Qudwah Hasanah

Qudwah Hasanah bererti contoh teladan yang terbaik.

Rasulullah saw merupakan contoh teladan yang terbaik bagi sekalian umat manusia. Ia dapat dilihat pada sifat, sikap, fikiran dan tindakan, kehidupan, semangat, perjuangan dan kepimpinan baginda.

Kesemua sifat dan sikap Rasulullah saw adalah kesan daripada didikan al-Quran. Setiap perkara yang dilakukan dan ditinggalkan oleh baginda adalah pelaksanaan daripada setiap perintah al-Quran. Setiap nilai al-Quran terdapat dalam diri Rasulullah saw sehingga baginda dianggap sebagai al-Quran hidup.


Sabtu, 28 Disember 2013

HOBIKU KETENANGANKU

Sejak dari kecil aku suka bercucuk tanam. Tanam bunga dan sayur-sayuran.
Maklumlah orang kampung. Kalau bab tanam menanam meman kesukaan. Masih segar dalam ingatan, sebelah tapak rumah aku ada satu tanah kosong. Di situ aku dan mak tanam jagung, cili, tomato, bendi, timun dan segala macam jenis ubi. Ada ubi kayu, ubi badak, ubi itek dan ubi keling. Bermula dari gembur tanah sampai buat batas aku yang buat. Nama je anak permpuan tapi kerja macam lelaki. Tabur benih. Alih anak benih dalam kerek. Kemudian tanam. Semualah. Kalau cuti sekolah pagi petang angkut air dari sungai untuk siram tanaman. Kalau hari biasa petang je. Pesan mak, ambil ambil air dari sungai tu jangan guna dua baldi terus, nanti buaya datang. 

Tak penat ke? Memang penat tapi seronok. Kita boleh tengok tanaman tu membesar. Menghijau. Damai. Tenang. Seronok lagi bila tanaman tu membuahkan hasil. Macam-macam warna. Itu cerita zaman dulu. Sekarang ni tak ada tanah lagi nak bercucuk tanam. Tanam bunga je lah. Tu pun cari pasu paling kecil. Sesuai dengan laman yang kecil. 

Lihat saja pokok yang ditanam terasa damai dan tenang. Biarpun hati berkecamuk. Lebih-lebih lagi seronoknya bila dapat berkata-kata pada sang pokok. "Terima kasih pokok, kau telah memberi aku kedamaian dan ketenangan hati". Sebab itu aku suka tanam pokok dalam rumah. Nak jenguk pokok tak payah keluar rumah. Nak bercakap dengan pokok tak payah pandang kiri kanan tengok orang ada ke tak ada. Bimbang orang kata aku gila bercakap dengan pokok.


Ya Allah, terima kasih kerana memberi aku nikmat ketenangan ketika memandang tanaman ini. Jika tidak aku tidak dapat merasai nikmat tenang dan damai itu. Seringkali aku merasai nikmat kasih sayang Mu ketika aku memandangnya. Dan... sering kali aku berdoa tiap kali aku memandang tanamaku menghijau di dapur. "Ya Allah, aku redha dengan segala ketentuan Mu, namun izinkan aku menikmati kebahagian dan ketenangan". 

Di perkarangan dapur, aku tanam sepasu dua pokok cili, pandan, dan ulaman. Dapat juga melihat kehijaun di belakang rumah. Selain dari itu dapat kutip hasil, awet muda makan ulam, dapat lagi menghirup oksigen. Sihat... Tak rugi berbakti pada tanah. Itu kata orang tua-tua. Hobi oh hobi...

Jumaat, 27 Disember 2013

APA DAH JADI JUMAAT KINI?



JUMAAT YANG DINANTI...





Sabtu, 21 Disember 2013

KEM TAHFIZ AL-QURAN & FARDHU AIN

Bila tiba saja musim cuti sekolah, ramai kalangan ibu bapa menghantar anak-anak ke pelbagai kem. Ada kem motivasi, ada juga kem membina sahsiah diri, kem solat bestari dan tak kurang kem tahfiz al-Quran. Penuh la pelbagai jenis sepanduk dan banner digantung di tepi jalan sebagai iklan. 

