Qudwah Hasanah

Qudwah Hasanah bererti contoh teladan yang terbaik.

Rasulullah saw merupakan contoh teladan yang terbaik bagi sekalian umat manusia. Ia dapat dilihat pada sifat, sikap, fikiran dan tindakan, kehidupan, semangat, perjuangan dan kepimpinan baginda.

Kesemua sifat dan sikap Rasulullah saw adalah kesan daripada didikan al-Quran. Setiap perkara yang dilakukan dan ditinggalkan oleh baginda adalah pelaksanaan daripada setiap perintah al-Quran. Setiap nilai al-Quran terdapat dalam diri Rasulullah saw sehingga baginda dianggap sebagai al-Quran hidup.


Memaparkan catatan dengan label Resepi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Resepi. Papar semua catatan

Selasa, 7 Ogos 2012

NIKBAK

Nikbak ni sejenis juadah berbuka puasa yang terkenal di negeri Cik Siti Wan Kembang. Kalau nak makan nikbak tunggu la bulan Ramadhan. Nak tengok nikbak bulan-bulan biasa memang tak dapat. Kalau mengidam pandai-pandai la cari makcik-makcik yang pandai membuatnya. Aku memang hantu nikbak. Tak sah berbuka kalau tak dapat makan nikbak. Tapi sekarang disebabkan duduk jauh dari Kelantan pandai-pandai la kontrol. Dapat makan sekali-sekali pun jadi la.

Di sini saya tunjukkan cara macam mana nak menyediakan nikbak. Mudah sangat. sebab nikbak kita beli yang mentah.

Pertama sekali masakkan air gula. Masukkan daun pandan dan bunga cengkih. Air gula tu biar manis sikit. Kalau kurang manis nikbak mudah hancur bila kita alihkan dalam bekas hidangan nanti. Nak tau manis ke tak, masa air gula tengah menggelegak tu dah pun berbau wangi atau manis.

Sambil-sambil tunggu air gula betul-betul masak, susun la nikbak tu dalam bekas atau mankuk. Pastikan bekas yang digunakan tu boleh menenggelamkan nikbak. Jangan terlalu besar dan jangan terlalu kecil. kalau besar sangat bekasnya banyak kena guna air gula. kalau kecil sangat pun nikbak nanti bertindih-tindih.

Curahkan air gula yang panas tu ke dalam bekas nikbak yang disusun cantik tadi. Biarkan nikbak tu kembang. Kalau nak cepat, tutuplah bekas tersebut. Bila dah agak kembang gebu, nikbak tadi bolehlah dihidang. Nak sedap lagi, simpan dulu dalam peti sebelum dihidangkan waktu berbuka. Sejuk je rasa telan nikbak. Al-maklum la seharian berpuasa...

Khamis, 2 Ogos 2012

PUDING RAJA


Puding raja ni terkenal di negeri Pahang. Ia menjadi hidangan di majlis keraian raja-raja. Itu zaman dulu la. Sekarang ni di mana-mana pun ada hidangan puding ni. Aku dapat resepi ni pun masa menetap di Pahang la. Kat Pekan lagi. Asal ada majlis di sekolah, ada aje puding ni. Memang sedap. Tapi agak sukar untuk membuatnya, sebab wajib ada jala mas. Aku tak pandai sangat buat jala mas ni, tapi boleh la...Bila dah ada jala mas yang lain tu sonang ajo...


Hari ni hari bertuah bagi aku. Ada kawan bagi jala mas dari Terengganu. Apa lagi, terus teringat nak buat puding raja untuk berbuka puasa. Balik sekolah terus pergi pasaraya mencari-cari bahan lain untuk buat puding. Antaranya susu cair, buah prune, buah ceri, fruit coktail. Dan yang paling susah nak dapat pisang emas. 

Cara membuatnya? Alahai...teramat la sonang. Pisang emas celup telur dan digoreng terlebih dulu. Lepas tu susun la semua bahan tadi dalam mangkuk. Taburkan jala mas. Tuangkan sos. Cara buat sosnya satu tin susu cair + tiga biji kuning telur diblend dengan satu tin air (tin susu tadi). Tabahkan setengah cawan gula pasir. Kacau hingga endidih. Sejukkan. Tuangkan sos bila nak hidang. Siap. Kan senang!...


Selamat mencuba...

