Qudwah Hasanah

Qudwah Hasanah bererti contoh teladan yang terbaik.

Rasulullah saw merupakan contoh teladan yang terbaik bagi sekalian umat manusia. Ia dapat dilihat pada sifat, sikap, fikiran dan tindakan, kehidupan, semangat, perjuangan dan kepimpinan baginda.

Kesemua sifat dan sikap Rasulullah saw adalah kesan daripada didikan al-Quran. Setiap perkara yang dilakukan dan ditinggalkan oleh baginda adalah pelaksanaan daripada setiap perintah al-Quran. Setiap nilai al-Quran terdapat dalam diri Rasulullah saw sehingga baginda dianggap sebagai al-Quran hidup.


Isnin, 28 Januari 2013

KEK HARI JADI

Tersentuh hati seorang ibu, bila buka pintu menyambut kepulangan anaknya dari sekolah, tiba-tiba terdengar ucapan 'Selamat Hari Jadi Umi...". Hanya mampu tersenyum. "Terima kasih Aman". Memang anak-anak ku tak pernah lupa hadiah hari lahir untuk ku. Ada saja yang mereka beli setiap tahun. Biar pun kecil tapi besar nilainya di hati seorang ibu.

Sebenarnya dua tiga hari kebelakangan mereka dah tertanya-tanya sesama mereka nak beli hadiah apa untuk umi tahun ni. Terima kasih anakku. Umi tak harapkan apa-apa hadiah pun, cuma umi nak mendidik anak-anak umi untuk sentiasa ingat dan tidak pernah lupa hari-hari penting kita sekeluarga.





28 JANUARI 2013


28 Januari datang lagi. Alhamdulillah...aku masih diberi peluang untuk menyambut hadirnya tarikh yang penuh bermakna ini. Bermakna dalam kamus hidupku.  Tanggal tarikh itu, tahun 1972, Jumaat tengah hari, mak selamat melahirkan aku ke dunia ini. Sebab tu degil, lahir tengah hari. Matahari tegak atas kepala. Begitulah cerita mak. Kata mak lagi, waktu tu orang sedang menunaikan solat Jumaat di masjid. Terima kasih mak, terima kasih ayah.

Selamat hari lahir. Bertambahnya umur bertambahlah kematangan dalam berfikir. Bertambah kematangan akan bertambah jua kesabaran dalam diri. Doa dan harapan ku tahun ini semoga Allah memberi kesihatan tubuh badan. Kesihatan mental dan fizikal. Bertambahnya rezeki yang berkat. Jadikan aku hamba Nya yang sentiasa bersyukur. Juga semoga Allah mempermudahkan segala urusan. Duniaku juga akhiratku. Amin Ya Rabb...

Izinkan hamba Mu ini bahagia di dunia dan juga di akhirat...Amin

Sabtu, 26 Januari 2013

KEDAI KOPI WHITE HOUSE

Alhamdulillah pagi ni sekali lagi berkesempatan singgah di Masjid Muhammadi di Jalan Sultanah Zainab. Selepas selesai solat, aku mengambil peluang untuk sarapan di sebuah kedai yang sangat terkenal di depan masjid Muhammadi.  White House Coffee. Kata orang kedai terkenal dengan roti bakar dan kopinya.  

 








Keluar saja pintu pagar masjid sebelah muslimat, terus nampak kedai kopi White House. Dari jauh nampak penuh dengan pelanggan. Nampak gayanya kena tunggu giliran untuk dapatkan tempat duduk. Sambil berdiri menunggu meja kosong, sempat juga aku menemuramah seorang pelanggan. Katanya tinggal di Cheras. Dekat dah tu. Kami dari Kajang. Setiap kali balik ke Kelantan rumah saudaranya dia tak pernah lepaskan peluang untuk makan roti bakar special di kedai ni. Memang aku ke sini pun sebab nak merasa keistimewaan roti bakarnya. Pernah dulu, masa aku menginap di Khalifa Suite, mereka memperkatakan keistimewaan kopi dan roti bakar di White House. Tapi aku tak berkesempatan merasanya waktu itu. Kebetulan hari ini ada peluang. Tak akan ku lepaskan.









