Qudwah Hasanah

Qudwah Hasanah bererti contoh teladan yang terbaik.

Rasulullah saw merupakan contoh teladan yang terbaik bagi sekalian umat manusia. Ia dapat dilihat pada sifat, sikap, fikiran dan tindakan, kehidupan, semangat, perjuangan dan kepimpinan baginda.

Kesemua sifat dan sikap Rasulullah saw adalah kesan daripada didikan al-Quran. Setiap perkara yang dilakukan dan ditinggalkan oleh baginda adalah pelaksanaan daripada setiap perintah al-Quran. Setiap nilai al-Quran terdapat dalam diri Rasulullah saw sehingga baginda dianggap sebagai al-Quran hidup.


Isnin, 31 Disember 2012

PAHIT MANIS 2012

365 hari dalam tahun 2012 telah dilalui dengan pelbagai suka duka. Telan yang pahit sebagai ubat. Yang manisnya sebagai penawar. Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana masih diberi peluang mengharungi suka duka kehidupan di alam yang fana ini. Juga dapat merasai pahit manisnya sepanjang 2012. 

Sepanjang tahun 2012, banyak perkara yang telah berlaku. Alhamdulillah, jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya, tahun ni banyak yang manis daripada yang pahit. Tahun 2011 Allah telah memberi peluang untukku menelan ubat begitu banyak. Pahitnya ubat itu ku telan jua. Jadi, tahun ini Allah berikan pula penawarnya yang manis. Syukur Ya Allah. Pengalaman setahun yang ku kutip ini telah banyak mengajar ku erti sebuah kesabaran dan kesyukuran. Bersabar dalam menempuh ujian dari-Nya. Dan bersyukur di atas segala nikmat pemberian-Nya. Terkadang Allah memberi nikmat-Nya berupa dugaan meski pun berat terasa. Dan...terkadang juga Allah menguji sebahagian orang dengan memberikan nikmat-Nya. 

Harapan ku, semoga tahun baru 2013 yang bakal menjelma akan terus terasa kemanisan hari ini. Kemanisan yang berkekalan. Semanis madu. Lebih manis lagi mudah-mudahan. Harapan yang tinggi menggunung. Selamat menyambut tahun baru...berbekalkan semangat baru, azam baru, hasrat dan harapan yang baru. Insha Allah beroleh keberkatan dan keredhaan dari-Nya. Dengan izin-Nya jua akan mengecapi kebahagiaan yang berpanjangan. Amin Ya Rabb al-'Alamin..

MASA LALU ADALAH KENANGAN
MASA KINI IALAH KENYATAAN
MASA DEPAN ITULAH HARAPAN 


Selasa, 25 Disember 2012

INI TAK ADIL

Balai Polis Dang Wangi
Mana adil? Aku masuk petak kuning selepas nampak lampu hijau menyala. Terus dia tiup wisel suh pusing masuk ke balai polis Dang Wangi. Apa nak buat. Ikut je lah. Masa dalam tu aku cakap la begitu begini. Polis tu buat pekak je. 

Yang geramnya, masa aku nak keluar, elok je kereta tu ada dalam petak kuning. Aku siap buka cermin cakap dengan polis yang berdiri depan pondok tu; "kereta tu kenapa tak saman pulak?"... Apa dia kata tau: "jalan je..." mau aku tak hangin. Aku tak keluar. Alasan tak nak masuk petak kuning lagi. Polis tu siap bagi isyarat suruh keluar. Aku buat bodoh dan sempat keluarkan handphone snap gambar ni sebagai bukti. Kereta ni berada dalam petak kuning lama tau. Sebab masa tu lampu merah. Mana tak lamanya...aku sempat cakap dengan polis, sempat snap gambar. Ni yang tak adil ni. Kalau alasan dia mengganggu lalu lintas susah kereta keluar masuk, saman semua la... 

Aku memang tak puas hati...apa pun dia yang berkuasa di situ. Dia punya suka la nak saman siapa...Dah nasib aku hari ni. Pujuk hati sendiri. Dah tertulis bahawa duit bonus aku sekian jumlahnya bukan hak milik aku dan anak-anak. Redha saja lah labu!!! Begitulah cara nak pujuk hati sendiri. 