Kali ini umi pun tak nak lepaskan peluang. Awal bulan September lagi umi dah daftarkan kemasukan anak ke kem tahfiz. Hajatnya nak hantar dua sekali. Tapi bajet tak mengizinkan. Kalau dikumpul awal tak ada salahnya. Tapi tulah...tak terbuat. 

Masa hari pendaftaran umi tak datang. Sebab empunya badan sakit. Umi daftar lewat dua hari. Jadi tak dapat banyak info sangat tentang kem ni. Lepas hantar anak umi jenguk-jenguk bila dia kena hadir temuduga MRSM. Dapat la dia balik sehari ke rumah. Pagi ambil petang baru hantar. Sempat la juga dia bergaduh dengan adik dan abang kat rumah.

Pada hari penutup program, umi datang. Dengar taklimat dari Tuan Pengetua dan
penyelaras program. Fahamlah sikit. Rupanya yang datang kem tahfiz ni banyak peringkat. Ada yang hafaz surah lazim. Seterusnya hafaz surah-surah pilihan seperti Surah Yasin, Al-Mulk, As-Sajadah dan sebagaianya. Tak kurang juga yang datang untuk menghafaz keseluruhan 30 juzuk al-Quran secara berperingkat. Tahun demi tahun.

Alhamdulillah, anak umi baru melepasi tahap pertama. Boleh la jadi imam solat dengan adik-adik. Tahun depan nak sambung lagi katanya. Sekali lagi umi rasa bersyukur kerana Allah membuka hatinya dengan menanam hasrat untuk menyambung hafalan surah-surah pilihan. Nampak gayanya umi kenalah kumpul duit dari awal tahun. Dua orang sekali nak hantar. Kena main "kutu" la gayanya. Memang hasrat umi nak hantar dua beradik tahun depan. Biarlah mereka terdidik dengan bacaan ayat suci al-Quran dan latihan fardhu ain di sini daripada leka dengan game dan facebook di rumah. Sekurangnya masa cuti mereka diisi dengan perkara berfaedah.

Khamis, 19 Disember 2013

PMR 2013


Hari yang ditunggu dah tiba. Saat yang dinanti sudah menjelma. 

Rabu, 18 Disember 2013

DEBAR PMR


Tahun 2013 tahun yang mendebarkan. Dua orang puteraku menduduki peperiksaan. Tahun 6 dengan UPSR nya, Tingkatan 3 dengan PMR nya. UPSR sudah pun selesai. Alhamdulillah resultnya membuatkan si umi rasa cukup bersyukur dengan rezeki Allah kali ini. Sayangnya tak berjaya masuk ke sekolah pilihan. Tak apalah, mungkin rezeki yang telah Allah tetapkan untuknya di sekolah lain.

Esok, 19 Disember result PMR pula akan diumumkan. Hati si umi berdegup kencang sejak dua tiga hari lepas lagi. Risau, takut, bimbang, membuatkan si umi resah gelasah. Dap dip dup jantung bergetar... Astaghfirullah al-Azim. Tersedar si umi dari lamunan. Mungkin kerana anak sulung. Harapan si umi menjadi contoh pada adik-adik. Juga keinginan si umi melihat kejayaannya yang mendatang. Yang amat besr kerisauan si umi tentang keputusan masa lalu. Apa pun, semoga Allah menjadikan keputusan itulah yang terbaik untuknya. Maahad Muhammadi Lilbanin. Insya Allah... Tidak rugi dan tidak sia-sia seorang hamba menuntut ilmu agama.

Keputusan memilih Maahad kerana si umi ingin melaksanakan amanat. Kehendak yang selalu diucapkan oleh si abah setiap kali berbicang tentang pembelaran anak-anak. Bukan suka-suka. Bukan pandai-pandai. 

