Qudwah Hasanah

Qudwah Hasanah bererti contoh teladan yang terbaik.

Rasulullah saw merupakan contoh teladan yang terbaik bagi sekalian umat manusia. Ia dapat dilihat pada sifat, sikap, fikiran dan tindakan, kehidupan, semangat, perjuangan dan kepimpinan baginda.

Kesemua sifat dan sikap Rasulullah saw adalah kesan daripada didikan al-Quran. Setiap perkara yang dilakukan dan ditinggalkan oleh baginda adalah pelaksanaan daripada setiap perintah al-Quran. Setiap nilai al-Quran terdapat dalam diri Rasulullah saw sehingga baginda dianggap sebagai al-Quran hidup.


Isnin, 23 Ogos 2010

MAJLIS RAUDHAH AT-TILAWAH

PENGENALAN MAJLIS RAUDHAH AL-TILAWAH

Majlis Raudhah Al-Tilawah merupakan sebuah pusat pengajian al-Quran yang tersohor di Kelantan. Pusat pengajian ini beralamat Tepi Pondok Tuan Guru Haji Abdul Ghani, W1612-A, Jalan Meranti, Pasir Mas, Kelantan. Pasir Mas adalah sebuah daerah yang terletak di tengah-tengah negeri Kelantan. Berdasakan kedudukan geografi itu, tepatlah dengan nama yang diberikan, sesuai dengan kedudukannya di tengah-tengah negeri Cik Siti Wan Kembang.

Pengasas pusat pengajian ini adalah seorang guru al-Quran yang terkenal dalam bidang Tarannum iaitu Tuan Haji Nik Jaafar bin Nik Ismail. Menurut pengasasnya, pusat pengajian itu dinamakan dengan nama Raudhah kerana perkataan itu memberi maksud taman, dan al-Tilawah pula bermaksud bacaan al- Quran. Daripada gabungan dua perkataan itu wujudlah “Taman-taman bacaan al-Quran”. Belajar dalam suasana taman amat menyeronokkan lebih-lebih lagi dihiasi dan diiringi dengan alunan ayat-ayat al-Quran.

Tuan Haji Nik Jaafar merupakan seorang tokoh Tarannum yang disegani di Malaysia. Beliau terkenal dan disegani kerana ilmunya yang hebat dan mendalam dalam bidang Tarannum. Beliau mempelajari ilmu Tarannum dalam tempoh masa yang begitu lama. Sepuluh tahun masa yang diambil untuk mendalami ilmu Asas Tarannum bersama datuknya Tuan Haji Muhammad Yusof Kedondong. Lima tahun berikutnya pula beliau bertungkus-lumus mempelajari bidang Tahsin As-Saut dengan Tuan Haji Che Musa bin Mahmood yang merupakan qari Istana Kelantan. Manakala tempoh masa yang paling lama iaitu dua puluh satu tahun beliau berguru dengan Qari Antarabangsa Tuan Guru Haji Ahmad bin Maasum Pergau. Di sini beliau mendalami bidang Teknik (Metodologi) Tarannum. Ternyata ilmu yang diperolehi datangnya daripada guru yang terkenal dan muktabar dalam bidang Tarannum.

Beliau bukan sekadar Mudir di Raudhah Al-Tilawah, bahkan beliau pernah berkhidmat di Kementerian Pelajaran sebagai penulis kurikulum Tarannum. Selain dari itu beliau adalah hakim Musabaqah Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa.

LATAR BELAKANG PENUBUHAN

Majlis Raudhah Al-Tilawah telah lama ditubuhkan iaitu sejak awal tahun 1990-an. Pusat ini ditubuhkan berasaskan idea Tuan Haji Nik Jaafar, di mana beliau bercita-cita untuk mengembangkan ilmu al-Quran kepada masyarakat. Tuan Haji Nik Jaafar sebagai pengetua atau mudir di pusat pengajian ini.

Pusat pengajian ini telah dirasmikan penubuhannya oleh Ketua Pegawai Daerah Pasir Mas. Ia adalah hak milik persendirian Tuan Haji Nik Jaafar. Oleh sebab itu pusat ini sekadar mendapat sokongan daripada pihak Pegawai Daerah Pasir Mas. Ia juga tidak mendapat publisiti yang meluas. Walau bagaimanapun, berkat niat ikhlas pengasasnya yang meletakkan niat untuk memperkembangkan kepentingan ilmu al-Quran, pusat pengajian ini telah dikenali dan dihadiri oleh pelajar dari seluruh Malaysia. Buktinya telah ramai qari dan qariah dari luar negeri Kelantan telah muncul sebagai johan atau naib johan sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Tujuan utama Tuan Haji Nik Jaafar menubuhkan pusat pengajian ini adalah untuk mengembangkan ilmu al-Quran kepada masyarakat, lebih-lebih lagi kepada mereka yang berminat untuk mendalami dan memperlengkapkan diri dengan ilmu al-Quran. Mengikut pendapat pengasas pusat pengajian ini, kebanyakan kelas-kelas al-Quran yang ada di Kelantan hanya menumpukan pengajian kepada tajwid sahaja. Oleh itu beliau membuka pusat pengajian ini untuk memberikan ilmu al-Quran yang lebih banyak lagi kepada masyarakat seperti ilmu Tarannum, ilmu Qiraat, ilmu Suara dan sebagainya begi memperlengkapkan dan memperelokkan bacaan al-Quran.