Tengok si Farhan makan nasi lemak sampai dua bungkus. Aku curi-curi merasanya. Memang sedap. Rasa nasi lemak kampung dulu-dulu. Ada kelainan pada rasanya. Aku pula order kopi tarik dan roti bakar. Roti bakar bersama kaya dan mentega. Tiga keping roti bakar tu harganya RM3. Memang padanan yang secocok. Pasangan yang tak dapat dipisahkan. Di mana ada roti bakar di situ ada kopi. Macam sarapan pagi orang kampung. Roti dia roti yang aku suka zaman kanak-kanak ku dulu. Roti bonjol aku panggil. Sekarang ni pun, kalau aku jumpa di mana-mana kedai aku akan beli nak cicah dengan air teh. Betullah orang kata, makin tua makin perangai macam kanak-kanak. Makin meningkat umur makin teringin nak makan makanan yang dimakan zaman kanak-kanak. Satu persatu aku cari makanan tersebut sampai dapat. Alhamdulillah.

Jumaat, 25 Januari 2013

KAK ANI SUP PERUT


Selepas penat berjalan keluar masuk kedai mencari baju seragam pengawas sekolah agama, perut pun mula berkeroncong. Hari ni terasa nak makan sup. Aku teringat sup perut kak Ani. Perut muda la yang dicari.









   

MASJID MUHAMMADI KOTA BHARU

Masjid Muhammadi adalah masjid tersohor di negeri Cik Siti Wan Kembang. Namanya diambil sempena nama Sultan Muhamad ke IV.  Masjid Muhammadi merupakan masjid negeri yang terletak di Kota Bharu. Dekat dengan Sungai Kelantan. Ia juga dipanggil sebagai Masjid Besar di kalangan rakyat Kelantan.


Minggu ni aku kembali lagi ke sini. Urusan anak-anak. Itulah urusan terbesar dalam kehidupan aku. Aku dimaklumkan oleh anak kedua, dia dilantik sebagai pengawas sekolah. Maknanya segala pakaian seragam sekolah yang aku beli hujung tahun lepas perlu ditukar kepada seragam pengawas. Pelik betul la sekolah di Kelantan. Kenapa buat lantikan pengawas pada awal tahun. Kami di sini kalau tak berani nak buat macam ni. Ada dapat surat layang dari ibu bapa. Apa pun aku tetap akur dengan kehendak dan situasi di tempat mereka belajar.


Menurut kata anakku, kopiah di gerai depan Masjid Muhammadi murah. Kami pun singgahlah di sini. Sebelum ke gerai, kami anak-beranak solat dulu di masjid. Alhamdulillah, dapat juga pahala solat di masjid hari ni. Selesai solat kami turun ke gerai seberang jalan. Betul-betul depan masjid. Memang murah. Harga RM15 dapat la kurang RM13. Kalau di bandar tahun lepas aku beli kopiah nipis biasa je tak boleh kurang langsung. Padahal beli dua sekali.


Masa aku ambil gambar ni, pakcik kedai tu tanya "dari mana?" Kami jawab "dari Kajang". Katanya lagi "pokcik tau doh, sebab kalu ore sini dio tok ambik gambar doh, ni mesti ore dari luar ni". Kebetulan pula aku bawa dua orang anak. Dengar dari mereka bersembang dua beradik tu pun pakcik tu dah tahu kami dari luar. Tahun-tahun sebelum ni aku pernah ke sini. Tiap kali balik hujung minggu aku dibawa ke merata masjid di Kota Bharu. Singgah solat Zohor atau Asar. Tapi sekarang tak lagi. Apa pun aku tetap bersyukur. Alhamdulillah...


Teringat kembali suatu waktu dahulu, aku ke sini dengan mu. Aku pernah menginap di Hotel Khalifa. Berhadapan dengan masjid Muhammadi. Inilah pandangan masjid dari hotel pada waktu malam. Cantik. Indah. Seindah kenangan waktu itu. Ya Allah...sesungguhnya Engkau Maha Tahu. Engkau tahu segala kehendak dan keinginanku. Engkau Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Makbulkanlah segala doa dan permintaanku. Amin Ya Rabbal 'Alamin...

