Qudwah Hasanah

Qudwah Hasanah bererti contoh teladan yang terbaik.

Rasulullah saw merupakan contoh teladan yang terbaik bagi sekalian umat manusia. Ia dapat dilihat pada sifat, sikap, fikiran dan tindakan, kehidupan, semangat, perjuangan dan kepimpinan baginda.

Kesemua sifat dan sikap Rasulullah saw adalah kesan daripada didikan al-Quran. Setiap perkara yang dilakukan dan ditinggalkan oleh baginda adalah pelaksanaan daripada setiap perintah al-Quran. Setiap nilai al-Quran terdapat dalam diri Rasulullah saw sehingga baginda dianggap sebagai al-Quran hidup.


Memaparkan catatan dengan label Bicara Hati. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bicara Hati. Papar semua catatan

Sabtu, 26 Oktober 2013

TERATAK IDAMAN

Pagi yang mendung. Sesekali hujan renyai membasahi bumi. Suram. Kelam. Bukan sekadar kelam di luar tapi di hati ku jua. Alam ini seolah dapat merasakan perasaanku. Kejab mendung kejab renyai sesekali hujan lebat. Tidak ada langsung cerah sinar mentari. Begitulah kelamnya hatiku. Ada ketikanya hatiku tenang. Tersenyum gembira. Ada waktunya pula jiwaku mendung. Bibir payah mengukir senyuman. Banyak perkara berlegar di fikiran. Ada masanya pula air jernih mengalir deras. Kuyup di pipi. Entah mengapa...

Namun...ada satu perkara yang boleh mengembalikan sinar cahaya di hati. Khayal, berangan-angan, berimaginasi keindahan kampung halaman. Indah. Tenang. Nyaman. Alangkah bahagianya jika rumah pusaka masih ada. Alangkah baiknya jika aku ada rumah di kampung halaman. Alangkah senangnya kalau aku ada rumah seperti ini. Ya Allah...izinkan aku memilikinya...


Tiba-tiba aku tersenyum sendiri. Alangkah antiknya rumah idamanku. Menunjukkan betapa antiknya jiwaku. Tak seperti insan lain yang mahukan banglo mewah tersergam. Sebaliknya aku inginkan rumah sebegini. Indahnya. Belakang dan depannya ada sungai yang mengalir. Ahhhh... Tak terucap dengan kata-kata. 

Isnin, 28 Januari 2013

28 JANUARI 2013


28 Januari datang lagi. Alhamdulillah...aku masih diberi peluang untuk menyambut hadirnya tarikh yang penuh bermakna ini. Bermakna dalam kamus hidupku.  Tanggal tarikh itu, tahun 1972, Jumaat tengah hari, mak selamat melahirkan aku ke dunia ini. Sebab tu degil, lahir tengah hari. Matahari tegak atas kepala. Begitulah cerita mak. Kata mak lagi, waktu tu orang sedang menunaikan solat Jumaat di masjid. Terima kasih mak, terima kasih ayah.

Selamat hari lahir. Bertambahnya umur bertambahlah kematangan dalam berfikir. Bertambah kematangan akan bertambah jua kesabaran dalam diri. Doa dan harapan ku tahun ini semoga Allah memberi kesihatan tubuh badan. Kesihatan mental dan fizikal. Bertambahnya rezeki yang berkat. Jadikan aku hamba Nya yang sentiasa bersyukur. Juga semoga Allah mempermudahkan segala urusan. Duniaku juga akhiratku. Amin Ya Rabb...

Izinkan hamba Mu ini bahagia di dunia dan juga di akhirat...Amin

Rabu, 2 Januari 2013

CERITA SI TUKANG KEBUN


Bersandar di pintu. Fikiran melayang entah ke mana. Tiba-tiba aku teringat satu kisah. Tersenyum sendiri. Lucu ada. Kelakar tak kurang juga. Sedar dari lamunan aku beredar dari situ. Bimbang orang nampak aku tersengih sendirian. Apa pulak kata mereka. 

Lanskap cantik tukang kebun rajin
Cerita ni dah lama. Aku ni kan selalu tukar tempat kerja. Sekejab di Kajang. Sekejab di Puchong. Kemudian tu pulak...Hihihi... Jadi selalulah jumpa orang baru di sekitar tempat kerja. Suatu ketika, sedang aku leka mengadap komputer, datang seorang lelaki menjenguk ke tempat duduk aku. Dia menyapa: "ooo...orang baru". Baru aku sedar ada orang rupanya. Aku bangun dari tempat duduk menuju ke arahnya. Tanda hormat. "Saya baru kat sini. Baru seminggu". Lepas tu adalah beberapa ayat lagi merancakkan perbualan kami. Asyik dia yang tanya dan aku jawab. Aku macam biasa tak pandai bertanya bila berdepan dengan orang yang aku tak kenal atau pun baru kenal. Bila tiba soalan yang agak peribadi bagi aku, mulalah aku nak 'potong' perbualan. Aku malas nak jawab hal-hal peribadi aku. Malas nak berbohong sebenarnya. 

Akhirnya aku memberanikan diri mengajukan soalan. Nak lari dari terus disoal dan terpaksa menjawab. Aku tanya dia "cikgu sini ke?" Pendek je kan? Nak tau apa jawapannya? "Eh...tak, saya tukang kebun je sini". Aku cuma senyum. Hormat jawapan dia. "ooo...". Itu saja yang keluar dari mulut ku. Tapi dalam hati kecil aku berkata-kata " wow...kemasnya cara dia berpakaian". Dia pun tak selesa agaknya dengan soalan aku dan terus berlalu. Sambil tu sempat lagi bersuara. Katanya "takper la, saja je jengok tengok orang baru". "Terima kasih" ...jawab aku kembali. Dan dia terus berlalu pergi. Aku?... aku kembali ke tempat duduk ku dan meneruskan kerja tadi. Hari silih berganti. Tiap kali terserempak dengannya aku senyum tanda hormat. Bertegur sapa tidak lagi. Aku memang tak pandai menegur. Aku cuma pandai mengukirkan senyuman. Senyum tu kan sedekah!

Suatu hari, aku ke kedai. Dekat dengan rumahku. Memang cara aku ni tak berapa bagus. Agaknyalah. Aku tak berapa tengok orang sekeliling. Jalan menonong je. Tak fokus keadaan keliling. Jalan terus tempat yang dituju. Masa aku keluar dari kedai dobi, dengan baju yang banyak. Laju je menuju ke kereta. Tapi hati aku terasa ada orang asyik memandang ke arah ku. Aku cuba dongakkan muka. Memang betullah. "Tukang kebun yang aku kenal baru ni", bisik hati kecilku. Dia dalam kereta. Sedang menunggu seseorang agaknya. Aku sedekahkan lagi senyumanku. Aku buka pintu kereta. Letak barang dalam kereta. Barulah ada peluang untuk aku angkat tangan. Dia balas senyum dan angkat tangan kembali. Habis di situ. Dalam perjalanan balik, aku berfikir sendirian. "Hebat orang-orang sini. Tukang kebun pun ada kereta Honda. Aku cikgu pakai Wira buruk je". Ahhh...Rezeki masing-masing. Noktah.

