Qudwah Hasanah

Qudwah Hasanah bererti contoh teladan yang terbaik.

Rasulullah saw merupakan contoh teladan yang terbaik bagi sekalian umat manusia. Ia dapat dilihat pada sifat, sikap, fikiran dan tindakan, kehidupan, semangat, perjuangan dan kepimpinan baginda.

Kesemua sifat dan sikap Rasulullah saw adalah kesan daripada didikan al-Quran. Setiap perkara yang dilakukan dan ditinggalkan oleh baginda adalah pelaksanaan daripada setiap perintah al-Quran. Setiap nilai al-Quran terdapat dalam diri Rasulullah saw sehingga baginda dianggap sebagai al-Quran hidup.


Memaparkan catatan dengan label Kelantanku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kelantanku. Papar semua catatan

Ahad, 8 Disember 2013

MAAHAD MUHAMMADI


Disember 2010, aku ke sini. Disember 2013 aku ke sini sekali lagi. Dengan tujuan dan harapan yang sama. Sudah tiga tahun berlalu rupanya. Sepantas itu waktu berlalu. Tak terasa. Maahad Muhammadi Lelaki, banyak sejarah terpahat di sini.

Sedang para ibu bapa mendengar taklimat daripada pentadbir sekolah, anak-anak pula sedang menjalani ujian bertulis seterusnya ujian lisan di dewan. Dalam hati si umi tak lekang mendoakan agar anaknya diberi kefahaman dan dilapangkan dada untuk menjawab soalan dengan baik. Insya Allah. Kata mudir, markah diberi 100 untuk lisan dan 100 untuk bertulis. Selepas dicampur ditolak dibahagi, yang terpilih akan ditawarkan masuk ke Maahad. Result akan keluar pada 22 Disember  nanti.


Dulu lain sekarang dah lain. Maahad pun dah berubah wajah. Ada mudir baru, penolong kanan semua wajah-wajah baru, ada juga bangunan asrama baru, dan ada pula kafeteria baru. Itulah kehidupan. Sentiasa berubah. Mengikut peredaran masa dan keperluan hidup. 

Dalam ucapan Tuan Mudir, difahamkan Maahad sekarang sudah ada dua bangunan asrama yang memuatkan 450 orang pelajar. Asrama lama diberi nama Asrama Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz. Manakala asrama kedua yang baru diduduki dinamakan Asrama Dato' Ahmad Yakob. Keduanya sempena nama menteri besar Kelantan. Selain dari itu, dimaklumkan pelajar Maahad ada juga terdiri dari pelajar tahfiz. Di mana mana-mana pelajar yang terpilih masuk ke Maahad boleh memilih untuk masuk alirah tahfiz. Cuma mereka akan tinggal di asrama Tahfiz Tanjug Chat. Kalau tak silap, yurannya RM300 (3 tahun lepas) lebih sedikit dari yuran asrama Maahad. 


Disebelah kiri tu Mudir Maahad Al-Fadhil Ustaz Kamarudin Kamil bin Che Mohamad. Tengahnya wakil pengarah YIK. Macam ku kenal, tapi siapa ya? Itulah dia bekas ustaz yang mengajar ku di Maahad Amir Indera Petra. Al-Fadhil Ustaz Mohd Zaki bin Deraman. Ustaz Zaki sekarang sebagai Penolong Pengarah Bahagian Kurikulum (BA) di Yayasan Islam Kelantan.  Kanan sekali pula PK Hem Maahad, Al-Fadhil Ustaz Baharudin bin Mohd Nor. 

Apa yang menariknya dalam ucapan Us Zaki, sebuah lagi Maahad Tahfiz Sains akan dibina. Bangunan belum pun dibina namanya dah ada. Maahad Tahfiz Sains Tuan Guru yang baru dirasmikan acara 'pecah tanah' di Pengkalan Chepa. Bersebelahan Masjid As-Salam. Sangat teruja mendengarnya. YA ALLAH...izinkanlah salah seorang anak ku belajar di sini. Seorang anak yang HAFIZ boleh memberi syafaat kepada ahli keluraganya. Subhanallah...


