Qudwah Hasanah

Qudwah Hasanah bererti contoh teladan yang terbaik.

Rasulullah saw merupakan contoh teladan yang terbaik bagi sekalian umat manusia. Ia dapat dilihat pada sifat, sikap, fikiran dan tindakan, kehidupan, semangat, perjuangan dan kepimpinan baginda.

Kesemua sifat dan sikap Rasulullah saw adalah kesan daripada didikan al-Quran. Setiap perkara yang dilakukan dan ditinggalkan oleh baginda adalah pelaksanaan daripada setiap perintah al-Quran. Setiap nilai al-Quran terdapat dalam diri Rasulullah saw sehingga baginda dianggap sebagai al-Quran hidup.


Memaparkan catatan dengan label Ramadhan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ramadhan. Papar semua catatan

Khamis, 1 Jun 2017

KELEBIHAN CUTI RAMADHAN II

Ramadhan Kareem

Alhamdulillah, Ramadhan tahun ini lebih bermakna. sangat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Ramadhan tahun ni permulaan disambut diawal cuti persekolahan. Umi dan anak-anak semua bercuti. Kebetulan pulak abang pun tengah cuti panjang baru habis asasi. Peluang baik kali ini umi ambil dan guna sebaiknya.

Bermula 1 Ramdhan, anak-anak bertadarrus bersama umi. Lancar ke merangkak ke tak kisah. Umi tasmik dan betulkan bacaan yang salah. Yang dah lancar Alhamdulillah umi semak bacaannya. Bagi yang belum lancar bacaannya, Insya Allah akan bertambah lancar dengan izin Allah. Semoga kesempatan cuti dua minggu ini kami dapat khatam al-Quran. Itulah target dan hasrat hati seorang umi. Dua juzuk sehari insya Allah dapat khatam dalam tempoh dua minggu. Kalau tak sempat khatam pun, Insya Allah akan diteruskan dengan tiga beradik saja. Sebab lepas buka sekolah dua orang akan masuk asrama semula.

Oleh kerana waktu tadarrusnya selepas solat subuh setiap hari, maka beginilah rupa keadaan anak-anak umi setiap pagi. Mula-mulanya elok. Tapi masuk pusingan kedua sorang tumbang. Maklumlah baru 10 tahun. Belum khatam pun lagi. Tapi bacaannya agak baik. Tajwidnya agak bagus. Panjang pendek bacaan cukup dijaga. Tng dengung memang class. Cuma bacaan sangkut-sangkut sikit. Terima kasih ustazah kelas qiraati Pengkalan Chepa kerana Berjaya mengasuh dan mendidik anak-anak didik dengan baik. Buktinya bacaan anak umi yang sorang ni.

Round ketiga, biasanya tamat giliran mereka, akan tumbang dua orang lagi. Sebab satu juzuk biasanya tiga pusingan. kalau lebih pun umi akan tamatkan. Memandangkan ramai yang dah tumbang. Alhamdulillah dah dapat tadarrus. Jam 7.30 pagi dah selesai. Yang tidur terus melingkar. Abang-abang akan kutip Quran adik-adik yang dah terlena. Biasanya pun, malah setiap pagi begitulah keadaannya. Dah enam hari Ramadhan hari ni. Enam hari berpuasa. Kami masih istiqamah. Sesekali rasa kasihan pada anak-anak. Tapi inilah cara untuk umi mendidik anak-anak. Cara masing-masing berbeza.

Berbeza pula gayanya bila tadarrus selepas solat Zuhur. Masing-masing dah segar bugar selepas bagun tidur. Mana taknya berjam-jam tidur. Biarlah. Biasanya masuk waktu Zuhur umi akan kejutkan mereka untuk solat. Nak tunggu semua siap, daripada bangun dari tidur, mandi mahu makan masa satu jam. Atau mungkin lebih. Jam 2.00atau 2.30 petang baru boleh solat berjamaah. Lepas solat Zuhur kami sambung terus dengan tadarrus al-Quran. Setiap hari lepas tadaruus umi boleh terus masuk dapur untuk menyediakan juadah berbuka. Alhamdulillah, semoga Ramadhan tahun ini kami dikurniakan kelebihan malam Ramadhan Kareem. Yang mana 1 malam bersamaan dengan 1000 bulan. Itulah kehendak dan citi-cita setiap muslim dan mukmin. Insya Allah, semuanya dengan izin Allah.