Semoga Allah sentiasa memberi kejayaan pada anak-anakku di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin...

Selasa, 17 Disember 2013

AKU DAN SEKOLAH


Aku mula bertugas sebagai guru pada tahun 1997. Diam tak diam sudah 16 tahun aku menjadi guru. Sepanjang tempoh itu tak pernah sekali pun aku di tempatkan di sekolah yang jauh dari rumahku. Semua usaha suamiku. Sanggup turun naik pejabat pelajaran semata-mata unyuk mendapatkan sekolah yang paling dekat untuk ku. 

Aku posting di Pekan Pahang. Rumah sewa kami di salah sebuah kampung dekat istana Pekan. Sedangkan aku di tempatkan di Rompin. Sekolah orang asli. Bayangkan tahun 90-an, jarak antara Pekan dan Rompin yang jauh, dengan keadaan jalan raya yang serba kekurangan. Kiri kanan jalan semak samun. Lebih kurang satu jam perjalanan. Dengan berkat usaha sang suami, aku dapat surat penempatan baru di salah sebuah sekolah di Pekan. Agak-agak jarak dari rumah ke sekolah 5 kilomer. Kalau ikut jalan dalam tak sampai pun. Begitu juga bila rumah kami siap diduduki. Aku mohon tukar ke sekolah yang terdekat dengan rumah di Peramu Jaya. Paling-paling aku di tempatkan di Tanah Putih. Pun tak sampai 5 kilometer. 

Selepas lima tahun menjadi orang Pekan, kami pindah ke Selangor. Sama juga kisahnya, aku di tempatkan di sekolah yang tidak jauh dari rumah. Cuma di KL cabarannya kesesakan jalan raya. Jarak 5 km pun makan masa setengah jam untuk sampai sekolah. Tiga buah sekolah di Selangor, semuanya lebih kurang jarak yang sama antara rumah ke sekolah.

Bila jarak antara rumah dan sekolah tak jauh, aku tak berkira sangat. Tak berkira dari segi masa dan kewangan untuk pergi dan balik sekolah. Terutama musim cuti. Aku sanggup pergi ke sekolah pada bila-bila masa. Pagi petang siang atau pun malam. Habis program jam 11 malam pun berani lagi balik. Berbeza dengan situasi sekarang. Aku di tempatkan di sebuah sekolah agak pedalaman. Sangat jauh dari kebiasaan. Entah berapa kilometer. Yang aku tahu jarak perjalanan 45-50 minit. Pernah sekolah buat program waktu malam, aku balik seorang diri jam 11 malam. Tuhan saja yang tahu perasaanku waktu itu. 

Belum dikira kos minyak kereta. Minyak isi penuh RM85 tak sampai seminggu. Congaklah sendiri kos minyak untuk sebulan. Boleh buat bayar sewa rumah di bandar. Bayangkan sekarang musim cuti sekolah, aku terpaksa ulang alik ke sekolah untuk siapkan kerja sekolah untuk sesi 2014. Cukup terasa. Terutama selepas harga minyak naik berkali-kali. Apa pun, bagi ku ini satu ujian yang harus ku hadapi. Pasti ada hikmahnya depan hari. Doaku saban waktu semoga Allah permudahkan segala urusanku.  


Sabtu, 14 Disember 2013

ANDAI ITU ANAKKU...


Hari ni hujan lebat. Walaupun sekejab-sekejab. Sesekali jenguk keluar nampak air menitis di dedaunan. Cantik. Tapi hati tiba-tiba jadi sayu. Macam-macam kenangan silam bermain di ingatan. Satu persatu berputar di benakku. Seolah tayangan filem di Astro. Macam-macam ada.

Untuk mengelakkan keadaan ini berlarutan, aku mengambil keputusan untuk keluar. Kebetulan ada barang dapur yang dah kehabisan. Makanan untuk anak-anak dah terhidang atas meja. Boleh la jalan-jalan selepas beli keperluan. 