PAGI-PAGI DI KOTA BHARU

Kelantan terkenal dengan gelaran negeri "Serambi Mekah". Masuk saja bandar Kota Bharu pagi Jumaat akan kedengaran paling kurang zikir-zikir. Atau pun ceramah-ceramah agama. Bila masuk waktu solat satu bandar kedengaran laungan azan. Para peniaga akan menutup barang jualan mereka dengan kain dan tinggal pergi menunaikan kewajipan masing-masing.











Di kawasan ini terdapatnya sebuah kedai buku agama tersohor di Kelantan. Kedai buku Jaafar Rawas. Sejak dari aku belajar lagi. Kalau nak cari bukubuku agama di sinilah tempatnya. Sekarang ni bukan sekadar buku, bahkan segala kelengkapan ibadat, baju-baju sekolah agama terdapat di sini. Aku ke sini hari ni pun untuk mencari seragam pengawas sekolah agama (YIK). Bajunya lain dari sekolah harian biasa. Ala-ala baju Raihan gitu. Walaupun hari Jumaat, semua kedai di kawasan ni buka sebab hari ni orang ramai sangat datang. Pagi Jumaat ni ada kuliah atau ceramah agama di sini. Selalunya Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sendiri bagi kuliah. Kuliahnya cuma diadakan di jalan raya. Bukan di masjid atau di dewan-dewan besar. Tapi pengunjung yang datang teramatlah ramai. Khemah-kemah yang disediakan memang penuh dengan pengunjung muslimin dan muslimat. Sehinggakan ada yang duduk di kaki lima kedai.











Mereka yang datang ke sini boleh dikatakan serampang dua mata. Bukan apa. Datang dengar kuliah agama. Pada waktu yang sama dapat mencari bekalan atau keperluan harian. Samada pakaian atau pun makanan. Di tepi-tepi jalan masuk ke kawasan khemah, dipenuhi peniaga-peniaga yang menjual beraneka barang jualan. Nasib baik kami berjalan kaki. Kalau dengan kereta tak sanggup rasanya. Sesak.











Beginilah pemandangan di kiri dan kanan jalan raya. Aku seolah diperhatikan oleh orang sekeliling. Seolah aku ni pemerhati. Sebab kerja aku di sni seperti biasa kerja aku di tempat-tempat lain. Ambik gambar. Ni kira nasib baik sebab tak bawa balik kamera SLR. Cuma guna smart phone je. Maaflah ya adik kakok sekalian, dah hobi saya macam ni. Ambil gambar dan update blog. Sebenarnya nak perkenalkan Kelantan pada orang luar. 

Isnin, 21 Januari 2013

ALLAH LEBIH TAHU




Jumaat, 18 Januari 2013

PULUT GADUNG


Ubi gadung, aku hanya tahu menyebutnya. Macam mana bentuk dan rupanya aku tak tahu. Masa kecil dulu pernah la tengok mak potong dan hiris.Tapi tak ingat dah bentuk ubinya. Yang aku masih ingat mak kupas kulitnya, kemudian hiris. Lepas tu mak basuh bersih-bersih, masukkan dalam guni dan rendam dalam sungai. Dengar ceritanya ubi gadung ni kena rendam dalam tempoh masa yang lama. Rendam pula dalam sungai tempat air mengalir. Baru makan pulut gadung nanti tak mabuk atau pening. Susah rupanya nak mendapatkan pulut gadung ni. Patutla harganya mahal. Susah pulak tu nak cari. Ni kira bernasib baik sebab musim banjir.

Seingat aku la, hirisan ubi gadung dimasak bersama pulut. Sebab itu namanya pulut gadung. Masukkan sedikit garam. Ada juga orang yang suka manis, dia letakkan gula. Semasa menghidang tu letakkan bersama kelapa parut yang juga dicampurkan dengan secubit garam.


Dah berpuluh tahun rasanya tak jamah makanan ni. Teringin yang amat. Berkali suarakan dan nyatakan hasrat hati nak makan pulut gadung. Sayangnya makanan ini bermusim. Ianya hanya ada di pasaran musim banjir saja. Aku balik ke kampung sekali sekala je. Mana nak jumpa.

Selasa, 15 Januari 2013

YAKINKAN AKU...





