Qudwah Hasanah

Qudwah Hasanah bererti contoh teladan yang terbaik.

Rasulullah saw merupakan contoh teladan yang terbaik bagi sekalian umat manusia. Ia dapat dilihat pada sifat, sikap, fikiran dan tindakan, kehidupan, semangat, perjuangan dan kepimpinan baginda.

Kesemua sifat dan sikap Rasulullah saw adalah kesan daripada didikan al-Quran. Setiap perkara yang dilakukan dan ditinggalkan oleh baginda adalah pelaksanaan daripada setiap perintah al-Quran. Setiap nilai al-Quran terdapat dalam diri Rasulullah saw sehingga baginda dianggap sebagai al-Quran hidup.


Rabu, 17 Februari 2010

WASIAT LUQMANUL HAKIM

Luqmanul Hakim, ialah seorang hamba yang soleh lagi bertakwa. Allah menganugerahkan beliau dengan pengetahuan, kebijaksanaan, kefahaman agama yang mendalam, kemuliaan dan kedudukan yang tinggi. Beliau hidup pada zaman Nabi Daud as. Tokoh yang sering dikaitkan dengan kata-kata hikmah. Umat Islam amat menghormati keperibadiannya serta menerima baik dan mengambil pedoman setiap nasihat dan kata-katanya. Al-quran sendiri telah menyebut nama serta menerangkan hakikat kewujudannya dengan menjelaskan tentang anugerah Allah kepadanya berupa kebijaksanaan dan ilmu pengetahuan. Ilmu itu beliau sampaikan pula kepada anaknya. Wasiat beliau dianggap sebagai ‘role model’ yang paling ideal dalam uslub dakwah.

Dalam al-Quran, surah ke 31 diberi nama dengan namanya iaitu Surah al-Luqman. Dalam surah ini, terdapat dasar-dasar hikmah yang diwasiatkan kepada putera-puteranya dan mendapat kemulian yang amat tinggi. Dua kali tercatat nama beliau dalam surah tersebut iaitu pada ayat 12 dan 13:-

Maksudnya:
12. dan Sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): bersyukurlah kepada Allah (akan Segala nikmatNya kepadaMu)". dan sesiapa Yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa Yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana Sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
13. dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman Yang besar".
( Al-Luqman:12-13)


Beliau digelar al-Hakim kerana kata-kata beliau dan kisahnya menjadi pengajaran dan teladan kepada manusia. Luqman adalah seorang bapa yang penyayang lagi bijaksana. Beliau memandang kepada anaknya dengan pandangan kasih sayang dan penuh belas kasihan. Beliau menasihati anaknya dengan nasihat yang lengkap dengan segala-galanya. Kata-kata yang diucapkannya adalah ibu kepada segala nasihat untuk menyucikan hati. Luqman sangat mengambil perhatian ketika mendidik anaknya agar mereka menjalani kehidupan berdasarkan syariat Allah.

Antara ayat yang terkandung wasiat Luqman kepada anaknya ialah ayat 13 hingga ayat 19:-
13. dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman Yang besar".
14. dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa dua tahun; (dengan Yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
15. dan jika mereka berdua mendesakmu supaya Engkau mempersekutukan denganku sesuatu Yang Engkau - Dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah Engkau taat kepada mereka; dan bergaulah Dengan mereka di dunia Dengan cara Yang baik. dan Turutlah jalan orang-orang Yang rujuk kembali kepadaKu (dengan Tauhid dan amal-amal Yang soleh). kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu Segala Yang kamu telah kerjakan.
16. (Luqman menasihati Anaknya Dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, Sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau Yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di Dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana Sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi amat meliputi akan Segala Yang tersembunyi.
17. "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan Yang mungkar, dan Bersabarlah atas Segala bala bencana Yang menimpamu. Sesungguhnya Yang demikian itu adalah dari perkara-perkara Yang dikehendaki diambil berat melakukannya.
18. "Dan janganlah Engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah Engkau berjalan di bumi Dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang Yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
19. "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".