Isnin, 2 Disember 2013

PUTU HALBA


Putu halba terkenal dan hanya ada pada musim tengkujuh saja. Akhir tahun macam ni. Musim lain kalau ada pun tak berapa banyak. Kalau musim banjir segenap tempat ada gerai menjual menjual putu halba. Macam cendawan tumbuh musim hujan. 


Sebelum ni 'ambo' tak pernah kenal putu halba. 'Ambo' kenal putu piring. Suka sangat beli putu piring dan makan panas-panas. Tahun ni 'ambo' berada di Kelantan kebetulan musim tengkujuh. Cuti sekolah jalan-jalan cari makan. Hujan pulak tu. Lapar rasanya. Nampak gerai tulis putu halba. Tanya berapa harga. Katanya 5 RM2. Sama dengan putu piring. 'Ambo' ingat orang Kelantan panggil nama lain. Rupanya memeng benda lain. Buka kertas balutan nak makan. Warnanya kuning. Liat. Ada bau halba (biasalah sebab dia masukkan halba dalam adunan). Bentuknya je sama. Dengan lafaz bismillah ambo makan. Rasanya pun lain. Rupanya putu halba ni dibuat daripada ubi kayu. Putu piring yang ambo biasa makan tu dibuat daripada beras. Sama ada manisan dalamnya. Baru ku tahu... 

 

Apa pun alhamdulillah tahun ni ambo kenal satu lagi makanan tradisional di negeri Cik Siti Wan Kembang. Ya la, dulu-dulu mana ada ambo balik kampung musim macam ni. Tak pernah merasa main banjir. Banjir kilat ada la. Mana taknya, balik kampung cuma sekali setahun. Raya puasa. Tak pun raya haji. Kecuali ada kenduri atau sakit demam tak pun kematian.  Teringin pulak rasanya nak makan putu halba lagi. 


Sabtu, 31 Ogos 2013

MERDEKA DI TUMPAT

Merdeka! Merdeka! Merdeka!... Alhamdulillah syukur Malaysia bumi merdeka. Ini kali pertama aku menyambut 31 Ogos di bumi Kelantan. Cuti merdeka kali ni aku berkesempatan melawat bumi Tumpat. Terkenal dengan perusahaan sambal daging dan dodol.

Sebenarnya cuti kali ni aku mengikut kakak ku ke Kampung Laut, Tumpat Kelantan. Sebenarnya kakakku dan suaminya mendapat izin Allah untuk menunaikan haji kali kedua tahun ni. Mereka akan berangkat ke Tanah Suci Mekah takmsampai sebulan lagi. Jadi kesempatan cuti ni abang ipar ingin berjumpa adik beradiknya yang tinggal di Tumpat. Aku pun kebetulan bercuti. Ikut la sama. Aku pun takmpernah kenal lagi keluarga abang ipar walau pun dah dua belas tahun mereka berkahwin. Aku ingat sangat la sebab mereka kahwin aku masih dalam pantang. Baru dua puluh lima hari bersalinkan anak kedua si Farhan.


Rupanya pengusaha serunding di Kampung Laut tu adik beradik dan sepupu sepapat abang ipar aku. Sayang seribu kali sayang, hari yang kami datang tu hari mereka bercuti memproses serunding. Dapat lihat dapur dan kawah je la.



Abang aku pulak macam faham benar dengan minat aku. Suka ambil gambar. Lepas ke pusat membuat serunding, diajaknya pula aku ke pusat membuat dodol. Kebetulan juga sepupu sepapatnya juga. Agak terlewat sebab dodol dah pun masak. Tinggal mesin kosong je. Semua dodol yang dah masak diangkat dan dituangkan ke dalam dulang kuning.



Cuti kali ni sangat berfaedah. Dapat berjalan ke tempat pemprosesan serunding dan dodol yang sangat tersohor di Kelantan. Yang selama ni kenal melalui cerita saja. Cuti kzli ni dapat ziarah ke sana lagi. Biar pun tak dapat melihat pemprosesan yang detail, tapi dapat mengenal tempatnya sudah memadai.