Ahad, 23 Disember 2012

YA ALLAH...SABARKAN AKU...


Duduknya aku di sini, aku telah belajar sesuatu. Pembelajaran melalui pengamatan dan pengalaman. Tanpa guru. Tak perlu guru. Hanya duduk dan lihat, dan pandang, dan rasai, dan lalui, dan tempuhinya dengan penuh kesabaran dan ketenangan. Kalau sakit urutkan dada. Andainya perit pujuklah hati. Supaya hati dapat bersabar dengan segala gurauan dan teguran serta tohmahan. Kerenah manusia. Hihi...Itulah agaknya hikmah Allah swt menempatkan aku di sini. Dan...mungkin banyak lagi yang akan aku pelajari. Mungkin ini semua bermula dari kesilapan diri sendiri.

Ya Allah...terima kasih kerana banyak memberiku pengalaman hidup yang cukup bermakna. Yang tidak mudah untuk dikutip oleh insan lain. Hanya insan-insan yang terpilih. Kata orang "berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul". Memang benar. Orang yang hanya memandang tidak merasa betapa beratnya bebanan yang dipikul. Dalam erti kata lain, orang yang tidak berada di tempat yang susah tidak mudah untuk merasa kesusahan dan kepahitannya. Mereka cuma sekadar boleh melihat tapi tidak merasa kepahitan sebenarnya. Alhamdulillah...diri yang hina ini terpilih untuk merasa apa yang dikatakan pahit dan manis kehidupan.

Dalam keadaan-keadaan sebegini, kita dapat mengenal hati budi manusia. Kata orang juga, ahhh...cukuplah...

Ya Allah...Sabarkan aku, dalam mengharungi segala ujian Mu. Kerana aku tahu Kau menguji keimananku. Kau menguji keyakinanku terhadap Mu. Kau ingin aku sentiasa hampir dengan Mu...

Rabu, 19 Disember 2012

SELAMAT HARI GURU

Qudwah Hasanah

Ahad, 16 Disember 2012

JALAN-JALAN KE UTARA


Cuti-cuti Malaysia. Wahhh!!!...tahun ni berjalan sakan nampaknya. Bermula di  Perak, Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan destinasi terakhir Langkawi. Empat buah negeri aku jelajah dalam masa empat hari. Mana nak cari peluang terbaik macam ni.

Bermula 12.12.2012, kami bertolak jam 8.30 pagi. Negeri pertama yang kami lawati ialah di negeri Perak. Maklumlah, negeri pertama yang kami tempuhi dalam perjalanan menuju ke utara tanah air. Kami melawat di Jana kuasa Hidro Elektrik Temenggor. Kami diberi penerangan serba sedikit tentang pusat-pusat janakuasa yang terdapat di Malaysia. Antaranya di Tasik kenyir Terengganu, Pergau di Kelantan dan lain-lainnya di Perak. Sebenarnya lawatan ke sini sedikit sebanyak menyedarkan aku betapa pentingnya berjimat cermat daam penggunaan elektrik. Alhamdulillah...ada kesedaran. Dalam perjalanan menuju ke tempat penginapan kami, aku demam selsema. tak tahu kenapa. Nasib baik ketua rombongan kami prihatin dan membawa aku ke farmasi untuk mendapatkan ubat. Lepas makan ubat aku terus tidur. Orang lain keluar lagi malam tu ronda-ronda dan makan-makan.

