Qudwah Hasanah

Qudwah Hasanah bererti contoh teladan yang terbaik.

Rasulullah saw merupakan contoh teladan yang terbaik bagi sekalian umat manusia. Ia dapat dilihat pada sifat, sikap, fikiran dan tindakan, kehidupan, semangat, perjuangan dan kepimpinan baginda.

Kesemua sifat dan sikap Rasulullah saw adalah kesan daripada didikan al-Quran. Setiap perkara yang dilakukan dan ditinggalkan oleh baginda adalah pelaksanaan daripada setiap perintah al-Quran. Setiap nilai al-Quran terdapat dalam diri Rasulullah saw sehingga baginda dianggap sebagai al-Quran hidup.


Ahad, 9 September 2012

AL-FATIHAH UNTUK AYAH...

 Ayahku terkenal dengan panggilan Pakda Haron. Kalau sekitar Bachok sebut Pakda Haron Insya Allah orang akan kenal. Aku anak bongsu ayah. Membesar dengan ayah. Manja dengan ayah. Dari kecil lagi aku kerap ditinggalkan dengan ayah kerana emak sibuk menjaga cucu di KL.

Ayah... tahun ni genap 19 tahun ayah pergi meninggalkan kami. Kami redha. Kerana kami tahu ayah telah kembali kepada Penciptanya. Setiap yang hidup akan mati. Pergimu buat selamanya di tempat yang sangat mulia. Dengan cara yang paling baik. Ayah ku menghembuskan nafas terakhirnya pada hari Jumaat, 17 Ramadhan di Masjid Pak Pura (nama sebenarnya aku tak tahu), Beris Kubur Besar Kelantan. Masa tu ayah sedang sampaikan kuliah Jumaat untuk ahli qaryah situ. 

Ayah... entah mengapa, anak mu ini terlalu merindui mu kini. Mungkinkah...! Entahlah... Kalau tahun-tahun yang lalu, bila rindu aku sedekahkan Al-Fatihah untuk ayah. Hilang rindunya. Tapi kini, cara tu tak menjadi. Tak berkesan langsung. Malah rasa rindu pada ayah kian menebal. Aku menangis tersedu-sedan.

Ayah... aku masih ingat zaman remaja ku. Setiap kali aku ada masalah, seluruh badan ku terasa menggigil. Gementar. Longlai. Lemah. Layu. Takut. Gelisah. Semua ada. Setiap kali itulah ayah akan buat 'air tawar' untuk aku minum. Kalau tak elok juga aku akan dimandikan aku dengan air itu sambil dibacakan ayat-ayat penawar bagi memulihkan semangat ku. Terima kasih ayah.

Ayah... kini kau tiada lagi untuk memulihkan semangat ku. Aku layu sendiri. Terkulai keseorangan. Tiada siapa yang tahu. Ku gagahkan diri untuk bangkit. Sendirian. Keseorangan. Tiada lagi 'air tawar' ayah untuk aku minum. Tiada lagi ayah untuk mandikan aku. Kalaulah ayah masih ada...hidup ku mungkin tak sederita ini. Semangat ku mungkin tak selemah ini. Perasaanku mungkin tak segelisah ini.

Ayah... kalaulah ayah masih ada... walau ku tahu ayah tak mungkin kembali lagi. Yang menghubungkan kami hanyalah doa. Akan sentiasa aku sedekahkan al-Fatihah buat ayah. Segala amalan kebaikan ku pahalanya akan mengalir terus pada ayah. Kerana aku anak ayah. Aku juga murid ayah. Ayah mengajar ku membaca Al-Quran, ayah mendidik ku dengan didikan agama. Ayah juga mengajar ku bahasa Arab, Qawaid, Tauhid, Feqah, Usul Feqh dan semua subjek yang aku belajar di sekolah menengah Arab. Ayah ku memang HEBAT. Aku bangga dengan ayah. Terima kasih duhai ayah ku...

Al-Fatihah buat ayah...

Tiada ulasan:

CATATAN POPULAR