Ahad, 28 Mei 2017

KELEBIHAN CUTI RAMADHAN

Ramadhan Kareem...

Ramadhan 1438H bermula sehari selepas cuti pertengahan penggal 1 bermula. Semua anak-anak ada di rumah. Cukup bilangannya. Cukup lima orang. Senang cerita umi ada pembantu. Ada si abang yang boleh jadi PA umi. Bantu mengerah adik-adik solat, sahur, tadarrus dan macam-macam lagi.

Umi minta anak-anak tambahkan amalan sepanjang Ramadhan. Setiap amalan bulan yang mulia ini akan digandakan pahalanya 10 kali ganda. Rugi kalau kita tak kejar anak-anak oiii... Solat fardhu mesti dilakukan secara berjamaah. Seakan-akan mewajibkan. Lepas solat berjamaah mesti bertadarrus. Alhamdulillah, permintaan umi disambut baik oleh anak-anak. Master mind nya abang sulung. Abanglah yang susun atur jadual imam bertugas setiap hari. Mengikut turutan umur. Hari pertama dimulakan dengan imam besar. Hari kedua imam 2, seterusnya imam 3, imam 4. Imam muda belum diberi tugas lagi. Katanya belum sunat.

Imam 2 bertugas
Sepanjang dua hari Ramadhan ni umi tengok mereka mengikut jadual dengan baik. Bila masuk je waktu solat, imam besar kerah makmum-makmumnya untuk solat. Umi seronok melihat anak-anak umi macam ni. Semoga Allah kekalkan amalan yang baik ini sampai bila-bila. Walaupun selepas berakhirnya Ramadhan. Semoga Ramadhan ini menjadi bulan latihan. Dan...kebaikannya berekekalan sepanjang masa.

Rabu, 1 September 2010

PENDIDIKAN DALAM IBADAT PUASA

Puasa adalah rukun Islam yang ketiga, selepas mengucap dua kalimah syahadah dan solat lima waktu sehari semalam. Dalil difardhukan puasa ke atas orang mukmin ialah melalui firman Allah S.W.T. dalam Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:
"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa"

Pengertian Puasa

Puasa dari segi bahasa ialah menegah, menahan daripada sesuatu. Manakala pengertian puasa menurut istilah syara’ pula ialah menahan diri pada siang hari daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa dengan niat mulai naik fajar hingga jatuh matahari (Wahbah Az-Zuhaili, Fiqh & Perundangan Islam Jilid 2:1994).

Pengertian seterusnya, ”Puasa ialah menahan diri daripada makan, minum dan bersetubuh mulai dari terbit fajar sehingga terbenam matahari kerana Allah Taala. Begitu juga hendaklah menahan diri daripada perkataaan yang diharamkan dan dimakruhkan menurut syarat-syarat yang telah ditentukan” (Ustaz Sulaiman Endut, Asas-asas Fardhu Ain : 1994).

Jelaslah kepada kita bahawa puasa ialah menahan diri daripada makan dan minum, serta melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa bermula daripada terbitnya fajar sidiq hinggalah terbenamnya matahari. Iaitu bermulanya daripada masuk waktu Subuh dan berakhir apabila masuknya waktu Mahgrib.

Pendidikan Daripada Ibadat Puasa

Puasa mempunyai terlalu banyak hikmah, pendidikan dan rahsia di sebalik kefardhuannya ke atas peribadi (rohani dan jasmani) umat Islam dan juga dari segi pendidikan kemasyarakatan.

1. Puasa dan Pendidikan Peribadi Muslim

Puasa merupakan latihan terbesar untuk mendidik budi pekerti setiap muslim dan mukmin melalui latihan untuk memiliki sifat-sifat terpuji. Dengan berpuasa dapat melatih setiap orang muslim memiliki sifat sabar dalam menghadapi perkara-perkara yang tidak boleh dicapai. Contohnya seperti di dalam keadaan berpuasa seseorang itu tidak dapat mencium bau yang sedap, sekadar melihat minuman yang lazat dan enak terhidang di hadapannya tetapi tidak dapat menikmatinya.