Isnin, 23 Julai 2012

PUTERI MANDI



Selasa, 7 Februari 2012

RENDANG LIMPA


Seperti biasa, bila ada kawan minta buatkan pulut kuning dan rendang, aku akan masak untuk anak-anak sekali. Kalau tak, merengek-rengek mereka minta nak makan pulut bila tengok pulut tu dah masak. Kali ni, aku masak rendang limpa pulak. Jom kita lihat bahan-bahan dan cara membuat rendang ni.


Bahan-bahannya:-
1 kg limpa
1 kilo santan
6 labu bawang besar }
6 batang serai             }
2 labu bawang putih } blend semua sekali
4 inci halia                  }
4 inci lengkuas          }
1 paket kecil kerisik
5 helai daun limau purut
2 helai daun kunyit
1 cawan cili giling
minyak untuk menumis

Cara membuatnya:-
1. Tumis cili giling hingga masak.
2. Masukkan bahan yg diblend (bawang besar, bawang putih, halia, lengkuas dan serai. Tumis hingga masak.
3. Masukkan limpa yang telah siap dipotong.
4. Masukkan juga santan. 
5. Bila hampir masak, masukkan pula kerisik, daun limau dan daun kunyit.

Selamat mencuba...

Sabtu, 28 Januari 2012

NASI DAGANG MIX



 Bahan untuk nasi:

1 kg beras lembut 
1/2 kg santan pekat / satu 1/2 hingga 2 gelas santan
garam secukup rasa
5 ulas bawang merah - dimayang
1 inci halia                   - dimayang
sedikit halba

Bahan untuk gulai:

1 kg ikan tongkol hitam (1 ekor sederhana besar)
Asam keping
Gula manisan (nesan) / gula melaka
1/2 kg santan
1 inci lengkuas           - kisar
1/2 inci kunyit            - kisar
3 labu bawang besar - kisar
4 sudu besar cili giling
4 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu besar serbuk jintan manis
1 sudu besar serbuk jintan putih
4 sudu besar serbuk kari ikan
1/2 cawan minyak untuk menumis

Bahan untuk acar:

1 batang timun
1 batang lobak merah
1 labu bawang besar
Garam
Gula
Cuka

Cara masak nasi dagang:

1. Basuh beras dan rendam selama 12 jam. Biasanya kalau saya masak nasi pagi, saya rendam beras dari malam lagi.
2. Sebelum dikukus, rendam sekali lagi beras tadi dengan air panas seketika.
3. Kukus beras yang telah direndam hingga naik wap. Kalau ikut petua emak, sampai nasi tu boleh dilenyek atau pun nasi tu dah melengkung sedikit. Beraskan lurus je.
4. Angkat nasi dan masukkan santan yang dicampurkan dengan air. Santan yang tersangan cair. Biasanya saya ambil air yang saya basuh atau bilas plastik santan. Bila kita tuang santan dalam bekas, masih banyak santan melekat pada plastik. Masukkan air dalam plastik dan goncang2. Air tu la yang digunakan untuk arong (gaul) nasi selepas kukus pertama. Arong nasi tu biar sampai nasi hampir sejuk. Petua orang tua, katanya sampai rasa berat untuk arong.
5. Masukkan nasi dalam kukusan (pengukus) sekali lagi. Letakkan hirisan bawang merah, halia dan halba. Kukus sampai naik wap.
6. Bila dah naik wap, angkat dan arong sekali lagi bersama santan pekat. Jangan lupa santan tu dicampurkan dengan garam. Biar rasa masin santan tu. Kalau nak tahan lama nasi, santan tu dimasak terlebih dahulu.
7. Bila dah siap arong, masukkan dalam bekas yang hendak dihidang. Kemaskan nasi di bahagian atas biar nampak rata.

Cara masak gulai:

1. Bersihkan ikan tongkol dan rebus dengan air yang banyak. Bubuh air biar tenggelam ikan. Masukkan garam, asam keping dan gula manisan secukupnya. Biar sedikit masam dan masin. Kalau nak sedap lagi rebus ikan sehari sebelum masak gulai. Ikan tu akan terasa masam dan masinnya.
2. Mula-mula panaskan minyak dan tumis cili giling atau cili boh sampai masak.
3. Masukkan serbuk ketumbar, serbuk jintan. Jaga2 jangan sampai hangit. Kalau nak sedap lagi, ketumbar kita goreng dan kisar sendiri. Aromanya lagi kuat. Serbuk2 ni sebagai ganti rempah nasi dagang Terengganu. 
4. Bila dah naik bau, masukkan bahan kisar (bawang, lengkuas dan kunyit). 
5. Bila dah masak bawang, masukkan bancuhan serbuk kari ikan. Tambahkan sedikit air supaya bahan-bahan tadi betul-betul masak.
6. Masukkan santan dan air rebusan ikan. Biarkan ia menggelegak agak lama. Kalau ikut orang terengganu sampai satu jam. Tapi pada saya sampai santan tu masak dan pecah minyak. Kalau kering tambahkan air.
7. Bila santan dah masak, masukkan ikan yang direbus tadi. Biarkan ia menggelegak dalam tempoh masa yang agak lama juga. Masukkan sedikit lagi gula manisan. Masin dan masam rasanya dah cukup sebab kita dah guna air rebusan ikan. Cara masak gulai ni memang lama. Bila kita makan, agak-agak tulang ikan pun boleh hancur.