Hari kedua 13.12.2012, kami melawat Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di Kulim Kedah. Selepas makan tengah hari di ADTEC, kami bertolak pula ke Pulau Pinang. Singgah di PKG Gelugur. Satu-satunya PKG di Pulau Pinang. Sedikit taklimat dari PTP 1. Kami dihidangkan dengan makan yang sangat sedap. Tapi sayang aku tak tahu apa namanya. Alhamdulillah...kami kekenyangan hari ni dua kali makan tengah hari. Selepas selesai makan, kami bergerak pula ke Bukit Bendera. Naik kereta api mendaki bukit Bendera. Ini kali kedua aku berpeluang naik Bukit Bendera. Pertama kali aku ke sana nun tahun 1993. Hampir dua puluh tahun yang lepas. Masa tu kereta apinya tak berpintu. Menjelang petang kami singgah di Komtar. Sebenarnya nak membeli belah jeruk di sekitar situ. Tercekik aku, walaupun cuma merasa tiga keping jeruk. Terus stop. Bimbang diserang 'athma'. Bimbang menyusahkan orang sekali lagi. Malamnya kami makan nasi kandaq sponsur UMNO cawangan Sungai Geluguq. Alhamdulillah free lagi makan malam kami. Selepas bersalaman dengan pemilik restoran Mami Azizah, kami menuju ke Pesta Pulau Pinang 2012. Cuma jalan-jalan.

Hari ketiga 14.12.2012,  sepatutnya rombongan kami bertolak jam 6.30 pagi lagi. Tapi atas kecuaian aku dan teman sebilik, kami lewat setengah jam. Kami tak sedar langsung. Kepenatan agaknya. Maklumlah, hampir jam 2 pagi tidur malamnya. Malu juga rasanya. Prinsip aku dah tercemar. Prinsip aku 'jangan sampai orang tunggu aku, aku tunggu orang boleh la tahan'. Selepas lebih kurang sejam setengah perjalanan, kami sampai di BTPN Perlis. kami dihidangkan dengan sarapan pagi. Selepas tu ada sedikit taklimat. Kami bertolak menuju ke Jeti Kuala Perlis. Nak ke Langkawi pulak. Kami naik feri jam 10.30 pagi. Sampai di Langkawi kami makan singgah di PKG Kuah. Makan tengah hari. Sekejab saja kami di situ sebab orang dah nak solat Jumaat. Kebetulan pula mereka tak bekerja hari Jumaat. Hari minggu mereka. Apa pun terima kasih kami ucapkan atas kesudian menerina kedatangan kami. Lepas tu kami menuju ke tempat penginapan kami di Pekan Kuah. Kami menginap di Motel Medee. Selepas mandi dan solat, kami di bawa oleh pemandu pelancong ke KILIM GEOFOREST PARK. Wah!!!...Seronok naik bot mengelilingi pulau-pulau sekitar Langkawi. Sayangnya hujan lebat waktu tu. Pulau Kasut cuma dapat lihat dari jauh saja. Apa pun memang seronok dapat tengok helang, masuk gua kelawar dapat tengok batu mencari matahari. Di perkampungan nelayan dapat pula tengok belangkas. Kalau sebelum ni dengar namanya saja. Hari ni boleh tengok rupa bentuknya.

Lebih kurang jam 5.00 petang, kami balik semula ke pengkalan. Dari sini bermulalah era 'shopping menyoping'.  Jam 5.30 petng kami sampai di Idaman Suri. Mabuk semua orang. Aku cuma beli coklat je kat situ. Lepas tu, kami ke pekan pula. Katanya di sini banyak kedai. Boleh pilih kedai mana nak masuk. Bawa duit je. Kami diberi peluang shopping sampai malam sebab tempat penginapan kami dekat saja dengan pekan. Boleh balik jalan kaki. Apa lagi. Dari satu kedai ke satu kedai aku berjalan. Sorang diri. Beli beg sekolah anak, coklat untuk anak. Kain batik sarung dan kain pelekat. Bila nak balik kami sesat. Nasib baik ada dua orang pemuda yang baik hati carikan tempat tinggal kami dan tunjuk jalan balik. Terima kasih banyak-banyak. Baguih betoi pemuda Langkawi ni na!... Jam 11.00 malam kami sampai ke bilik.Penat ada, takut pun ada, lapaq juga dok ada. Apa dok tunggu lagi, selepas simpan barang di bilik kami berdua keluaq lagi nak makan. Al-maklum la...dah tau jalan kan!...

