka bukan sekadar menyampaikan wahyu sahaja tetapi juga menjadi contoh kepada manusia.
Para rasul adalah manusia istimewa pilihan Allah yang membawa ajarannya. Mereka dididik dan dipelihara oleh Allah daripada melakukan kejahatan dan kakejian, supaya mereka benar-benar layak memimpin manusia dengan ajaran-ajaran Allah S.W.T. Allah menyebut dalam surah Ali Imran ayat 33 yang bermaksud:-
"Sesungguhnya Allah Telah memilih Adam, Nuh, keluarga Ibrahim dan keluarga 'Imran melebihi segala umat (di masa mereka masing-masing),"


Allah berkata kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam surah al-Qalam ayat 4, maksudnya: "Dan Sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung."


Beriman kepada Rasul adalah salah satu daripada Rukun Iman, dan ia merupakan Rukun Iman yang keempat. Allah S.W.T. mengutuskan rasul kepada manusia adalah untuk memenuhi keperluan penting bagi manusia dalam kehidupan mereka menurut fitrah yang sebenar. Setiap jalan yang sebenar pada setiap zaman mesti mengikut apa yang diwahyukan oleh Allah kepada rasul-Nya.
Ibnu Qayyim berkata, “Sesungguhnya tidak ada jalan kebahagiaan dan kemenangan di dunia dan di akhirat melainkan apa yang ada pada rasul-rasulnya. Tidak ada jalan bagi mengetahui perbezaan antara baik dan jahat secara terperinci melainkan daripada mereka. Kita tidak akan mencapai keredhaan Allah melainkan melalui ajaran mereka. Mereka adalah neraca penentu yang sebenarnya bagi menimbang ucapan kata-kata, amalandan akhlak”.

Allah memilih di kalangan hambanya segolongan manusia yang dijadikan contoh kemuliaan dan kesempurnaan sifat manusia.Mereka yang layak membawa petunjuk daripada Allah serta memimpin manusia kea rah kebahagiaan. Allah memilih para nabi dan rasul dengan ilmunya yang tidak terhingga dan di bawah hidayahnya. Allah memuliakan mereka dengan sifat kenabian yang melayakkan mereka menjadi pemimpin dalam urusan agama dan dunia. Sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam surah al-Anbiyaa’ ayat 73, maksudnya:

"Kami Telah menjadikan mereka itu sebagai pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah kami dan Telah kami wahyukan kepada, mereka mengerjakan kebajikan, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan Hanya kepada kamilah mereka selalu menyembah,"


SIFAT-SIFAT RASUL

Rasul adalah manusia pilihan Allah yang membawa amanah wahyu dan menyampaikan dakwah dan risalah Allah kepada hamba-hambanya. Jadi mereka mesti terdiri daripada manusia yang paling sempurna kemanusiaannya dari segi ilmu, akhlak, dan keturunan. Mereka di tarbiyahkan di bawah pemeliharaan Allah. Sebagaimana firman Allah Taala dalam surah Sad ayat 45 hingga 48: Maksudnya:

"Dan ingatlah hamba-hamba Kami: Ibrahim, Ishaq dan Ya'qub yang mempunyai perbuatan-perbuatan yang besar dan ilmu-ilmu yang Tinggi. Sesungguhnya kami Telah mensucikan mereka dengan (menganugerahkan kepada mereka) akhlak yang Tinggi yaitu selalu mengingatkan (manusia) kepada negeri akhirat. Dan Sesungguhnya mereka pada sisi kami benar-benar termasuk orang-orang pilihan yang paling baik. Dan ingatlah akan Ismail, Ilyasa' dan Zulkifli. semuanya termasuk orang-orang yang paling baik."


Allah berfirman kepada nabi Musa dalam surah Toha ayat 39 yang bermaksud:-

"dan Aku Telah melimpahkan kepadamu kasih sayang yang datang dari-Ku dan supaya kamu diasuh di bawah pengawasan-Ku,"


Begitulah ayat-ayat al-Quran menyatakan berkenaan para rasul dan menyatakan sifat-sifat mereka yang mulia dan sempurna. Ini menunjukkan tingginya martabat para rasul,dan sesuai dengan kedudukan mereka sebagai utusan Allah dan menjadi petunjuk serta ikutan manusia seluruhnya.

Rasul merupakan pesuruh Allah S.W.T. yang memiliki sifat-sifat yang terpuji dan sentiasa dipelihara daripada melakukan segala dosa. Sifat-sifat rasul terbahagi kepada tiga bahagian iaitu sifat wajib, sifat mustahil dan sifat harus.

1. Siddiq

Siddiq bererti benar. Ia diambil daripada kalimah as-Sidqu (الصدق) iaitu mengatakan yang benar dan terang. Keutamaan dan kemuliaan sifat benar itu diperjelaskan oleh Allah Taala dalam surah al-Ahqaqaf ayat 16, maksudnya:

"Mereka Itulah orang-orang yang kami terima dari mereka amal yang baik yang Telah mereka kerjakan dan kami ampuni kesalahan-kesalahan mereka, bersama penghuni-penghuni surga, sebagai janji yang benar yang Telah dijanjikan kepada mereka."