Cara buat acar:

1. Potong timun dan lobak merah secara memanjang. Timun sedikit besar dan carrot halus-halus.
2. Mayang bawang besar.
3. Kacau gula, garam dan bawang bersama cuka. Kacau sampai gula hancur.
4. Masukkan hirisan timun dan carrot. kacau hingga sebati.


Selamat mencuba resepi nasi dagang saya. Nasi dagang kacukan. Nasi dagang Kelantan sebab warna merah, tapi gulai Terengganu. Kalau nasi dagang Terengganu putih je, dan kalau gulai Kelantan pulak macam gulai ikan biasa aje. Jangan bimbang, tak mabuk pun... Kalau orang mix lagicantik...hihi

Jumaat, 23 Disember 2011

PULUT DURIAN



Ini makanan tradisional orang Kelantan. Kami panggil pulut durian. Ya la, ada pulut dan ada durian. Bahan tambahan lain ialah santan yang ditambah secubit daram, gula atau gula melaka. Kalau betul-betul kelantan kami makan dengan gula je. Untuk dapatkan santan kami guna air panas. Sebab tak nak makan santan mentah. Kalau dimasak jadi tak sedap pulak. Paling-paling guna aje air masak ganti santan. Takut kolestrol tinggi. Durian dah tinggi kolestrolnya, tambah pula dengan santan. Kalau dulu-dulu makan pulut durian ni digaulkan semua sekali. Tapi sekarang rasa macam geli pulak. Jadi caranya makan cubit sikit demi sedikit. Nampak sopan dan tak muak.

Aku cukup suka pulut durian ni. Masa aku kecik-kecik dulu kalau makan durian tak sah kalau tak makan dengan pulut. Orang lain suka makan ratah macam tu aje. Aku tak. Makan ratah juga, tapi tak puas hati. Mesti minta mak buat pulut durian. Pernah suatu ketika aku pergi rumah saudara mak dan ayah, mak dan ayah kan sepupu. Dia orang hidang durian. Makan ratah, sedap aku tengok. Senyap-senyap aku bisikkan pada tuan rumah, "lah nak pulut durian"... hehe. Apa komen orang tu? "mu ni Lah, buleh gi mekoh taip-tiap tahun la mok ayoh mu". Ya la, jimat la kalau makan dengan pulut. Kalau ratah je habis sebiji belum tentu kenyang lagi. Sejak dari hari tu, keluarga tu akan sebut nama aku kalau ada hidangan pulut durian.

Zaman aku masih sekolah dulu, tak putus-putus makan durian. Arwah ayah aku tok guru ngaji Quran. Dari anak-anak kecik sampai orang dewasa. Orang tua-tua. Aku ingat lagi, masa aku di tingkatan menengah rendah, orang yang datang belajar mengaji Quran tu ada kebun durian. Kalau sorang bawa sepuluh biji, kalau dua tiga orang? Ha...paling-paling dia bawa seguni kecik tu. Ada la empat ke lima biji. Aku sorang aje anak mak ayah yang ada kat rumah. Abang dan kakak dah kerja semuanya. Bukan duria aje, ada manggis, rambutan,duku langsat dan macam-macam lagi. Aku la yang kena habiskan. Pernah aku sakit dada sebab makan rambutan banyak sangat. Sampai sekarang tak boleh makan rambutan banyak. Kalau nak makan banyak aku hiris buang selupat dia. 