Hari berganti minggu. Minggu berganti bulan. Penggal baru persekolahan bermula. Semua cikgu bersemangat waja. Berpakaian kemas. Tak kira lelaki atau perempuan. Maklumlah, awal tahun biasanya nazir atau pelawat dari jabatan akan turun melawat sekolah. Sedang aku berdiri di pintu, lalu seorang cikgu lelaki. Kemas. Segak. Berbaju kemeja lengan panjang. Bertali leher. Sekali pandang macam aku pernah tengok orang ni. Aku pandang sekali lagi. Tersentak. "Uiiik...orang ni tipu aku". Bisik hati aku. Takper... Masa aku mula-mula datang sini dah penghujung tahun. Tak lama tempoh persekolahannya. Cuti. Tak sempat kenal ramai cikgunya. Senang la ditipu. Bila jumpa rakan-rakan yang lain, aku beranikan diri untuk bercerita. Aku ceritakan dari mula cikgu tu datang, jumpa di kedai dan cerita hari ni. Rupanya si tukang kebun tu cikgu sekolah. Gelak rakan-rakan lain. Aku telah dipermainkan rupanya. Lurus bendul lagi. Hey...aku bukan bendul, tapi aku percaya dan aku yakin orang lain ikhlas macam aku jugak.

Aku mencari-cari peluang dan kesempatan untuk kenakan tukang kebun ni. Suatu masa dia laju berjalan. Seorang rakan bisikkan aku, "tukang kebun tu". Apa lagi. Si bendul ni bersuara: "wah...hebat sekolah ni ya, tukang kebun pun pakai tali leher?" Tukang kebun tu macam terpinga-pinga. Mungkin terkejut dengan soalan aku. Atau mungkin dia dah lupa apa yang dia cakap padaku dulu. Tapi sempat juga dia jawab: "PK Ko memang kena pakai tali leher"... Kami sama-sama gelak. Sekali lagi. Dalam hati kecil aku betul ke dia PK Kokurikulum? Alamak. Kena tanya orang teruslah...

Hari ni aku teringat balik cerita si tukang kebun tu, mungkin sebab hari ni hari pertama persekolahan 2013. Macam hari pertama aku ditipu dulu...

Isnin, 31 Disember 2012

PAHIT MANIS 2012

365 hari dalam tahun 2012 telah dilalui dengan pelbagai suka duka. Telan yang pahit sebagai ubat. Yang manisnya sebagai penawar. Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana masih diberi peluang mengharungi suka duka kehidupan di alam yang fana ini. Juga dapat merasai pahit manisnya sepanjang 2012. 

Sepanjang tahun 2012, banyak perkara yang telah berlaku. Alhamdulillah, jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya, tahun ni banyak yang manis daripada yang pahit. Tahun 2011 Allah telah memberi peluang untukku menelan ubat begitu banyak. Pahitnya ubat itu ku telan jua. Jadi, tahun ini Allah berikan pula penawarnya yang manis. Syukur Ya Allah. Pengalaman setahun yang ku kutip ini telah banyak mengajar ku erti sebuah kesabaran dan kesyukuran. Bersabar dalam menempuh ujian dari-Nya. Dan bersyukur di atas segala nikmat pemberian-Nya. Terkadang Allah memberi nikmat-Nya berupa dugaan meski pun berat terasa. Dan...terkadang juga Allah menguji sebahagian orang dengan memberikan nikmat-Nya. 

Harapan ku, semoga tahun baru 2013 yang bakal menjelma akan terus terasa kemanisan hari ini. Kemanisan yang berkekalan. Semanis madu. Lebih manis lagi mudah-mudahan. Harapan yang tinggi menggunung. Selamat menyambut tahun baru...berbekalkan semangat baru, azam baru, hasrat dan harapan yang baru. Insha Allah beroleh keberkatan dan keredhaan dari-Nya. Dengan izin-Nya jua akan mengecapi kebahagiaan yang berpanjangan. Amin Ya Rabb al-'Alamin..

MASA LALU ADALAH KENANGAN
MASA KINI IALAH KENYATAAN
MASA DEPAN ITULAH HARAPAN 


Ahad, 23 Disember 2012

YA ALLAH...SABARKAN AKU...


Duduknya aku di sini, aku telah belajar sesuatu. Pembelajaran melalui pengamatan dan pengalaman. Tanpa guru. Tak perlu guru. Hanya duduk dan lihat, dan pandang, dan rasai, dan lalui, dan tempuhinya dengan penuh kesabaran dan ketenangan. Kalau sakit urutkan dada. Andainya perit pujuklah hati. Supaya hati dapat bersabar dengan segala gurauan dan teguran serta tohmahan. Kerenah manusia. Hihi...Itulah agaknya hikmah Allah swt menempatkan aku di sini. Dan...mungkin banyak lagi yang akan aku pelajari. Mungkin ini semua bermula dari kesilapan diri sendiri.

Ya Allah...terima kasih kerana banyak memberiku pengalaman hidup yang cukup bermakna. Yang tidak mudah untuk dikutip oleh insan lain. Hanya insan-insan yang terpilih. Kata orang "berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul". Memang benar. Orang yang hanya memandang tidak merasa betapa beratnya bebanan yang dipikul. Dalam erti kata lain, orang yang tidak berada di tempat yang susah tidak mudah untuk merasa kesusahan dan kepahitannya. Mereka cuma sekadar boleh melihat tapi tidak merasa kepahitan sebenarnya. Alhamdulillah...diri yang hina ini terpilih untuk merasa apa yang dikatakan pahit dan manis kehidupan.

Dalam keadaan-keadaan sebegini, kita dapat mengenal hati budi manusia. Kata orang juga, ahhh...cukuplah...

Ya Allah...Sabarkan aku, dalam mengharungi segala ujian Mu. Kerana aku tahu Kau menguji keimananku. Kau menguji keyakinanku terhadap Mu. Kau ingin aku sentiasa hampir dengan Mu...

Isnin, 10 Disember 2012

SIAPALAH AKU...


Bismillahirrahmanirrahim...Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Ku mulakan dengan menyebut nama Allah semoga Dia sentiasa bersamaku. Agar aku tidak keseorangan. Hari ini hari yang...ahhh... memilukan. Sedih pilu di dalam hatiku... Sayu rindu mengenangkan... Usahlah dikenang nanti merana badan. Pujuk hati kecilku. Pujuklah diri sendiri. Nak harapkan siapa lagi untuk pujuk diri kita? Hanya diri kita yang tahu bila masa kita bersedih, bila masanya kita gembira, bila pula ketikanya kita berkecil hati.

Pulau Beluru...aku rindu...
Aku ibarat bunga di hutan. Terpinggir. Atau meminggirkan diri? Dalam keadaan macam ni, aku teringat semula kata-kata GB, 'awak kat sana orang tak kenal awak, awak bermula dari zero. Kita orang kat sini semua dah kenal awak'. Masa tu aku senyum mendengar kata-katanya. Degilkan aku? Maafkan saya cikgu sebab tak dengar cakap cikgu. Bebelan cikgu adalah nasihat termahal untuk saya. Memang benar kata cikgu, orang tak kenal saya. Dan susah juga untuk memperkenalkan diri kita pada orang yang kita tak kenal. Mereka tak pernah mahu 'mengenal' siapa kita. Tapi mereka sentiasa 'mencari-cari' siapa kita. Mungkin salah diri sendiri sebab tak nak perkenalkan diri.