Selasa, 6 Ogos 2013

AIR TUAK

Sekali sekala balik kampung rasanya tak sah kalau tak dapat minum air tuak. Tersohor di Kelantan dengan air tuak. Pernah bercerita dengan kengkawan betapa sedapnya minum air tuak. Terkejut dia orang. Katanya orang tak minum la air tuak. Mabuk kan! Bukan... air tuak ni tak mabuk. Air tuak kelapa atau pun tuak nipah. Kalau orang kampung saya panggil tuak, orang KL sebut nira. oooo...melopong mulut masing-masing nak memahamkan cerita ku. Kalau bulan Ramadhan ni lagi la, merata tempat ada jual tuak. Tapi kali ni special sikit. Kami dapat minum tuak nipah. Mana dapat? Haaa...pegi cari di pusat pengeluaran tuak la. Di kemunin dan di Tumpat.  Di sepanjang jalan ada gerai jual tuak. Macam pesta pulak nengoknya. 

Sabtu, 27 Julai 2013

BAZAR RAMADHAN

Bazar tersohor di bandar Kota Bharu. Letaknya di Stadium Sultan Muhammad IV. Kalau pegi lewat bersumbat dengan orang ramai. Nak-nak musim cuti sekolah ni ramai cikgu-cikgi di perantauan dah balik. Ya la, kami pun nak merasa nikmat berpuasa di kampung. Nak makan macam-macam makanan tradisional Kelantan yang hanya dibuat dalam bulan puasa.

Roti nan RM3
Gulai kawah RM6
Ayam percik tersohor di Kelantan
Daging bakar RM5
Bubur lambok RM3
Kalau diperhatikan harga makanan tu tak ada bezanya dengan harga di sekitar KL. Nampak gayanya harga barangan dan makanan tak jauh beza. Cuma yang suka sangat balik Kelantan bulan-bulan puasa ni sebab ada makanan istimewa yang ada di sini tak ada di KL. Contohnya nikbak, air tuak, teresek, acar putik pisang dan banyak lagi la. 

Khamis, 21 Februari 2013

BIGORANGE CAFE


Big Orange Cafe. Banyak kenangan manis di sini. Mula-mula aku datang sini dulu ialah masa cuti akhir tahun 2010. Bermulalah episod perkenalan aku dengan Big Orange. Sudah dua tahun berlalu rupanya. Rasa baru semalam. Dari KL ke KEL aku berulang-alik, di sinilah persinggahan untuk mengisi perut yang lapar. Terutama di petang hari.


Air ciku
Pertama kali datang, aku diperkenalkan dengan air ciku. Sedap sangat. Sebab tu setiap kali ke sini, air cikulah yang menjadi pilihan aku. Dari dulu sampai kini. Ia seolah dah sebati dengan aku. Ingat Big Orange ingat air ciku. Datang Big Orange tak sah tak minum air ciku. Ini rupa hidangan air ciku dua tahun dulu. Sekarang ni tak lagi macam ni. Tak ada lagi balang-balang kaca. Dalam gelas biasa. Sesekali terasa juga nak minum dalam balang ni. Mengimbau kenangan.

Kuey Tiaw Tomyam
Kalau dulu, selalu makan nasi. Sekarang ni sedikit berubah. Menu pilihan ialah sup dan tomyam. Bermula cuti akhir tahun lepas. Aku bawa anak-anak makan di sini. Si Fahman memang suka makan kuey tiaw. Ditelitinya menu satu persatu. Dia minta kuey tiaw tomyam. Aku tumpang merasa. Sedap juga.



Kuey Tiaw Sup

Ini pula kuey tiaw sup. Memang sedap. Kena dengan selera aku. Ala-ala sup cina. Anak aku yang bongsu cukup suka sup ni. Selalu minta nak pergi makan kuey tiaw sup. Alamak...jauhnya. Nantilah. Ada masa dan duit lebih kita balik sana. Itulah janjiku pada anak-anak.
Raya cina baru ni kami semua berkumpul. Sekolah cuti panjang. Aku ambil kesempatan ini untuk menunaikan janji ku pada anak-anak. Sekaligus memenuhi permintaan mereka untuk makan di sini. Tengok tu, si Fayyad berselera makan. Macam biasa, selepas makan dia akan ucap "terima kasih umi sebab bagi Fayyad makan ni...". Mudah-mudahan ucapan itu akan diucapkannya hingga besar nanti.