Sebab tu masa anak dara dulu, niat di hati nak cari suami yang ada kebun durian. Sebab suka sangat makan pulut durian ni. Tapi Allah Maha Mengetahui. Dapat suami tak ada kebun durian. Kalau dapat macam yang dihajati, mungkin dah lama aku 'pergi'. Mana taknya, yang makan sekali setahun ni pun kolestrol dah tinggi melangit. Kalau ada kebun durian tak tau la aku nak cakap. Itulah kata orang apa yang Allah berikan pada kita tu adalah yang terbaik untuk kita. Betulkan?...

Aku pantang bau durian kat pasaraya, mesti nak beli. Kalau yang jual kat tepi jalan atau pasar malam aku tak akan beli. Sebab tak tahu nak pilih. Selalu terkena. Bawa balik duriannya tak elok. Sebab tu kalau nak beli durian aku beli yang dah dikopek. Yang dibungkus dengan plastik rapp tu. Biasanya kat pasaraya cantik-cantik isinya. Masa dok Puchong dulu aku selalu beli kat Jusco Puchong. Mahal pun berbaloi. Sekarang ni kat Tesco Kajang kadang-kadang ada. Tak pun kat billion depan tu. 

Ingatkan nak belajar pilih durian yang elok, tapi tak berkesempatan. Tok guru yang nak mengajarnya menghilangkan diri. Tentu ada hikmahnya. Kalau aku tahu pilih durian, mesti selalu beli durian. Takper la, redho aje. Kita beli la durian yang dah dikopek. Lagi senang. Nak bawak balik pun berat. Tak payah susah2 nak kopek. Kena duri tu sakit. Nak buang kulit pun payah. Penuh tong sampah nanti. Alhamdulillah...



Khamis, 22 Disember 2011

PUDING ROTI CHEF DZILAH



Tahun 2003 dan 2004 aku niaga di pasar Ramadhan Putrajaya. Kat Presint 2. Aku jual segala jenis puding. Puding roti ni salah satu menunya. Antara yang menjadi pilihan orang ramai. Tapi tak ada la sos susu macam ni. Semata-mata puding roti. 

Hobi aku kan suka masak. Resepi ni aku ambik dalam majalah keluarga. Tak silap keluaran tahun 1994/95. Masa tu aku masih belajar di Maktab Perguruan Islam. Sambil cari-cari bahan assignment dalam perpustakaan, aku belek-belek majalah. Ada yang menarik dan mudah untuk membuatnya, aku salin. Kebanyakan resepi yang aku ambik dan aku cuba buat menjadi dan rasanya pun boleh tahan. Tapi kadang-kadang aku ubah suai sendiri. Macam puding roti ni, kalau ikut resepinya bakar. Bila dibakar ia sedikit kenyal. Kalau bakar orang panggil bengkang roti. Bila kukus dia sedikit lembut, jadi aku panggil la puding.

Sebab dia lembut, lemak dan manis la orang suka buat juadah berbuka puasa. Sejuk tekak bila makannya. Nak-nak tekak kering berpuasa seharian. Kadang-kadang bila makan di hotel, nampak puding roti dihidang bersama sos kastard atau susu. Aku cuba buat, biasanya pada hari raya dan majlis-majlis tertentu. Ia memang sedap dan menarik bila dihidang sebagai pencuci mulut.

Daripada resepi biasa, aku tokok tambah. Jadilah macam tu. Menarik, sedap dan lazat. Yang paling penting nak buatnya mudah. Rendam roti dengan air panas. Lenyek sampai hancur. Pukul 4 biji telur dan 3 sudu makan gula. Kemudian masukkan dalam adunan roti. Tambahkan pula 1 tin susu pekat manis. Tak nak bagi hanyir telur masukkan sedikit esen vanila dan secubit garam. Tuangkan dalam adunan roti tadi. Kacau agak-agak sebati, tuangkan dalam acuan, taburkan kismis atau buah campur. Akhir sekali kukus. Nak tau masak ke tak, cucukkan lidi dalam puding. Kalau tak ada yang melekat pada lidi tu maknanya dah masak. Mudahkan. Semudah 1 2 3. Bila dah masak, sejukkan. 

Untuk sosnya pula, masakkan 500 ml susu segar, 2 sudu kastard dan gula secukup rasa. Susu cair pun boleh. Tapi kalau guna susu segar lagi sedap. Agak-agak je kepekatannya. Kalau agak pekat tambahkan susu. Aku sendiri pun buat macam tu. Maklumlah resepi sendiri. Selamat mencuba...