Allah telah menjadikan sifat benar (siddiq) itu sebagai sifat nabi sesuai dengan firmanNya dalam surah al-Ahzab ayat 22 yang bermaksud:-

"Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka Berkata: "Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita". dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan."

Sifat benar ini wajib ada pada rasul. Ia menjadi sifat yang mutlak iaitu bersifat benar dalam semua perkara sama ada dalam percakapan, perbuatan dan hati. Apa yang disabdakan oleh para rasul dan para nabi adalah benar dan dibenarkan kata-katanya. Para nabi dan rasul mempunyai sifat siddiq iaitu membawa kebenaran.

2. Amanah

Perkataan amanah (الأمانة) mempunyai pengertian khusus dan umum. Dalam pengertian khusus amanah bererti mengembalikan harta benda kepada yang mengamanahkannya. Manakala dalam pengertian khusus pula amanah memberi maksud menyembunyikan rahsia, ikhlas dalam memberi nasihat dan benar-benar menyampaikan sesuatu bila ditugaskan untuk menyampaikannya. Allah berfirman dalam surah an-Nisaa’ ayat (t.t) yang bermaksud:-
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha Melihat."

Disebut golongan orang-orang yang selamat dari seksaan api neraka jahanam, sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah al-Maarij ayat 32, maksudnya:

"Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya."

Sifat amanah Rasulullah s.a.w. seperti sifat-sifatnya yang utama adalah langkap dan sempurna. Tidak diragukan lagi bahawa keluhuran budinya adalah penyumbang terbesar yang menyebar-luaskan risalah Allah. Baginda telah menyampaikan risalah itu kepada manusia dengan sebaik-baiknya.

Bangsa Arab telah mengenal sifat amanah Rasulullah s.a.w. sebelum baginda diutus. Mereka memberi dengan gelaran “Al-Amin” orang yang terpercaya. Oleh kerana itu mereka menerima keputusan-keputusan baginda dalam perselisihan di antara mereka dan rela dengan ketetapan Rasulullah s.a.w. sebagaimana keputusan tentang perletakan Hajarul Aswad yang dibuat oleh Rasulullah.

Sifat amanah yang dimiliki oleh para rasul mesti kita ikuti. Sifat sebegini sangatlah diperlukan dalam kehidupan kita, tidak kira dalam ibadah khusus atau ibadat umum seperti ketika bekerja, belajar atau berhubungan dengan orang lain.

3. Tabligh

Maksud tabligh ( تبليغ )ialah menyampaikan. Para rasul menyampaikan wahyu yang diterima daripada Allah, di mana menyampaikan itu menjadi sifat yang istimewa kepada mereka. Mustahil mereka menyembunyikan wahyu Allah. Mereka tetap menyampaikannya walaupun menghadapi kezalimann dan kekejaman manusia. Allah menceritakan berkenaan nabi Noh a.s. dalam surah al-A’raaf ayat 61 dan 62 yang bermaksud:

"Nuh menjawab: "Hai kaumku, tak ada padaku kesesatan sedikitpun tetapi Aku adalah utusan dari Tuhan semesta alam". "Aku sampaikan kepadamu amanat-amanat Tuhanku dan Aku memberi nasehat kepadamu. dan Aku mengetahui dari Allah apa yang tidak kamu ketahui".

Semua rasul mengisytiharkan dengan berterus-terang dan bersemuka bahawa mereka menyampaikan perintah Allah danmenasihati umatnya. Begitu juga kita dapati nabi Muhammad s.a.w. diperintahkan supaya menyampaikan perintah Allah kepada umat manusia. Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Maaidah ayat 67 maksudnya:

"Hai rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, berarti) kamu tidak menyampaikan amanatNya. Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir."


Para rasul sentiasa menyampaikan segala ajaran, peringatan, hokum-hukum, berita gembira dan berita buruk kepada seluruh umatnya. Ekoran daripada inilah Islam tersebar luas ke setiap pelusuk benua dengan cepat.

4. Fatonah

Fatonah ( فطانة ) bermaksud cerdik dan bijaksana. Setiap rasul yang dipilih oleh Allah wajib bersifat dengan sifat fatonah, malah secara luar biasa dalam memahami ajaran Allah. Para rasul memiliki kekuatan ingatan dan ketajaman akal yang luar biasa, sehingga tidak ada sesiapa yang mampu menandingi mereka, kerana mereka telah diamanahkan untuk menyampaikan agama Allah, menyatakan hokum-hukumnya, menghapuskan segala kekeliruan, menegakkan iman dalam hati manusia dengan hujjah-hujah yang kuat. Serta membatalkan segala penentangan ke atas agama Allah. Oleh itu adalah mustahil para rasul itu bodoh, dan lebih mustahil lagi Allah memilih rasulnya dari kalangan orang-orang yang tidak sempurna akal dan kebijaksanaannya. Allah berfirman dalam surah al-An’aam ayat 124, maksudnya:

"Apabila datang sesuatu ayat kepada mereka, mereka berkata: "Kami tidak akan beriman sehingga diberikan kepada kami yang serupa dengan apa yang Telah diberikan kepada utusan-utusan Allah". Allah lebih mengetahui di mana dia menempatkan tugas kerasulan. orang-orang yang berdosa, nanti akan ditimpa kehinaan di sisi Allah dan siksa yang keras disebabkan mereka selalu membuat tipu daya."



