Qudwah Hasanah

Qudwah Hasanah bererti contoh teladan yang terbaik.

Rasulullah saw merupakan contoh teladan yang terbaik bagi sekalian umat manusia. Ia dapat dilihat pada sifat, sikap, fikiran dan tindakan, kehidupan, semangat, perjuangan dan kepimpinan baginda.

Kesemua sifat dan sikap Rasulullah saw adalah kesan daripada didikan al-Quran. Setiap perkara yang dilakukan dan ditinggalkan oleh baginda adalah pelaksanaan daripada setiap perintah al-Quran. Setiap nilai al-Quran terdapat dalam diri Rasulullah saw sehingga baginda dianggap sebagai al-Quran hidup.


Khamis, 30 September 2010

IMAM AL-GHAZALI

Imam al-Ghazali merupakan tokoh pemikir Islam yang terkenal di kalangan umat Islam dan juga bukan Islam. Kehebatan beliau telah memberi kesan yang mendalam di jiwa umat Islam dari segi pemikiran, budi pekerti dan pendidikan. Ilmunya sangat meluas dalam pelbagai bidang terutama bidang falsafah, akidah, fikah, ilmu kalam, tasawuf, pendidikan, politik dan lain-lain. Tidak ketinggalan juga Imam al-Ghazali merupakan seorang penulis Islam terkemuka kerana beliau banyak menghasilkan pelbagai bidang penulisan ilmiah.

Riwayat Hidup

Nama penuh Imam al-Ghazali ialah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazali al-Tusi al-Shafie. Nama asalnya ialah Muhammad sahaja. Beliau dikenali sebagai Abu Hamid kerana mempunyai anak lelaki yang bernama Hamid yang meninggal dunia semasa masih kecil. Beliau digelar al-Ghazali yang dinisbahkan kepada nama daerah kelahiran beliau iaitu Ghazal. Ada juga pendapat yang mengatakan beliau digelar al-Ghazali sempena gelaran bapanya yang bekerja sebagai pemintal bulu kambing.

Beliau dilahirkan pada tahun pada tahun 450 Hijrah bersamaan 1058 Masihi, di Kampung Ghazal yang terletak di pinggir kota kecil bernama Tus di wilayah Khurasan. Beliau berasal daripada keluarga miskin. Bapanya mempunyai cita-cita yang tinggi untuk melihat anaknya menjadi orang alim dan soleh. Keistimewaan al-Ghazali ialah dalam usia 34 tahun beliau telah dilantik sebagai reaktor Universiti Baghdad.

Selepas itu, Imam al-Ghazali mengembara mencari kebenaran dan kedamaian selama 12 tahun sehingga berjaya mendapat kepuasan dalam ilmu sufi. Beliau meninggal dunia pada pagi hari Isnin, 14 Jamadil Akhir tahun 505 Hijrah di Tus dan jenazahnya dikebumikan di tanah kelahirannya.

Imam-al-Ghazali telah mendapat gelaran sebagai ‘Hujjatul Islam’ dari umat Islam seluruh dunia selepas kewafatan beliau. Ini adalah hasil kajayaannya dalam pembelaan terhadap Islam daripada serangan anasir-anasir dalam dan luar negara kerana membahayakan umat Islam seluruhnya (Abdul Salam Yussof : 2003).

Pendidikan

Pada peringkat awalnya beliau mendapat pendidikan secara percuma kerana keluarganya miskin.. Beliau mempelajari sebahagian ilmu Fiqh dari Imam Ahmad al-Razikani di Tus, kemudian berpindah ke Jurjan untuk menuntut ilmu dengan Imam Abu Nasr al-Ismaili.

Setelah itu, al-Ghazali berpindah ke Naisabur dan mengambil peluang menuntut ilmu dengan tekun dari Imam al-Haramain Abu Ma’ali al-Juwaini (419-478H) sehingga mahir tentang mazhab al-Syafie, ilmu Khilaf, perubatan, usuluddin, usul fiqh dan mantiq. Al-Ghazali juga berjaya menguasai dua ilmu lain seperti ilmu hikmah dan falsafah (Salih Ahmad al-Syami : 2001)

Beliau juga telah megembara ke beberapa tempat seperti Mekah,Madinah, Mesir dan Jurussalem untuk mendalami ilmu falsafah. Sewaktu dalam pengembaraan, beliau telah menulis kitab ‘Ihya Ulumu ad-Din’ yang telah memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat dan pemikiran Islam dalam semua masalah (Ahmad Mohd Salleh : 2004).