Tapi cikgu, di sinilah kehidupan saya. Pahit dan manisnya harus saya telan. Semoga yang manis akan terus kekal kemanisannya. Dan yang pahit akan terasa manis juga di penghujungnya. Insha Allah. Semoga segala doa dan permintaan  di makbulkan Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Terima kasih cikgu...

Ahad, 9 Disember 2012

JAUH PERJALANAN LUAS PANDANGAN

Kata orang jauh perjalanan luas pandangan, banyak la pengalaman. Memang betul pun. Banyak tempat kita pergi, macam-macam jenis orang kita jumpa.Banyak bahasa yang dapat kita pelajari. Pelbagai budaya yang dapat kita lihat. Sepanjang hidup ku, 20 tahun membesar dan belajar hingga peringkat menengah atas di Negeri Cik Siti Wan Kembang. Dan 20 tahun kemudiannya pula aku belajar, bekerja dan menetap di merata negeri. Antaranya Selangor, Johor dan Pahang. Sudahnya kembali semula ke Selangor Darul Ehsan. Negeri yang penuh keehsanan terhadap rakyat dan penduduknya.

Bermulanya hijrah ku ke Selangor selepas tamat pengajian menengah atas. Aku dan emak berpindah tinggal bersama kakak di Selayang. Jadi penganggur kehormat. Akhirnya aku dapat tawaran jadi guru ganti di SKST. Alhamdulillah. Sayangnya aku cuma sempat mengajar seminggu saja. Gaji pun tak sempat terima. Permohonan aku untuk masuk maktab berjaya. MPI!!! Aku seronok sebab aku boleh berulang tiap-tiap minggu. Dalam masa belajar di MPI aku bertunang dan berkahwin. Aku berpindah pula ke Johor Darul Takzim. Sempat la juga aku berkenalan dengan orang Johor. Dapat juga aku menjelajah sekitar negeri Johor. Dengan motosikal Kawasaki. Kalau kata Pasir Gudang, ooo...tempat tinggal aku dulu hampir setahun. Bila sebut Masai, emm...biasa sangat. Skudai, Larkin, JB, Pantai Lido dan macam-macam tempat lagi. Termasuklah Singapura.

Selepas mengutip pengalaman di Johor, aku berpindah pula ke Pahang Darul Makmur. Negeri yang penuh dengan kemakmuran. Aku menetap di Pekan, dekat dengan istana Sultan Pahang. Lima tahun tinggal dan menetap di sana. Dua tempat tinggal dan dua buah sekolah sempat berkhidmat di sana. Mula-mula rumah sewa di Pekan dan mengajar di SKST. Sekolah ni sebelah pagar istana tuanku Sultan Pahang. Lepas rumah baru siap, aku berpindah pule ke SKTP. Sempat la juga aku belajar cakap loghat Pekan. Yang paling aku tak lupa, bila anak sulung ku demam dan dia minta nak makan 'ubek'. Masa tu dia baru setahun lebih. Aku juga berpeluang mengenal makanan-makanan tersohor di Pahang terutamanya di Pekan sendiri. Mula-mula makan laksa Pahang tak lalu. Tapi lima tahun tinggal sana dah jadi makanan kegemaran pula. Masa mengidam sanggup pergi ke Pekan cari laksa pahang. Dan yang paling utama, aku banyak belajar buat puding masa berada di sana, terutama puding raja dan puding buih. Terima kasih cikgu-cikgu di SKST, terutama guru besarnya Puan Asiah pakar masak memasak. Banyak pengalaman yang aku kutip di Pahang. Terima kasih Pahang...

Tahun 2001, aku berpindah pula ke Selangor. Tinggal menetap di BTK. Mengajar di SKS. Suami bekerja di Kajang. Bermulalah era menempuh kesesakan lalu lintas yang amat dahsyat. Kalau tak turun dari rumah sebelum jam 7 pagi jangan harap nak punch dakwat hitam. Mesti merah punya. Walau seminit. Selepas dua tahun suami berpindah tempat kerja ke Puchong. aku turut pindah ke SKPU(2). Menyewa di PP. Sama juga sesak jalan ke sekolah. Tapi apakan daya. Rempuh juga demi tugas pada anak bangsa. Itulah sekolah yang paling dekat dengan rumah. Memang dekat je pun tapi jem gila-gila. Berkenalan pula dengan orang baru. Jiran-jiran baru. Rakan-rakan seperjuangan yang baru. Ramai sungguh kenalan ku. Alhamdulillah, mereka semua baik-baik. Sampai sekarang pun. Bila jalan banyak jalan baru dibuka, kesesakan lalu lintas dah berkurang, rumah aku di Kajang pun siap. Aku berpindah balik semula ke kajang. Tak sempat merasa kemudahan frasarana baru di PP. Aku masuk balik di SKS. Senang, sebab dah kenal semua mereka tu. Cikgunya, orang pejabatnya, termasuklah pekerjanya. Guru besar je baru.

Jun 2006, aku pindah sekali lagi dari SKS. Bukan apa, setelah dapat tahu ada kekosongan di SKBTK. Aku tak larat lagi nak menempuh kesesakan jalan. Pergi balik sekolah. Kemudian petangnya pergi lagi untuk ambil anak sekolah agama. Penat sangat. Aku pindah ke SKBTK. Inilah sekolah yang paling lama aku mengajar mulai Jun 2006 lagi. Aku selesa di sini. Dekat dengan rumah. Tak perlu lalu jalan besar yang sesak tu. Kawan-kawan pun baik-baik dan memahami. Pentadbirnya juga prihatin. Staf pejabatnya baik dan ramah. Mudah saja bila minta tolong apa-apa. Terima kasih semua warga SKBTK. 

Sebenarnya kan...apa yang aku nak ceritakan, sepanjang hidup aku berkerjaya aku tak pernah tinggal di negeri sendiri. Kata orang, negeri Cik Siti ni bagus. Penduduknya baik, peramah, berilmu agama dan macam-macam lagi. Tapi dua tiga negeri yang pernah aku tinggal menetap tu tak kurang baiknya. Malah kalau di Kajang, penduduk setempatnnya amat baik dan sangat mengambil berat tentang permasalahan penduduk setempat. Kalau musim perayaan mereka begitu mengambil berat tentang anak-anak yatim, golongan miskin serta ibu-ibu tunggal. Sumbangan tak pernah mereka lupa. Kutipan derma sepanjang Ramadhan dibuat untuk membantu dan memberi sedikit rasa kegembiraan golongan tersebut di hari raya. Dan, tak pernah aku dengar mereka menghina atau mengata golongan itu. Itu pengalaman yang aku kutip sepanjang di sana. Sayangnya, ahhh...susah untuk aku nyatakan di sini. Kata orang 'ditelan mati emak diluah mati bapak'. Kata orang juga 'indah khabar dari rupa'. Itu saja yang mampu aku nyatakan di sini. Pengalaman dan perjalanan hidup mengajar aku segala-galanya. Lebih baik kita banyak merantau mengutip ilmu dan pengalaman daripada kita terperuk macam katak bawah tempurung...