Sifat fatonah adalah sifat yang saling berkait dengan sifat tabligh, kerana dalam menyampaikan ajaran Allah para pesuruh Allah mesti menghadapi perbahasan dan perbincangan yang sengit dengan musuh-musuh mereka. Dengan sifat fatonah itu wajar bagi mereka melaksanakan perintah Allah yang terkandung dalam surah an-Nisaa’ ayat 165 yang bermaksud:

"(mereka kami utus) selaku rasul-rasul pembawa berita gembira dan pemberi peringatan agar supaya tidak ada alasan bagi manusia membantah Allah sesudah diutusnya rasul-rasul itu. dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."

Jika kita mengkaji sejarah hidup Rasulullah s.a.w., kita dapati baginda seorang yang bijak dan dapat memberi hujah yang kuat. Tidak ada seorang pun yang dapat menandinginya. Sehinggakan kata-kata baginda (hadis) menjadi hujah yang kuat hingga akhirat kelak.

Rabu, 17 Februari 2010

WASIAT LUQMANUL HAKIM

Luqmanul Hakim, ialah seorang hamba yang soleh lagi bertakwa. Allah menganugerahkan beliau dengan pengetahuan, kebijaksanaan, kefahaman agama yang mendalam, kemuliaan dan kedudukan yang tinggi. Beliau hidup pada zaman Nabi Daud as. Tokoh yang sering dikaitkan dengan kata-kata hikmah. Umat Islam amat menghormati keperibadiannya serta menerima baik dan mengambil pedoman setiap nasihat dan kata-katanya. Al-quran sendiri telah menyebut nama serta menerangkan hakikat kewujudannya dengan menjelaskan tentang anugerah Allah kepadanya berupa kebijaksanaan dan ilmu pengetahuan. Ilmu itu beliau sampaikan pula kepada anaknya. Wasiat beliau dianggap sebagai ‘role model’ yang paling ideal dalam uslub dakwah.

Dalam al-Quran, surah ke 31 diberi nama dengan namanya iaitu Surah al-Luqman. Dalam surah ini, terdapat dasar-dasar hikmah yang diwasiatkan kepada putera-puteranya dan mendapat kemulian yang amat tinggi. Dua kali tercatat nama beliau dalam surah tersebut iaitu pada ayat 12 dan 13:-

Maksudnya:
12. dan Sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): bersyukurlah kepada Allah (akan Segala nikmatNya kepadaMu)". dan sesiapa Yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa Yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana Sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
13. dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman Yang besar".
( Al-Luqman:12-13)


Beliau digelar al-Hakim kerana kata-kata beliau dan kisahnya menjadi pengajaran dan teladan kepada manusia. Luqman adalah seorang bapa yang penyayang lagi bijaksana. Beliau memandang kepada anaknya dengan pandangan kasih sayang dan penuh belas kasihan. Beliau menasihati anaknya dengan nasihat yang lengkap dengan segala-galanya. Kata-kata yang diucapkannya adalah ibu kepada segala nasihat untuk menyucikan hati. Luqman sangat mengambil perhatian ketika mendidik anaknya agar mereka menjalani kehidupan berdasarkan syariat Allah.

Antara ayat yang terkandung wasiat Luqman kepada anaknya ialah ayat 13 hingga ayat 19:-
13. dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman Yang besar".
14. dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa dua tahun; (dengan Yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
15. dan jika mereka berdua mendesakmu supaya Engkau mempersekutukan denganku sesuatu Yang Engkau - Dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah Engkau taat kepada mereka; dan bergaulah Dengan mereka di dunia Dengan cara Yang baik. dan Turutlah jalan orang-orang Yang rujuk kembali kepadaKu (dengan Tauhid dan amal-amal Yang soleh). kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu Segala Yang kamu telah kerjakan.
16. (Luqman menasihati Anaknya Dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, Sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau Yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di Dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana Sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi amat meliputi akan Segala Yang tersembunyi.
17. "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan Yang mungkar, dan Bersabarlah atas Segala bala bencana Yang menimpamu. Sesungguhnya Yang demikian itu adalah dari perkara-perkara Yang dikehendaki diambil berat melakukannya.
18. "Dan janganlah Engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah Engkau berjalan di bumi Dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang Yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
19. "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".

Ayat-ayat di atas adalah tujuh ayat yang terkandung dalam Surah al-Luqman, juga merupakan pesanan dan ajaran beliau kepada putera-puteranya agar mereka dapat menjalani kehidupan mengikut syariat Allah SWT. Prinsip-prinsip pendidikan yang terkandung dalam ayat tersebut merangkumi aspek aqidah, ibadat, akhlak, dan dakwah . Apa yang membanggakan prinsip-prinsip inilah yang menjadi renungan dan ikutan masyarakat Islam hingga ke hari ini.