Hari ni hari kedua berturut-turut aku ke sini dengan anak-anak. Semalam dua, hari ni tiga.Cukup la lima. Seronok tengok mereka makan. Khusyuk. Maklumlah sesekali berkumpul. Senang rasa hati si ibu. Terkadang timbul juga rasa kasihan pada mereka. Mereka tak sama orang anak-anak yang lain.


Bubur Nasi
Haaa...yang ni pula bubur nasi. Ini kali pertama aku oder menu ni. Boleh tahan juga rasanya. Sedap mengikut selera aku. Mungkin tak kena dengan selera orang lain. Bubur nasi ni kegemaran si Fawwaz. Semua jenis bubur yang berasaskan nasi. Bubur lambuk pun dia suka. Alamak...teringat la pulak bubur lambuk Kampung Baru. Apa pun...kita tunggu bulan Ramadhan nanti.


Jumaat, 15 Februari 2013

JALAN-JALAN TOK BALI


Hari-hari terakhir bercuti sempena cuti raya cina. Biasalah, cuti sekolah seminggu. Cina beraya Melayu yang lebih-lebih balik kampung. Jem jalan jangan dikira. Utara selatan timur atau barat sama je. Tak kata orang. Kami pun sama tumpang beraya. Bukan apa, kalau balik raya tak sempat nak jalan-jalan ronda-ronda sekitar tempat tersohor. Raya cuma jalan-jalan ziarah rumah saudara-mara. Raya orang ni la kesempatan yang perlu diambil dan diguna pakai untuk meronda. 

Selalu dok dengar cerita orang pasal Tok Bali. Tersohor di Bachok. Kami tak pernah sampai. Lalu lalang je kalau balik ikut Besut. Hari ni terasa nak bawa anak-anak jalan-jalan ke sana. Lama juga la nak sampai sana. Dari KB ke Bachok, Melawi pastu entah apa nama tempat lagi. Akhirnya kami sampai sana lebih kurang jam 3.00 petang. Tempat pertama anak-anak terkam ialah di kuala. Tempat kapal-kapal berlabuh.

Masa kami singgah di jeti ni hujan turun dengan lebat. Sambil-sambil menikmati panorama dan intai-intai kanak-kanak mandi manda. Ada juga orang sedang memancing. Bila hujan reda kami beransur. Nampak pulak kerta sorong BMW ni. Mereka minta nak naik. Ok la-ok la...naik la. Umi takder duit nak beli kereta BMW. Ambil la peluang ni. Umi apa lagi, ambil gambar la. Pastu gelak.


Kami singgah pula di restoran sekitar situ. Banyak. Tapi Restoran Mutiara jadi pilihan kami. Bukan apa, nampak besar tak la sesak kalau orang ramai. Cepat la dapat makanan. Tengok si Fayyadh ni, seronok makan mee goreng. Rasanya boleh tahan jugak. Kami berempat. Order menu berbeza. Pakat-pakat rasa. Nak tahu menu apa best kat sini. Dah tentu la ikan bakar.



Fahman tak lekang dengan kuey tiaw tomyam, Fawwaz pula tak lepas dengan nasi goreng cinanya. Uminya pula bubur nasi. Menyesal rasanya. Bubur nasi dia manis. Aku cukup tak suka kalau makanan manis-manis. Kecuali memang pemanis mulut. Tu pun tak nak manis sangat. Akhirnya bubur nasi ku habis dihurup anak-anak. Umi cuma ceduk makanan anak-anak. Kesian umi.


Masa tengah makan tu kami nampak kapal ni. mereka tanya kapal apa tu? Aku jawab "tula kapal nabi Nuh". Gelak. Mereka tak percaya sebab katanya kapal nabi Nuh besar. Kalau sebesar tu tak muat katanya nak muatkan umat nabi Nuh dengan binatang sekali. "ooo ya ka. Cerdik juga anak umi". Balas si umi. Sebelum balik kami ambil peluang bergambar depan kapal nabi Nuh ni. Jauh-jauh je. Malas nak pegi dekat-dekat. Becak dan hujan renyai-renyai. Lepas tu kami bertolak balik ke KB. Rumah kami yang sementara tu.