Aku ke pesaraya beli barang keperluan dapur. Depan pintu masuk aku di datangi seorang anak lelaki. Mohon bantuan untuk rumah anak yatim. Aku menolak. Bukan kedekut. Tapi aku tahu dalam dompet aku cuma ada sekeping duit RM100. Apa yang aku nak bagi. Kesian anak tu kecewa dengan tindakanku. Sambil mendengus, ishhh... dia berlalu pergi. 

Dengan rasa bersalah aku melangkah masuk pasaraya. Dalam hati rasa cukup bersalah. Biasanya pun tak pernah aku hampakan mereka. Paling takde duit seringgit dua pun bagi. Tapi kali ni memang takde duit kecil. Sambil ambil beras, tepung, nestum dan beberapa barang lagi, aku berkira-kira biar ada baki. Nak bagi pada anak tadi. Aku terbayangkan kalaulah anak itu adalah anak ku sendiri. Kecewanya dia. Mungkin mereka senasib. Cuma nasib anakku lebih baik darinya. 

Lepas bayar dan keluar dari pasaraya tu aku tercari-cari, mana budak tadi. Dia pakai baju merah dan bersongkok. Dah tak ada. Kesian dia. Sekali lagi aku terbayang anak-anak ku bertebaran cari sumbangan. Tapi tak ada insan yang ingin menyumbang. Sedihkan mereka! Ya Allah...aku tak sanggup. Aku masuk kereta dan pandu perlahan. Dengan harapan berjumpa dengan budak berbaju merah. Alhamdulillah...aku nampak dia. Aku buka cermin kereta dan panggil dia. Aku hulur sekeping wang kertas sekadar kemampuan aku. Dengan nilai wang sekeping itu boleh membuat dia rasa gembira. Maaf ya nak...tadi makcik takde duit kecik. Dia senyum dan mengucapkan terima kasih. Dengan perasaan lega dan senang hati aku berlalu pergi. 

Setiap kali aku jumpa anak-anak begitu mesti aku bayangkan kalaulah itu anak-anakku. Ya Allah... aku bersyukur kepada Mu, dengan nikmat rezeki kurniaan Mu, seadanya. Berilah kepada kami rasa cukup dan syukur dengan pemberian Mu...

Bagi mereka yang sekarang hidupnya senang, mewah dan bahagia, harus diingat ujian Allah datang tanpa diduga. Mampukah kita menghadapinya nanti?...


Jumaat, 13 Disember 2013

BALIK ASAL...

Kenapa aku ke sini? Untuk apa aku ke sini? Seribu persoalan. Susah payah. Penat lelah. Sebuah pengorbanan. Satu harapan.

Perlu apa aku di sini? Untuk apa aku di sini lagi? Semua tidak bererti. Lagi. Kembali asal. Itu lebih afdhal.

Mengapa aku masih di sini? Untuk mencari sesuap nasi. Untuk kembali. Balik asal. Tak lama lagi. Aku kan pergi...

Khamis, 12 Disember 2013

JALAN-JALAN CARI MAKAN

RUMAH RODONG

Lama tak dengar dan tak guna perkataan rodong. Rodong ni sinonim dengan orang Ganu kiter. Kalau tak salah rodong ni maksudnya kawan, geng, kenalan dan seumpama dengannya. Jangan marah orang Ganu kalau salah yer!...

Hari ni rodong sorang saya buat kenduri naik rumah baru. Mak oiii... punya seronok saya tengok rumah dia. Mewah. Selesa. Sejuk hati memandangnya. Bila la agaknya saya akan ada rumah macam tu! Katanya kos mencecah RM450,000. Mak datuk. Tak dapat macam tu pun takpe asal ada je. 

Ya Allah...perkenankanlah doaku. Itulah doaku sebaik saja melangkah masuk ke rumah rodong tu. Bukan apa, mudah-mudahan Allah izinkan saya juga dapat merasa ada rumah macam ni.