Sumbangan Dalam Bidang Ilmu Pengetahuan

Imam al-Ghazali merupakan ahli fikir Islam yang telah meninggalkan jasa yang tidak ternilai melalui hasil-hasil karyanya. Beberapa hasil karya Imam al-Ghazali telah diterjemah ke dalam pelbagai bahasa Eropah untuk dijadikan rujukan kepada penuntut-prnuntut di pusat-pusat pengajian tinggi. Eropah telah memberi perhatian yang amat besar terhadap karya al-Ghazali dan menyimpan kekayaan kesusasteraannya yang bermutu tinggi itu.

Beberapa hasil karya Imam al-Ghazali yang paling terkenal ialah Ihya Ulum ad-Din yang merangkumi ilmu akidah, fikah, falsafah, akhlak dan tasawuf. Segala hasil tulisan beliau telah mempengaruhi ahli fikir Islam selepasnya seperti Jalaluddin ar-Rumi, Syeikh Asyraf, Ibnu Rusrd dan Syah Waliyyullah. Kebanyakan hasil karya Imam al-Ghazali berbentuk falsafah. Oleh itu, pengkaji-pengkaji Barat menganggap Imam al-Ghazali seorang ahli falsafah. Antara hasil karya beliau yang laian termasuklah Mizanul Amal, A-Munkaz Mina Dhalal, Tahaful al-Falsafah, Minhajul ‘Abidin, Hidayah as-Salikin, Jawahir al-Quran dan lain-lain lagi.

Antara lain sumbangan Imam al-Ghazali ialah:-
1. Sebagai Penasihat Agong Perdana Menteri Nizam al-Malik.
2. Menjadi tenaga pengajar kanan di Universiti Nizamiyah Baghdad dan Naisabur.
3. Mendokong fahaman al-Asya’irah ataulebih dikenali sebagai Mazhab Ahli Sunnahwal Jamaah.

Kaedah Pengajaran

Berhubung dengan masalah mencari ilmu pengetahuan,al-Ghazali menjelaskan semua ilmu yang dicari oleh manusia datangnya daripada Allah SWT. Tegasnya Allah SWT adalah guru yang utama, Jibril as adalah guru yang kedua dan guru yang ketiga adalah Nabi Muhammad saw. Semua manusia mendapat ilmu dari para nabi. Tidak seorang pun yang terkecuali daripada proses ini (Hamid Fahmy Zarkasyi : 1990).

Menurut al-Ghazali guru ialah seseorang yang menyampaikan sesuatu kepada orang lain atau kepada pelajarnya. Dalam definisi lain al-Ghazali menyatakan guru ialah seseorang yang menyampaikan sesuatu yang baik, positif, kreatif atau membina kepada seseorang yang berkemahuan tanpa mengira peringkat umur, dengan pelbagai cara dan kaedah tanpa mengharapkan ganjaran.

Dalam meyampaikan pengajarannya, banyak kaedah yang digunakan oleh Imam al-Ghazali. Antaranya :-

1. Kaedah Perbandingan
Kaedah ini digunakan dalam pengajaran, perbincangan untuk membuktikan kebenaran fikiran dan kepercayaan mereka kepada karya-karyanya. Dalam kitab Ihya Ulum Ad-Din, Imam al-Ghazali menerangkan perbezaan pendapat di kalangan cerdik pandai tentang kebaikan dan keburukan akhlak.

2. Kaedah Halaqah
Kaedah ini terus menerus digunakan oleh yayasan pendidikan dalam dunia Islam. Semenjak bermulanya dakwah Islamiah, para pelajar mengelilingi gurunya dalam separa bulatan untuk mendengar syarahannya. Imam al-Ghazali juga melaksanakan kaedah halaqah semasa menyampaikan ilmu kepada penuntut-penuntutnya di sekolahnya. Sekolah tersebut didirikan berhampiran dengan rumahnya untuk penuntut-penuntut ilmu dan juga sebagai persinggahan ahli sufi.

3. Kaedah Petunjuk / Bimbingan
Kaedah ini digunakan semasa menanamkan dasar-dasar agama kepada anak-anak. Imam al-Ghazali memulakan dengan meniru, iaitu menunjuk cara kepada anak-anak, diikuti dengan meyakini dan menguatkan dengan dalil-dalil, membaca ayat al-Quran dan menerangkan kandungan serta maknanya.