Maaf andai ada yang terasa sama ada sengaja atau tidak sengaja. Dalam segala hal, tindakan dan perbuatan atau percakapan, fikirlah terlebih dahulu. Letakkan diri kita di tempat mereka. Fikirkan sejenak...kalau aku di tempat dia. Dan harus diingat bumi ini bulat umpama roda. Sesekali kita di atas dan sesekali berada di bawah. Hari ini hari dia mungkin esok lusa giliran kita. WALLAHU A'LAM...fikir-fikirkan...


Jumaat, 16 November 2012

JUMAAT DI PANTAI IRAMA

Alhamdulillh...pagi Jumaat minggu ni aku berpeluang membawa anak-anak menziarahi pusara ayahanda di kampung. Dah lama kami tak ke sana. Raya puasa dulu lagi. Raya haji tak berpeluang. Cuti-cuti macam ni la masanya yang sesuai.

Selesai baca surah Yasin, kami beransur ke pantai. Nak makan katanya. Aku park kereta dekat dengan masjid. Supaya lepas makan mereka boleh terus pergi solat Jumaat. Mereka pun dah berbaju melayu. Selesai je makan, terdengar dari corong pembesar suara masjid suara ustaz bagi ceramah. Aku terus halau mereka ke sana. Kalau dah ke pantai nanti kotor pulak baju.

Tinggallah aku dengan adik yang bongsu. Tengok kanak-kanak lain main layang-layang tak sampai hati pulak dia tengok saja. Aku belikan satu untuknya. Leka dia main sorang diri. Seronok nampaknya. Sambil-sambil aku menyelia si Fayyadh main layang-layang, sempat juga aku perhatikan orang sekeliling. Ada sekumpulan anak gadis sedang seronok dan leka bermain air. Di hujung sana ada seorang lelaki pertengahan usia asyik memerhatikan mereka. Ayah mereka agaknya. Bila azan berkumandang, si ayah bangun berjalan menuju ke masjid. Naiklah seorang perempuan. Ooo...emaknya. Bisik hati kecil aku. Maklumlah, dari jauh nampak semua sama. Bila dekat baru nampak raut wajah. Tahulah aku si ibu naik untuk menggantikan tempat si ayah. Bisik hati kecilku lagi; 'ooo...patut la aku tak dikurniakan anak perempuan'.

Dah faham satu cerita. Pandangan ku beralih pula ke arah lain. Ada dua tiga orang lelaki bersama anak-anak mereka. Lebih kurang sebaya Fayyadh budak tu. Yang peliknya pulak emaknya tak ada. Si bapak yang menjaganya waktu-waktu macam ni pulak tu. Hati kecilku berbisik: ' yang ni mungkin si ibu yang pergi solat Jumaat dan si ayah yang menjaga anak'. Sebab khatib kat masjid sedang membaca khutbah Jumaat. Kalau pun dia bapa tunggal takkan dia tak ke masjid untuk solat Jumaat. Emmm...entahlah... Macam-macam gelagat manusia yang aku tengok hari ini. Mudah-mudahan aku dapat ambil iktibar dan pengajaran daripadanya.

Sedang aku leka berbisik sendirian, tak aku sedar layang-layang si Fayyadh tersangkut di dahan pokok yang tinggi. Aku cuba tarik. Tapi layang-layang tu tak dapat diselamatkan lagi... Kesian Fayyadh. Selepas selesai menunaikan solat Jumaat, si abang datang ke tempat kami. Berusaha keraslah mereka berempat untuk turunkan layang-layang yang tersangkut tu. Sayangnya tak berhasil. Layang-layang terputus talinya...


Ahad, 11 November 2012

MASA DAN WAKTU

Ada ketikanya masa begitu cepat berlalu. Baru je aku pandang jam di dinding menunjukkan jan 2.00 petang. Pandang sekali lagi jarum dah pun menunjukkan 2.30 petang. Ya Allah...dah setengah jam berlalu. Aku belum buat itu, aku belum buat ini. Aku janji jam 3.00 petang.

Tepat jam 3.00 petang. Itu ini begitu begini sedar tak sedar jam dah pun menunjukkan 6.00 petang. Begitulah cepatnya masa berlalu pergi. Beratnya hati nak terima hakikat waktu itu. Kalau boleh nak sangat jam berhenti untuk seketika waktu. Duhai masa...mengapa kau begitu segera berlalu?  Duhai waktu...mengapa begitu mencemburui ku? Tapi apakan daya. Hati perlu akur dengan pergerakan masa.

Tapi berlainan pula aku rasa hari ini. Terasa lambatnya masa berjalan. Jam, minit dan saat seolah tidak bergerak. Mengapa begitu duhai masa? Tiada siapa yang boleh menjawabnya. Hanya aku yang tahu. Cuma aku yang punyai jawapan bagi soalan itu. Tapi biarlah jawapan itu ku simpan. Kemas di lubuk hati ku.

Cepat-cepat la bergerak duhai masa. Aku dah bosan melihat jam. Berkali-kali aku menoleh ke arah mu. Jarum mu solah berada di tempat yang sama. Tak bergerak. Kaku. Fahamilah aku duhai masa dan waktu...

Ahad, 28 Oktober 2012

AL-KISAH MALAM IDUL ADHA


Tiap kali raya aku mesti balik ambil anak di asrama. Cuti tujuh hari tu habis untuk perjalanan ambil anak.  Tahun ni pun sama. Cuma yang tak samanya aku balik malam raya. Selepas solat Maghrib Isyak (jamak taqdim) kedengaran alunan takbir raya. Tuhan saja yang tahu sayunya hati waktu tu. Teringat anak-anak yang masih berada di sana. Teringat semua insan yang disayangi. Takpa...pujuk hati. Esok sempat lagi kita beraya bersama. Sebab subuh-subuh hari besok kami sampai la di rumah.

Rupanya tidak. Lebih kurang jam 8.30 malam aku terima SMS dari syarikat bas. Aku baca dan aku faham. Bas yang kami tunggu belum sampai dari KL sebab jalan terlalu sesak. Mana taknya, raya hari Jumaat. Ramai la orang KL balik beraya di kampung sebab bersambung hari Sabtu dan Ahad. Bas kami dijangka tiba jam 12.30 malam nanti. Ya Allah...Lamanya lagi aku kena tunggu. Belum tentu tepat jangkaan tu. Beraya atas bas la kami tiga beranak. Siannya. Hati rasa bertambah sayu. Sedih ditinggalkan di stesen bas. Sedih pulak terpaksa beraya atas bas. Hati ku dah berbelah bagi nak teruskan rancangan balik KL atau nak beraya aje di KB. Serba salah. Anak-anak aku dah nak balik ke bilik semula. Tak nak balik KL dah. Boring katanya. Aku pun.  Tapi kesian pulak dengan tiga orang kat KL beraya tanpa aku. Ya Allah...Tuhan saja yang tahu perasaan aku masa tu. Nak menitis air mata. Sayu, sedih, geram, semua ada.

Tengok la mereka berdua. Tertidur. Mana taknya, jam 10 /11 malam memang waktu tidur. Lebih-lebih lagi penat boring duduk melanguk kat situ. Kalau di rumah ada jugak TV pengubat mata. Habis makan makanan yang aku beli untuk bekal, tidur je la. Aku duduk la melanguk menunggu bas sampai. Nak bercakap bersembang takder kawan. Orang lain saudara-mara yang hantar mereka tak balik. Boleh la lawan bercakap. Aku? Emmm...