Hari terakhir 15.12.2012, lebih kurang jam 8.30 pagi kami bertolak ke jeti. Feri yang akan membawa kami pulang katanya jam 10.30 pagi. Sempat lagi aku meronda-ronda. Mencari-cari sesuatu. Hadiah untuk diri sendiri belum beli lagi rupanya. Cenderamata untuk insan-insan tersayang semua dah beli. Untuk diri sendiri belum lagi. Alamak!!!... Mana boleh. Dalam kesibukan mencari, kawan telefon mereka dah beratur nak masuk ke jeti. Sedihnya. Takper lah...lagi pun aku nak pergi KL minggu depan. Mungkin di sana nanti ada rezeki aku. Dalam kesibukan memujuk hati, aku terdengar pengumuman kelewatan tiba feri yang menuju ke Kuala Perlis. Ha...ni la peluang aku. Aku cabut keluar semula. Sempatlah aku membeli hadiah birthday aku bulan depan. Beli awal takper...Pakai awal pun takper...asalkan beli. Itulah juga prinsip hidup aku. Menghadiahkan sesuatu untuk diri sendiri sebagai tanda penghargaan untuk diri sendiri. Kita sayang orang kita belikan dia macam-macam hadiah. Kenapa kita tak belikan sesuatu hadiah untuk diri kita sendiri sebagai tanda sayang pada diri sendiri? Itulah aku...

Sampai di rumah lebih kurang jam 1.00 pagi. Sepanjang perjalanan aku tidur kepenatan. Seronok berjalan. Tapi penat badan.  Bukan penat sebab tak cukup rehat, tapi sebab duit banyak habis.

Isnin, 10 Disember 2012

SIAPALAH AKU...


Bismillahirrahmanirrahim...Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Ku mulakan dengan menyebut nama Allah semoga Dia sentiasa bersamaku. Agar aku tidak keseorangan. Hari ini hari yang...ahhh... memilukan. Sedih pilu di dalam hatiku... Sayu rindu mengenangkan... Usahlah dikenang nanti merana badan. Pujuk hati kecilku. Pujuklah diri sendiri. Nak harapkan siapa lagi untuk pujuk diri kita? Hanya diri kita yang tahu bila masa kita bersedih, bila masanya kita gembira, bila pula ketikanya kita berkecil hati.

Pulau Beluru...aku rindu...
Aku ibarat bunga di hutan. Terpinggir. Atau meminggirkan diri? Dalam keadaan macam ni, aku teringat semula kata-kata GB, 'awak kat sana orang tak kenal awak, awak bermula dari zero. Kita orang kat sini semua dah kenal awak'. Masa tu aku senyum mendengar kata-katanya. Degilkan aku? Maafkan saya cikgu sebab tak dengar cakap cikgu. Bebelan cikgu adalah nasihat termahal untuk saya. Memang benar kata cikgu, orang tak kenal saya. Dan susah juga untuk memperkenalkan diri kita pada orang yang kita tak kenal. Mereka tak pernah mahu 'mengenal' siapa kita. Tapi mereka sentiasa 'mencari-cari' siapa kita. Mungkin salah diri sendiri sebab tak nak perkenalkan diri.

Tapi cikgu, di sinilah kehidupan saya. Pahit dan manisnya harus saya telan. Semoga yang manis akan terus kekal kemanisannya. Dan yang pahit akan terasa manis juga di penghujungnya. Insha Allah. Semoga segala doa dan permintaan  di makbulkan Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Terima kasih cikgu...

Ahad, 9 Disember 2012

JAUH PERJALANAN LUAS PANDANGAN

Kata orang jauh perjalanan luas pandangan, banyak la pengalaman. Memang betul pun. Banyak tempat kita pergi, macam-macam jenis orang kita jumpa.Banyak bahasa yang dapat kita pelajari. Pelbagai budaya yang dapat kita lihat. Sepanjang hidup ku, 20 tahun membesar dan belajar hingga peringkat menengah atas di Negeri Cik Siti Wan Kembang. Dan 20 tahun kemudiannya pula aku belajar, bekerja dan menetap di merata negeri. Antaranya Selangor, Johor dan Pahang. Sudahnya kembali semula ke Selangor Darul Ehsan. Negeri yang penuh keehsanan terhadap rakyat dan penduduknya.