Berikut dijelaskan secara terperinci tentang prinsip-prinsip pendidikan Islam yang terkandung dalam ayat-ayat di atas. Prinsip yang telah dilaksanakan oleh Luqman al-Hakim semasa mendidik anak-anaknya tentang syariat Islam. Antaranya ialah:-

1. Tegahan Mensyirikkan Allah

" Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman Yang besar".

Allah menyebut dalam ayat di atas bagaimana Luqman mendidik anaknya dengan pengajaran dan asuhan yang baik. Anaknya bernama An’am dan Asykam adalah insan yang paling dikasihi dan disayangi. Lantaran itu Luqman telah menyuruh anak-anaknya menyembah Allah sahaja. Dan menegahnya jangan sekali-kali menyekutukan Allah dengan yang lain, kerana perbuatan itu adalah syirik. Syirik ialah menyekutukan atau menyamakan Allah dengan yang lain sama ada dari segi zat atau sifat atau perbuatannya. Seseorang yang melakukan syirik menyebabkan terbatal imannya, ibadatnya tidak diterima dan diakhirat diazab oleh Allah dalam neraka. Oleh sebab itu perbuatan mensyirikkan Allah dikatakan menganiayai diri sendiri. Semua perbuatan berkaitan dengan pemujaan, penyembahan, memohon perlindungan, permintaan bagi menentukan sesuatu hajat adalah hak Allah semata-mata. Jika perbuatan tersebut dilakukan kepada yang lain sama seperti mana yang dilakukan kepada Allah, berlakulah syirik.

2. Berbuat Baik Kepada Ibu bapa

Setelah menyebut nasihat Luqman kepada anaknya supaya tidak mensyirikkan Allah, selanjutnya Allah SWT menyebut pula nasihat secara umum kepada setiap anaknya supaya melakukan perbuatan baik kepada kedua ibu bapa. Kerana ibu bapalah yang menyebabkan mereka hidup di dunia. Kemudian Allah SWT berfirman yang bermaksud:-

"dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya"


Allah memerintahkan manusia supaya berbakti kepada kedua ibu bapa mereka dengan memenuhi hak-hak kedua-dua mereka. Allah juga menyebut jasa-jasa ibu secara khusus terhadap anaknya. Antaranya ibu telah mengandung dalam keadaan lemah, semakin hari kandungan bertambah besar menyebabkan ibu semakin bertambah lemah. Kemudian ibu melahirkan anaknya sehingga selesai masa nifas. Ibu juga menjaga anaknya dengan penuh kasih sayang dan menyusukan anaknya sehigga tempoh dua tahun. Allah berfirman maksudnya:-


"ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun"


Sebenarnya Allah SWT memerintahkan manusia supaya berbakti kepada kedua ibu bapanya, tetapi hanya menyebut pengorbanan ibu sahaja. Ini kerana pengorbanan ibu lebih besar, iaitu mengandung dengan susah payah kemudian melahirkannya,menjaganya siang dan malam. Oleh sebab itu ketika ada orang bertanya kepada Rasulullah saw “siapa yang utama berhak mendapat bakti daripada anak, baginda bersabda ibumu, ibumu, ibumu”. Selepas itu barulah baginda bersabda, “kemudian bapamu.

Anak-anak dikehendaki mentaati ibu bapa walau pun mereka bukan beragama Islam. Anak-anak hendaklah bersopan dan merendahkan suara ketika bercakap dengan ibu bapa, mendengar nasihat dan mematuhi perintahnya kecuali perkara yang bertentangan dengan agama Islam. Anak-anak juga dikehendaki prihatin dengan ibu bapa dengan cara melayan dan mengembirakan hati ibu bapa. Anak-anak juga hendaklah berterima kasih dan mengenang budi serta sabar dengan perangai ibu bapa terutama apabila mereka telah lanjut usia (Fauziah Mohd Ramli : 2008).

Al-Hafiz Abu Bakr Al-Bazzar telah meriwayatkan dalam musnadnya dengan sanadnya dari Burayd dari bapanya bahawa seorang lelaki mengerjakan tawaf dengan mendukung ibunya lalu dia bertanya kepada Nabi saw: “Adakah saya telah membayar haknya (ibunya)” Jawab baginda: “Tidak, tidak, walau senafas pun” (Sayyid Qutb: 2000). Demikianlah, anak tidak dapat membalas budi ibunya walau senafas pun bermula dari masa ia mengandung lagi hinggalah jasa menyusu, mengasuh dan membesarkan serta mendidik anak-anaknya.

3. Mendirikan Solat

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang,"

Luqman al-Hakim menasihati anaknya supaya menunaikan sembahyang. Sembahyang merupakan kewajipan yang mesti dilakukan dalam apa jua keadaan sebagai bukti ketaatan dan kepatuhan hamba kepada Allah. Dalam sembahyang banyak mengandungi hikmah, antaranya dapat mencegah kemungkaran, menenangkan jiwa serta membentuk peribadi muslim. Apabila seseorang melakukan sembahyang dengan sempurna, ia dapat membersihkan jiwanya sehingga mereka berserah kepada Allah sama ada ketika suka mahu pun duka. Sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadith:-

أَعْبُدُ الَّلهَ كَأَنّكَ تَرَاهُ, فَاِنْ لَّمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَاِنَّهُ يَرَاكَ

 “Sembahlah Allah SWT seolah-olah kamu melihat-Nya, jika kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihat kamu”.