Penat tidur sambil duduk, akhirnya tumbang jugak si abang. Tapi tangannya tak lepas pegang beg laptop. Tengok la tu... Aku puas dah dok telek jam. Tak tau berapa ratus kali dah rasanya. Ya la, dari jam 8.30 malam sampai jam 12.00 malam seperti yang dijanjikan. Bas tak jugak sampai-sampai. Sakit belakang aku duduk lama tak bersandar. Semua kaunter tiket dah tutup. Kecuali bas yang kami naik. Rupanya bas 'LIPAT' yang aku naik ni. Bas balik dari KL ke KB dan balik semula ke KL. Aku bercakap sorang-sorang. Kononnya nak sampai awal beli la tiket bas ni. Rupanya makin lambat. Bas lain semua dah bergerak ikut masa.

Jam 12.45 baru la sampai bas kami. Katanya bas  dari KL belum sampai, tapi bas ni dari Rantau Panjang. Apa-apa je lah. Lebih kurang jam 1.00 pagi kami bertolak ke KL. Terus aku tertidur. Mengantuk ada penat apatah lagi.

Kami sembahyang Subuh kat mana tau? Di Merapuh. Biasanya bas berhenti makan jam 2.00 pagi kat situ. Tapi hari ni subuh baru sampai situ. Ya Rabbi...kul berapa la aku nak sampai rumah ni? Itu je la kalimat yang aku ucapkan. Lepas selesai semua bas bertolak meneruskan perjalanan ke destinasi. Aku tidur lagi. Sedar-sedar jam 8.30 pagi. Aku jenguk ke luar. Baru di Raub. Aku nampak orang ramai berpakaian baju melayu dan bersongket. Mereka menuju ke masjid. Oh...mereka nak pergi menunaikan solat sunat Idul Adha. Kami??? Melepas la tahun ni. Nasib-nasib...

Isnin, 17 September 2012

AYAH DAN KENANGAN





Ahad, 9 September 2012

AL-FATIHAH UNTUK AYAH...

 Ayahku terkenal dengan panggilan Pakda Haron. Kalau sekitar Bachok sebut Pakda Haron Insya Allah orang akan kenal. Aku anak bongsu ayah. Membesar dengan ayah. Manja dengan ayah. Dari kecil lagi aku kerap ditinggalkan dengan ayah kerana emak sibuk menjaga cucu di KL.

Ayah... tahun ni genap 19 tahun ayah pergi meninggalkan kami. Kami redha. Kerana kami tahu ayah telah kembali kepada Penciptanya. Setiap yang hidup akan mati. Pergimu buat selamanya di tempat yang sangat mulia. Dengan cara yang paling baik. Ayah ku menghembuskan nafas terakhirnya pada hari Jumaat, 17 Ramadhan di Masjid Pak Pura (nama sebenarnya aku tak tahu), Beris Kubur Besar Kelantan. Masa tu ayah sedang sampaikan kuliah Jumaat untuk ahli qaryah situ. 

Ayah... entah mengapa, anak mu ini terlalu merindui mu kini. Mungkinkah...! Entahlah... Kalau tahun-tahun yang lalu, bila rindu aku sedekahkan Al-Fatihah untuk ayah. Hilang rindunya. Tapi kini, cara tu tak menjadi. Tak berkesan langsung. Malah rasa rindu pada ayah kian menebal. Aku menangis tersedu-sedan.

Ayah... aku masih ingat zaman remaja ku. Setiap kali aku ada masalah, seluruh badan ku terasa menggigil. Gementar. Longlai. Lemah. Layu. Takut. Gelisah. Semua ada. Setiap kali itulah ayah akan buat 'air tawar' untuk aku minum. Kalau tak elok juga aku akan dimandikan aku dengan air itu sambil dibacakan ayat-ayat penawar bagi memulihkan semangat ku. Terima kasih ayah.

Ayah... kini kau tiada lagi untuk memulihkan semangat ku. Aku layu sendiri. Terkulai keseorangan. Tiada siapa yang tahu. Ku gagahkan diri untuk bangkit. Sendirian. Keseorangan. Tiada lagi 'air tawar' ayah untuk aku minum. Tiada lagi ayah untuk mandikan aku. Kalaulah ayah masih ada...hidup ku mungkin tak sederita ini. Semangat ku mungkin tak selemah ini. Perasaanku mungkin tak segelisah ini.

Ayah... kalaulah ayah masih ada... walau ku tahu ayah tak mungkin kembali lagi. Yang menghubungkan kami hanyalah doa. Akan sentiasa aku sedekahkan al-Fatihah buat ayah. Segala amalan kebaikan ku pahalanya akan mengalir terus pada ayah. Kerana aku anak ayah. Aku juga murid ayah. Ayah mengajar ku membaca Al-Quran, ayah mendidik ku dengan didikan agama. Ayah juga mengajar ku bahasa Arab, Qawaid, Tauhid, Feqah, Usul Feqh dan semua subjek yang aku belajar di sekolah menengah Arab. Ayah ku memang HEBAT. Aku bangga dengan ayah. Terima kasih duhai ayah ku...

Al-Fatihah buat ayah...

Sabtu, 1 September 2012

NASIB GURU AGAMA

Kalau dicongak, campur tolak kali bahagi la...dah 15 tahun rupanya aku bergelar guru. Anak murid panggil aku ustazah. Ooo...aku ni guru agama rupanya. Buat-buat lupa pulak ya? Dulu kan sekolah menengahnya di sekolah arab. Lepas tu sambung ke Maktab Perguruan Islam. Sah-sah la ustazah. Selama 15 tahun ni dah lima buah sekolah aku mengajar. Dua buah sekolah di negeri Pahang. Tiga buah sekolah di Selangor. Semuanya sebab ikut suami.

Lepas habis maktab aku posting di Pekan Pahang. Kampung abang Jib. Ya la...pernah sekali pergi rumah terbuka abang Jib kat Pekan tu. Sebelum pindah Selangor. Nak merasa... bukan apa. Tahun 1999. Awal tahun 2001 aku mula bertugas di Selangor. Rupanya dah 11 tahun aku mengajar di Selangor ni. Patut la rasa berkobar-kobar nak pindah. Dah empat kali aku isi  e-GTUKAR. Tapi sayang, golongan seperti aku yang berstatus "guru agama" memang susah nak masuk negeri-negeri pantai timur.

Seingat aku, sekitar tahun 2006/2007 ada seorang ustazah di sekolah mohon pindah ke Terengganu sebab suaminya bertugas di sana. Dua ke tiga tahun juga mengisi borang pertukaran. Tak dapat-dapat. Akhirnya dia minta kursus dalam perkhidmatan. Tukar opsyen. Baru dapat masuk Terengganu. Astaghfirullah al-Azim... Aku cuba mohon KDP awal tahun 2010 dulu. Bukan sebab nak pindah sekolah, tapi nak "tukar angin" kata orang. Ya la...masa tu aku baru habis kontrak belajar. Sayangnya KDP mula dihapuskan tahun tu atas sebab kerajaan tak ada bajet. Melepas aku. 