Ayat-ayat di atas adalah tujuh ayat yang terkandung dalam Surah al-Luqman, juga merupakan pesanan dan ajaran beliau kepada putera-puteranya agar mereka dapat menjalani kehidupan mengikut syariat Allah SWT. Prinsip-prinsip pendidikan yang terkandung dalam ayat tersebut merangkumi aspek aqidah, ibadat, akhlak, dan dakwah . Apa yang membanggakan prinsip-prinsip inilah yang menjadi renungan dan ikutan masyarakat Islam hingga ke hari ini.

Berikut dijelaskan secara terperinci tentang prinsip-prinsip pendidikan Islam yang terkandung dalam ayat-ayat di atas. Prinsip yang telah dilaksanakan oleh Luqman al-Hakim semasa mendidik anak-anaknya tentang syariat Islam. Antaranya ialah:-

1. Tegahan Mensyirikkan Allah

" Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman Yang besar".

Allah menyebut dalam ayat di atas bagaimana Luqman mendidik anaknya dengan pengajaran dan asuhan yang baik. Anaknya bernama An’am dan Asykam adalah insan yang paling dikasihi dan disayangi. Lantaran itu Luqman telah menyuruh anak-anaknya menyembah Allah sahaja. Dan menegahnya jangan sekali-kali menyekutukan Allah dengan yang lain, kerana perbuatan itu adalah syirik. Syirik ialah menyekutukan atau menyamakan Allah dengan yang lain sama ada dari segi zat atau sifat atau perbuatannya. Seseorang yang melakukan syirik menyebabkan terbatal imannya, ibadatnya tidak diterima dan diakhirat diazab oleh Allah dalam neraka. Oleh sebab itu perbuatan mensyirikkan Allah dikatakan menganiayai diri sendiri. Semua perbuatan berkaitan dengan pemujaan, penyembahan, memohon perlindungan, permintaan bagi menentukan sesuatu hajat adalah hak Allah semata-mata. Jika perbuatan tersebut dilakukan kepada yang lain sama seperti mana yang dilakukan kepada Allah, berlakulah syirik.

2. Berbuat Baik Kepada Ibu bapa

Setelah menyebut nasihat Luqman kepada anaknya supaya tidak mensyirikkan Allah, selanjutnya Allah SWT menyebut pula nasihat secara umum kepada setiap anaknya supaya melakukan perbuatan baik kepada kedua ibu bapa. Kerana ibu bapalah yang menyebabkan mereka hidup di dunia. Kemudian Allah SWT berfirman yang bermaksud:-

"dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya"


Allah memerintahkan manusia supaya berbakti kepada kedua ibu bapa mereka dengan memenuhi hak-hak kedua-dua mereka. Allah juga menyebut jasa-jasa ibu secara khusus terhadap anaknya. Antaranya ibu telah mengandung dalam keadaan lemah, semakin hari kandungan bertambah besar menyebabkan ibu semakin bertambah lemah. Kemudian ibu melahirkan anaknya sehingga selesai masa nifas. Ibu juga menjaga anaknya dengan penuh kasih sayang dan menyusukan anaknya sehigga tempoh dua tahun. Allah berfirman maksudnya:-


"ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun"


Sebenarnya Allah SWT memerintahkan manusia supaya berbakti kepada kedua ibu bapanya, tetapi hanya menyebut pengorbanan ibu sahaja. Ini kerana pengorbanan ibu lebih besar, iaitu mengandung dengan susah payah kemudian melahirkannya,menjaganya siang dan malam. Oleh sebab itu ketika ada orang bertanya kepada Rasulullah saw “siapa yang utama berhak mendapat bakti daripada anak, baginda bersabda ibumu, ibumu, ibumu”. Selepas itu barulah baginda bersabda, “kemudian bapamu.