Puasa juga boleh menguatkan peribadi, dan membersihkan jiwa setiap insan. Puasa melatih rohani orang-orang muslim dan mukmin menahan nafsu, dan mencegah daripada moral yang tidak baik. Bagi seseorang yang benar-benar berpuasa, mereka menutup mulut mereka daripada mengumpat, mencaci dan mencela muslim yang lain, tidak bercakap kotor, tidak mengikut keinginan hawa nafsu. Inilah cara yang paling berkesan untuk membentuk peribadi yang mulia.

Demikian juga, ibadat puasa dikatakan sebagai jihad hawa nafsu. Ini kerana puasa boleh melemahkan tekanan nafsu yang keras, kerana orang yang kenyang akan bertambah keras syahwatnya. Melalui ibadat puasa dapat menurunkan tekanan nafsu dan menyelamatkan nafsu daripada segala yang bersangkutan dengan dunia. Oleh itu Rasulullah s.a.w. memberi bimbingan terhadap golongan muda yang kuat hawa nafsunya supaya berkahwin. Jika mereka tidak mempunyai perbelanjaan yang cukup hendaklah mereka berpuasa, kerana puasa boleh mengurangkan nafsu syahwat. Ini bersandarkan hadith Nabi s.a.w. :

يا معشر الشباب : من استطاع منكم الباءة, فليتزوج, فانه أعض للبصر وأحصن للفرج, ومن لم يستطع فعليه بالصوم فانه له وجاء.
Maksudnya:
Barang siapa di antara kamu yang mampu mencari mas kahwin, maka dia hendaklah berkahwin, kerana perlahwinan itu dapat menutup mata dengan berkesan, dan dapat memelihara faraj dengan berkesan. Dan sebaliknya barang siapa yang tidak mampu, dia hendaklah berpuasa, sesungguhnya puasa itu baginya adalah ubat.
Ibadah puasa juga dapat melatih setiap muslim supaya berdisiplin dan berperaturan, kerana puasa memaksa mereka supaya makan dan minum dalam masa yang ditetapkan. Sebab itulah dari segi kesihatan puasa itu sangat berfaedah. Perut manusia boleh diibaratkan sebagai enjin motokar. Jika enjin itu sentiasa berjalan tentulah cepat rosak, begitu jugalah dengan perut dan alat-alat pencernaan di dalam badan manusia yang perlukan kerehatan. Dalam setahun enjin bekerja, sbulan ia diberi kerehatan untuk membersih dan membetulkan perjalanan alat-alat pencernaan. Jika tidak diberi kerehatan tersebut pemilik enjin itu akan cepat didekati pelbagai penyakit seperti penyakit jantung, buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi yang memang berkait rapat dengan cara pemakanan seharian. Dalilnya sabda Nabi s.a.w.”
صوموا تصحوا
Maksudnya:
Hendaklah kamu berpuasa, kamu akan menjadi sihat.

Selain daripada memberi kerehatan kepada sistem penghadaman, dengan berpuasa juga memberi kesan yang mujarab untuk mengurangkan berat badan atau kegemukan. Ini kerana apabila banyak makan tentunya berat badan makin bertambah. Semakin bertambah berat badan, semakin banyak nisbah lemak yang terhimpun. Berat badan yang tidak ideal atau kegemukan yang melebihi bentuk tubuh akan membawa penyakit seperti yang disebutkan di atas.

2. Puasa Dan Pendidikan Masyarakat

Ada pun hikmah dan pendidikan ibadat puasa dari segi kemasyarakatan pula ialah melahirkan belas kasihan terhadap golongan miskin. Ini kerana apabila seseorang itu berpuasa dapat merasai kelaparan untuk beberapa ketika, dengan itu mereka akan mengingati kelaparan orang-orang miskin.

Ibadat puasa juga dapat menyebarkan perasaan kasih sayang dan persaudaraan dalam jiwa manusia. Juga melahirkan semangat bekerjasama di antara sesama Islam. Pertalian silaturrahimdan kerjasama dalam menghapuskan ancaman kelaparan. Keadaan ini akan meneguhkan ikatan sosial antara sesama mereka, serta menganjurkan semangat kerjasama dalam mengubati penyakit yang timbul dalam masyarakat.

Khamis, 26 Ogos 2010

RAMADHAN AL-MUBARAK

PENGERTIAN RAMADHAN

Ramadhan bermaksud cuaca panas iaitu teriknya panas matahari.Orang Arab dahulu menamakan nama-nama bulan mengikut keadaan dan masa yang berlaku pasa masa tersebut. Oleh kerana cuaca pada ketika itu terlalu panas, maka mereka menamakannya RAMADHAN.