Kredit FB Mukjizat Solat & Doa

Isnin, 14 Januari 2013

ROTI TEMPAYAN NANA


Roti Tempayan Nana ni terletak di Simpang Empat Panchor. Berhampiran dengan Selera Tok Ku yang menyediakan masakan panas. Sedap memang sedap jika dibandingkan dengan restoran mamak di sekitar Kajang dan Bangi. Tapi kalau dibandingkan harganya agak mahal. Mungkin kerana di sebelah KL dan Selangor banyak restoran mamak. Di Kelantan tak banyak. Jadi agak sukar nak jumpa kedai yang jual roti tempayan. Harga satu set roti tempayan + kambing RM5. Kalau ayam RM3.50 sahaja. Harga yang sama dengan KL tapi saiznya kecil. Sebab tu pada saya beranggapan harganya agak mahal. 

Sambil menunggu roti masak, sempat menemu-bual pemiliknya. Isterinya orang kelantan, tapi suaminya orang Pakistan. Namanya pun Khan. Patut la sedap. Kalau sapa-sapa yang datang ke Kelantan atau warga Kelantan balik ke kampung nak mencuba roti tempayan abang Khan ni boleh la datang ke Panchor. Tak tahu kat mana Panchor? Ala...dekat dengan rumah Pok Nik Lah. Itu je pun yang saya tahu. Jalan nak ke Pengkalan Chepa. Kalau dari Pengkalan Chepa sebelah kiri. Kalau dari Tawang atau Kubang Kerian kedai abang Khan ni duduknya sebelah kanan jalan.

Inilah saiz roti tempayan abang Khan. Sama besar dengan saiz roti canai kat Kajang. Kalau roti tempayan Kajang mesti penuh pinggan ni. Beli sebiji boleh makan dua orang. Sebab besar. Tapi roti tempayan abang Khan ni cukup-cukup untuk sorang makan je. Tapi rasanya memang sedap. Lebih-lebih lagi makan panas-panas. Makan roti tempayan ni baik untuk diet. Tak macam makan roti canai. Sebab itu kami sekeluarga suka makan roti ni. Selamat mencuba...

Ahad, 13 Januari 2013

PELIK TAPI BENAR


Menghitung hari, bila akan muncul tarikh itu. 23hb Januari 2013. Hari ni baru 13hb. Berbaki sepuluh hari lagi. Lamanya lagi. Buntu rasanya. Awal-awal tahun memang macam ni la. Banyak sangat mengalirnya. Kelengkapan sekolah anak-anak, yuran sekolah, yuran asrama dan macam-macam lagi. Tapi aku tetap yakin DIA sentiasa bersamaku. 
 
Pelik? Tak pelik lah. Bukan aku sorang je yang mengalami kesempitan macam ni. Ada lagi yang lebih teruk dan lebih buntu daripada aku. Tak percaya?...Malam tadi, aku pergi jumpa 'KAWANKU' yang sorang tu. Nak minta duit. Haha...Memanglah, dia je yang selalu berikan aku duit. Tu pun kalau dia ada duitnya. Bila hujung-hujung bulan macam ni dia pun tak berduit jugak. Malam tadi aku pergi jumpa dia lagi. Aku dah tahu dia tak ada duit. tapi aku nak tanya berapa lagi tinggal baki duit simpanannya. Aku tunggu orang tak ada baru masuk sebab malu nak bisik-bisik dengan 'kawanku' tu. Bila nampak orang ramai dah lengang, aku masuk jumpa dia. Mulalah bisik-bisik. Orang tengok pun macam pelik.

Dalam masa aku berbisik-bisik, cuit-mencuit tu, masuk seorang lelaki. Takut juga la sebab orangnya lain macam je pakaian dia. Tapi tak kisahlah. Mungkin dia orang seni. Orang seni ni lain sikit penampilannya. Bercakap kalau bisik-bisik ni lama sikit. Maklumlah dengar-tak dengar je. Percaya dengan tak sama banyak bila kawanku bagi isyarat duitnya cuma tinggal sekian-sekian jumlahnya. Orang sebelah pun sama juga lamanya. Aku mula takut. Aku toleh sebelah. Dah selesai satu kad dia tukar kad lain. Aku makin takut dan resah. Mana taknya, dia bukan guna kad biasa orang jumpa kawan. Dia guna kad 'club mad'. Kad Tesco kalau tak silap aku. Eh...peliknya orang ni? Mula la aku risau. Bukan je risau tapi bimbang, takut semua ada. Kawan aku tengah hulur duit yang aku nak. Sikit je pun. Itu je yang ada katanya. Terpaksalah aku berjimat cermat untuk sepuluh hari ke depan ni. Aku takut kalau-kalau yang sikit tu pun tak selamat. Ya Allah...selamatkanlah aku dan duit ini. Untuk kegunaan anak-anakku ke sekolah. Aku tak berani nak keluar. Kalau aku keluar aku terpaksa lalu tepi dia. Aku takut dia tarik beg aku. Aku berdoa dan terus berdoa. Semoga Allah selamatkan aku dan duitku. Duit tu untuk menyara anak-anakku sepuluh hari lagi.