Dalam perjalanan balik, mereka bercakap tentang keseronokan mereka hari ni. Boleh jalan-jalan, tengok kapal nelayan berlabuh, tengok kapal atas darat, boleh makan-makan dan macam-macam lagi. Umi diam je. Penat ada. Tumpu jalan agak licin pun sama. Teringat pula abang-abang yang ditinggalkan di asrama. Kesian mereka tak dapat merasa sama keseronokan adik-adik hari ni. Lain kali ye bang...

Selasa, 12 Februari 2013

NASI KERABU DAGING BAKAR



Tiap kali balik kampung, nasi kerabu inilah yang diidamkan. Lokasinya senang je nak cari. Betul-betul dekat simpang empat Kampung Cherang. Penanda yang paling mudah bagi aku, dekat simpang tu ada wau bulan besar. Nak senang lagi, bila sampai cabang empat wau besar tu nampak terus asap berkepul-kepul. Asap dia sedang bakar daging dan ayam. Kedai ni juga tak jauh dari Sekolah Kebangsaan Tapang.


Sejak tahun 2011 lagi aku selalu ke sini. Tiap kali balik kampung, sarapan paginya banyak di sini. Tapi masa tu kalau ditanya mana tempatnya haram aku tak tahu. Selepas dua tahun baru kenal nama tempat ni. Bagi para pengunjung yang datang ke negeri Cik Siti Wan Kembang ni bolehlah sarapan pagi di sini. Dekat je dari bandar Kota Bharu.

Apa yang istimewa tentang nasi kerabu di sini ialah kita boleh pilih nak daging bakar atau ayam bakar. Boleh tambah lagi kerabu serey kalau nak.  Sarey ialah sejenis rumpai laut. Sekarang ni hangat diperkatakan rumpai laut mempunyai kolegen. Awet muda. Kami dah lama makan. Buat kerabu. Ada lagi solok lada dan bawang putih jeruk. Sangat istimewa. Bak kata orang tua-tua, 'sekali rasa nak selalu'. Itulah dia penangan nasi kerabu.


Isnin, 11 Februari 2013

BAULU PASIR HOR

Seminggu cuti sekolah berjalan sakan. Mana taknya, sesekali duduk kampung. Ambil peluang sebaiknya. Masa ni la ramai orang buat kenduri kawin. Hari ni pun, balik dari kenduri kawin saudara mara singgah beli baulu panas. Kedainya di Jalan Pasir Hor. Kalau dari Kubang Kerian masuk simpang kiri. Tak jauh dari simpang empat Bilal.



Baulu sini memang sedap. Nak-nak kalu makan masa panas-panas. Sejak tahun 2011 lagi aku menjadi pelanggan tetap kedai baulu ni. Tiap kali balik Kelantan aku akan di bawa ke sini untuk makan baulu panas. Bila nak balik semula ke Kajang sekali lagi aku ke sini. Beli tak banyak. Cuma RM20 je. Tapi dapat bawa balik sekotak. Masa tu masih lagi 20 sen sebiji.




Sekarang ni dah naik 5 sen. Empat biji seringgit. Tapi masih murah sebab baulunya agak besar.



















Sabtu, 9 Februari 2013

KULIAH ILMU


Alhamdulillah...pagi ni Allah mengizinkan aku untuk menambah ilmu. Aku ke sini lagi selepas hantar anak-anak tuisyen. Tak sangka pulak ada kelas agama untuk para muslimat. kelihatannya jawatankuasa mengedarkan hand out untuk peserta. Katanya untuk peserta berdaftar saja. Aku faham aku orang luar yang kebetulan ada sama di situ. Takper...aku tumpang dengar je. Kebetulan ustazah penceramah membincangkan tafsir surah Yasin. Aku tak ada kertas edaran pun takpe. Aku buka tafsir al-Quran yang ada dalam smartfon aku. Sama je. Asal faham dan hayati.