Sekarang ni lagi la rasa tertekan bila minta pindah tak pernah dapat. Setiap kali aku pergi pejabat kat Putrajaya tu, alasan yang sama aku dengar. Dah naik kembang telinga aku mendengarnya. Katanya "guru agama penuh kat sana. Sana kan pengeluar produk agama. Orang luar yang masuk sana pun seronok duduk sana tak nak keluar-keluar. Yang minta masuk ribu-ribu tapi yang mohon keluar cuma 40 orang saja". Lima kali aku pergi lima juga la aku dengar ayat tu. Pernah juga aku bagi pendapat aku. "Apa kata guru yang baru nak posting jangan postingkan di sana. Bagi dulu peluang kita orang yang nak balik negeri ni balik dulu. Guru baru tu letak tempat kita orang sekarang. Baru adil". Hik hik hik... Dah panas telinga dengar cakap dia biar dia pulak panas telinga dengar aku bercakap. Nak tau apa jawab pegawai tu?... "cikgu/ustazah...takkan kami nak biarkan semua guru kat sana sama baya. Bukan nak kata tua-tua semua...(dalam hati aku nak tergelak pun ada. Yang lain tu aku dengar telinga kanan aku keluarkan terus kut telinga kiri. Malas. Sama je).
Kalau macam tu la, sampai bila-bila pun kami guru agama tak akan dapat pindah masuk ke negeri pantai timur. Yang pencen berapa kerat je. Pastu depa ganti pulak dengan guru baru posting. Sampai bila nasib kami macam ni?...lu pikir la sendiri...


"KEBAHAGIAAN SEORANG LELAKI TERLETAK PADA KALIMAT YANG KELUAR DARI MULUT SEORANG WANITA"

Jumaat, 31 Ogos 2012

KENANGAN SILAM MENGUSIK JIWA

MERDEKA!...MERDEKA!...MERDEKA!... Hari ni genap 55 tahun Malaysia merdeka. Oh...patut la aku senang lenang di rumah. Cuti rupanya. Jam hampir 7.30 pagi. Aku masih lagi di atas sejadah. Telekung pun tak buka lagi. Dah sejam lebih aku macam ni. Lepas termenung... mengeluh... lepas mengeluh... termenung... 'Tak baik dikenang perkara lepas. Masa tak boleh diundur kembali. Apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Kita je yang tak tahu. Hikmah tu rahsia Allah yang tersembunyi'. Pujuk hati kecil ku. Pujuk diri sendiri.

Aku menarik nafas panjang. Fikiran ku berlegar-legar teringatkan kisah silam ku. Kisah zaman persekolahan. Indah. Bahagia sangat. Tapi kenapa bahagia itu berakhir dengan sebuah kedukaan yang tak dapat aku lupakan hingga kini. Setiap kali berkumandangnya lagu-lagu zaman persekolahan, jiwa ku rasa sakit. Meronta-ronta.

Ya Allah...pedihnya dapat ku rasa sampai kini. Kalaulah masa boleh diundur kembali... akan ku pilih untuk kembali masa itu. 'Hemmm...khayal lagi aku ni...', bisik hati kecil ku lagi. Merdekakan jiwa mu wahai Fadzilah. Ya...MERDEKA!!! MERDEKA!!! MERDEKA!!!

Lenguh duduk baring. Namun aku masih belum berganjak dari sejadah. Masih dibuai kenangan lalu. Alangkah bahagianya kalau... 'Oiii!!! Cukup-cukup la tu...tak payah berkalau-kalau lagi'...jerit hati kecil ku. Emmm... Betul juga kan... lagi diingat lagi seksa jiwa. Makin dikenang makin merana badan. Tapi... Kenangan itu masih segar diingatan. Satu persatu berlegar dibenak fikiranku. Silih berganti. Indahnya waktu itu. Semua orang tahu. Kawan, lawan, cikgu, pendek kata semua tahu la. Tapi sayang...

Selamat menyambut hari merdeka. Tapi jiwa ku tak pernah merdeka dari mengingati kenangan lalu...Setiap hela nafas ku hanya ada kamu...Engkau Tetap Satu.


"PERCAYALAH BAHAWA KEBAHAGIAAN ADALAH SEPERTI MAWAR YANG DITANAM. TIDAK LANGSUNG BERBUNGA (SEBAIK SAJA DITANAM), TETAPI IA PASTI AKAN TUMBUH"

Ahad, 29 Januari 2012

28 JANUARI


Semalam, 28 Januari 2012. Hari lahirku yang ke 40. Rupanya dah genap 40 tahun usia ku. Rasa baru semalam aku dewasa. Begitu cepat waktu berlalu. Dah 20 tahun aku meninggakan alam persekolahan. Zaman yang cukup indah. Sarat dengan kenangan manis. Terasa ingin kembali semula ke zaman itu. Maknanya sudah 16 tahun aku bergelar guru. Patut la, dah berapa ramai anak didik ku yang dah berkerjaya. Tak sedar rupanya aku. 

Semalam, rasanya kali kedua aku sambut hari lahirku dengan mengadakan majlis kesyukuran di rumahku. Dulu, kalau tak silap aku 1993, aku sambut di kampung, bersama anak murid KAFA. Mereka yang sediakan kek hari jadi untuk aku. Bila dah kahwin, sambut dengan suami. Dia bawa aku makan di mana-mana saja.

Tahun ni, istimewa sikit majlisnya. Aku masak nasi dagang dan pulut kuning. Aku jemput semua abang dan kakakku, anak-anak saudara. Abangku yang sulong membuka majlis dengan membaca doa selamat. Tak sangka sebenarnya, dia datang dari KB. Kebetulan. Istimewa sungguh majlis aku kali ni.

Lebih istimewa lagi, dapat hadiah hari jadi. Dah 40 tahun pun masih dapat hadiah. Aku tahu mereka semua nak aku merasa bahagia di samping mereka. Mereka nak aku gembira di hari lahirku. Aku hargai semua tu. Ada blaus, perfium, kek dan makanan tambahan. Taukeh blaus bagi hadiah blaus, pakar kek buat kek istimewa untuk hari jadi aku. Kawan baik pulak bagi makanan tambahan untuk kekalkan 'keremajaanku'. Anak buah bagi perfium supaya aku sentiasa wangi. Wah!!!...semua tu nak suruh aku kekal muda jelita tu. Waka waka...

Tapikan...aku tak dapat hadiah dari insan TERISTIMEWA. Sedihnya. Apa pun, aku redha atas segala ketentuan Ilahi. Apa yang Dia berikan adalah yang TERBAIK untuk aku. Itu yang pasti. Insya Allah, segala yang terbaik menunggu ku di hadapan. Aku yakin...

Apa yang melucukan pula, bila mak bersuara. Banyak dapat hadiah hari jadi. Dia pun nak buat juga la majlis hari jadi nanti. Gelak kami semua yg mendengarnya. 

Selasa, 27 Disember 2011

ASYURA KELANTAN



Alhamdulillah...akhirnya aku dapat juga merasa asyura setelah sekian lama aku idamkannya. Lebih terkenal dengan panggilan 'suro' di kalangan orang Kelantan. Dah lama benar rasanya aku tak makan 'suro' ni. Dah lima tahun agaknya. 'Suro' ni hanya terdapat pada bulan Muharram. Orang masak 'suro' ni pun bermula hari asyura. Dalam tempoh 20 hari tu sahaja orang buat kenduri masak 'suro' ni. Namanya diambil sempena hari Asyura. Itulah serba sedikit pengenalan tentang makanan ni. Kalau di negeri lain orang panggil bubur asyura. Nama lain sebab rupanya pun lain. Bila sebut bubur maknanya ia lembik. Macam bubur lambok. Agaknya la, sebab aku pun tak pernah makan bubur asyura tu.