Alhamdulillah, dah selesai pun dia. Kad dia dah keluar. Aku sempat jeling sekali lagi. Betul la kad Tesco. Dia ambil kad, simpan dalam dompet dan terus keluar. Dia sempat toleh ke arah aku yang berdiri ketakutan. Berderau darah aku. Dia berlalu keluar. Aku masih berdiri. Kaku. Tapi terfikir juga apa dia buat dengan kad tu jumpa kawan dia? Betul ke tak betul orang ni? Peliknya dia ni. Memang pelik. Tapi cerita ni memang benar-benar berlaku. Berlaku tanggal 12012013. Pelik tapi benar...

Bila nampak dia dah agak jauh, aku terus keluar. Sejuk kaki tangan. Aku gagahkan juga melangkah masuk ke pasar raya belikan honey star dan susu untuk sarapan pagi anak-anak sebelum mereka ke sekolah.  Bila balik rumah aku diam tak cerita apa-apa pun pada mak. Tapi terfikir dalam hati. Kalau apa-apa berlaku pada aku malam tadi, pada siapa nak aku minta tolong?.. Tak payah la fikir. Kan dah selamat! Allah 'menjaga' aku kerana aku 'menjaga' mereka. Syukur Alhamdulillah...

Sabtu, 12 Januari 2013

SEPAGI DI KOTA BHARU


Hujung minggu kedua persekolahan 2013 ni aku kembali sekali lagi ke sini. Demi anak-anak. Tahun ni anak ku yang sulung bakal menduduki PMR. Kena la ambil berat sikit. Pastikan dia hadir ke kelas tution. Kali ni aku berkesempatan berkunjung ke suatu tempat di Kota Bharu. Tepi sungai Kota Bharu. Aku tak tahu apa nama tempat ni. Cuma aku masih ingat lagi, masa usia kanak-kanak aku pernah datang sini. Ikut abang bertandang di rumah kawannya. Masa aku sekolah menengah sekali lagi aku berpeluang masuk ke rumah rakit ni. Rumah yang sama. Hiasan dalamannya cukup menarik. Ini adalah kali ketiga aku ke sini. Sayangnya cuma dapat lihat dari luar saja. Kata penduduk sini, rumah rakit sekarang dipenuhi dan didiami oleh orang asing yang merupakan pekerja binaan di sini.

Kenapa aku ke sini? Tak ada tempat lain lagi yang aku nak pergi. Seorang diri. Tenangkan fikiran. Hilangkan rasa gundah di jiwa.  Aku membesar di kampung. Depan sungai belakang pun sungai. Aku rindu semua tu. Sayangnya aku tak dapat balik ke kampung sendiri. Takut. tapak rumah ku dah jadi hutan belukar. Takut nak masuk sendirian. Di sini, boleh mengingatkan aku kehidupan zaman kanak-kanakku. Aku sendirian di sini tak ada siapa yang nampak. Nak termenung? nak meraung? Nak bercakap sendiri? Nak menangis? Nak meratap? Semua boleh. Tak ada siapa yang tahu. Kecuali aku dan DIA. Ya Allah... Aku redha dengan segalanya.

Apabila kita REDHA pada sesuatu yang mengecewakan hati kita, 
maka percayalah ALLAH akan menggantikan kekecewaan itu 
dengan SESUATU yang tidak dijangka.