4. Kaedah Dialog dan Perbincangan
Kaedah ini melalui soal jawab untuk sampai kepada fakta yang tidak dapat diragukan, dikritik dan dibantah lagi. Imam al-Ghazali pernah menggunakan kaedah perbincangan dan dialog bagi mendalamkan lagi kefahaman seseorang terhadap ilmu pengetahuan. Kaedah ini dapat mengasah otak dan memperkuatkan pendapat di samping kepercayaan kepada diri sendiri dan berkemampuan berbicara tanpa teks.

Kesimpulannya, Imam al-Ghazali adalah seorang yang gigih dalam menuntut ilmu dan menyebarkan ilmu pengetahuan. Kita sepatutnya mencontohi beliau dalam kedua bidang tersebut. Beliau telah memberi sumbangan yang besar dalam tamaddun ilmu. Karya-karyanya menjadi rujukan sehingga ke hari ini. Seharusnya kita semua ingat bahawa kaedah-kaedah pengajaran yang diamalkan di seluruh dunia kini adalah berpunca daripada al-Quran dan sunnah.

Rabu, 29 September 2010

APA ADA PADA MIMPI?

Tiga tahun yang lalu, beberapa kali aku bermimpi. Tidaklah tiap-tiap malam tapi kerap kali aku bermimpi perkara yang sama. Anggapanku mimpi itu hanya mainan tidur. Setiap kali bila aku teringat mimpi tersebut aku sibukkan diri dengan kerja-kerja rutinku. Aku abaikan saja mimpi tu. Aku takut sebenarnya. Tak pernah aku ceritakan pada sesiapa pun.

Dalam mimpi tu aku dipinang seseorang yang sangat aku kenali. Dah lama aku kenal dia. Yang lebih mnghairankan aku, mak beriya-iya benar menyuruh aku terima pinangan tersebut. Berkali-kali mak pujuk aku. Aku tetap aku. Dengan tegas aku tolak pinangannya, bukan kerana aku tak suka 'DIA', bukan sebab aku dendam padanya, tapi jawapanku kerana aku sudah bersuami. Aku dah kahwin pun. Takkan mak tak tau anak perempuannya dah berkahwin? Dah lama dah mak. Dah berbelas tahun. Kenapa mak bersungguh-sungguh minta aku terima pinangan tersebut? Pelik tapi benar...kenapa ya???

Lama kelamaan aku lupa pada mimpi itu. Ia tidak lagi menghantui fikiranku. Aku berjaya melupakannya. Alhamdulillah aku bersyukur pada Allah Yang Maha Berkuasa kerana telah memakbulkan doaku untuk melupakan mimpi misteri itu. Aku tak ingat langsung pun pasal mimpi itu. Sehinggalah.....

Rabu, 1 September 2010

PENDIDIKAN DALAM IBADAT PUASA

Puasa adalah rukun Islam yang ketiga, selepas mengucap dua kalimah syahadah dan solat lima waktu sehari semalam. Dalil difardhukan puasa ke atas orang mukmin ialah melalui firman Allah S.W.T. dalam Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:
"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa"

Pengertian Puasa

Puasa dari segi bahasa ialah menegah, menahan daripada sesuatu. Manakala pengertian puasa menurut istilah syara’ pula ialah menahan diri pada siang hari daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa dengan niat mulai naik fajar hingga jatuh matahari (Wahbah Az-Zuhaili, Fiqh & Perundangan Islam Jilid 2:1994).

Pengertian seterusnya, ”Puasa ialah menahan diri daripada makan, minum dan bersetubuh mulai dari terbit fajar sehingga terbenam matahari kerana Allah Taala. Begitu juga hendaklah menahan diri daripada perkataaan yang diharamkan dan dimakruhkan menurut syarat-syarat yang telah ditentukan” (Ustaz Sulaiman Endut, Asas-asas Fardhu Ain : 1994).

Jelaslah kepada kita bahawa puasa ialah menahan diri daripada makan dan minum, serta melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa bermula daripada terbitnya fajar sidiq hinggalah terbenamnya matahari. Iaitu bermulanya daripada masuk waktu Subuh dan berakhir apabila masuknya waktu Mahgrib.

Pendidikan Daripada Ibadat Puasa

Puasa mempunyai terlalu banyak hikmah, pendidikan dan rahsia di sebalik kefardhuannya ke atas peribadi (rohani dan jasmani) umat Islam dan juga dari segi pendidikan kemasyarakatan.

1. Puasa dan Pendidikan Peribadi Muslim

Puasa merupakan latihan terbesar untuk mendidik budi pekerti setiap muslim dan mukmin melalui latihan untuk memiliki sifat-sifat terpuji. Dengan berpuasa dapat melatih setiap orang muslim memiliki sifat sabar dalam menghadapi perkara-perkara yang tidak boleh dicapai. Contohnya seperti di dalam keadaan berpuasa seseorang itu tidak dapat mencium bau yang sedap, sekadar melihat minuman yang lazat dan enak terhidang di hadapannya tetapi tidak dapat menikmatinya.