NASI KERABU BIRU



Nah...ni dia nasi kerabu biru dengan sambal tumis dan daging bakar. Sebenarnya aku paling tak suka buat nasi kerabu. Malas yang amat. Cerewet, banyak benda nak kena buat. Masak sambal tumis, goreng kelapa, rebus ikan, blend sambal cili, hiris ulamnya. Tolonggg... Tapi pagi ni aku jadi rajin. Ada sebab la tu.

Sebenarnya, semalam kawan aku kat Semenyih jemput makan. Dia tempah nasi kerabu katanya. Masa balik tu dia bagi sambal kelapa tu. Banyak gak la. Tak payah la aku rebus ikan dan goreng kelapa lagi. Sambal tumis tu pulak, emak bagi. Aku simpan kat sejuk beku. Pagi ni, pagi-pagi lagi aku masak nasi biru. Aku blend bunga biru tu. Bukan pewarna tau. Bunga tu pun aku ambik rumah kakak. Lepas tu aku panaskan sambal tumis. Samabl kelapa tu aku goreng semula. Aku tambah sikit lagi ikan rebus. Sebab sambal semalam rasanya manis sikit. Aku tak suka manis-manis sangat, walaupun aku anak Kelantan jati. Aku bakar daging sikit. Sekejab je, bakar merah-merah lagi. Sedap tengok dalam Masterchef tu. Potong-potong ulamnya. Siap...

Sambal kelapa tu kalau nak sedap, goreng bersama hirisan bawang besar atau bawang merah, serai. Bila dah agak masak masukkan ikan rebus yang dah diramas atau tumbuk. Bila dah garing semuanya. Angkat dan blend. Gaul pulak dengan sedikit hirisan gula melaka atau nisan. Kalau gula kurang sedap. Bagi aku la.

Sambal tumis tu sebenarnya kalau tak buat pun takper. Opsyen sebenarnya. Pengganti budu. Tapi aku lebih suka sambal tumis daripada budu. Bahannya senang je. Bawang besar di blend, santan, serai, gula melaka atau nesan, garam dan sedikit budu. Masak sampai pecah minyak. Bila agak masak masukkan daun limau purut.

Yang lain-lain tu ulam je la. Kalau kat kampung sedap-sedap ulamannya. Macam-macam daun ada. Tapi kat sini kami guna daun salam, kacang panjang, timun, kobis, tauge dan sedikit daun kunyit. Kalau kat kampung kami tak guna pun tauge tu. Timun pun bukan ulaman nasi kerabu. Kata mak aku timun tu basah, nanti nasi jadi basah. Timun kami buat ulam dalam laksam atau laksa. Sebab menu tu memang basah dan berkuah. Baru sesuai guna timun.

Kalau nak makan nasi kerabu berlauk, boleh aje. Bakar daging. Tak pun goreng ikan celup tepung. Kalau ada telur asin (kami panggil telur jeruk) lagi sodap. 

Masak nasi macam biasa la. Kalau nak biru guna bunga biru. Tak pun pewarna biru. Ada gak orang buat nasi kerabu kuning. Kalau kuning lagi senang, aku masukkan sedikit serbuk kunyit. Jangan lupa bubuh daun limau purut sekali masa masak nasi tu. Baru ada aroma nasi kerabu.

Rabu, 7 Disember 2011

FETTUCCINE CARBONARA


Hari ni satu lagi resepi telah ku cuba. Fettuccine, betul ke tak nama tu aku pun tak tahu. Yang aku tahu itu nama pasta tu dan aku masak sos putih. Rasanya sedap. Anak-anak cukup suka makan sebab sosnya berasaskan susu segar dan keju. Pulak tu ditambah dengan sosej ayam dan bebola daging. Memang kesukaan mereka. Resepi ni aku ambil dari kakak ipar juga. Kakak ipar ku yang sorang ni memang pakar masak. Banyak dah menu yang aku belajar dari dia. Rasanya habis rencah dulu dari pasta.

Sebagai seorang ibu tentunya senang hati bila melihat anaknya seronok makan. Makan dengan penuh minat. Yang aku paling bangga, setiap kali makan masakan umi yang sedap (pada mereka la) mesti tak lekang ucapan terima kasih dari bibir mereka. "Terima kasih umi, sedap sangat umi masak untuk kita orang". Siap pesan lagi, "lain kali umi masak lagi ya". Itulah anak-anakku...

Jom kita tengok bahan-bahan untuk masak resepi ni. Dalam buku atau majalah masakan memang banyak. Tapi ini resepi aku sendiri. Senang sikit kut...