Dengan sembahyang kita melatih lidah, hati dan seluruh anggota badan selalu mengingati Allah. Dalam Islam telah ditentukan bahawa kita wajib mengerjakan sembahyang itu sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam. Dapatlah kita hitungkan sendiri betapa besar kesannya kepada jiwa kalau nama Allah selalu jadi sebutan. “Allahuakbar, Alhamdulillah, Subhanallah, dengan menundukkan badan ketika rukuk, dengan mencecah dahi ketika sujud, dengan tegak yang lurus tidak melengong ke kiri dan ke kanan, kita akan mendapat kekuatan peribadi lahir dan batin, moral dan mental (Hamka: 1987).

4. Melakukan Kebaikan dan Mencegah Kemungkaran

"dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan Yang mungkar"

Setelah Luqman menasihati anaknya supaya menunaikan hak Allah SWT, kemudian beliau menasihati anaknya pula supaya menyeru orang ramai melakukan perbuatan yang baik. Selain itu Luqman juga menasihati anaknya supaya mencegah manusia daripada menderhakai Allah SWT, melanggar larangan-Nya sehingga terjerumus ke lembah neraka yang apinya menyala-nyala.

Tugas mengajak melakukan kebaikan serta mencegah kemungkaran adalah tugas para rasul. Kemudian tugas ini dipertanggungjawabkan kepada umat Islam seluruhnya. Kita dituntut berdakwah melalui tutur kata, tingkah laku dan sikap yang baik mengikut kemampuan masing-masing. Dakwah hendaklah disampaikan dengan cara yang baik yang boleh menarik seseorang mukmin mematuhi perintah dan menjauhi larangan Allah. Pendakwah hendaklah sentiasa sabar dan tabah ketika menjalankan tugas dakwahnya.

5. Jangan bersifat Sombong

"Dan janganlah Engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah Engkau berjalan di bumi Dengan berlagak sombong;

Janganlah kamu memalingkan mukamu daripada orang yang sedang kamu ajak berbicara kerana sombong dan menganggap perkara itu remeh. Halakanlah ke mukanya dengan penuh sopan dan penuh penghormatan kepadanya (Ahmad Mustafa al-Maraghiy : 2001).

Dalam berjabat tangan mula bertemu, apatah lagi bersalaman dengan orang ramai berganti-ganti, ketika berjabat tangan itu, tengoklah matanya dengan gembira. Hatinya akan besar dan silaturrahim akan teguh. Apatah lagi kalau namanya tetap diingat dan disebut (Hamka : 1990).

Islam menggariskan peraturan hidup yang sempurna untuk kebahagiaan di dunia dan diakhirat. Semasa bergaul Islam memerintahkan supaya umatnya bertegur sapa dan menunjukkan wajah yang manis serta melihat muka ketika berbicara kerana perbuatan tersebut mewujudkan kemesraan dan mengeratkan hubungan persahabatan. Kita perlu berbicara dengan lembut, berbahasa yang baik, supaya pendengar dapat memahami dengan jelas dan dapat menerima dengan hati yang terbuka. Kita juga diminta bergaul dengan baik dan menjauhi sikap sombong dan takbur kerana sifat tersebut adalah sifat iblis laknatullah. Sebuah hadith marfu’ diterima dari Alqamah dari Abdullah bin Mas’ud:-

لا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقاَلُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ, وَلا يَدْخُلُ النَّارَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ اِيمَانٍ

Maksudnya: “Tidaklah masuk ke dalam syurga barangsiapa yang ada di dalam hatinya sebesar zarah dari ketakburan, dan tidak masuk ke dalam neraka barangsiapa yang ada di dalam hatinya sebesar zarah dari Iman”.

Ketika berjalan pula, kita tenang dan bukan berlagak sombong serta meninggi diri. Allah SWT tidak sukakan orang yang bersikap angkuh, ego dan menyombong diri terhadap orang lain. Firmannya yang bermaksud:-

dan janganlah Engkau berjalan di bumi Dengan berlagak sombong, kerana Sesungguhnya Engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan Engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.

(Al-Isra’ : 37)

Segala nasihat Luqman ini patut dijadikan panduan oleh semua umat Islam untuk membentuk akhlak mulia. Melalui akhlak mulia kita akan dihormati dan mengukuhkan persahabatan, memupuk kemesraan dan keharmonian dalam pergaulan tidak mengira bangsa dan keturunan.

Kalau kita renung dan fikirkan tujuh ayat yang mengandungi nasihat Luqman al-Hakim ini, dapatlah kita simpulkan bahawa ayat-ayat ini mengandungi prinsip-prinsip pendidikan bagi seseorang muslim. Beliau dapat menjadi sumber inspirasi anak-anak kaum muslimin. Wasiat beliau mengandungi pokok akidah iaitu kepercayaan tauhid kepada Tuhan, kemudian akhlak iaitu sifat hormat, penuh cinta dan kasih sayang dari anak kepada ibu bapa. Tidak ketinggalan ingatan menunaikan sembahyang kerana sembahyang itu tiang agama, amar makruf dan nahi mungkar iaitu berani menyeru kepada kebaikan dan berani juga mencegah kemungkaran.