Ahad, 6 Januari 2013

FAYYADH KE PRASEKOLAH


Hari ni hari keenam dalam tahun baru 2013. Minggu kedua persekolahan. Fayyadh baru mula melangkah ke sekolah. Atas kelewatan aku sendiri sebagai ibu. Lambat mendaftar di prasekolah. Apa pun, Alhamdulillah akhirnya Fayyadh diterima juga belajar di sana.









Rabu, 2 Januari 2013

CERITA SI TUKANG KEBUN


Bersandar di pintu. Fikiran melayang entah ke mana. Tiba-tiba aku teringat satu kisah. Tersenyum sendiri. Lucu ada. Kelakar tak kurang juga. Sedar dari lamunan aku beredar dari situ. Bimbang orang nampak aku tersengih sendirian. Apa pulak kata mereka. 

Lanskap cantik tukang kebun rajin
Cerita ni dah lama. Aku ni kan selalu tukar tempat kerja. Sekejab di Kajang. Sekejab di Puchong. Kemudian tu pulak...Hihihi... Jadi selalulah jumpa orang baru di sekitar tempat kerja. Suatu ketika, sedang aku leka mengadap komputer, datang seorang lelaki menjenguk ke tempat duduk aku. Dia menyapa: "ooo...orang baru". Baru aku sedar ada orang rupanya. Aku bangun dari tempat duduk menuju ke arahnya. Tanda hormat. "Saya baru kat sini. Baru seminggu". Lepas tu adalah beberapa ayat lagi merancakkan perbualan kami. Asyik dia yang tanya dan aku jawab. Aku macam biasa tak pandai bertanya bila berdepan dengan orang yang aku tak kenal atau pun baru kenal. Bila tiba soalan yang agak peribadi bagi aku, mulalah aku nak 'potong' perbualan. Aku malas nak jawab hal-hal peribadi aku. Malas nak berbohong sebenarnya. 

Akhirnya aku memberanikan diri mengajukan soalan. Nak lari dari terus disoal dan terpaksa menjawab. Aku tanya dia "cikgu sini ke?" Pendek je kan? Nak tau apa jawapannya? "Eh...tak, saya tukang kebun je sini". Aku cuma senyum. Hormat jawapan dia. "ooo...". Itu saja yang keluar dari mulut ku. Tapi dalam hati kecil aku berkata-kata " wow...kemasnya cara dia berpakaian". Dia pun tak selesa agaknya dengan soalan aku dan terus berlalu. Sambil tu sempat lagi bersuara. Katanya "takper la, saja je jengok tengok orang baru". "Terima kasih" ...jawab aku kembali. Dan dia terus berlalu pergi. Aku?... aku kembali ke tempat duduk ku dan meneruskan kerja tadi. Hari silih berganti. Tiap kali terserempak dengannya aku senyum tanda hormat. Bertegur sapa tidak lagi. Aku memang tak pandai menegur. Aku cuma pandai mengukirkan senyuman. Senyum tu kan sedekah!

Suatu hari, aku ke kedai. Dekat dengan rumahku. Memang cara aku ni tak berapa bagus. Agaknyalah. Aku tak berapa tengok orang sekeliling. Jalan menonong je. Tak fokus keadaan keliling. Jalan terus tempat yang dituju. Masa aku keluar dari kedai dobi, dengan baju yang banyak. Laju je menuju ke kereta. Tapi hati aku terasa ada orang asyik memandang ke arah ku. Aku cuba dongakkan muka. Memang betullah. "Tukang kebun yang aku kenal baru ni", bisik hati kecilku. Dia dalam kereta. Sedang menunggu seseorang agaknya. Aku sedekahkan lagi senyumanku. Aku buka pintu kereta. Letak barang dalam kereta. Barulah ada peluang untuk aku angkat tangan. Dia balas senyum dan angkat tangan kembali. Habis di situ. Dalam perjalanan balik, aku berfikir sendirian. "Hebat orang-orang sini. Tukang kebun pun ada kereta Honda. Aku cikgu pakai Wira buruk je". Ahhh...Rezeki masing-masing. Noktah.