Bahan-bahannya:-
1 labu bawang putih                 }potong dadu atau
4 labu bawang besar (kuning) } racik halus-halus
1 paket bebola daging
1 paket sosej
keju cedar
2 sudu mix herb
2 helai daun bay
1 liter susu segar
1 bungkus pasta fettuccine/spagheti
Sedikit garam
Sedikit minyak untuk menumis

Cara-cara membuatnya:-
1. Rebus pasta hingga lembut. Masukkan sesudu minyak masak dalam air rebusan. Bila dah masak toskan.
2. Tumiskan bawang putih dan bawang besar hingga naik bau atau kekuningan.
3. Masukkan bebola daging dan sosej. Tambahkan sedikit air untuk masakkan kedua bahan tadi.
4. Tuangkan susu segar. Masukkan sekali mix herb dan bay leaf. Jangan masak susu terlalu lama, bimbang pecah minyak atau berketul.
5. Masukkan keju cedar untuk pekatkan sos.
6. Masukkan garam secukup rasa.
7. Putarkan fetticcine atau spagheti dalam mangkuk. Tuangkan sos di atasnya. Hiaskan dengan daun sup dan hirisan cili jika suka.

#boleh juga kalau nak tambah hirisan daging ayam. lagi sodap. jangan guna daging dah sebab nanti sosnya tak jadi putih...selamat mencuba



Isnin, 5 Disember 2011

PIZZA MAGGI CHEF DZILAH

Kalau hari-hari sebelum ni aku masak cekodok aje. Cekodok bilis, cekodok nestum, cekodok bawang...sampai anak-anak naik muak makan cekodok. Hari ni satu kelainan aku buat. Aku masak pizza maggi. Tak tau la apa nama sebenarnya. Dulu pernah juga aku masak tapi orang panggil murtabak maggi. Ini pula resepi yang aku dapat dari kakak iparku semalam. "Ila cuba la buat pizza maggi, sedap, budak-budak mesti suka makan". Memang la pizza sebab ada masuk keju. Langsung dia bagi resepinya. 


Disebabkan demam Master Chef, aku hias la macan tu. Itu je pun hiasan yang ada. Hehehe...Kalau nak rasa cuba boleh la. 

Bahan-bahannya:
5 paket maggi
10 biji telur
2 labu bawang besar
25 gram keju (apa-apa jenis la)
1 paket sosej ayam direbus dan hiris nipis
mentega untuk menggoreng

Cara-cara membuatnya:
1. Rebuskan maggi 2 minit (agak-agak sampai masak). Toskan.
2. Bancuhkan telur bersama perencah maggi. Kalau tak nak guna perencah maggi, boleh tambahkan garam dan sedikit serbuk kari. Sedap jugak.
3. Masukkan bawang yang telah dipotong dadu.
4. Masukkan pula maggi yang telah dimasak tadi.
5. Masukkan keju + hirisan sosej dan gaul rata.
6. Panaskan ceper dengan mentega dan bakar.

P/S kalau nak lebih rasa sedap lagi boleh ditambah dengan ayam, udang, sotong (dipotong kecil-kecil) atau lain-lain sea food. Tapi kenalah dicelur terlebih dulu. Sebab bila kita bakar tu sekejab je, bimbang udang dan sotong tak sempat masak.

Isnin, 5 September 2011

PULUT KUNING



Bahan-bahan:
1 kilo beras pulut
1 1/2 gelas santan + sedikit garam
debu kunyit             }
asam keping / cuka } bahan rendaman         
segenggam gula
daun pandan

Cara-cara membuatnya:
1. Cuci besih-bersih beras. Mengikut petua emak, cuci beras hingga air basuhan tu jernih. Barulah pulut payah basi.
2. Rendam beras pulut dengan serbuk kunyit sebagai ganti pewarna kuning. Bila kita guna serbuk kunyit bau pulut pun best. Jangan lupa masukkan asam keping atau sedikit cuka. Kata emak supaya pulut nanti berkilat. Rendam beras tu 1/2 jam hingga1 jam.
3. Panaskan air. Basuh beras yang direndam tadi sekali lagi. Masukkan dalam bekas pengukus. Kukus hingga wap rata. Kata mak lagi tanda pulut tu masak bila biji nasi pulut tu sedikit melengkung.
4. Bila pulut dah masak angkat dan masukan santan. Kacau rata.
5. Kukus pulut sekali lagi. Kali ni masukkan daun pandan supaya pulut berbau wangi. Bila wap dah naik tinggi maknanya pulut dah boleh diangkat.
6. Taburkan gula dalam bekas pulut dan kacau sehingga rata.