Sabtu, 26 Januari 2013

KEDAI KOPI WHITE HOUSE

Alhamdulillah pagi ni sekali lagi berkesempatan singgah di Masjid Muhammadi di Jalan Sultanah Zainab. Selepas selesai solat, aku mengambil peluang untuk sarapan di sebuah kedai yang sangat terkenal di depan masjid Muhammadi.  White House Coffee. Kata orang kedai terkenal dengan roti bakar dan kopinya.  

 








Keluar saja pintu pagar masjid sebelah muslimat, terus nampak kedai kopi White House. Dari jauh nampak penuh dengan pelanggan. Nampak gayanya kena tunggu giliran untuk dapatkan tempat duduk. Sambil berdiri menunggu meja kosong, sempat juga aku menemuramah seorang pelanggan. Katanya tinggal di Cheras. Dekat dah tu. Kami dari Kajang. Setiap kali balik ke Kelantan rumah saudaranya dia tak pernah lepaskan peluang untuk makan roti bakar special di kedai ni. Memang aku ke sini pun sebab nak merasa keistimewaan roti bakarnya. Pernah dulu, masa aku menginap di Khalifa Suite, mereka memperkatakan keistimewaan kopi dan roti bakar di White House. Tapi aku tak berkesempatan merasanya waktu itu. Kebetulan hari ini ada peluang. Tak akan ku lepaskan.









Tengok si Farhan makan nasi lemak sampai dua bungkus. Aku curi-curi merasanya. Memang sedap. Rasa nasi lemak kampung dulu-dulu. Ada kelainan pada rasanya. Aku pula order kopi tarik dan roti bakar. Roti bakar bersama kaya dan mentega. Tiga keping roti bakar tu harganya RM3. Memang padanan yang secocok. Pasangan yang tak dapat dipisahkan. Di mana ada roti bakar di situ ada kopi. Macam sarapan pagi orang kampung. Roti dia roti yang aku suka zaman kanak-kanak ku dulu. Roti bonjol aku panggil. Sekarang ni pun, kalau aku jumpa di mana-mana kedai aku akan beli nak cicah dengan air teh. Betullah orang kata, makin tua makin perangai macam kanak-kanak. Makin meningkat umur makin teringin nak makan makanan yang dimakan zaman kanak-kanak. Satu persatu aku cari makanan tersebut sampai dapat. Alhamdulillah.

Jumaat, 25 Januari 2013

KAK ANI SUP PERUT


Selepas penat berjalan keluar masuk kedai mencari baju seragam pengawas sekolah agama, perut pun mula berkeroncong. Hari ni terasa nak makan sup. Aku teringat sup perut kak Ani. Perut muda la yang dicari.









   

MASJID MUHAMMADI KOTA BHARU

Masjid Muhammadi adalah masjid tersohor di negeri Cik Siti Wan Kembang. Namanya diambil sempena nama Sultan Muhamad ke IV.  Masjid Muhammadi merupakan masjid negeri yang terletak di Kota Bharu. Dekat dengan Sungai Kelantan. Ia juga dipanggil sebagai Masjid Besar di kalangan rakyat Kelantan.


Minggu ni aku kembali lagi ke sini. Urusan anak-anak. Itulah urusan terbesar dalam kehidupan aku. Aku dimaklumkan oleh anak kedua, dia dilantik sebagai pengawas sekolah. Maknanya segala pakaian seragam sekolah yang aku beli hujung tahun lepas perlu ditukar kepada seragam pengawas. Pelik betul la sekolah di Kelantan. Kenapa buat lantikan pengawas pada awal tahun. Kami di sini kalau tak berani nak buat macam ni. Ada dapat surat layang dari ibu bapa. Apa pun aku tetap akur dengan kehendak dan situasi di tempat mereka belajar.