Bermulanya hijrah ku ke Selangor selepas tamat pengajian menengah atas. Aku dan emak berpindah tinggal bersama kakak di Selayang. Jadi penganggur kehormat. Akhirnya aku dapat tawaran jadi guru ganti di SKST. Alhamdulillah. Sayangnya aku cuma sempat mengajar seminggu saja. Gaji pun tak sempat terima. Permohonan aku untuk masuk maktab berjaya. MPI!!! Aku seronok sebab aku boleh berulang tiap-tiap minggu. Dalam masa belajar di MPI aku bertunang dan berkahwin. Aku berpindah pula ke Johor Darul Takzim. Sempat la juga aku berkenalan dengan orang Johor. Dapat juga aku menjelajah sekitar negeri Johor. Dengan motosikal Kawasaki. Kalau kata Pasir Gudang, ooo...tempat tinggal aku dulu hampir setahun. Bila sebut Masai, emm...biasa sangat. Skudai, Larkin, JB, Pantai Lido dan macam-macam tempat lagi. Termasuklah Singapura.

Selepas mengutip pengalaman di Johor, aku berpindah pula ke Pahang Darul Makmur. Negeri yang penuh dengan kemakmuran. Aku menetap di Pekan, dekat dengan istana Sultan Pahang. Lima tahun tinggal dan menetap di sana. Dua tempat tinggal dan dua buah sekolah sempat berkhidmat di sana. Mula-mula rumah sewa di Pekan dan mengajar di SKST. Sekolah ni sebelah pagar istana tuanku Sultan Pahang. Lepas rumah baru siap, aku berpindah pule ke SKTP. Sempat la juga aku belajar cakap loghat Pekan. Yang paling aku tak lupa, bila anak sulung ku demam dan dia minta nak makan 'ubek'. Masa tu dia baru setahun lebih. Aku juga berpeluang mengenal makanan-makanan tersohor di Pahang terutamanya di Pekan sendiri. Mula-mula makan laksa Pahang tak lalu. Tapi lima tahun tinggal sana dah jadi makanan kegemaran pula. Masa mengidam sanggup pergi ke Pekan cari laksa pahang. Dan yang paling utama, aku banyak belajar buat puding masa berada di sana, terutama puding raja dan puding buih. Terima kasih cikgu-cikgu di SKST, terutama guru besarnya Puan Asiah pakar masak memasak. Banyak pengalaman yang aku kutip di Pahang. Terima kasih Pahang...

Tahun 2001, aku berpindah pula ke Selangor. Tinggal menetap di BTK. Mengajar di SKS. Suami bekerja di Kajang. Bermulalah era menempuh kesesakan lalu lintas yang amat dahsyat. Kalau tak turun dari rumah sebelum jam 7 pagi jangan harap nak punch dakwat hitam. Mesti merah punya. Walau seminit. Selepas dua tahun suami berpindah tempat kerja ke Puchong. aku turut pindah ke SKPU(2). Menyewa di PP. Sama juga sesak jalan ke sekolah. Tapi apakan daya. Rempuh juga demi tugas pada anak bangsa. Itulah sekolah yang paling dekat dengan rumah. Memang dekat je pun tapi jem gila-gila. Berkenalan pula dengan orang baru. Jiran-jiran baru. Rakan-rakan seperjuangan yang baru. Ramai sungguh kenalan ku. Alhamdulillah, mereka semua baik-baik. Sampai sekarang pun. Bila jalan banyak jalan baru dibuka, kesesakan lalu lintas dah berkurang, rumah aku di Kajang pun siap. Aku berpindah balik semula ke kajang. Tak sempat merasa kemudahan frasarana baru di PP. Aku masuk balik di SKS. Senang, sebab dah kenal semua mereka tu. Cikgunya, orang pejabatnya, termasuklah pekerjanya. Guru besar je baru.

Jun 2006, aku pindah sekali lagi dari SKS. Bukan apa, setelah dapat tahu ada kekosongan di SKBTK. Aku tak larat lagi nak menempuh kesesakan jalan. Pergi balik sekolah. Kemudian petangnya pergi lagi untuk ambil anak sekolah agama. Penat sangat. Aku pindah ke SKBTK. Inilah sekolah yang paling lama aku mengajar mulai Jun 2006 lagi. Aku selesa di sini. Dekat dengan rumah. Tak perlu lalu jalan besar yang sesak tu. Kawan-kawan pun baik-baik dan memahami. Pentadbirnya juga prihatin. Staf pejabatnya baik dan ramah. Mudah saja bila minta tolong apa-apa. Terima kasih semua warga SKBTK. 