Pesanan
*Kalau nakkan pulut tahan lebih lama, masakkan santan terlebih dahulu.
*Selain warna kuning, boleh juga kita masak pulut warna pink atau merah.  Biasanya saya masak warna ni untuk hidangan harijadi. Nampak lebih menarik dan ceria.
* Pulut warna merah sesuai dihidang dengan telur dimasak nipis. 
*Pulut warna kuning sesuai dhidang dengan rendang...selamat mencuba

Khamis, 1 September 2011

KETUPAT PALAS


Bahan-bahan:-
2 kg beras pulut
1 kg gula
4 gelas santan
garam secukupnya
daun palas


Cara-cara membuatnya:-
1. Basuh beras pulut sampai bersih. Rendam lebih kurang 1/2 jam.
2. Masukkan beras dalam pengukus dan toskan sekejab. Kukus hingga naik wap.
3. Bila naik wap, angkat pulut dan masukkan santan yang telah dicampurkan dengan garam. Gaul rata hingga sebati pulut dan santan.
4. Kukus sekali lagi hingga naik wap juga.
5. Angkat dan masukkan gula ( masa pulut masih panas-panas tau). Gaulkan gula sampai pulut berkilat.
6. Bila pulut dah sejuk bolehlah dibungkus dengan daun palas.

P/S
*Ini resepi untuk ketupat manis. Kalau ketupat lemak, lebihkan garam dan jangan guna gula langsung. Biasanya ketupat lemak kami masukkan kacang putih. Rebus kacang terlebih dulu. Masukkan kacang selepas pulut dikukus kali kedua.

*Ketupat manis dihidang macam biasa saja. Selepas 2-3 hari lebih sedap kalau digoreng terlebih dulu. Bagi ketupat lemak pula sedap sangat kalau dicicah dengan gula melaka/ manisan cair. Itu hidangan orang Pantai Timur. Tapi biasanya kami hidang ketupat lemak bersama rendang. Sedap sangat... Selamat mencuba


Khamis, 18 Ogos 2011

PUDING SAGU


Puding sagu ni kami panggil lompat tikam moden. Maklum la, cara buat dan cara hidangnya sama. Cuma lompat tikam guna tepung beras dan puding ni guna sagu. Tapi lompat tikam kena kacau tepung sampai likat (lama tu). Berbeza dengan lompat sagu ni, kejab je masak sagu.

Bahan-bahannya:

1 paket sagu hijau (RM2.50)
2 buku gula melaka
1 kotak santan segera
2 sudu tepung jagung
Secubit garam
Air

Cara-cara membuatnya:

1. Basuhkan sagu kemudian toskan.
2. Didihkan air secukupnya. Setelah mendidih masukkan sagu dan kacau sampai likat/masak. Tuangkan ke dalam bekas.
3. Masakkan santan ( 1 kotak santan + 1 kotak air) ditambahkan dengan tepung jagung untuk pekat dan secubit garam.
4. Masakkan gula melaka + air secukupnya.

p/s: Cara hidangnya, ceduk sagu ke dalam mangkuk, tuangkan santan dan gula melaka atasnya.
Samakan dengan lompat tikam? Cuma lompat sagu ni tak ada pulut. Tapi kalau nak tambah pulut pun boleh. Lagi sedap dan lagi cantik, ada macam-macam warna...Sedap lagi kalau sejukkan dalam freezer. Sejuk tekak makan waktu berbuka puasa.

Satu lagi,boleh gak kita masukkan sagu dalam bekasplastik kecil tu. tapi masa masih panas-panas la. Dah sejuk tu tuangkan santan siap-siap atas dia. Masa hidang cuma masukkan gula melaka je.

Selamat mencuba...

Rabu, 17 Ogos 2011

PUDING KEK JELLY



Puding ni sangat istimewa bagi ku. Puding ni selalu menjadi hidangan meja VIP bila kakak ku buat kenduri atau rumah terbuka di rumahnya. Suami ku tukang hidang sebab dia sentiasa bangga dengan setiap masakan ku. Istimewa kan? Suami dan anak-anak suka sangat makan puding ni. Tapi sayangnya, sudah 5 tahun tak buat. Tak bersemangat. Tapi tahun ni, aku punyai semangat yang luar biasa. Pecah rekod, setiap hari aku masakkan semua resepi-resepi yang sekian lama tersimpan. Aku sendiri pun tak tahu apa sebabnya. Apa pun TAHNIAH aku ucapkan pada diri sendiri. Jom kita tengok bahan-bahan dan cara-cara menyediakan puding istimewa ni...