Selepas menjamu selera, kami dibawa naik melawat (macam nazir sekolah la pulak) rumah baru. Sekali lagi teruja melihatnya. Apa pun bersyukurlah dengan apa yang ada sekarang ni. Jangan pandang ke atas. Selalulah pandang ke bawah agar sentiasa bersyukur dengan rezeki kurniaan Allah. Masa ni la kami mencuri kesempatan bergambar. Memang dia ni...

Lepas selesai ziarah, dari ruang tamu ke dapur, kami bersalaman dan mengucapkan terima kasih atas jemputan. Kami minta diri untuk beredar. Jangan lupa berdoa ustazah, doakanlah keberkatan dan bertambah rezeki kepada tuan rumah yang telah menghidang makanan kepada kita.


Rabu, 11 Disember 2013

BERBALOIKAH?...


Bila hati bertanya, berbaloikah aku berhijrah?
aku tiada jawapannya...

Bila hati bertnya lagi, berbaloikah aku berkorban?
apakah yang aku telah korbankan?
masaku... usiaku...
menunggu yang tak pasti. ohh...
aku tidak ada jawapannya...

Bila hati ulang bertanya, berbaloikah?
apa lagi? sedang aku sendiri tak pasti
bagai pungguk rindukan bulan
bagai menunggu buah yang tak keguguran
umpama menunggu kucing tumbuh tanduknya
degil...balas hati
aku juga tidak punya jawabnya

Segalanya telah aku buktikan
segalanya telah aku korbankan
segalanya...terkubur...
dimamah usia

Hanya DIA yang ada jawabnya
Hanya DIA yang tahu segalanya
Hanya DIA...

Selasa, 10 Disember 2013

MENGHITUNG HARI


Sejarah berulang lagi. Aku terus menghitung hari. Kalau dulu aku menghitung hari
untuk segera kembali. Macam dalam lagu Salmiah Hasan.  Sekarang ni menghitung hari apa pulak? Entah la. Aku sendiri pun tak pasti. Lepas sehari seminggu. Kalau seminggu pun tak, mungkin sebulan. Andai sebulan pun tidak mungkinkah dua bulan? Atau tiga bulan? Atau berbulan-bulan. Mungkin setahun. Atau bertahun-tahun? ATAU untuk  seumur hidup ku. Akan terus menunggu dan menanti. Andai itu takdirku...

Isnin, 9 Disember 2013

MRSM LA PULAK...


Demi masa depan anak-anak, si ibu sanggup berkorban apa saja. Sepanjang setahun si ibu sanggup berulang-alik hantar dan ambil anak ke kelas tuisyen. Ada kalanya pagi. Ada masanya petang. Ada waktunya malam. Alhamdulillah...resultnya memberi kegembiraan kepada semua pihak. Si ibu, guru dan pastinya anak itu sendiri. Syukur pada Mu Ya Allah...susah payah ku Kau balas dengan kejayaannya.

Si ibu mengisi borang sini, hantar borang sana. Seorang diri. Kadang ada juga masa merungutnya. Pun apakan daya. Apa gunanya merungut. Buat apa yang terdaya. Itu cerita selepas keluar result UPSR. Sekarang lain pulak ceritanya. Sesi temuduga pulak kunjung tiba. Lepas satu...dua. Semalam ujian dan temuduga Maahad. Bergegas ke sana. Tapi seronok dapat ke KB musim cuti. Hari ni ujian dan temuduga MRSM la pulak. Nasib baik zaman sekarang zaman canggih. Macam Astro. Macam-macam ada. Kejab sana kejab sini senang aje. Macam biskut chipsmore. Kejab ada kejab takder.

Semalam satu jam. Hari ni dua tiga jam. Banyak betul jamnya. Lama benor menunggu. Ada setengah parent siap berkelah tepi pagar. Atas tangki septik pun jadi. Haha... Demi anak ibu bapa sanggup berkorban apa saja. Betul tak? Betul betul betul...