Adab sopan dalam pergaulan diperingatkan, supaya jangan sombong di muka bumi Allah. Bertindaklah dengan serba sederhana. Semua ini adalah kata-kata hikmah dari Luqman. Wajarlah di disebut Luqman al-Hakim.

Ahad, 14 Februari 2010

IBADAT SOLAT MEMBENTUK PERIBADI MUSLIM

Ibadat adalah kata-kata yang disertai dengan perbuatan yang memberi kesan kepada jiwa dan menjadi suatu keperluan bagi manusia. Setiap amal ibadat mempunyai fungsi sama ada berbentuk kemasyarakatan atau pun amali. Fungsi ibadat tidak boleh diteliti dari satu sudut semata-mata. Kita dianugerahkan akal fikiran untuk berfikir sehingga dapat melihat segala hikmah bagi setiap rahsia yang terkandung dalam setiap amalan kita. Sama-sama kita soroti hikmah dan pendidikan yang terdapat dalam setiap ibadat yang kita lakukan sama ada dalam ibadat khusus atau pun ibadat umum.

Ibadat Solat

Solat merupakan ibadat yang menghubungkan seorang hamba dengan Allah S.W.T. bagi membuktikan ketaatan dan kepatuhan kepadaNya. Solat merupakan tiang agama. Tidak diterima sesuatu amalan kebajikan yang dilakukan oleh seseorang manusia melainkan dia mengerjakan solat. Ini bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w. :

الصلاة عماد الدين, فمن أقامها فقد اقام الدين, ومن هدمها فقد هدم الدين.
Maksudnya:
“Solat itu tiang agama, barang siapa mendirikan solat, sesungguhnya dia telah mendirikan agamanya, barangsiapa meruntuhkan solat, sesungguhnya dia telah meruntuhkan agama”.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. lagi:

ان اول ما ينظر من أعماله , الصلاةو فان حازت له نظر في أعماله وان لم تجزله في شيء من أعماله بعد.
Maksudnya:
“Bahawasanya permulaan amalan yang diperhatikan (pada hari kiamat) ialah solat. Maka jika betul urusan solatnya, dilihatlah amalan-amalannya yang lain. Jika tidak betul urusan olatnya, tidaklah dilihat lagi kepadanya amalan-amalannya yang lain”.

Daripada keterangan di atas, jelas menunjukkan kepada kita tentang betapa pentingnya ibadat solat dalam kehidupan kita seharian.

Pengertian Solat

Pengertian solat dari sudut bahasa ialah doa atau memohon kebajikan dan juga pujian. Pengertian ini terdapat pada beberapa tempat dalam kitab suci al-Quran, antaranya firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
Ambillah zakat dari sebagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan mendoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. dan Allah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.(Surah at-Taubah : 103)

Firman Allah lagi:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu untuk nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya(Surah al-Ahzab : 56)

Manakala dari sudut syarak pula, solat diertikan dengan ”beberapa ucapan dan perbuatan yang dimulakan dengan takbir, disudahi dengan salam, dilakukan dalam keadaan beribadat kepada Allah S.W.T. dengan mengikut semua syarat yang telah ditentukan”. Pengertian solat yang dikemukakan oleh ulama fiqh ini menggambarkan ibadat solat secara lahiriah saja. Oleh itu ulama tasawuf menambahkan lagi definisi solat ini dengan pengertian solat secara batin, iaitu ”mengadap jiwa kepada Allah S.W.T. secara yang boleh mendatangkan rasa takut kepadanya, dan melahirkan di dalam jiwa rasa keagungan, kemuliaan, kebesaran, kesempurnaan dan kekuatanNya”. Jika digabungkan kedua-dua pengertian ini barulah lahir kemanisan dalam mengerjakan solat.


Pendidikan Daripada Ibadat Solat


1. Solat Membentuk Peribadi Muslim

Solat boleh melengkapkan diri manusia dengan sifat-sifat yang terpuji, dan bagi orang yang mengerjakan solat mereka mendapat petunjuk daripada Allh Taala serta mereka beroleh kejayaan. Firman Allah Taala yang bermaksud: Alif laam miin. Kitab (Al Quran) Ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa, (yaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan shalat, dan menafkahkan sebahagian rezki yang kami anugerahkan kepada mereka. Dan mereka yang beriman kepada Kitab (Al Quran) yang Telah diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang Telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat. Mereka Itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang beruntung.(Surah al-Baqarah :1-5)

Selain daripada itu, solat juga boleh memberi kesan terhadap pembersihan diri dan mengawalnya daripada terjerumus ke lembah kehinaan. Solat juga boleh membersihkan manusia daripada naluri-naluri yang tidak sihat. Sebagaimana firman Allah, maksudnya: Bacalah apa yang Telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Quran) dan Dirikanlah shalat. Sesungguhnya shalat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar. dan Sesungguhnya mengingat Allah (shalat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Sebaliknya orang yang meninggalkan sembahyang digelar orang yang tenggelam dalam hawa nafsu yang bakal menjadi ahli neraka. Firman Allah S.W.T.yang bermaksud:
Maka datanglah sesudah mereka, pengganti (yang jelek) yang menyia-nyiakan shalat dan memperturutkan hawa nafsunya, Maka mereka kelak akan menemui kesesatan.