Bahan-bahannya:

1 buku kek gulung
1 tin buah pic
1 tin susu cair
3 sudu tepung kastard
2 sudu gula
1 kotak jelly nona
2 cawan air
secubit garam


Cara-cara membuatnya:

1. Potong kek dan susun dalam bekas
2. Bancuh susu cair + tepung kastard + garam. Masak hingga sedikit pekat. Tuang atas kek. Biarkan sejuk.
3. Susun kepingan buah pic di atas kek + kastard tadi.
4. Masakkan sebuk jelly bersama 2 cawan air hingga mendidih.
Bila sedikit suam, tuangkan ke atas lapisan kek.


Selamat mencuba...
Untuk kelainan atau membanyakkan resepi, buah pic boleh gak kita tukar dengan fruit coktail. Kalau untuk majlis, saya akan hidangkan kedua-dua resepi tu dengan warna jelly yang berbeza.

Selasa, 16 Ogos 2011

NASI KUNING TEGANU


Resepi ni dapat dari seorang rakan dari Gganu kiter. Masa tu pergi rumah terbuka dia tahun 2005 dulu lagi. Bila makan rasa sedap, minta la resepinya.

Bahan-bahannya:-

4 cawan beras basmati (beras wangi pun ok gak)
5 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia (semuanya dimayang)
1 batang kayu manis
4 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
2 helai daun pandan
1 cawan susu cair
3 sudu minyak sapi
1 genggam kismis (untuk hiasan)
Air sama banyak dengan beras
Sedikit pewarna kuning

Cara-caranya:
1. Basuh beras dan toskan.
2. Tumiskan semua bahan dengan minyak sapi hinga naik bau.
3. Masukkan beras, susu dan air. Tambahkan sedikit pewarna kuning.
4. Bila separuh masak masukkan kismis.

Mudah je cara masaknya kan? Selamat mencuba...
Kalau mengikut resepi orang gganu, lauknya gulai ikan tongkol/aya. Tapi boleh gak dengan kari ayam, ayam masak merah dan juga sambal udang. Nak best lagi tambah acar timun.






Ahad, 7 Ogos 2011

COCONUT PLEASURE COOKIES

Bahan-bahan:-

225 gm tepung jagung}
150 gm tepung gandum}
1/2 tsp baking powder}
125 gm gula aising }diayak bersama
75 gm kelapa kering (dikisar halus)
25 gm serbuk badam
1 biji telur
1/2 tsp esen vanila
155gm

mentega

Hiasan :-
Ceri merah
Kelapa kering
Kuning telur

Cara-cara :-

1. Satukan kelapa kering + serbuk badam + tepung- tepung yg diayak tadi. Ketepikan.
2. Pukul telur + gula aising + esen vanila hingga kembang.
3. Masukkan tepung sedikit demi sedikit. Adunan akan kelihatan seperi serbuk roti.
4. Masukkan mentega hingga menjadi doh yang lembut.
5. Canai, terap, sapukan kuning telur + ceri + kelapa kering.
6. Bakar dalam oven pada suhu 150 c selama 10 - 15 minit.

Selamat mencuba...

Khamis, 4 Ogos 2011

KUIH BANGKIT


Bahan-bahan :-

350 gm  butter
340 gm  gula aising
1/2 tbsp esen vanila
1 biji      telur
1 kg       tepung ubi (disangai)
1 biji      kelapa (santan)




Cara-cara :-

1. Pukul butter + gula aising + esen vanila hingga kembang
2. Masukkan telur.
3. Masukkan tepung.
4. Masukkan santan.
5. Canai, terap dan bakar dalam oven pada suhu 200 c sekitar 10 - 15 minit atau sehingga masak.


Selamat mencuba...

Ahad, 26 Jun 2011

HASIL KERJA TANGAN KU...

 KEK SPAN VANILA



PANDAN LAYER KEK

i) kek span

ii) lapisan kek span dan sekaya pandan

iii) kek dihias dgn fresh krim dan kelapa kering


CHEESE CAKE


BLUEBERRY CHEESE KEK
i) Cheese kek
ii) Lapisan cheese kek disapu dgn krim
iii) Kek dihias dgn krim
iv) Cheese kek yg telah siap dihias


CATATAN POPULAR