Lenguh bersimpuh duduk bersila. Kejang kaki duduk berdiri pula. Dalam apa keadaan pun, hati si ibu tak pernah lekang berdoa semoga Allah buka hati si anak untuk menjawab ujian dan sesi temuduga dengan baik. Mudah-mudahan si anak berjaya dan terpilih untuk belajar di sini. Demi masa depannya yang lebih baik. Dengan izinNya juga...kerana Dia telah menentukan yang terbaik untuk hambaNya. Kerana Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Ahad, 8 Disember 2013

MAAHAD MUHAMMADI


Disember 2010, aku ke sini. Disember 2013 aku ke sini sekali lagi. Dengan tujuan dan harapan yang sama. Sudah tiga tahun berlalu rupanya. Sepantas itu waktu berlalu. Tak terasa. Maahad Muhammadi Lelaki, banyak sejarah terpahat di sini.

Sedang para ibu bapa mendengar taklimat daripada pentadbir sekolah, anak-anak pula sedang menjalani ujian bertulis seterusnya ujian lisan di dewan. Dalam hati si umi tak lekang mendoakan agar anaknya diberi kefahaman dan dilapangkan dada untuk menjawab soalan dengan baik. Insya Allah. Kata mudir, markah diberi 100 untuk lisan dan 100 untuk bertulis. Selepas dicampur ditolak dibahagi, yang terpilih akan ditawarkan masuk ke Maahad. Result akan keluar pada 22 Disember  nanti.


Dulu lain sekarang dah lain. Maahad pun dah berubah wajah. Ada mudir baru, penolong kanan semua wajah-wajah baru, ada juga bangunan asrama baru, dan ada pula kafeteria baru. Itulah kehidupan. Sentiasa berubah. Mengikut peredaran masa dan keperluan hidup. 

Dalam ucapan Tuan Mudir, difahamkan Maahad sekarang sudah ada dua bangunan asrama yang memuatkan 450 orang pelajar. Asrama lama diberi nama Asrama Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz. Manakala asrama kedua yang baru diduduki dinamakan Asrama Dato' Ahmad Yakob. Keduanya sempena nama menteri besar Kelantan. Selain dari itu, dimaklumkan pelajar Maahad ada juga terdiri dari pelajar tahfiz. Di mana mana-mana pelajar yang terpilih masuk ke Maahad boleh memilih untuk masuk alirah tahfiz. Cuma mereka akan tinggal di asrama Tahfiz Tanjug Chat. Kalau tak silap, yurannya RM300 (3 tahun lepas) lebih sedikit dari yuran asrama Maahad. 


Disebelah kiri tu Mudir Maahad Al-Fadhil Ustaz Kamarudin Kamil bin Che Mohamad. Tengahnya wakil pengarah YIK. Macam ku kenal, tapi siapa ya? Itulah dia bekas ustaz yang mengajar ku di Maahad Amir Indera Petra. Al-Fadhil Ustaz Mohd Zaki bin Deraman. Ustaz Zaki sekarang sebagai Penolong Pengarah Bahagian Kurikulum (BA) di Yayasan Islam Kelantan.  Kanan sekali pula PK Hem Maahad, Al-Fadhil Ustaz Baharudin bin Mohd Nor. 

Apa yang menariknya dalam ucapan Us Zaki, sebuah lagi Maahad Tahfiz Sains akan dibina. Bangunan belum pun dibina namanya dah ada. Maahad Tahfiz Sains Tuan Guru yang baru dirasmikan acara 'pecah tanah' di Pengkalan Chepa. Bersebelahan Masjid As-Salam. Sangat teruja mendengarnya. YA ALLAH...izinkanlah salah seorang anak ku belajar di sini. Seorang anak yang HAFIZ boleh memberi syafaat kepada ahli keluraganya. Subhanallah...