Solat juga dapat mengajar manusia tentang disiplin. Orang yang melakukan solat dengan baik dan khusyuk akan mengekalkan disiplin kebersihan pada dirinya menjadi bersih tubuh badan, pakaian mahu pun tempat tinggalnya. Hal itu membuatkan dirinya sihat. Selain itu solat juga mengajar tentang disiplin waktu. Setiap kali mendengar laungan azan untuk solat dia akan segera untuk mendirikan solat sama ada secara berjemaah atau bersendirian. Hal sedemikian secara beransur-ansur akan membina disiplin waktu dalam diri pengamalnya.

Daripada keterangan di atas, jelaslah kepada kita bahawa solat dapat mendidik kita dengan sifat-sifat yang terpuji, dengan mengerjakan solat juga kita mendapat petunjuk daripada Allah.

2. Solat dan Fungsi Kemasyarakatan.

Solat berperanan mendisiplinkan tingkah laku manusia, mengeratkan hubungan silaturrahim sesama muslim. Orang mukmin yang berada dalam satu barisan dalam masjid yang sama, sebanyak lima kali sehari, siang dan malam tidak kira kaya atau pun miskin, mereka berhimpun dan berjemaah di masjid atau surau untuk membuka jalan dan mendalamkan semangat persaudaraan sesama Islam. Mereka yang kuat dan yang lemah berada dalam satu binaan yang kukug dan teguh itu dan saling memahami setiap keperluan dan urusan sesama mereka.

Selain daripada solat lima waktu sehari semalam, Allah juga mewajibkan ke atas umat Islam supaya melakukan solat Jumaat sekali seminggu. Pada hari dan waktu itulah mereka berkumpul untuk mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. dan pada waktu yang sama juga mereka dapat berkenal-kenalan serta mendengar nasihat, peringatan tentang perpaduan daripada khutbah yang dibaca oleh khatib yang bertugas demi mencapai keredhaan Allah Taala.

Di samping itu juga, Allah mengambil berat tentang perhimpunan yang lebih ramai dan lebih luas sebanyak dua kali setahun. Iaitu solat Idil Fitri dan Idil Adha dengan tujuan untuk memperdalamkan lagi hikmat-hikmat di atas, di samping mensyukuri nikmat Allah Taala terhadap dua peristiwa yang besar iaitu hari raya untuk umat Islam.

Demikianlah Islam telah menyusun semangat kesedaran dalam ibadat solat yang berbagai-bagai corak demi kebajikan dan kemaslahatan manusia itu sendiri. Demikian juga Allah telah mendidik kita dan seluruh umat Islam tentang solat dari segi kebajikan kepada diri sediri dan juga sesama masyarakat.

Sabtu, 13 Februari 2010

TOKOH TARANNUM KELANTAN

Nama penuh tokoh Tarannum yang terkenal ini ialah Haji Nik Jaafar bin Haji Nik Ismail bin Haji Nik Haron bin Haji Nik Wan Ahmad bin Tengku Mahmood. Beliau dilahirkan pada tahun 1936 di Kampung Kerasak, Bunut Susu, Daerah Pasir Mas, Kelantan Darul Naim. Beliau merupakan seorang guru agama di negeri Kelantan.

Mendirikan rumah tangga dengan Hajjah Rafiah binti Sheikh Haron dan dikurniakan sepuluh orang cahaya mata, empat lelaki dan enam perempuan. Putera yang ketiga meninggal dunia semasa masih bayi lagi. Puteri sulung ialah Nik Sabariah binti Nik Jaafar, Nik Amnah binti Nik Jaafar, Nik Hamdi bin Nik Jaafar, Nik Hasni binti Nik Jaafar, Nik Adnan bin Nik Jaafar, Nik Rohana binti Nik Jaafar, Nik Ainun binti Nik Jaafar, Nik Azizan bin Nik Jaafar, Nik Sufian bin Nik Jaafar dan puteri bongsu ialah Nik Raihan binti Nik Jaafar. Semua anak beliau memiliki kemahiran bertarannum mewarisi ilmu dan bakat daripada datuk dan bapa mereka.


Beliau adalah tokoh ilmuan tersohor dalam bidang Tarannum dan bergiat cergas dalam menghasilkan buku-buku mengenai ilmu al-Quran. Tetapi beliau tidak pernah menyertai pertandingan Musabaqah Tilawah Al-Quran. Ini kerana sejak dari awal penglibatannya dalam bidang ini, beliau terus dilantik menjadi hakim di pelbagai peringkat sama ada peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

PENDIDIKAN RENDAH DAN MENENGAH

Tokoh ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Rakyat Kampung Kerasak, tahun 1945 hingga 1947. Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Agama (Madrasah Ad-Diniyyah) Kampung Kedondong, Pasir Mas bermula dari tahun 1948 hingga 1950. Beliau meneruskan persekolahan di Sekolah Pondok (Madrasah Muhammadiah) di Kubang Bemban, Pasir Mas pada tahun 1951 hingga 1961.