Masak 'suro' ni agak lama. Dari pagi sampai petang. Aku tak banyak pengalaman tentang cara masak makanan ni. Rasanya cuma beberapa kali aje aku sertai orang masak. Masa kecik-kecik dulu. Rasanya macam orang masak dodol la. Bermula dari menumis rempah, hingga masukkan segala jenis ramuan dikacau sampai hancur. Lumat. Daging pun jadi urat halus-halus. 

Kalau di kampung, orang pakat-pakat masak 'suro' ni. Maklumlah, sekali masaknya satu kawah. Belanjanya pun besar. Tak sah kalau tak kenduri masak 'suro'. Itulah hebatnya orang kampung. Semua perkara bergotong-royong. Seronoknya tinggal di kampung. Bila agaknya Allah akan mengizinkan aku untuk merasai kehidupan di kampung? Hidup dalam suasana harmoni, aman damai, nyaman dan menghirup udara segar. Ya Allah...izinkan lah aku menikmati suasana itu...




Isnin, 26 Disember 2011

PULUT IKAN KERING



Satu lagi menu kampung yang menjadi hidangan aku pagi ni. Aku memang suka makanan kampung. Makanan yang aku makan zaman kanak-kanak dulu. Lebih-lebih lagi kalau musim-musim banjir dan hujan macam sekarang ni. Menu ni sekarang dah dihidangkan di hotel-hotel terkenal. Jangan kata kampung lagi. 

Tapi sekarang ni, aku jarang sekali makan pulut ikan kering ni. Bukan apa, sebab aku tak boleh makan ikan kering. Terus kena selsema. Itu yang tak tahan tu. Kalau ikutkan suka memang nak 'belasah' je. Tapi mengenangkan sakit selepas tu aku rasa tak sanggup. Cuma sekali sekala makan juga la, nak lepaskan gian. Lepas tu cepat-cepat telan ubat resdung. 

Pagi ni, aku buat pulut ikan kering bukan apa, sebab pulut malam tadi tak habis lagi. Malam tadi aku masak pulut nak makan pulut durian sekali lagi. Oleh kerana aku dan anak yang nombor 2 je makan pulut durian, tak habis la pulutnya. Malam tadi pun aku nak habiskan durian yang aku beli RM10 baru ni. Takut pulak lama-lama durian tu akan masam. Sayang pulak. Puncanya aku aje yang makan. Kalau yang depa tu suka makan, sekali ngap aje. Kadang-kadang aku hidang atas meja, aku ke dapur. Aku belik semula ke meja makan semua dah habis. Itu kalau yang mereka suka. Kalau yang tak suka macam ni la jadinya. 

Kadang-kadang terkilan juga, kenapa la anak-anak aku tak suka makanan yang aku suka. Makanan kampung. Kalau buka puasa pun macam tu juga. Aku suka yang tradisional. Onde-onde, butir nangka, puteri mandi. Anak-anak suka donat, karipap. Tapi aku tak pelik semua tu. Anak bapak. Ingat lagi dulu-dulu, bila aku masak pulut ikan kering, aku kena goreng ayam sekali. Aku makan ikan kering, suami aku makan dengan ayam. Aku rasa pelik mula-mulanya. Macam takde nikmat pulut bila makan dengan ayam. Tapi dah terbiasa.

Tahun demi tahun, aku tak masak dah apa yang aku suka. Aku cuma masak yang suami dan anak-anak makan aje. Sekali sekala bila mak bertandang rumah aku baru aku masak semua makanan kampung yang aku suka. Kalau hari-hari biasa aku masak, aku sorang aje yang makan. Rasa tak berbaloi. Baik aku masak yang mereka makan. Setakat ni, nampak gayanya Farhan sorang je yang mengikut selera aku. Suka makan ikan singgang, pulut durian. Cuma yang peliknya kenapa dia tak suka makan spagetti? Aku makan aje. 

Bulan disember ni selalu hujan. Keadaan tu menyebabkan aku teringat suasana kampung macam dulu-dulu. Aku teringat semua makanan kampung yang aku makan dulu. Antaranya pulut ikan kering, ubi kayu rebus, ubi kayu sira, pulut gadung. Alahai sedapnya... Mana nak cari pulut gadung sekarang ni?...

Sabtu, 24 Disember 2011

A&W DAN SEBUAH MEMORI

Waffal oh waffal...



Hari ni aku pergi KL. Niat aku nak pergi Sogo semata-mata. Aku nak cari hand bag. Puas aku jenguk Parkson Kajang dan Alamada. Tak ada yang betul-betul aku 'jatuh hati' padanya. Biasalah, musim dapat bonus ni aku akan beli 'sesuatu' untuk aku, sebagai hadiah untuk diri sendiri. Sebab aku berpegang pada kata-kata pakar motivasi Dato' Dr Fadzilah Kamsah, yang mana kita perlu menghargai diri kita sendiri. Berilah hadiah untuk kita sendiri. Untuk orang lain kita sanggup belikan hadiah. Tapi kenapa tidak untuk diri kita sendiri. Jadi aku nak diri aku tergolong dalam golongan insan yang menghargai diri sendiri.

Bila dah selesai memilih dan membayar, baru tersa lapar. Aku pantang kalau ke KL mesti nak makan A&W. Salah satu sebabnya ialah ia tak ada kat Kajang. Kalau KFC atau McD merata-rata kat area Kajang dan Bangi. Jadi hari ni pun aku masuk A&W. Aku oder la burger dan root beer float. Lagi... waffal ais krim. Masa aku makan waffal tu, orang meja sebelah jenguk-jenguk dan pandang-pandang pada aku. Aku senyum. Di meja tu ada tiga orang perempuan. Aku potong suku daripada waffal, aku makan. Tiga suku lagi aku letak tepi. Lepasa tu aku makan burger. Dia pandang lagi. Aku dengar salah seorang dari mereka kata "makan sorang je, lapor benor agaknya". Aku diam je la. Memang nampak macam makan banyak sebab banyak ada makanan atas meja. Habis makan suku waffal tu, aku bangun dan pegi oder lagi. Depa tu pandang lagi. Agaknya tak cukup lagi ke aku makan. 

Bila staff A&W hantar oder kat meja aku, depa tu tengok aku bungkus baki daripada waffal yang aku makan. Dia pandang aku, aku malas dah nak senyum. Aku tengok muka dia orang tu dengan pandangan yang hambar. Tawar. Malas nak senyum. Manusia ni suka sangat mengata orang. Depan-depan pun dia sanggup kata. Dia tak bimbang ke orang akan terasa hati. Sebenarnya aku telir sangat nak makan waffal tu. Tapi makan sikit je. Aku beli lagi tambah nak bawa balik untuk anak-anak. Jadinya aku bawa balik tujuh potong waffal untuk anak-anak. Yang besar dapat makan dua keping. Yang kecik sekeping sorang. Adil la tu. Rupanya jadi buah mulut orang aku hari ni sebab banyak makanan atas meja. Punya terasa hati, aku makan burger separuh je. Air separuh gelas aku tinggalkan. Macam orang kaya-kaya makan. Sebenarnya nak tunjuk kat depa bertiga tu aku bukannya lapar sangat walau pun oder  banyak makanan.

