Qudwah Hasanah

Qudwah Hasanah bererti contoh teladan yang terbaik.

Rasulullah saw merupakan contoh teladan yang terbaik bagi sekalian umat manusia. Ia dapat dilihat pada sifat, sikap, fikiran dan tindakan, kehidupan, semangat, perjuangan dan kepimpinan baginda.

Kesemua sifat dan sikap Rasulullah saw adalah kesan daripada didikan al-Quran. Setiap perkara yang dilakukan dan ditinggalkan oleh baginda adalah pelaksanaan daripada setiap perintah al-Quran. Setiap nilai al-Quran terdapat dalam diri Rasulullah saw sehingga baginda dianggap sebagai al-Quran hidup.


Rabu, 1 September 2010

PENDIDIKAN DALAM IBADAT PUASA

Puasa adalah rukun Islam yang ketiga, selepas mengucap dua kalimah syahadah dan solat lima waktu sehari semalam. Dalil difardhukan puasa ke atas orang mukmin ialah melalui firman Allah S.W.T. dalam Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:
"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa"

Pengertian Puasa

Puasa dari segi bahasa ialah menegah, menahan daripada sesuatu. Manakala pengertian puasa menurut istilah syara’ pula ialah menahan diri pada siang hari daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa dengan niat mulai naik fajar hingga jatuh matahari (Wahbah Az-Zuhaili, Fiqh & Perundangan Islam Jilid 2:1994).

Pengertian seterusnya, ”Puasa ialah menahan diri daripada makan, minum dan bersetubuh mulai dari terbit fajar sehingga terbenam matahari kerana Allah Taala. Begitu juga hendaklah menahan diri daripada perkataaan yang diharamkan dan dimakruhkan menurut syarat-syarat yang telah ditentukan” (Ustaz Sulaiman Endut, Asas-asas Fardhu Ain : 1994).

Jelaslah kepada kita bahawa puasa ialah menahan diri daripada makan dan minum, serta melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa bermula daripada terbitnya fajar sidiq hinggalah terbenamnya matahari. Iaitu bermulanya daripada masuk waktu Subuh dan berakhir apabila masuknya waktu Mahgrib.

Pendidikan Daripada Ibadat Puasa

Puasa mempunyai terlalu banyak hikmah, pendidikan dan rahsia di sebalik kefardhuannya ke atas peribadi (rohani dan jasmani) umat Islam dan juga dari segi pendidikan kemasyarakatan.

1. Puasa dan Pendidikan Peribadi Muslim

Puasa merupakan latihan terbesar untuk mendidik budi pekerti setiap muslim dan mukmin melalui latihan untuk memiliki sifat-sifat terpuji. Dengan berpuasa dapat melatih setiap orang muslim memiliki sifat sabar dalam menghadapi perkara-perkara yang tidak boleh dicapai. Contohnya seperti di dalam keadaan berpuasa seseorang itu tidak dapat mencium bau yang sedap, sekadar melihat minuman yang lazat dan enak terhidang di hadapannya tetapi tidak dapat menikmatinya.

Puasa juga boleh menguatkan peribadi, dan membersihkan jiwa setiap insan. Puasa melatih rohani orang-orang muslim dan mukmin menahan nafsu, dan mencegah daripada moral yang tidak baik. Bagi seseorang yang benar-benar berpuasa, mereka menutup mulut mereka daripada mengumpat, mencaci dan mencela muslim yang lain, tidak bercakap kotor, tidak mengikut keinginan hawa nafsu. Inilah cara yang paling berkesan untuk membentuk peribadi yang mulia.

Demikian juga, ibadat puasa dikatakan sebagai jihad hawa nafsu. Ini kerana puasa boleh melemahkan tekanan nafsu yang keras, kerana orang yang kenyang akan bertambah keras syahwatnya. Melalui ibadat puasa dapat menurunkan tekanan nafsu dan menyelamatkan nafsu daripada segala yang bersangkutan dengan dunia. Oleh itu Rasulullah s.a.w. memberi bimbingan terhadap golongan muda yang kuat hawa nafsunya supaya berkahwin. Jika mereka tidak mempunyai perbelanjaan yang cukup hendaklah mereka berpuasa, kerana puasa boleh mengurangkan nafsu syahwat. Ini bersandarkan hadith Nabi s.a.w. :

يا معشر الشباب : من استطاع منكم الباءة, فليتزوج, فانه أعض للبصر وأحصن للفرج, ومن لم يستطع فعليه بالصوم فانه له وجاء.
Maksudnya:
Barang siapa di antara kamu yang mampu mencari mas kahwin, maka dia hendaklah berkahwin, kerana perlahwinan itu dapat menutup mata dengan berkesan, dan dapat memelihara faraj dengan berkesan. Dan sebaliknya barang siapa yang tidak mampu, dia hendaklah berpuasa, sesungguhnya puasa itu baginya adalah ubat.
Ibadah puasa juga dapat melatih setiap muslim supaya berdisiplin dan berperaturan, kerana puasa memaksa mereka supaya makan dan minum dalam masa yang ditetapkan. Sebab itulah dari segi kesihatan puasa itu sangat berfaedah. Perut manusia boleh diibaratkan sebagai enjin motokar. Jika enjin itu sentiasa berjalan tentulah cepat rosak, begitu jugalah dengan perut dan alat-alat pencernaan di dalam badan manusia yang perlukan kerehatan. Dalam setahun enjin bekerja, sbulan ia diberi kerehatan untuk membersih dan membetulkan perjalanan alat-alat pencernaan. Jika tidak diberi kerehatan tersebut pemilik enjin itu akan cepat didekati pelbagai penyakit seperti penyakit jantung, buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi yang memang berkait rapat dengan cara pemakanan seharian. Dalilnya sabda Nabi s.a.w.”
صوموا تصحوا
Maksudnya:
Hendaklah kamu berpuasa, kamu akan menjadi sihat.

Selain daripada memberi kerehatan kepada sistem penghadaman, dengan berpuasa juga memberi kesan yang mujarab untuk mengurangkan berat badan atau kegemukan. Ini kerana apabila banyak makan tentunya berat badan makin bertambah. Semakin bertambah berat badan, semakin banyak nisbah lemak yang terhimpun. Berat badan yang tidak ideal atau kegemukan yang melebihi bentuk tubuh akan membawa penyakit seperti yang disebutkan di atas.

2. Puasa Dan Pendidikan Masyarakat

Ada pun hikmah dan pendidikan ibadat puasa dari segi kemasyarakatan pula ialah melahirkan belas kasihan terhadap golongan miskin. Ini kerana apabila seseorang itu berpuasa dapat merasai kelaparan untuk beberapa ketika, dengan itu mereka akan mengingati kelaparan orang-orang miskin.

Ibadat puasa juga dapat menyebarkan perasaan kasih sayang dan persaudaraan dalam jiwa manusia. Juga melahirkan semangat bekerjasama di antara sesama Islam. Pertalian silaturrahimdan kerjasama dalam menghapuskan ancaman kelaparan. Keadaan ini akan meneguhkan ikatan sosial antara sesama mereka, serta menganjurkan semangat kerjasama dalam mengubati penyakit yang timbul dalam masyarakat.

Tiada ulasan:

CATATAN POPULAR