Qudwah Hasanah

Qudwah Hasanah bererti contoh teladan yang terbaik.

Rasulullah saw merupakan contoh teladan yang terbaik bagi sekalian umat manusia. Ia dapat dilihat pada sifat, sikap, fikiran dan tindakan, kehidupan, semangat, perjuangan dan kepimpinan baginda.

Kesemua sifat dan sikap Rasulullah saw adalah kesan daripada didikan al-Quran. Setiap perkara yang dilakukan dan ditinggalkan oleh baginda adalah pelaksanaan daripada setiap perintah al-Quran. Setiap nilai al-Quran terdapat dalam diri Rasulullah saw sehingga baginda dianggap sebagai al-Quran hidup.


Khamis, 24 Mac 2011

ALLAH SATU-SATUNYA PENOLONG (dipetik daripada buku La Tahzan)

Menyerahkan semua urusan kepada Allah, bertawakkal kepadaNya, percaya terhadap janji-janjiNya, redha dengan apa yang dilakukanNya, berbaik sangka kepadaNya, dan menunggu dengan sabar pertolongan dariNya, merupakan sebahagian daripada buah keimanan yang paling besar dan merupakan salah satu daripada sifat mukmin yang paling mulia. Dan ketika seorang hamba merasa tenang bahawa apa yang akan terjadi itu baik baginya, dan ia menggantungkan setiap permasalahannya hanya kepada Tuhannya, maka ia akan memperolehi pengawasan, perlindungan kecukupan, kekuatan serta pertolongan dari Allah SWT.

Ketika Nabi Ibrahim as dilempar ke dalam api, baginda mengucapkan  "Hasbunallahu wani'mal wakil (cukuplah Alah sebagai Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung)", maka Allah pun menjadikan api yang panas itu dingin seketika dan nabi Ibrahim as pun selamat (tidak terbakar).

     Demikian juga halnya yang dilakukan Rasulullah saw dan para sahabatnya ra tatkala mereka mendapat ancaman dari pasukan kafir dan penyembah berhala, di mana mereka juga mengucapkan "Hasbunallahu wa ni'mal wakil".

  ...cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung. Maka mereka kembali dengan nikmat dan kurnia (yang besar dari) Allah, mereka tidak mendapat bencana apa-apa, mereka mengikuti kerehdaan Allah. Dan mereka mempunyai kurnia yang besar. (Ali Imran: 173-174)

     Manusia tidak mampu melawan setiap bencana, menakluk setiap derita, dan mencegah setiap mala petaka dengan kekuatannya sendiri. Ini adalah kerana, manusia diciptakan sebagai makhluk yang sangat lemah. Mereka hanya mampu menghadapi semua itu dengan baik apabila mereka bertawakkal kepada Tuhannya, percaya sepenuhnya kepada pelindungnya, dan menyerahkan semua perkara kepadaNya, maka ia akan memperolehi kekuatan.

     Sebaliknya jika mereka tidak bertawakkal, jalan mana lagi yang boleh dilakukan oleh hamba yang hina dina ini dalam menghadapi berbagai-bagai macam ujian dan cubaan?

 ...dan hanya kepada Allahlah hendaknya kamu bertawakkal jika kamu benar-benar beriman. (Al-Ma'idah:23)

     Oleh kerana itu, wahai orang-orang yang menyedari kelemahan dirinya, bertawakkallah kepada Yang Maha Kaya dan Yang Maha Kuat, yang mempunyai kekuatan yang amat besar, yang tiada bandingannya agar diri anda selamat dari berbagai kesusahan dan keluar dari bencana! Jadikanlah "hasbunallahu wa ni'mal wakil" syair dan semboyan yang selalu menyelimuti langkah hidup anda. Jika harta anda kekurangan, hutang anda banyak, sumber penghidupan anda berkurang, dan mata pencarian anda menyepit, mengadulah kepada Tuhanmu seraya mengucapkan "Hasbunallahu wa ni'mal wakil".

     Apabila anda takut menghadapi musuh, cemas terhadap perlakuan orang zalim, atau khuatir terhadap permasalahan kehidupan, maka ucapkanlah dengan tulus kalimah ini: "Hasbunallahu wa ni'mal wakil".

   ...dan cukuplah Rabbmu menjadi Pemberi Petunjuk dan Penolong. (Al-Furqan: 31)

Tiada ulasan:

CATATAN POPULAR