Puasa juga boleh menguatkan peribadi, dan membersihkan jiwa setiap insan. Puasa melatih rohani orang-orang muslim dan mukmin menahan nafsu, dan mencegah daripada moral yang tidak baik. Bagi seseorang yang benar-benar berpuasa, mereka menutup mulut mereka daripada mengumpat, mencaci dan mencela muslim yang lain, tidak bercakap kotor, tidak mengikut keinginan hawa nafsu. Inilah cara yang paling berkesan untuk membentuk peribadi yang mulia.

Demikian juga, ibadat puasa dikatakan sebagai jihad hawa nafsu. Ini kerana puasa boleh melemahkan tekanan nafsu yang keras, kerana orang yang kenyang akan bertambah keras syahwatnya. Melalui ibadat puasa dapat menurunkan tekanan nafsu dan menyelamatkan nafsu daripada segala yang bersangkutan dengan dunia. Oleh itu Rasulullah s.a.w. memberi bimbingan terhadap golongan muda yang kuat hawa nafsunya supaya berkahwin. Jika mereka tidak mempunyai perbelanjaan yang cukup hendaklah mereka berpuasa, kerana puasa boleh mengurangkan nafsu syahwat. Ini bersandarkan hadith Nabi s.a.w. :

يا معشر الشباب : من استطاع منكم الباءة, فليتزوج, فانه أعض للبصر وأحصن للفرج, ومن لم يستطع فعليه بالصوم فانه له وجاء.
Maksudnya:
Barang siapa di antara kamu yang mampu mencari mas kahwin, maka dia hendaklah berkahwin, kerana perlahwinan itu dapat menutup mata dengan berkesan, dan dapat memelihara faraj dengan berkesan. Dan sebaliknya barang siapa yang tidak mampu, dia hendaklah berpuasa, sesungguhnya puasa itu baginya adalah ubat.
Ibadah puasa juga dapat melatih setiap muslim supaya berdisiplin dan berperaturan, kerana puasa memaksa mereka supaya makan dan minum dalam masa yang ditetapkan. Sebab itulah dari segi kesihatan puasa itu sangat berfaedah. Perut manusia boleh diibaratkan sebagai enjin motokar. Jika enjin itu sentiasa berjalan tentulah cepat rosak, begitu jugalah dengan perut dan alat-alat pencernaan di dalam badan manusia yang perlukan kerehatan. Dalam setahun enjin bekerja, sbulan ia diberi kerehatan untuk membersih dan membetulkan perjalanan alat-alat pencernaan. Jika tidak diberi kerehatan tersebut pemilik enjin itu akan cepat didekati pelbagai penyakit seperti penyakit jantung, buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi yang memang berkait rapat dengan cara pemakanan seharian. Dalilnya sabda Nabi s.a.w.”
صوموا تصحوا
Maksudnya:
Hendaklah kamu berpuasa, kamu akan menjadi sihat.

Selain daripada memberi kerehatan kepada sistem penghadaman, dengan berpuasa juga memberi kesan yang mujarab untuk mengurangkan berat badan atau kegemukan. Ini kerana apabila banyak makan tentunya berat badan makin bertambah. Semakin bertambah berat badan, semakin banyak nisbah lemak yang terhimpun. Berat badan yang tidak ideal atau kegemukan yang melebihi bentuk tubuh akan membawa penyakit seperti yang disebutkan di atas.

2. Puasa Dan Pendidikan Masyarakat

Ada pun hikmah dan pendidikan ibadat puasa dari segi kemasyarakatan pula ialah melahirkan belas kasihan terhadap golongan miskin. Ini kerana apabila seseorang itu berpuasa dapat merasai kelaparan untuk beberapa ketika, dengan itu mereka akan mengingati kelaparan orang-orang miskin.

Ibadat puasa juga dapat menyebarkan perasaan kasih sayang dan persaudaraan dalam jiwa manusia. Juga melahirkan semangat bekerjasama di antara sesama Islam. Pertalian silaturrahimdan kerjasama dalam menghapuskan ancaman kelaparan. Keadaan ini akan meneguhkan ikatan sosial antara sesama mereka, serta menganjurkan semangat kerjasama dalam mengubati penyakit yang timbul dalam masyarakat.

CATATAN POPULAR