Hari berganti minggu. Minggu berganti bulan. Penggal baru persekolahan bermula. Semua cikgu bersemangat waja. Berpakaian kemas. Tak kira lelaki atau perempuan. Maklumlah, awal tahun biasanya nazir atau pelawat dari jabatan akan turun melawat sekolah. Sedang aku berdiri di pintu, lalu seorang cikgu lelaki. Kemas. Segak. Berbaju kemeja lengan panjang. Bertali leher. Sekali pandang macam aku pernah tengok orang ni. Aku pandang sekali lagi. Tersentak. "Uiiik...orang ni tipu aku". Bisik hati aku. Takper... Masa aku mula-mula datang sini dah penghujung tahun. Tak lama tempoh persekolahannya. Cuti. Tak sempat kenal ramai cikgunya. Senang la ditipu. Bila jumpa rakan-rakan yang lain, aku beranikan diri untuk bercerita. Aku ceritakan dari mula cikgu tu datang, jumpa di kedai dan cerita hari ni. Rupanya si tukang kebun tu cikgu sekolah. Gelak rakan-rakan lain. Aku telah dipermainkan rupanya. Lurus bendul lagi. Hey...aku bukan bendul, tapi aku percaya dan aku yakin orang lain ikhlas macam aku jugak.

Aku mencari-cari peluang dan kesempatan untuk kenakan tukang kebun ni. Suatu masa dia laju berjalan. Seorang rakan bisikkan aku, "tukang kebun tu". Apa lagi. Si bendul ni bersuara: "wah...hebat sekolah ni ya, tukang kebun pun pakai tali leher?" Tukang kebun tu macam terpinga-pinga. Mungkin terkejut dengan soalan aku. Atau mungkin dia dah lupa apa yang dia cakap padaku dulu. Tapi sempat juga dia jawab: "PK Ko memang kena pakai tali leher"... Kami sama-sama gelak. Sekali lagi. Dalam hati kecil aku betul ke dia PK Kokurikulum? Alamak. Kena tanya orang teruslah...

Hari ni aku teringat balik cerita si tukang kebun tu, mungkin sebab hari ni hari pertama persekolahan 2013. Macam hari pertama aku ditipu dulu...

Selasa, 1 Januari 2013

SEKOLAH DALAM KOLAM


1 Januari 2013, bermulanya tahun baru. Bermulalah era persekolahan tahun ini. Anak-anakku melangkah satu lagi anak tangga. Anak pertama dah tingkatan tiga. PMR tahun ni. Sekali lagi jantung berdenyut kencang. Teringat kenangan 2010. Masa dia tahun 6. Yang kedua pula dah masuk tingkatan dua. Yang ketiganya UPSR tahun ni. Debaran juga tu. Hari ni juga aku mula sibuk dengan seribu satu hal persekolahan anak-anak. Semua nak aku uruskan. Semalam uruskan kemasukan si abang ke asrama. Hari ni pulak selesaikan urusan si adiknya. Aku permudahkan urusan mereka mudah-mudahan Allah permudahkan urusan ku jua. Insya Allah...











Ini pemandangan di sekolah Farhan. Cantik. Menarik. Semuanya mengimbau kenangan zaman kanak-kanak aku di kampung. Air bah. Banjir. Jiwa ku meronta-ronta. Seronok main air bah ni. Rasanya nak saja kembali ke zaman tu. Tapi yang malasnya kalau rumah di masuki air. Alamak, malas nak basuh dan kemas semuanya. Kalau setakat air paras pinggang seronok lagi. Naik sampan. Rakit. Wow!!!...










                                                     
Dalam keserokan aku mengimbau kenangan zaman kanak-kanak dan remaja ku, terlintas rasa kesian anak aku terpaksa tinggal di asrama yang penuh dengan air. Laluan dari kelas ke asrama dipenuhi air. Ahh...mungkin ini satu pengalaman dan pengajaran untuk dia lalui. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian kata orang. Biarlah mereka merasa susah dulu, semoga dengan kesusahan ini memberi pengajaran dan kesedaran dalam diri mereka untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depan yang lebih baik.

 
Umi tinggalkan kau di sini duhai anak. Namun umi tak pernah lupakan dirimu. Malah doa umi sentiasa mengiringi perjalanan hidup mu. Siang mahupun malam. Belajarlah bersungguh-sungguh duhai anak. masa depan mu terletak di bahumu sendiri.Sedarlah...bangkitlah duhai anak...

CATATAN POPULAR