Menurut kata anakku, kopiah di gerai depan Masjid Muhammadi murah. Kami pun singgahlah di sini. Sebelum ke gerai, kami anak-beranak solat dulu di masjid. Alhamdulillah, dapat juga pahala solat di masjid hari ni. Selesai solat kami turun ke gerai seberang jalan. Betul-betul depan masjid. Memang murah. Harga RM15 dapat la kurang RM13. Kalau di bandar tahun lepas aku beli kopiah nipis biasa je tak boleh kurang langsung. Padahal beli dua sekali.


Masa aku ambil gambar ni, pakcik kedai tu tanya "dari mana?" Kami jawab "dari Kajang". Katanya lagi "pokcik tau doh, sebab kalu ore sini dio tok ambik gambar doh, ni mesti ore dari luar ni". Kebetulan pula aku bawa dua orang anak. Dengar dari mereka bersembang dua beradik tu pun pakcik tu dah tahu kami dari luar. Tahun-tahun sebelum ni aku pernah ke sini. Tiap kali balik hujung minggu aku dibawa ke merata masjid di Kota Bharu. Singgah solat Zohor atau Asar. Tapi sekarang tak lagi. Apa pun aku tetap bersyukur. Alhamdulillah...


Teringat kembali suatu waktu dahulu, aku ke sini dengan mu. Aku pernah menginap di Hotel Khalifa. Berhadapan dengan masjid Muhammadi. Inilah pandangan masjid dari hotel pada waktu malam. Cantik. Indah. Seindah kenangan waktu itu. Ya Allah...sesungguhnya Engkau Maha Tahu. Engkau tahu segala kehendak dan keinginanku. Engkau Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Makbulkanlah segala doa dan permintaanku. Amin Ya Rabbal 'Alamin...

PAGI-PAGI DI KOTA BHARU

Kelantan terkenal dengan gelaran negeri "Serambi Mekah". Masuk saja bandar Kota Bharu pagi Jumaat akan kedengaran paling kurang zikir-zikir. Atau pun ceramah-ceramah agama. Bila masuk waktu solat satu bandar kedengaran laungan azan. Para peniaga akan menutup barang jualan mereka dengan kain dan tinggal pergi menunaikan kewajipan masing-masing.











Di kawasan ini terdapatnya sebuah kedai buku agama tersohor di Kelantan. Kedai buku Jaafar Rawas. Sejak dari aku belajar lagi. Kalau nak cari bukubuku agama di sinilah tempatnya. Sekarang ni bukan sekadar buku, bahkan segala kelengkapan ibadat, baju-baju sekolah agama terdapat di sini. Aku ke sini hari ni pun untuk mencari seragam pengawas sekolah agama (YIK). Bajunya lain dari sekolah harian biasa. Ala-ala baju Raihan gitu. Walaupun hari Jumaat, semua kedai di kawasan ni buka sebab hari ni orang ramai sangat datang. Pagi Jumaat ni ada kuliah atau ceramah agama di sini. Selalunya Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sendiri bagi kuliah. Kuliahnya cuma diadakan di jalan raya. Bukan di masjid atau di dewan-dewan besar. Tapi pengunjung yang datang teramatlah ramai. Khemah-kemah yang disediakan memang penuh dengan pengunjung muslimin dan muslimat. Sehinggakan ada yang duduk di kaki lima kedai.











Mereka yang datang ke sini boleh dikatakan serampang dua mata. Bukan apa. Datang dengar kuliah agama. Pada waktu yang sama dapat mencari bekalan atau keperluan harian. Samada pakaian atau pun makanan. Di tepi-tepi jalan masuk ke kawasan khemah, dipenuhi peniaga-peniaga yang menjual beraneka barang jualan. Nasib baik kami berjalan kaki. Kalau dengan kereta tak sanggup rasanya. Sesak.











Beginilah pemandangan di kiri dan kanan jalan raya. Aku seolah diperhatikan oleh orang sekeliling. Seolah aku ni pemerhati. Sebab kerja aku di sni seperti biasa kerja aku di tempat-tempat lain. Ambik gambar. Ni kira nasib baik sebab tak bawa balik kamera SLR. Cuma guna smart phone je. Maaflah ya adik kakok sekalian, dah hobi saya macam ni. Ambil gambar dan update blog. Sebenarnya nak perkenalkan Kelantan pada orang luar. 

CATATAN POPULAR