Sehingga kini, dua buah pusat pengajian al-Quran telah dibuka. Pada tahun 2004 sebuah lagi pusat pengajian al-Quran ditubuhkan iaitu Majlis Raudhah Al-Tilawah (2) yang beralamat diLot 22, Batu ¾, Kampung Kangkung,17000 Pasir Mas Kelantan.

Tuan Haji Nik Jaafar selaku mudir di pusat pengajian ini tidak menetapkan kadar bayaran yuran kepada para pelajar, tetapi terpulang kepada mereka untuk memberi sumbangan kepada Majlis Raudhah Al-Tilawah.


PELAJAR DAN TENAGA PENGAJAR

Majlis Raudhah Al-Tilawah mempunyai pelajar daripada setiap lapisan umur. Bermula dari umur belasan tahun sehingga dewasa. Pelajar ini dibahagikan mengikut kumpulan masing-masing iaitu kumpulan belia, kumpulan wanita dan kumpulan dewasa (lelaki). Bilangan pelajar juga tidak dihadkan. Ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk mendalami ilmu al-Quran. Para pelajarnya juga terdiri dari pelbagai golongan masyarakat. Ada di antaranya guru agama sendiri sama ada di peringkat rendah atau menengah

Dari segi tenaga pengajar pula, Tuan Haji Nik Jaafar sendiri selaku Mudir di pusat ini juga salah seorang tenaga pengajar. Selain itu tenaga pengajar tetap terdiri daripada johan qari dan qariah yang telah belajar di pusat ini. Antaranya Haji Muhammad bin Haji Yusof, Hajjah Safinah binti Mamat, Haji Abdul Rahim Ahmad, Haji Hussin bin Yunus, Haji Yahya bin Daud dan ramai lagi. Turut diundang ialah Hajjah Faridah Haji Mat Saman apabila khidmat beliau diperlukan.


MODUL PENGAJARAN

Modul yang digunakan di Majlis Raudhah al-Tilawah adalah modul persendirian yang dihasilkan oleh Tuan Haji Nik Jaafar sendiri. Walau bagaimanapun modul itu mendapat sokongan dan pengiktirafan dari badan-badan kerajaan. Penulisan modul ini diambil kira daripada beberapa sumber dan fakta yang muktabar, di samping ilmu-ilmu pengajian al-Quran yang telah sedia ada dalam diri beliau. Beliau mendalami ilmu al-Quran lebih dari 30 tahun.

Modul yang digunakan di pusat pengajian ini sebenarnya telah tersebar ke seluruh negara dan Asean menerusi pembentangan kertas kerja dan seminar yang dibentangkan oleh Tuan Haji Nik Jaafar. Termasuk juga kurikulum Tarannum di Kementerian Pendidikan Malaysia yang dibuat oleh beliau sendiri.

Modul itu juga digunapakai dalam penghakiman Musabaqah Tilawah al-Quran di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Ia juga turut digunakan di peringkat Persijilan Tinggi dan Diploma, ini kerana pihak JAKIM menggunakan modul ini di Darul Quran dan ILIM. Cuma ia diubahsuai mengikut kehendak pihak tertentu.


KAEDAH PENGAJARAN

Cara pengajaran pula terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu pengajaran ilmu Tarannum, ilmu Tajwid, ilmu Qiraat dan Kefahaman al-Quran (Tadabbur). Kaedah pengajaran yang digunakan dalam setiap kelas pengajaran ialah kaedah Talaqqi dan Musyafahah sebagaimana yang digunakan oleh Rasulullah semasa menyampaikan ayat-ayat al-Quran kepada para sahabat.

Jadual pengajaran ditetapkan iaitu pada hari Jumaat, Sabtu, Isnin dan Rabu. Setiap sesi pengajaran dihadkan tidak lebih dari dua jam sahaja. Malam Jumaat adalah kelas khas untuk para qari dan qariah dari seluruh Malaysia.


KAEDAH PENILAIAN DAN SIJIL

Dalam setiap pengajaran dan pembelajaran pasti ada penilaian. Penilaian yang dibuat di pusat pengajian ini dinilai dari sudut pencapaian. Pemarkahan dibahagi kepada dua kategori iaitu 50 peratus dinilai dari segi kefahaman dan 50 peratus dinilai dari segi bacaan. Peratusan yang dicapai oleh para pelajar dicatat pada sijil.

Bagi para pelajar yang telah tamat pengajian, pihak Majlis Raudhah Al-Tilawah akan mengeluarkan sijil kepada mereka. Sijil ini adalah “Sijil Penilaian Ilmiah Persendirian” yang dikeluarkan oleh pusat pengajian itu sendiri. Walaupu ia tidak diperakui oleh mana-mana badan kerajaan, tetapi ia boleh digunapakai dan diterima di mana-mana sahaja.

1 ulasan:

Fadzilah berkata...

terima kasih yg tak terhingga saya ucapkan pd al-Fadhil Us Nik Jaafar atas kesudian beliau untuk ditemuramah. hasil temuramah itu saya berjaya menyiapkan kajian tinjauan saya.

CATATAN POPULAR