Tuan Haji Nik Jaafar melanjutkan pendidikannya ke peringkat yang lebih tinggi iaitu Maktab Perguruan Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1962 hingga 1964. Setelah menamatkan pengajian di maktab perguruan, beliau berkhidmat sebagai seorang guru Agama Kerajaan Kelantan selama sepuluh tahun bermula tahun 1962 sehingga 1971.


MENDALAMI ILMU TARANNUM

Tuan Haji Nik Jaafar bin Nik Ismail dilahirkan di tengah-tengah masyarakat yang berpegang teguh dengan ajaran agama. Bapa beliau sendiri iaitu Tuan Guru Nik Ismail bin Nik Haji Nik Haron merupakan seorang guru al-Quran. Di samping mengajar kanak-kanak penduduk sekitar membaca al-Quran, beliau juga mengajar dan mengasuh anaknya Nik Jaafar dengan ilmu-ilmu al-Quran termasuk Ilmu Tarannum.

Dalam mendalami ilmu Tarannum, beliau telah berguru dan memperolehi ilmu Tarannum daripada datuknya (sebelah ibu), Tuan Haji Muhammad Yusof Kedondong (Qari Raja Kelantan), selama sepuluh tahun bermula tahun 1950 hingga 1960. Melalui datuknya ini, beliau dapat mendalami dan mempelajari asas-asas Tarannum bil-Quran seperti bacaan bertajwid, bacaan bertarannum, tahsin as-saut, mengenal jenis-jenis tarannum, sejarah tarannum, Tarannum Hijazi dan Misri.

Kemudian beliau melanjutkan lagi pengajian Tarannum dengan Tuan Haji Che Musa bin Mahmod (Qari Istana Kelantan). Di sini beliau mendalami bidang Tahsin as-Saut iaitu tentang kecermatan mengendalikan suara bacaan, penyusunan burdah yang lebih berkesan, teknik persembahan bacaan yang menarik dan sebagainya. Beliau mendalami bidang ini selama lima tahun bermula 1960 hingga 1965.

Beliau juga telah berguru dengan Tuan Guru Haji Ahmad bin Maasum Pergau (Qari ulung Antarabangsa) dalam bidang kearaban dan teknik penyusunan harakat-harakat tarannum bermaksud kefasihan melafazkan al-Quran bermula tahun 1965 hingga 1986. Dalam mendalami teknik-teknik (Metodologi) Tarannum merupakan tempoh pengajian yang paling lama berbanding dengan ilmu tarannum yang lain iaitu selama dua puluh tahun.

Selain daripada berguru dengan tiga orang tokoh tarannum di atas, Tuan Haji Nik Jaafar juga tidak ketinggalan menerima Kursus Tilawah al-Quran Jangka Pendek dari Fadhilah Asy-Sheikh Mahmood Hafiz Muhammad Mustafa, Mesir dan Fadhilah Asy-Sheikh Dr. Ahmad Mesir.

Hasil daripada tinjauan yang dibuat oleh penulis, tidak hairanlah jika sekarang ini beliau menjadi seorang tokoh yang terkenal dalam bidang tarannum sama ada di dalam atau luar negara. Ini kerana beliau telah mengambil masa yang lama untuk mendalami satu-satu bidang dalam ilmu tarannum. Sepuluh tahun masa yang diambil untuk mendalami ilmu asas tarannum. Lima tahun berikutnya pula beliau bertungkus-lumus mempelajari bidang Tahsin As-Saut. Manakala tempoh masa yang paling lama iaitu dua puluh satu tahun beliau mendalami bidang Teknik (Metodologi) Tarannum. Selain tempoh masa yang lama, beliau juga telah berguru dengan tokoh guru yang terkenal dan muktabar dalam bidang Tarannum. Sudah semestinya ilmu yang diperolehi adalah ilmu yang terbaik dan bernilai tinggi.


Berbekalkan ilmu yang ditimba daripada para guru yang muktabar, berkat usaha gigih dan sifat sabar, maka muncullah seorang lagi tokoh yang terkenal di Malaysia dalam bidang Tarannum al-Quran. Sehingga kini beliau telah berjaya menubuhkan dua buah pusat Pengajian al-Quran di daerah Pasir Mas, iaitu Majlis Raudhah Al-Tilawah (1) yang beralamat di Tepi Pondok Tok Guru Haji Abd Ghani, W-1612-A, Jalan Meranti, Pasir Mas Kelantan. Manakala Majlis Raudhah Al-Tilawah (2) beralamat di Lot 22, Batu 4 ¾, Kampung Kangkung, 1700 Pasir Mas Kelantan.

Pusat pengajian yang kedua ini baru ditubuhkan empat tahun yang lalu apabila Tuan Haji Nik Jaafar tinggal menetap di kampung Kangkung setelah bertemu jodoh dengan Hajjah Che Hasmah binti Che Hamat. Menurut beliau, sudah menjadi hasrat dan cita-cita, bahawa beliau akan berusaha untuk mengembangkan ilmu al-Quran walau di mana sahaja beliau berada.

CATATAN POPULAR