Sebenarnya kan...apa yang aku nak ceritakan, sepanjang hidup aku berkerjaya aku tak pernah tinggal di negeri sendiri. Kata orang, negeri Cik Siti ni bagus. Penduduknya baik, peramah, berilmu agama dan macam-macam lagi. Tapi dua tiga negeri yang pernah aku tinggal menetap tu tak kurang baiknya. Malah kalau di Kajang, penduduk setempatnnya amat baik dan sangat mengambil berat tentang permasalahan penduduk setempat. Kalau musim perayaan mereka begitu mengambil berat tentang anak-anak yatim, golongan miskin serta ibu-ibu tunggal. Sumbangan tak pernah mereka lupa. Kutipan derma sepanjang Ramadhan dibuat untuk membantu dan memberi sedikit rasa kegembiraan golongan tersebut di hari raya. Dan, tak pernah aku dengar mereka menghina atau mengata golongan itu. Itu pengalaman yang aku kutip sepanjang di sana. Sayangnya, ahhh...susah untuk aku nyatakan di sini. Kata orang 'ditelan mati emak diluah mati bapak'. Kata orang juga 'indah khabar dari rupa'. Itu saja yang mampu aku nyatakan di sini. Pengalaman dan perjalanan hidup mengajar aku segala-galanya. Lebih baik kita banyak merantau mengutip ilmu dan pengalaman daripada kita terperuk macam katak bawah tempurung...

Maaf andai ada yang terasa sama ada sengaja atau tidak sengaja. Dalam segala hal, tindakan dan perbuatan atau percakapan, fikirlah terlebih dahulu. Letakkan diri kita di tempat mereka. Fikirkan sejenak...kalau aku di tempat dia. Dan harus diingat bumi ini bulat umpama roda. Sesekali kita di atas dan sesekali berada di bawah. Hari ini hari dia mungkin esok lusa giliran kita. WALLAHU A'LAM...fikir-fikirkan...


Rabu, 5 Disember 2012

BERUNTUNGNYA SEORANG ISTERI

Ganjaran Seorang Isteri Daripada Allah



Credit to Aizat & Anum 


1. “Sekali suami minum air yang disediakan oleh isterinya adalah lebih baik dari berpuasa setahun”


2. “Makanan yang disediakan oleh isteri kepada suaminya lebih baik dari isteri itu mengerjakan haji dan umrah”


3. “Mandi junub si isteri disebabkan jimak oleh suaminya lebih baik baginya daripada mengorbankan 1,000 ekor kambing sebagai sedekah kepada fakir miskin”.


4. “Apabila isteri hamil ia dicatitkan sebagai seorang syahid dan khidmat kepada suaminya sebagai jihad”.


5. “Pemeliharaan yang baik terhadap anak-anak adalah menjadi benteng neraka, pandangan yang baik dan harmonis terhadap suami adalah menjadi tasbih (zikir)”.


6. “Tidak akan putus ganjaran dari Allah kepada seorang isteri yang siang dan malamnya menggembirakan suaminya”.


7. “Apabila meninggal dunia seorang dan suaminya redha, nescaya ia dimasukkan ke dalam syurga”.

(Hadis Riwayat Tarmizi)

Ahad, 2 Disember 2012

PERMAIDANI KASIH

Air mata semalam                                     
Menjadi permata hari ini
Senyumlah...
Hargai permata itu
Alam yang gelap semalam
Bersinar hari ini
Cinta yang punah semalam
Kuatkan gentanya hari ini
Cinta yang tumbang semalam
Kuatkan tiangnya
Cinta yang robek semalam
Kuatkan bumbungnya
Bangunkan tiangnya
Kuatkan genta
Hamparkan bumbung
Letakkan permata itu
Di bawah bumbung
Atas genta
Beralaskan permaidani kasih...

CATATAN POPULAR