MAAHAD MUHAMMADI


Disember 2010, aku pernah ke sini. Hari ini 8 Disember 2013, aku datang lagi dengan tujuannya sama. Untuk menghadiri ujian bertulis kemasukan ke Tingkatan 1 sesi 2014. Cuma keadaannya tak sama. Perasaannya tak serupa. Jauh berbeza. Tiga tahun lepas datang bersama insan yang dikenali. Berjumpa dengan pentadbirnya yang cukup dikenali. Tahun ini aku datang sendiri. Tak seorang pun tetamu yang hadir itu dari kalangan mereka yang dikenali. Atau mungkin juga aku yang tak perasan. 


Tiga tahun berlalu. Maahad pun sudah berubah wajah. Ada asrama baru. Ada kafeteria baru. Mudirnya pun baru. Penolong Kanan pun semua wajah-wajah baru. Banyak perkara boleh berubah mengikut perubahan masa dan waktu. Mengikut keperluan tertentu. Hemmmm...


Sempat juga aku ambil gambar tiga pembesar kat atas tu. Sebelah kiri tu la mudir atau pengetua Maahad Muhammadi Lilbanin. Al-Fadhil Us Kamarudin Kamil. Tengahnya pula siapa yer? Macam pernah ku kenal. Tak lain tak bukan ustaz aku dulu di SMU(A) Amir Indera Petra, Al-Fadhil Ustaz Mohd Zaki bin Deraman. Selaku wakil pengarah YIK dalam majlis ni. Ustaz sekarang bekerja di Yayasan Islam Kelantan sebagai Penolong Pengarah Bahagian Kurikulum (Bahasa Arab). Sebelah kanan sekali pula En Baharudin selaku PK HEM di Maahad. Apa yang menariknya dalam ucapan tuan Mudir, katanya semua barisan pentadbir di Maahad namanya 'Din'. Kamarudin, Zanarudin, Baharudin. Sorang je 'Di'. En Junaidi PK Ko kurikulum. Din...Din...Din...Di... boleh buat lagu la pulak.

Kalau tiga tahun lepas, aku berkesempatan berumpa dan bersembang dengan bekas guru Bahasa Melayu di SMAIP En Shafie yang pada masa itu PK HEM di Maahad. Tahun ni berkesempatan pula berjumpa Us Zaki biarpun tak sempat bertegur sapa. 

Kenangan terpahat di sini. Kekal dalam memori. Tetap bersinar di hati... Maahad Muhammadi.


Khamis, 5 Disember 2013

NIKMAT UJIAN

Lagu yang paling syahdu. Sangat menginsafkan. Sekali dengar lagu ni di IKIM.fm aku tercari-cari apakah tajuknya. Yang ku tahu penyanyinya Nazrey Johani. Bila dah dapat download ku ulang mendengarnya. Berkali-kali. Tanpa ada rasa jemu. Yang ada cuma rasa insaf. Diri ini terlalu kerdil. Sering kali menyalahkan takdir. Kenapa ini berlaku pada ku. Mengapa itu terjadi. Untuk pujuk hati sendiri dan insafkan diri ku ulang mendengar lagu ini.

http://www.youtube.com/watch?v=omIV0i5YrPI&feature=youtube_gdata_player


                                                    Tenangkanlah hati dan sabar kala diuji
Hanyalah mereka yang redha rasai manisnya
Sepahit mana pun derita sengsara yang melanda
Itulah buktinya mendapat tarbiah Allah

Rasulullah kekasih Allah Yang Maha Esa
Namun rasul jua diuji darjat keimanannya
Dilempar batu diancam bunuh
Dihina keluarganya
                                                    Rasul mulia tetap redha dengan ujiannya

Umar Al Khattab menadah tangannya mengucap syukur
Setiap kali mendapat musibah Allah

Jangan kita merasa sedih bila ditimpa malang
Kerana rahmat kasih Allah
Bersama hamba Nya yang tabah
Setiap ujian Nya yang datang carilah hikmahnya
Semoga kita merasai kebesaran Allah