Bila balik rumah aku belikan aiskrim. Aku nak bagi anak aku makan macam mana aku makan tadi. Aku potong waffal dan aku letakkan aiskrim atasnya. Seronok mereka makan. Dah lama anak-anak aku minta aku buatkan waffal. Tapi aku cari acuannya takder. Aku pernah tengok tapi kat kedai mana. Bila masuk A&W nampak waffal aku beli la. Tapi teliur punya pasal aku makan kat situ terus. Nampak la banyak aku makan.  

Satu lagi sebab aku suka makan kat A&W kerana di sana banyak kenangan manis dan pahit dalam hidup aku. Kenangan lama dan baru. Sampai sekarang masih segar dalam ingatan aku. Sesegar embun pagi.

Rabu, 21 Disember 2011

TQ PM NAJIB ...

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana semua keperluan anak-anak ke sekolah tahun depan dah pun lengkap. Banyak juga la yang habis dibelanjakan walaupun sikit-sikit sorang. Maklumlah, nak melengkapkan keperluan lima orang. Cuma tinggal baju sekolah Maahad yang belum beli. Bukan tak nak beli lagi, tapi baju tu tak ada kat sini. Yang ada cuma di kedai Jaafar Rawas Kota Bharu. Balik sana nanti baru boleh beli. Tinggal lagi yuran sekolah dan yuran asrama yang perlu aku sediakan.

Fayyadh pun dah mula masuk tadika tahun depan. Keperluannya dah pun dibelikan. Fayyadh la  yang pertama sekali aku belikan beg, kasut dan seluar. Tinggal lagi bayaran yuran tadika. Tu pun mahu RM400 termasuk uniform dan buku. Takder ke benda yang murah sekarang? 

Kali pertama aku bawa semua anak-anak pergi bandar. Masuk Parkson. Jadi perhatian gak la. Berderet ikut kat belakang. Orang lain aku tengok dua tiga orang aje semuanya. Tak nak bawa semua nak beli seluar dan kasut. Bukan senang kalau tak ada tuannya. Nak kena sarung pakai. Bila dah siap 'menerai' semuanya, pergi ke kaunter bayaran. Kira punya kira melayanglah lebih kurang RM600 untuk empat orang. Seluar dua helai seorang untuk sekolah menengah. Yang sekolah rendah dua pasang sorang. Kasut sepasang sorang je, sebab yang tahun lepas boleh pakai lagi untuk gilir-gilir. 

Hari ni aku keluar lagi. Tapi sorang diri je. Sebab dah tau semua saiz ampunya badan. Niatnya nak tambah kasut yang nombor 2 tu. Dia tinggal asrama. Mesti nak ada kasut untuk gilir-gilir. Bukan senang nak basuh. Tapi hari tu tak ada saiz. Sepasang je beli. Hari ni beli sepasang lagi. Lepas tu aku merayap tingkat atas pulak. Nak beli kelengkapan asrama. Tahun lepas aku beli semua tu di Kelantan. Sebab rasa macam susah nak bawa naik bas. Tapi susah jugak. Terkejar sana-sini pulak kat sana. Sedangkan aku balik sehari je. Aku fikir lebih baik aku beli siap-siap kat sini. Apa susahnya, letak aje dalam perut bas. Jangan hilang atau lupa dah. Kelengkapan asrama aku beli untuk dua orang. Yang sulung tu dah hilang kena curi katanya. Apa la...sekolah agama pun ada jugak perangai macam tu. Itu baru sekolah agama, kawan aku cakap anak dia sekolah Tahfiz pun hilang selipar. Biasa la tu...

Siap semua sekali, aku tengok jam dah pukul 9.00 malam. Mak oiii...Tak sempat lagi nak beg pakaian. Kat parkson ada tapi mahal. Paling murah offer 70% pun seratus lebih. Aku nak beli kat kedai luar tu je. RM60  pun dah besar. Padan la nak bawa gi sekolah je. Ukur baju di badan sendiri... Kalau dikira campur tolak kali bagi, tiga hari dok keluar beli kelengkapan anak-anak ni, habis RM1000 jugak la. Alamak, habis la bonus aku. Bahagian aku takder apa-apa lagi. Syukur alhamdulillah ada bonus. Terima kasih banyak-banyak PM Najib bagi bonus dan bantuan persekolahan. Eh-eh...bukan apa, orang berbudi kita berbahasa, kerana PM memberi dapat la kita merasa bonusnya. 

Kalaulah tiap-tiap tahun macam ni alangkah bagusnya. Takder la terbeban sangat aku rasa...

Sabtu, 17 Disember 2011

REUNION MPI

Hari ni tanggal 17 Disember 2011, aku terasa seronok sekali. Bangun subuh-subuh sape'i masak spagheti untuk ditinggalkan pada anak-anak. Maklumlah, hari ni aku nak pergi MPI nak jumpa kawan sahabat lama. Dah 16 tahun kami berpisah membawa haluan masing-masing. Baru setahun dua ni kami berjumpa semula di laman sosial FB. 




Katanya jam 10 pagi majlis bermula. Elok-elok jam 9.00 makanan dah siap dan aku hidang siap-siap atas meja. Mereka nak makan nanti mudah nak ambil. Maklumlah majlis macam ni biasanya lama. Lagi pun, mana tau kut-kut nak merayap masa balik nanti. Selepas semua juadah untuk anak-anak siap, aku persiapkan diri la pulak. 9.40 pagi aku turun dari rumah.

Lebih kurang jam 10.15 keretaku menyusur masuk pagar IPG Kampus Bangi. Wah...dah berubah wajah. Maklum la, dah dua tahun aku tinggalkan kampus tu. Empat tahun lebih aku berulang alik ke sana masa sambung ijazah. Lepas park kereta, aku masuk ke dewan Nik Muhyiddin. Daftar. Tak seorang pun orang kat situ yang aku kenal. Tengok semuanya macam kakak-kakak dan abang-abang. Hehe...Jangan mare. Biasa la aku ni, jumpa orang tak kenal malu-malu dan duduk diam-diam. Senyap. Sepi. Selepas sejam, aku bangun dan keluar dari dewan. Nak balik. Malu, semua orang aku tak kenal. Dah keluar baru lah nampak orang yang sama kohot dengan aku. Tu la mereka. Kak Khairiah, kak Yat dan As. Yang bertudung pink tu senior jugak.

Bila dah jumpa dengan mereka baru la bercakap tak henti-henti. Gelak tawa. Sedih pun ada juga sebab kawan-kawan yang lain tak sudi datang. Tak nak jumpa kawan yang lama berpisah. Kami kohot 1994/96 cuma ada tiga orang aje. Bila majlis minta angkat tangan kami diam aje. Malu dan segan. Tapi bila waktu makan, tak tolak sebab kami bayar ape? Apa pun tak rugi aku ke sana sebab dapat jumpa dan beramah mesra dengan pensyarah kami dulu.

CATATAN POPULAR