Anak-anak dikehendaki mentaati ibu bapa walau pun mereka bukan beragama Islam. Anak-anak hendaklah bersopan dan merendahkan suara ketika bercakap dengan ibu bapa, mendengar nasihat dan mematuhi perintahnya kecuali perkara yang bertentangan dengan agama Islam. Anak-anak juga dikehendaki prihatin dengan ibu bapa dengan cara melayan dan mengembirakan hati ibu bapa. Anak-anak juga hendaklah berterima kasih dan mengenang budi serta sabar dengan perangai ibu bapa terutama apabila mereka telah lanjut usia (Fauziah Mohd Ramli : 2008).

Al-Hafiz Abu Bakr Al-Bazzar telah meriwayatkan dalam musnadnya dengan sanadnya dari Burayd dari bapanya bahawa seorang lelaki mengerjakan tawaf dengan mendukung ibunya lalu dia bertanya kepada Nabi saw: “Adakah saya telah membayar haknya (ibunya)” Jawab baginda: “Tidak, tidak, walau senafas pun” (Sayyid Qutb: 2000). Demikianlah, anak tidak dapat membalas budi ibunya walau senafas pun bermula dari masa ia mengandung lagi hinggalah jasa menyusu, mengasuh dan membesarkan serta mendidik anak-anaknya.

3. Mendirikan Solat

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang,"

Luqman al-Hakim menasihati anaknya supaya menunaikan sembahyang. Sembahyang merupakan kewajipan yang mesti dilakukan dalam apa jua keadaan sebagai bukti ketaatan dan kepatuhan hamba kepada Allah. Dalam sembahyang banyak mengandungi hikmah, antaranya dapat mencegah kemungkaran, menenangkan jiwa serta membentuk peribadi muslim. Apabila seseorang melakukan sembahyang dengan sempurna, ia dapat membersihkan jiwanya sehingga mereka berserah kepada Allah sama ada ketika suka mahu pun duka. Sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadith:-

أَعْبُدُ الَّلهَ كَأَنّكَ تَرَاهُ, فَاِنْ لَّمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَاِنَّهُ يَرَاكَ

 “Sembahlah Allah SWT seolah-olah kamu melihat-Nya, jika kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihat kamu”.


Dengan sembahyang kita melatih lidah, hati dan seluruh anggota badan selalu mengingati Allah. Dalam Islam telah ditentukan bahawa kita wajib mengerjakan sembahyang itu sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam. Dapatlah kita hitungkan sendiri betapa besar kesannya kepada jiwa kalau nama Allah selalu jadi sebutan. “Allahuakbar, Alhamdulillah, Subhanallah, dengan menundukkan badan ketika rukuk, dengan mencecah dahi ketika sujud, dengan tegak yang lurus tidak melengong ke kiri dan ke kanan, kita akan mendapat kekuatan peribadi lahir dan batin, moral dan mental (Hamka: 1987).

4. Melakukan Kebaikan dan Mencegah Kemungkaran

"dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan Yang mungkar"

Setelah Luqman menasihati anaknya supaya menunaikan hak Allah SWT, kemudian beliau menasihati anaknya pula supaya menyeru orang ramai melakukan perbuatan yang baik. Selain itu Luqman juga menasihati anaknya supaya mencegah manusia daripada menderhakai Allah SWT, melanggar larangan-Nya sehingga terjerumus ke lembah neraka yang apinya menyala-nyala.

Tugas mengajak melakukan kebaikan serta mencegah kemungkaran adalah tugas para rasul. Kemudian tugas ini dipertanggungjawabkan kepada umat Islam seluruhnya. Kita dituntut berdakwah melalui tutur kata, tingkah laku dan sikap yang baik mengikut kemampuan masing-masing. Dakwah hendaklah disampaikan dengan cara yang baik yang boleh menarik seseorang mukmin mematuhi perintah dan menjauhi larangan Allah. Pendakwah hendaklah sentiasa sabar dan tabah ketika menjalankan tugas dakwahnya.