Nikmat diberi yang percuma kepada kita
Semoga kita syukuri
Semoga kita tak ingkar
Semoga... Allah redhai

Selasa, 3 Disember 2013

BAIKNYA TUHAN KITA


Ketika kita.....
Ketika kita mengeluh:
“eeeiii, aku penat sangat..."
ALLAH menjawab :
“ Dan KAMI jadikan tidurmu untuk istirehat " (78 : 9)l

Ketika kita mengeluh :
“Beratnya dugaan ni, tak sanggup rasanya aku..."
ALLAH menjawab :
“ AKU tidak membebani seseorang, melainkan sesuai kesanggupan” (2 : 286)

Ketika kita mengeluh :
“Serabutnyaa..."
ALLAH menjawab :
“ Hanya dengan mengingatku hati akan menjadi tenang ” (13 : 28)

Ketika kita mengeluh :
“Apa yang aku buat ni semua sia-sia..."
ALLAH menjawab :
” Siapa yang mengerjakan kebaikan sebesar biji dzarah sekalipun, niscaya ia akan melihat balasannya ” (99 : 7)



Ketika kita mengeluh :
“ takdak sorang pun yang nak tolong aku..."
ALLAH menjawab:
“ Berdoalah (mintalah) kepadaKU, niscaya Aku kabulkan untukmu ” (40 : 60)

Ketika kita mengeluh :
“ Aku sedihh sangat...”
ALLAH menjawab :
“ La Tahzan, Innallaha Ma’ana. Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita " (9 : 40)

Isnin, 2 Disember 2013

ANAK SOLEH


Setiap ibu bapa menharapkan anak-anak mereka menjadi anak yang soleh dan solehah. Begitu juga kami. Harapan tinggi menggunung. Agar suatu hari nanti anak-anak ini dapat mendoakan kesejahteraan kami. Anak-anaklah harapan kedua ibu bapa bagi menyambung dan membekalkan pahala di dunia ini selepas kembalinya mereka ke alam barzakh.

PUTU HALBA


Putu halba terkenal dan hanya ada pada musim tengkujuh saja. Akhir tahun macam ni. Musim lain kalau ada pun tak berapa banyak. Kalau musim banjir segenap tempat ada gerai menjual menjual putu halba. Macam cendawan tumbuh musim hujan. 


Sebelum ni 'ambo' tak pernah kenal putu halba. 'Ambo' kenal putu piring. Suka sangat beli putu piring dan makan panas-panas. Tahun ni 'ambo' berada di Kelantan kebetulan musim tengkujuh. Cuti sekolah jalan-jalan cari makan. Hujan pulak tu. Lapar rasanya. Nampak gerai tulis putu halba. Tanya berapa harga. Katanya 5 RM2. Sama dengan putu piring. 'Ambo' ingat orang Kelantan panggil nama lain. Rupanya memeng benda lain. Buka kertas balutan nak makan. Warnanya kuning. Liat. Ada bau halba (biasalah sebab dia masukkan halba dalam adunan). Bentuknya je sama. Dengan lafaz bismillah ambo makan. Rasanya pun lain. Rupanya putu halba ni dibuat daripada ubi kayu. Putu piring yang ambo biasa makan tu dibuat daripada beras. Sama ada manisan dalamnya. Baru ku tahu... 

 

Apa pun alhamdulillah tahun ni ambo kenal satu lagi makanan tradisional di negeri Cik Siti Wan Kembang. Ya la, dulu-dulu mana ada ambo balik kampung musim macam ni. Tak pernah merasa main banjir. Banjir kilat ada la. Mana taknya, balik kampung cuma sekali setahun. Raya puasa. Tak pun raya haji. Kecuali ada kenduri atau sakit demam tak pun kematian.  Teringin pulak rasanya nak makan putu halba lagi. 


CATATAN POPULAR