KEISTIMEWAAN BULAN RAMADHAN

شهر رمضان الذى انزل فيه القرءان هدى للناس وبينت من الهدى والفرقان

"Bulan Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran, untuk petunjuk bagi manusia, dan beberapa keterangan terhadap petunjuk dan sebagai pemisah (antara yang benar dengan yang batil)"
(Al-Baqarah:185)

Bulan Ramadhan adalah satu-satunya bulan yang Allah sebut namanya di dalam al-Quran. Antara dua belas bulan Islam Allah telah memilih bulan Ramadhan sebagai satu tanda keistimwaannya. Bulan Ramadhan adalah bulan yang memiliki kesucian yang dimiliki oleh bulan-bulan yang lain.

Allah SWT memilih bulan Ramadhan sebagai masa untuk melimpahkan rahmat-Nya kepada para hamnya-Nya yang beriman. Di natara nikmat yang paling agung ialah Al-Quran. Kitab yang tidak ada tolak bandingnya, yang kekal dan terpelihara sepanjang zaman.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang dipilih oleh Allah SWT untuk menurunkan kitab AlQuran Al-Karim, iaitu turunya permulaan ayat yang menandakan kerasaulan Nabi Muhammad SAW. Al-Quran adalah mukjizat teragung Rasulullah SAW yang menjadi petunjuk kepada seluruh umat manusia.

Bulan Ramadhan juga telah dipilih oleh Allah SWT sebagai bulan untuk melaksanakan ibadat puasa bagi kaum muslimin sebagai tanda kesyukuran atas nikmat dan kurniaan-Nya yang sangat besar. Iaitu nikmat turunnya al-Quran yang membawa hidayah dan petunjuk kepada seluruh umat manusia.

يا ايها الذىن ءامنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون


"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuaa sebagaimaan yang diwajibkan ke atas orang-orang kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa".
(Al-Baqarah:183)

Bulan Ramadhan adalah satu-satunya bulan yang dipilih oleh Allah SWT, di dalamnya terdapat satu malam, yang mana nilai ibadah pada malam tersebut sama dengan beribadah 1000 bulan. Malam tersebut dikenali sebagai malam Al-Qadar. Firman Allah SWT:
ليلة القدر خير من الف شهر

"Malam AL-Qadar (kemuliaan) itu lebih baik dari seribu bulan".

Bulan Ramadhan adalah satu-satunya bulan, yang mana sepanjang bulan Allah SWT menutup pintu neraka dan membuka pintu syurga. Allah juga mengikat dan membelenggu segala jin dan syaitan supaya kaum muslimin dapat beribadat sebaik mungkin.Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah memfardhukan atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan..". (Riwayat Abu Hurairah)

Bulan Ramadhan juga telah dipilih untuk kita melakukan ibadat. Di antaranya ialah Tadarrus al-Quran, membanyakkan sedekah kepada fakir miskin, solat Tarawih, berzikir dan sebagainya.

Ahad, 22 Ogos 2010

KELEBIHAN BULAN RAMADHAN

Puasa bulan Ramadhan adalah salah satu rukun Iman. Setiap detik sepanjang bulan Ramadhan adalah sebaik-baik masa dan sebaik-baik hari di bumi Allah ini. Allah telah memberikan kelebihan yang banyak kepada bulan Ramadhan berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Antara kelebihan yang sering disebut-sebut ialah:

1. Bulan Pengampunan Dosa

Sabda Rasulullah saw:

من صام رمضان ايمنا واحتسابا غفرله ما تقدم من ذنبه
Maksudnya :
Barang siapa yang berpuasa dan mengharap akan keredaan Allah semata-mata, maka ia akan diampuni dosanya yang telah dilakukan.
(Riwayat Ibnu Majah)

2. Pahala Orang Yang Berpuasa Tiada Batas

Pahala bagi orang yang berpuasa akan dilimpahkan sebanyak-banyaknya tanpa ada had batasan. Sehingga tidak mungkin dapat dikira dan dihitung. Yang demikian itu cukup layak bagi orang yang berpuasa kerana ibadat puasa memperolrh kemuliaan tak terhingga dengan dinisbahkan kepada zat Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud :

‘Sesungguhnya orang-orang Yang Bersabarlah sahaja Yang akan disempurnakan pahala mereka Dengan tidak terkira".
(Az-Zumar : 10)

3. Pahala Umrah Menyamai Pahala Haji

Seseorang yang melakukan ibadat umrah pada bulan Ramadhan mereka akan mendapat pahala umrah menyamai pahala ibadat haji.