5. Jangan bersifat Sombong

"Dan janganlah Engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah Engkau berjalan di bumi Dengan berlagak sombong;

Janganlah kamu memalingkan mukamu daripada orang yang sedang kamu ajak berbicara kerana sombong dan menganggap perkara itu remeh. Halakanlah ke mukanya dengan penuh sopan dan penuh penghormatan kepadanya (Ahmad Mustafa al-Maraghiy : 2001).

Dalam berjabat tangan mula bertemu, apatah lagi bersalaman dengan orang ramai berganti-ganti, ketika berjabat tangan itu, tengoklah matanya dengan gembira. Hatinya akan besar dan silaturrahim akan teguh. Apatah lagi kalau namanya tetap diingat dan disebut (Hamka : 1990).

Islam menggariskan peraturan hidup yang sempurna untuk kebahagiaan di dunia dan diakhirat. Semasa bergaul Islam memerintahkan supaya umatnya bertegur sapa dan menunjukkan wajah yang manis serta melihat muka ketika berbicara kerana perbuatan tersebut mewujudkan kemesraan dan mengeratkan hubungan persahabatan. Kita perlu berbicara dengan lembut, berbahasa yang baik, supaya pendengar dapat memahami dengan jelas dan dapat menerima dengan hati yang terbuka. Kita juga diminta bergaul dengan baik dan menjauhi sikap sombong dan takbur kerana sifat tersebut adalah sifat iblis laknatullah. Sebuah hadith marfu’ diterima dari Alqamah dari Abdullah bin Mas’ud:-

لا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقاَلُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ, وَلا يَدْخُلُ النَّارَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ اِيمَانٍ

Maksudnya: “Tidaklah masuk ke dalam syurga barangsiapa yang ada di dalam hatinya sebesar zarah dari ketakburan, dan tidak masuk ke dalam neraka barangsiapa yang ada di dalam hatinya sebesar zarah dari Iman”.

Ketika berjalan pula, kita tenang dan bukan berlagak sombong serta meninggi diri. Allah SWT tidak sukakan orang yang bersikap angkuh, ego dan menyombong diri terhadap orang lain. Firmannya yang bermaksud:-

dan janganlah Engkau berjalan di bumi Dengan berlagak sombong, kerana Sesungguhnya Engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan Engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.

(Al-Isra’ : 37)

Segala nasihat Luqman ini patut dijadikan panduan oleh semua umat Islam untuk membentuk akhlak mulia. Melalui akhlak mulia kita akan dihormati dan mengukuhkan persahabatan, memupuk kemesraan dan keharmonian dalam pergaulan tidak mengira bangsa dan keturunan.

Kalau kita renung dan fikirkan tujuh ayat yang mengandungi nasihat Luqman al-Hakim ini, dapatlah kita simpulkan bahawa ayat-ayat ini mengandungi prinsip-prinsip pendidikan bagi seseorang muslim. Beliau dapat menjadi sumber inspirasi anak-anak kaum muslimin. Wasiat beliau mengandungi pokok akidah iaitu kepercayaan tauhid kepada Tuhan, kemudian akhlak iaitu sifat hormat, penuh cinta dan kasih sayang dari anak kepada ibu bapa. Tidak ketinggalan ingatan menunaikan sembahyang kerana sembahyang itu tiang agama, amar makruf dan nahi mungkar iaitu berani menyeru kepada kebaikan dan berani juga mencegah kemungkaran.

Adab sopan dalam pergaulan diperingatkan, supaya jangan sombong di muka bumi Allah. Bertindaklah dengan serba sederhana. Semua ini adalah kata-kata hikmah dari Luqman. Wajarlah di disebut Luqman al-Hakim.

1 ulasan:

Fadzilah berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

CATATAN POPULAR