4. Puasa Dapat Menahan Dorongan Syahwat

Dengan melakukan ibadat puasa, kita dapat menahan dan mengurangi dorongan syahwat. Sabda Rasulullah saw :

من استطاع منكم الباءة فاليتزوج ومن لم يستطع فعليه بالصوم فانه له وجاء

Maksudnya:
Barang siapa di antara kamu yang mampu serta berkeinginan untuk berkahwin, maka hendaklah dia segera berkahwin. Dan barang siapa yang tidak mampu untuk berkahwin, maka hendaklah ia berpuasa, kerana dengan berpuasa ia dapat menahan nafsu syahwatnya.
(Riwayat An Nasai)


5. Bau Mulut Orang Berpuasa Wangi Di sisi Allah

Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi,sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah saw dalam sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, Al-Baihaqi dan Jabir yang bermaksud:
“Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi”

6. Pintu Ar-Rayyan di Syurga Bagi Orang Yang Berpuasa

Allah menyediakan pintu khas (rayyan) di syurga bagi mereka yang melakukan ibadah puasa. Sebagaiman sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
“Bahawa sesungguhnya di syurga kelak ada sebuah pintu namanya ar-Rayyan, kelak pada hari kiamat orang yang berpuasa akan memasuki pintu itu di syurga, tidak seorang pun yang boleh mamasuki pintu itu melainkan hanya untuk orang-orang yang berpuasa semasa di dunia. Kelak diseru orang-orang yang berpuasa untuk memasuki pintu tersebut, apabila mereka telah memasuki pintu itu, maka pintu itu pun segera ditutup, tidak seorang pun dapat memasuki pinti itu, kecuali mereka yang berpuasa”.

7. Puasa Pemberi Syafaat di Akhirat

Hal ini ditegaskan oleh Rasulullah saw melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan sanad yang sahih dari Abd Allah ibn Amir, yang bernaksud:

“Puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada para hamba dihari akhirat (ketika berhadapan dengan Allah). Puasa berkata: “Wahai Tuhanku, aku telah menghalanginya memakan makanan dan memenuhi tuntutan syahwatnya pada waktu siang hari, maka perkenankanlah aku memberi syafaat untuknya (orang yang berpuasa)...”
Menurut riwayat tersebut selanjutnya, permohonan puasa untuk memberi syafaat kepada orang Islam yang melakukannya itu diperkenankan oleh Allah SWT.

8. Pintu Syruga Dibuka dan Pintu Neraka Ditutup

Apabila datangnya bulan Ramadhan yang mulia, kesemua pintu-pintu rahmat Allah bukakan, sebaliknya pintu neraka Allah tutup serapat-rapatnya. Dan pada bulan Ramadhan ini juga Allah merantai tangan-tangan syaitan. Sesuai dengan sabda Rasulullah saw:

اذا دخل شهر رمضان فتحت أبواب الرحمة وغلقت أبواب جهنم وسلسلت الشياطين

Maksudnya:
Apabila bulan Ramadhan telah tiba, maka terbukalah kesemua pintu rahmat dan ditutupnya pintu-pintu neraka, serta tangan-tangan syaitan dirantai.
(Riwayat Ahmad)

9. Perjumpaan Dengan Allah SWT

Orang-orang yang berpuasa akan memperolehi dua kegembiraan sebagaimana yang dijanjikan kepadanya. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
“Seseorang yang berpuasa akan merasakan dua kegembiraan. Sekali pada saat berbuka dan sekali lagi ketika berjumpa dengan Tuhannya kelak.

10. Melatih Diri Dengan Sifat Mahmudah

Dengan berpuasa dapat melati diri supaya bersabar dalam berhadapan dengan keinginan diri dan godaan luar sepanjang Ramadhan. Selain dari itu puasa juga dapat melahirkan rasa prihatin dan belas kasihan kepada fakir miskin lantaran menahan rasa lapar dan dahaga sepanjang hari. Ekoran dari itu zakat fitrah disyariatkan pada bulan ini untuk menguatkan perasaan tersebut.

CATATAN POPULAR